PERKATAAN HARI INI
عَكَفَ Menetap, diam. 9 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Ciri-ciri orang mukmin (22:24)
- Orang kafir menghalang orang Islam daripada memasuki Masjidil Haram untuk melaksanakan haji (22:25)
- Penentuan tempat yang menjadi lokasi Baitul Haram dan perintah melaksanakan haji ke Baitul Haram (22:26-29)
- Mengagungkan Hurumat dan syiar Allah SWT (22:30)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita diberi peluang untuk meneruskan pengajian pada halaman 335. Semoga al-Quran dapat membawa keceriaan kepada kita. Surah al-Hajj ini mengingatkan kita tentang ibadah haji yang merupakan latihan penting kepada manusia di peringkat antarabangsa.
Pada halaman lepas kita telah kita diberitahu bahawa penghuni syurga diberi pakaian yang indah. Pada hari ini kita berharap untuk mendapat semangat Nabi Ibrahim AS yang diceritakan pada halaman ini, juga menjelaskan mukjizat al-Quran bagaimana sebenarnya semangat yang dibawa oleh Nabi Ibrahim yang sudah tentu dijadikan oleh Allah SWT.
Ayat 22:24
وَهُدُوٓا۟ إِلَى ٱلطَّيِّبِ مِنَ ٱلْقَوْلِ وَهُدُوٓا۟ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْحَمِيدِ
Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.
Pengajaran
- Surah ini banyak bercerita tentang psikologi manusia, tentang karakter dan tabiat. Salah satu ciri-ciri orang yang masuk syurga ialah mereka diberi hidayah untuk mengucapkan kata-kata yang baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.
- Allah SWT tidak perlukan kita mendekatiNya tetapi kita yang perlu mendekatiNya. Bila kita ada perasaan memerlukan Allah sahaja, masa itu banyak masalah selesai. Orang yang tidak bertuhan, habis harapannya kerana mereka tiada tempat bergantung.
- Ketika kita ada masalah, kalau kita bergantung kepada Allah SWT kita akan menjadi orang yang terpuji kerana kita mendekati jalan Allah SWT yang penuh dengan kepujian.
Ayat 22:25
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ٱلَّذِى جَعَلْنَٰهُ لِلنَّاسِ سَوَآءً ٱلْعَٰكِفُ فِيهِ وَٱلْبَادِ وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍۭ بِظُلْمٍ نُّذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) - sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.
Pengajaran
- Seluruh manusia dari seluruh ceruk rantau boleh pergi ke Masjidil Haram.
- Siapa yang menghalang orang masuk ke Masjidil Haram, azab bagi mereka amat sengsara.
- Di sana akan dapat pahala berganda, begitu juga kalau buat dosa akan dapat dosa berganda.
Ayat 22:26
وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَٰهِيمَ مَكَانَ ٱلْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِكْ بِى شَيْـًٔا وَطَهِّرْ بَيْتِىَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلْقَآئِمِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan kita tentang cerita Nabi Ibrahim AS yang diletakkan di tempat yang amat indah (بَوَّأْنَا) iaitu Makkatul Mukarramah.
- Pada masa itu Mekah ialah lembah yang tiada apa-apa tetapi Allah SWT menggunakan perkataan بَوَّأْنَا. Ia adalah sebagai pemberitaan bahawa tempat itu amat indah. Sekarang macam-macam ada, kita boleh pilih hotel mana yang kita hendak.
- Kerana keimanan , Nabi Ibrahim AS menjalankan misi utama iaitu untuk membersihkan Kaabah daripada syirik. Kaabah sudah ada daripada zaman Nabi Adam AS.
- Kabaah ialah lambang satu tauhid yang sama daripada Nabi Adam AS, Nabi Ibrahim AS sampailah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Ia adalah satu sejarah yang panjang agar kita yakin ketika tawaf, solat, ini adalah agama yang bukan sembarangan.
Ayat 22:27
وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS disuruh oleh Allah SWT untuk menyeru manusia datang ke Mekah daripada seluruh penjuru alam dengan menunggang unta atau berjalan kaki.
