Friday, September 1, 2023

Halaman 330 : Al-Anbiya', 21:91-101

PERKATAAN HARI INI 

  نَسَلَ  Melahirkan anak, keturunan. 4 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Kisah Maryam (21:91)
  2. Kesamaan risalah-risalah langit dan sunnah Ilahiyyah (21:92-97)
  3. Keadaan orang-orang kafir dan mukmin di akhirat, serta kondisi langit di sana (21:98-101)

Mukadimah

Tadabbur oleh  Ust Safri Mohamed Zein.

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 330 Surah al-Anbiya'.

Ayat 21:91


وَٱلَّتِىٓ أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهَا مِن رُّوحِنَا وَجَعَلْنَٰهَا وَٱبْنَهَآ ءَايَةً لِّلْعَٰلَمِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat manusia.

Pengajaran

  1. Allah SWT menceritakan tentang Maryam dan puteranya. Kisah Maryam selalu dikaitkan dengan kisah Nabi Zakariya AS dan Nabi Yahya AS. 
  2. Secara logik akal manusia, Nabi Zakariya dan isterinya tidak mampu mendapat anak kerana umur mereka yang lanjut. Namun dengan kekuasaan Allah SWT, isterinya mengandung dan mereka medapat anak yang bernama Nabi Yahya AS. Begitu juga dengan Maryam, yang tidak ada suami, tetapi melahirkan Nabi Isa AS. 
  3. Ini menunjukkan kekuasaan Allah SWT. Allah SWT mahu menunjukkan yang tidak mustahil bagiNya untuk membolehkan Maryam melahirkan anak tanpa adanya ayah manakala Nabi Zakaria dan isterinya mendapat anak walaupun usia sudah sangat tua. 
  4. Nabi Zakariya AS adalah seorang ayah yang sangat taat kepada Allah SWT. Disebabkan ketaatan baginda, Allah SWT menganugerahkan baginda seorang anak yang sangat hebat iaitu Nabi Yahya AS. 
  5. Maryam juga adalah seorang hamba Allah SWT yang mencintai Allah dan beribadah kepada Allah SWT serta menjaga kehormatannya. Allah SWT kurniakan kepada Maryam seorang anak yang menjadi nabi disebabkan ketakwaannya. 
  6. Bila kita dekat dengan Allah SWT, sesuatu akan terjadi tanpa kita ketahui, khususnya diberikan keberkatan oleh Allah SWT dalam kehidupan kita. 

Ayat 21:92

إِنَّ هَٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱعْبُدُونِ

Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.

Pengajaran

  1. Allah SWT hendak menunjukkan kepada kita bahawa agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah agama yang diredhaiNya. 
  2. Tiada pilihan lagi, secara mutlaknya Allah SWT berikan kepada kita agar kita sentiasa berpegang teguh kepada agama yang satu. 
  3. Menurut Imam As-Sa'di, umat ini adalah umat yang besar, yang berupaya memiliki satu kekuasaan apabila mereka memegang satu ketauhidan kepada Allah SWT dan tidak berpecah. Apabila berpecah tentang akidah, maka pecahlah umat Islam.

Ayat 21:93

وَتَقَطَّعُوٓا۟ أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ كُلٌّ إِلَيْنَا رَٰجِعُونَ

(Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan ugama mereka; (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada kami (untuk menerima balasan).

Pengajaran

  1. Boleh berselisih pendapat kerana ia adalah perkara biasa, namun perpecahan itu tidak diinginkan oleh Allah SWT kerana ia akan membuat umat Islam terumbang-ambing bagai ombak di lautan tanpa hala tuju.

Ayat 21:94

فَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا كُفْرَانَ لِسَعْيِهِۦ وَإِنَّا لَهُۥ كَٰتِبُونَ

Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.

Pengajaran

  1. Sesiapa yang melakukan amal yang baik, Allah SWT akan beri ganjaran yang terbaik. 
  2. Syarat amal soleh itu ialah beriman. Di musim COVID-19 ini, kita saling membantu. Semoga apa yang kita buat mendapat redha Allah SWT.
  3. Setiap amal ibadah seorang hamba akan diberikan ganjaran yang sesuai dengan amal yang mereka lakukan.

Ayat 21:95

وَحَرَٰمٌ عَلَىٰ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَٰهَآ أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak).

Pengajaran

  1. Bila Allah SWT sudah murka dan menghancurkan sesuatu kaum, Allah SWT tidak akan mengembalikan mereka. 

Ayat 21:96

حَتَّىٰٓ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ

(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.

Pengajaran

  1. Ayat ini menerangkan salah satu tanda datangnya kiamat ialah Allah SWT keluarkan Yakjuj dan Makjuj yang telah didindingkan oleh Zulkarnain dalam surah al-Kahf. Mereka meluru turun dari bukit. Mereka ingin berbuat kejahatan dan memusnahkan apa sahaja yang ada di hadapan mereka. 
  2. Menurut Ibnu Abbas, dekatnya kiamat selepas keluarnya Yakjuj dan Makjuj, umpama orang yang hendak membuka tali kudanya, belum sempat buka, kiamat terjadi. Pada waktu itu manusia tidak boleh buat apa-apa. 

Ayat 21:97

وَٱقْتَرَبَ ٱلْوَعْدُ ٱلْحَقُّ فَإِذَا هِىَ شَٰخِصَةٌ أَبْصَٰرُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يَٰوَيْلَنَا قَدْ كُنَّا فِى غَفْلَةٍ مِّنْ هَٰذَا بَلْ كُنَّا ظَٰلِمِينَ

Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): "Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri".

Pengajaran

  1. Orang kafir mengatakan celakalah mereka. Di dunia dahulu, mereka leka dengan harta, anak pinak dan hiburan sehingga melupakan Allah SWT. 
  2. Sebelum sampai ajal kita, persiapkanlah diri untuk menghadapi kematian yang pasti akan terjadi. Apabila bertemu dengan Allah SWT, kita akan ada amalan-amalan yang akan dipersembahkan. Allah SWT membimbing manusia agar tidak lalai mengingatiNya. 

Ayat 21:98

إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُمْ لَهَا وَٰرِدُونَ

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.

Pengajaran

  1. Dalam kitab sirah Muhammad b Ishak ada menyebut; Nabi SAW masuk ke Masjidil Haram, ada 360 patung berhala di dalamnya. Semua berhala itu akan menjadi bahan bakaran api neraka bersama dengan orang yang menyembahnya.
  2. Menurut As-Sa'di, berhala itu menjadi bahan bakar untuk: 
  3. Menjelaskan yang mereka sembah itu bukan tuhan yang patut disembah. 
  4. Ditambah siksaan buat mereka atas kekufuran mereka.

Ayat 21:99

لَوْ كَانَ هَٰٓؤُلَآءِ ءَالِهَةً مَّا وَرَدُوهَا وَكُلٌّ فِيهَا خَٰلِدُونَ

Kalaulah mereka (yang kamu sembah) itu tuhan-tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke dalam neraka; dan (ketahuilah), semuanya (yang menyembah dan yang disembah) akan kekal dalam neraka selama-lamanya.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan bahawa berhala-hala mereka tidak dapat membawa mereka ke jalan yang baik tetapi semua mereka kekal dalam api neraka. 
  2. Nabi Ibrahim AS pernah menyatakan yang berhala itu tidak mampu mendatangkan kebaikan atau kemudaratan. 

Ayat 21:100

لَهُمْ فِيهَا زَفِيرٌ وَهُمْ فِيهَا لَا يَسْمَعُونَ

Mereka mendayu-dayu (kesakitan) di dalam neraka, dan mereka pula di situ tidak dapat mendengar sesuatu yang menyenangkan.

Pengajaran

  1. Mereka yang kufur menjerit-menjerit di dalam neraka dan mereka tidak dapat didengar oleh sesiapa pun. Ibarat masuk ke dalam peti yang dimasukkan lagi ke dalam peti-peti lain berlapis-lapis. Tangisan, raungan mereka pasti tidak akan dapat didengar oleh sesiapa. 
  2. Jadikanlah al-Quran sebagai pegangan hidup dan motivasi agar kita menjadi insan yang diberkati oleh Allah SWT.

Ayat 21:101

إِنَّ ٱلَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُم مِّنَّا ٱلْحُسْنَىٰٓ أُو۟لَٰٓئِكَ عَنْهَا مُبْعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.

Pengajaran

  1. Orang yang ada ketetapan yang baik daripada Allah SWT akan dijauhkan dari neraka.
  2. Inilah harapan kita agar menjadi insan yang dekat dengan Allah SWT, mengabdikan diri kepada Allah SWT seperti para anbiya' yang kita pelajari dalam surah ini. Semoga kita menjadi insan yang bertakwa.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Terus berbuat amal soleh atas iman walau kecil kerana ia akan dicatat dan tanda kita ingat hari akhirat (21:94)
  2. Ubati lalai dengan banyak zikir dan memahami az-Zikr iaitu al-Quran (21:97)
  3. Merintih di sini seperti para nabi agar tidak merintih di akhirat nanti (21:100)

Saya berasa lega, Allah SWT berikan ubat lalai iaitu banyak berzikir dan memahami al-Quran.

Saya jelas untuk terus berbuat amal soleh atas iman walau kecil kerana ia akan dicatat dan tanda kita ingat hari akhirat. Saya jelas untuk ubati lalai dengan banyak zikir dan memahami az-Zikr iaitu al-Quran. Saya jelas untuk merintih di sini seperti para nabi agar tidak merintih di akhirat nanti.

Ya Allah, bimbing kami untuk terus berbuat amal soleh atas iman walau kecil. Ya Allah, jadikan kami orang yang banyak zikir dan memahami az-Zikr iaitu al-Quran agar kami tidak menjadi orang yang lalai. Ya Allah, bimbing kami untuk merintih di sini seperti para nabi agar tidak merintih di akhirat nanti.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...