Friday, September 1, 2023

Halaman 336 : Al-Hajj, 22:31-38

PERKATAAN HARI INI  

 خَرَّ / خَرَرَ Terjatuh, tersungkur. 12 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Syiar Allah SWT (22:31-35)
  2. Membaca Basmalah ketika memotong al-Budn, memakan sebahagian dan memberikan sebahagiannya kepada fakir miskin dan yang memerlukan (22:36-37)
  3. Pembelaan Allah SWT kepada kaum mukminin (22:38)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita diberi peluang untuk meneruskan pengajian pada halaman 336 surah al-Hajj. Kita ingin memahami intipati daripada seruan rukun Islam yang kelima.

Surah ini memberi panduan kepada kita tentang persediaan untuk As-Sa'ah itu, pasti ada cabaran daripada syaitan. Haji adalah latihan untuk kita hadapi persitiwa hari akhirat di mana kita dikumpulkan beramai-ramai dan semua sama sahaja. Di hari akhirat kita dikumpul tanpa pakaian, tetapi semasa haji kita berpakaian yang sama.  

Ayat 22:31

حُنَفَآءَ لِلَّهِ غَيْرَ مُشْرِكِينَ بِهِۦ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَتَخْطَفُهُ ٱلطَّيْرُ أَوْ تَهْوِى بِهِ ٱلرِّيحُ فِى مَكَانٍ سَحِيقٍ

(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

Pengajaran

  1. Pergi ke haji tujuannya ialah untuk menyucikan diri. Amalan dibuat dengan tulus ikhlas, kerana Allah SWT dan tidak boleh syirik. Tidak boleh pergi haji dengan duit haram atau duit rasuah. Ada orang pergi dengan pakej mahal dan duduk di hotel yang dekat dengan masjid dan solat dalam hotel sahaja. Alasannya, hotel bersambung dengan masjid. Itu menunjukkan jiwa itu tidak haniff, tidak lurus kepada Allah SWT. Itu kita kena jaga-jaga.
  2. Bagi orang di Mekah dahulu, bila mereka tidak percaya kepada Allah SWT, mindset mereka hanya mahu membina nama yang bagus sebelum mati. Caranya, mereka berjuang di medan perang. Bila berada di tempat tinggi, mereka kalah kerana diserang oleh orang di bawah, umpama jatuh dari tempat tinggi. Itulah maksud perumpamaan dalam ayat ini. Jasad mereka disambar oleh burung sehingga di bawa ke tempat yang jauh. Ini adalah perumpamaan bagi orang yang tidak bertauhid kepada Allah SWT. Maksudnya nama mereka buruk di muka bumi kerana tidak percaya kepada As-Sa'ah.
  3. Bagi orang beriman, kalau mati dapat syahid. Kalah atau menang dia tetap dimuliakan.

Ayat 22:32

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ

Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Pengajaran

  1. Semasa haji, timbul perasaan membesarkan syiar-syiar Allah SWT. Tengok Kaabah, Hijir Ismail hati akan rasa takzim atau perasaan terunggah. Kalau pergi haji tapi hati tidak ada rasa takzim itu bermakna hati ada masalah. 
  2. Al-Quran membina cara perasaan kita kerana kaabah bukan sekadar kotak hitam tetapi ada sejarah perjuangan sejak Nabi Adam AS, Nabi Ibrahim hingga Nabi Muhammad SAW.
  3. Jika ada perasaan ٱلْقُلُوبِ تَقْوَى, bermakna hati kita masih ada takwa. Kalau tidak ada rasa takzim, bermakna hati kita ada masalah maka mesti dirawat. 
  4. Syiar bila diagungkan, itulah tanda kita bersyukur.

Ayat 22:33

لَكُمْ فِيهَا مَنَٰفِعُ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ مَحِلُّهَآ إِلَى ٱلْبَيْتِ ٱلْعَتِيقِ

Kamu beroleh berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu hingga ke suatu masa yang tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian waktu menyembelihnya ketika sampai di tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu.

Pengajaran

  1. Allah SWT menyatakan tentang salah satu peristiwa penting dalam hajj ialah penyembelihan iaitu hari nahar. 
  2. Binatang ternakan itu banyak manfaatnya. Kita boleh menunggang, boleh sembelih, dan ambil susunya.  

Ayat 22:34

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَٰمِ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا۟ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ

Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat -

Pengajaran

  1. Sembelih korban dengan nama Allah SWT adalah bagi meneruskan legasi Nabi Adam AS, Nabi Ibrahim AS juga Nabi Muhammad SAW. Ini penting kerana ia adalah perjuangan ketauhidan. 
  2. Allah SWT memberikan khabar gembira kepada orang yang hatinya lembut iaitu mereka mengerjakan haji dan korban kerana tunduk taat kepada Allah SWT (ٱلْمُخْبِتِين).

Ayat 22:35

ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَٱلصَّٰبِرِينَ عَلَىٰ مَآ أَصَابَهُمْ وَٱلْمُقِيمِى ٱلصَّلَوٰةِ وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ

Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.

Pengajaran

  1. Empat amalan yang membina orang yang berhati lembut (ٱلْمُخْبِتِين):
    • Apabila disebut nama Allah SWT hati mereka jadi gementar
    • Sabar ketika hajj (kesusahan)
    • Mendirikan solat betul-betul berjemaah di masjid
    • Selalu berinfaq
  2. Jagalah amalan-amalan ini untuk mendapat semangat haji yang sebenar-benarnya.
  3. Ibadah haji ialah latihan antarabangsa untuk melembutkan hati. Hati memang suka berhujjah dan berjidal. Bila suka berjidal, ia tidak membuat persediaan untuk ke akhirat. 
  4. Hati ini lambang tanah yang lembut selepas disiram air hujan. Hati akan jadi lembut apabila disiram dengan wahyu. Inilah hati yang salim untuk bersedia menuju akhirat.

Ayat 22:36

وَٱلْبُدْنَ جَعَلْنَٰهَا لَكُم مِّن شَعَٰٓئِرِ ٱللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَٱذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَيْهَا صَوَآفَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْقَانِعَ وَٱلْمُعْتَرَّ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَٰهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Pengajaran

  1. ٱلْبُدْنَ  ialah unta yang badannya gemuk. Bagi orang Arab dahulu, unta adalah kenderaan penting dan dikorbankan masa hajj. Unta itu diaturkan, disembelih, dimasak dan diberi makan kepada mereka yang tidak meminta-minta walaupun mereka susah dan juga kepada mereka yang meminta-minta. 
  2. Hajj bukan sekadar amalan peribadi, tetapi ia memberi peluang ekonomi bagi memajukan tahap kehidupan bagi kawasan Mekah. 
  3. Sembelih unta tidak sama dengan menyembelih kambing. Unta disembelih sambil berdiri, tidak dijatuhkan. Antara mukjizat Nabi Muhammad SAW, unta datang kepada baginda untuk disembelih. 
  4. Allah SWT mudahkan agar kita bersyukur. Dapat sembelih, dapat makan, dapat beribadah kepada Allah SWT. Semuanya daripada Allah SWT.
  5. Pelajaran: Waktu hari raya korban, jangan pilih yang paling murah. Mindset yang dibawa oleh ayat ini ialah supaya kita jadi ٱلْمُخْبِتِين. Infakkan rezeki yang terbaik kepada Allah SWT sebagai tanda kita mempunyai ٱلْقُلُوبِ تَقْوَى.

Ayat 22:37

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

Pengajaran

  1. Inilah ayat yang mencerahkan kepada kita bahawa bila kita korban bukan daging itu yang sampai kepada Allah tetapi takwa.
  2. Kalau hendak pergi haji, pastikan duit itu adalah cukup halal. Jangan ada sumber rasuah, atau yang tidak halal agar bila kita pergi hajj, buat korban, takwanya sampai kepada Allah SWT. 
  3. Allah SWT mudahkan kepada kita binatang-binatang tersebut untuk dikorban. Bila berkorban, kita bertakbir sebagai tanda syukur kerana mendapat hidayah untuk berkorban, dan mendapat hidayah untuk membina takwa. 
  4. Allah SWT berikan khabar gembira kepada orang yang bersusah payah simpan duit sedikit-sedikit, berusaha untuk pergi haji dan berkorban. Orang-orang ini digelar  ٱلْمُحْسِنِينَ sama taraf dengan Nabi Yusuf AS yang melalui pahit getir dalam kehidupan.
  5. Kita mesti rebut peluang ini tetapi kena rancang pengurusan kewangan dalam kehidupan supaya boleh mengerjakan haji dan korban.

Ayat 22:38

إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ

Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.

Pengajaran

  1. Allah SWT menemplak orang musyrik Mekah yang dapat banyak manfaat daripada hajj tetapi khianat kepada perjuangan Nabi Ibrahim AS. Mereka kata mereka jaga kaabah tetapi mereka khianat dan tidak mentauhidkan Allah SWT.
  2. Mereka kaya kerana ada hajj tetapi mereka kufur kepada nikmat Allah SWT. 
  3. Kita harapkan, kalau kita selalu dapat banyak nikmat dalam hidup, kita jangan khianat kepada perjuangan Nabi Ibrahim AS, kita perlu teruskan.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Jaga diri daripada mensyirikkan Allah SWT (22:31)
  2. Sentiasa jadi orang tunduk patuh pada Allah SWT (22:34-35)
  3. Bina takwa dengan amalan yang dibuat, bukan hanya fokus pada amalannya sahaja (22:37)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jaga diri daripada perbuatan syirik.

Saya jelas untuk jaga diri daripada mensyirikkan Allah SWT. Saya jelas untuk sentiasa jadi orang tunduk patuh pada Allah SWT. Saya jelas saya mesti bina takwa dengan amalan yang dibuat, bukan hanya fokus pada amalannya sahaja.

Ya Allah,  jauhkan kami daripada perbuatan syirik. Ya Allah, jadikan kami orang yang tunduk patuh pada Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk bina takwa dengan amalan yang dibuat, bukan hanya fokus pada amalannya sahaja.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...