- Dalam hidup ini, kita buat kerja kita. Ajak anak, kawan yang akan menyahut seruan ini. Hati-hati mereka akan dijentik oleh Allah SWT, bukan kita yang bertanggungjawab.
- Orang yang telah menunaikan haji atau solat janganlah ada sifat diskriminasi kepada manusia lain, tidak kira lelaki/perempuan atau bangsa. Diskriminasi telah dihapuskan semenjak zaman Nabi Ibrahim AS.
Ayat 22:28
لِّيَشْهَدُوا۟ مَنَٰفِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍ مَّعْلُومَٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَٰمِ فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
Pengajaran
- Ayat ini menjelaskan objektif menunaikan haji:
- Untuk menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah - orang boleh buat untung. Ia adalah perjumpaan ekonomi, politik dan sosial peringkat antarabangsa.
- Memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan
- Duit daripada orang yang datang ke Mekah akan digunakan untuk beri makan kepada orang yang sengsara, orang fakir walaupun kita tidak kenal. Semuanya itu adalah sebagai satu kesatuan.
- Selepas selesai menunaikan haji, hendaklah kita ambil semangat untuk terus memberi makan dan menolong orang sengsara dan fakir.
Ayat 22:29
ثُمَّ لْيَقْضُوا۟ تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا۟ نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا۟ بِٱلْبَيْتِ ٱلْعَتِيقِ
"Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu".
Pengajaran
- Untuk mengerjakan haji, Allah SWT memerintahkan untuk membersihkan diri, menyempurnakan nazar dan tawaf kaabah.
- ٱلْعَتِيقِ بِٱلْبَيْتِ ialah kaabah yang bermakna rumah yang suci, yang tidak pernah dinodai. Kaabah tidak pernah dijajah oleh sesiapa. Ia diperjuangkan oleh Allah SWT daripada Nabi Adam AS , Nabi Ibrahim AS sampailah kepada Nabi Muhammad SAW dan kita.
Ayat 22:30
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ حُرُمَٰتِ ٱللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَأُحِلَّتْ لَكُمُ ٱلْأَنْعَٰمُ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فَٱجْتَنِبُوا۟ ٱلرِّجْسَ مِنَ ٱلْأَوْثَٰنِ وَٱجْتَنِبُوا۟ قَوْلَ ٱلزُّورِ
Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta
Pengajaran
- Ayat ini menceritakan kesan kepada orang yang menghormati hukum ibadah haji:
- Menjadi kebaikan baginya di sisi Allah SWT.
- Rasa takzim terhadap peraturan Allah SWT. Perasaan ini datang daripada hidayah yang Allah SWT berikan.
- Allah SWT menghalalkan binatang-binatang ternak kecuali yang haram.
- Allah SWT memerintahkan supaya menjauhi syirik dan perkataan dusta.
RESOLUSI
Ingat!
- Berdoa agar Allah SWT limpahi dengan hidayah dan dipimpin dengan cahaya-Nya hingga ke syurga (22:24)
- Bina niat dan mengambil semangat haji (22:27)
- Jadikan ibadah haji sebagai satu cara untuk mendisiplinkan umat Islam di seluruh dunia (22:30)
Saya berasa lega, Allah SWT akan limpahkan hidayah dan cahayaNya hingga ke syurga sekiranya saya berdoa dan mengerjakan ibadah haji.
Saya jelas untuk berdoa agar Allah SWT limpahi dengan hidayah dan dipimpin dengan cahaya-Nya hingga ke syurga. Saya jelas untuk bina niat dan mengambil semangat haji. Saya jelas untuk jadikan ibadah haji sebagai satu cara untuk mendisiplinkan umat Islam di seluruh dunia.
Ya Allah, limpahi kami dengan hidayah Mu dan pimpin kami dengan cahaya Mu hingga ke syurga. Ya Allah, berilah peluang untuk kami mengerjakan ibadah haji dan umrah, kurniakan kami kebaikan dan faedah ibadah haji. Ya Allah, jadikan ibadah haji sebagai satu cara untuk mendisiplinkan umat Islam di seluruh dunia.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib