PERKATAAN HARI INI
نَسَكَ Tunduk, beribadah. 3 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Nabi Ibrahim AS hancurkan berhala (21:58)
- Perdebatan sengit antara Nabi Ibrahim AS dengan kaumnya pasca tragedi penghancuran patung-patung (21:59-65)
- Kemenangan mutlak Nabi Ibrahim AS: Kisah diselamatnya Nabi Ibrahim AS (21: 66-70)
- Nikmat lain kepada Nabi Ibrahim AS, diselamatkan baginda beserta Nabi Luth AS ke tanah yang diberkahi (21:71-72)
Mukadimah
Tadabbur oleh Ust Safri Mohamed Zein
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 327 Surah al-Anbiya'.
Ayat 21:58
فَجَعَلَهُمْ جُذَٰذًا إِلَّا كَبِيرًا لَّهُمْ لَعَلَّهُمْ إِلَيْهِ يَرْجِعُونَ
Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.
Pengajaran
- Ini adalah kisah Nabi Ibrahim AS seorang nabi ulul azmi yang menyampaikan risalah tauhid kepada kaumnya agar mereka menyembah Allah SWT.
- Kisah ini memberi kegembiraan kepada Nabi Muhammad SAW. Perjuangan para nabi adalah sama. Mereka menyampaikan risalah tauhid membenarkan Allah SWT.
- Di akhir halaman 326, Nabi Ibrahim AS ada memberi isyarat bahawa baginda akan melakukan satu perkara yang memilukan hati mereka yang kufur. Nabi Ibrahim AS menghancurkan berhala-berhala sehingga berkeping-keping dan ditinggalkan yang besar.
Ayat 21:59
قَالُوا۟ مَن فَعَلَ هَٰذَا بِـَٔالِهَتِنَآ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
(Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim".
Ayat 21:60
قَالُوا۟ سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُۥٓ إِبْرَٰهِيمُ
(Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya".
Ayat 21:61
قَالُوا۟ فَأْتُوا۟ بِهِۦ عَلَىٰٓ أَعْيُنِ ٱلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَشْهَدُونَ
(Ketua-ketua) mereka berkata: "Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan (tindakan mengenainya).
Ayat 21:62
قَالُوٓا۟ ءَأَنتَ فَعَلْتَ هَٰذَا بِـَٔالِهَتِنَا يَٰٓإِبْرَٰهِيمُ
(Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?"
Ayat 21:63
قَالَ بَلْ فَعَلَهُۥ كَبِيرُهُمْ هَٰذَا فَسْـَٔلُوهُمْ إِن كَانُوا۟ يَنطِقُونَ
Ia menjawab: "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata".
Ayat 21:64
فَرَجَعُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ فَقَالُوٓا۟ إِنَّكُمْ أَنتُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim".
Pengajaran Ayat 59-64
- Apabila mereka kembali, mereka melihat semua patung-patung sudah hancur kecuali yang besar sahaja tinggal.
- Mereka bertanya siapa yang menghancurkan tuhan-tuhan mereka?
- Mereka mendengar kabar bahawa Ibrahim yang melakukan. Ketika itu Nabi Ibrahim seorang ‘fata’ (remaja) yang kaya ilmu pengetahuan.
- Mereka membawa Nabi Ibrahim dihadapan orang ramai.
- Mereka bertanya apakah benar baginda yang melakukannya.
- Nabi Ibrahim menyuruh mereka bertanya kepada berhala besar itu. Bukan baginda mahu menipu cuma baginda mahu meruntuhkan akidah mereka yang bertuhankan berhala dengan cara itu.
- Sebelum itu, ketika penduduk kampung, mengajaknya pergi ke pantai untuk meraikan persembahan, baginda mengatakan yang baginda tidak sihat dan itu memberi peluang baginya untuk menghancurkan berhala-berhala itu.
- Apabila patung besar itu tidak dapat memberi jawapan, akhirnya mereka tunduk kerana malu dan mengaku bahawa mereka zalim. Inilah cara Nabi Ibrahim menyampaikan akidah kepada mereka.
Ayat 21:65
ثُمَّ نُكِسُوا۟ عَلَىٰ رُءُوسِهِمْ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا هَٰٓؤُلَآءِ يَنطِقُونَ
Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?"
Ayat 21:66
قَالَ أَفَتَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكُمْ شَيْـًٔا وَلَا يَضُرُّكُمْ
Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?
Pengajaran Ayat 65-66
- Mereka menundukkan kepala dan mengaku bahawa Nabi Ibrahim sudah tahu yang berhala itu tidak boleh berbicara. Jika patung itu tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri, bagaimana mungkin dia mahu menyelamatkan mereka?
- Nabi Ibrahim AS berhujah dengan mereka yang cukup memberi pukulan yang hebat bahawa patung-patung itu tidak boleh memberi mudharat atau manfaat apa pun.
Ayat 21:67
أُفٍّ لَّكُمْ وَلِمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
"Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"
Ayat 21:68
قَالُوا۟ حَرِّقُوهُ وَٱنصُرُوٓا۟ ءَالِهَتَكُمْ إِن كُنتُمْ فَٰعِلِينَ
(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!"
Ayat 21:69
قُلْنَا يَٰنَارُ كُونِى بَرْدًا وَسَلَٰمًا عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ
Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".
Pengajaran Ayat 67-69
- Orang yang tidak menyembah Allah SWT adalah orang yang celaka, jauh daripada rahmat Allah SWT. Banyak nikmat yang Allah SWT berikan tetapi mereka tidak berfikir. Sebagai hamba yang beriman, hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Bila mereka kalah berhujah, mereka mula bermain kasar dan ingin membakar Nabi Ibrahim AS dan mereka mahu membela tuhan-tuhan mereka.
- Allah SWT memerintahkan api yang sifatnya membakar, untuk menjadi sejuk. Jika وَسَلَٰمًا tidak disebut, akan sejuk api itu sampai bila-bila. Di sini, api sejuk khusus untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim AS. Inilah mukjizat Nabi Ibrahim AS. Ini menunjukkan Allah SWT Maha Berkuasa.
- Nabi Ibrahim AS adalah seorang yang sabar. Sanggup mengorbankan anak sendiri kerana kepatuhannya kepada Allah SWT. Inilah contoh ayah yang terbaik, anak dan pemimpin yang terbaik. Betapa hebatnya Nabi Ibrahim AS membimbing kita untuk berdakwah menegakkan diri kita, mentauhidkan Allah SWT agar terus tegak, teguh, mempertahankan kemuliaan agama yang dianugerahkan Allah SWT.
Ayat 21:70
وَأَرَادُوا۟ بِهِۦ كَيْدًا فَجَعَلْنَٰهُمُ ٱلْأَخْسَرِينَ
Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).
Ayat 21:71
وَنَجَّيْنَٰهُ وَلُوطًا إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِى بَٰرَكْنَا فِيهَا لِلْعَٰلَمِينَ
Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.
Ayat 21:72
وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَٰقَ وَيَعْقُوبَ نَافِلَةً وَكُلًّا جَعَلْنَا صَٰلِحِينَ
Dan Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya) sebagai tambahan; dan tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami jadikan orang yang soleh.
Pengajaran
- Tujuan mereka mahu membakar Nabi Ibrahim AS tetapi Allah SWT selamatkan baginda dan merekalah orang yang rugi.
- Seterusnya Allah SWT menyebut pula kisah Nabi Ibrahim dan sepupunya Nabi Lut yang diselamatkan ke negeri yang diberkati.
- Allah SWT menganugerahkan Nabi Ibrahim, Ishak (anak) dan Yaakub (cucu) sebagai kurniaan tambahan dan mereka adalah orang-orang yang soleh.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa berhujah dengan rasional dalam membina iman (21:63)
- Yakin Allah SWT sahaja yang boleh memberi manfaat dan mudarat (21:66)
- Terus berjuang perkara kebaikan walaupun kecil bilangannya (21:69)
Saya berasa lega, Allah SWT ajar supaya berhujah dengan rasional dalam membina iman.
Saya jelas untuk sentiasa berhujah dengan rasional dalam membina iman. Saya yakin Allah SWT sahaja yang boleh memberi manfaat dan mudarat. Saya jelas untuk terus berjuang perkara kebaikan walaupun kecil bilangannya.
Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa berhujah dengan rasional dalam membina iman. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau sahaja yang boleh memberi manfaat dan mudarat. Ya Allah, bantu kami untuk terus berjuang perkara kebaikan walaupun kecil bilangannya.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib