PERKATAAN HARI INI
دَفَعَ Menolak, melindungi. 10 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Syariat perang (22:39-41)
- Memetik pelajaran daripada kebinasaan umat terdahulu (22:42-46)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita diberi peluang untuk meneruskan pengajian pada halaman 337 surah al-Hajj. Hari ini kita akan lihat tentang peperangan. Apa kaitan hajj dan peperangan?
Ayat 22:39
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا۟ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
Pengajaran
- Allah SWT mengizinkan Nabi SAW berperang ketika di Madinah. Selama 13 tahun di Mekah, Nabi SAW tidak diizinkan berperang walaupun ada sahabat-sahabat seperti Saidina Bilal bin Rabbah, Khabab dan keluarga Yassir disiksa oleh kafir Quraish.
- Allah SWT menegah perang kerana Islam bukan agama perang, bukan agama yang suka menghentam orang. Islam ialah agama yang membawa mesej menuju kepada Allah SWT dan memperjuangkan keadilan seperti menegur mereka yang membunuh anak perempuan di zaman itu.
- Sampai di Madinah, baru ayat ini turun. Allah SWT mengizinkan perang kerana mereka terus dizalimi. Allah SWT akan memberi pertolongan dan benar-benar berkuasa kepada orang yang dizalimi.
Ayat 22:40
ٱلَّذِينَ أُخْرِجُوا۟ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَٰتٌ وَمَسَٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -
Pengajaran
- Orang beriman diusir dari kampung halaman kerana mereka berkata ٱللَّهُ رَبُّنَا ("Tuhan kami ialah Allah").
- Keimanan bukan sekadar berkata ٱللَّهُ رَبُّنَا . Keimanan mereka memberi kesan kepada sosial ekonomi, sehingga yang menipu pun takut. Semakin kita beriman kepada Allah SWT, kita semakin adil. Kita semakin menegur kepada perkara yang tidak benar.
- Allah SWT izinkan perang untuk menghancurkan orang-orang yang agresif dalam masyarakat. Sampaikan tempat-tempat ibadah pun mereka mahu hancurkan. Allah SWT memuji pejuang di medan perang.
- Allah SWT tidak meletakkan dalam ayat ini agama Hindu dan Majusi kerana mereka tidak ingat Allah SWT langsung. Nasrani dan Yahudi masih percayakan Allah SWT walaupun mereka menyekutukanNya.
- Tempat-tempat ibadah orang bukan Islam juga dijaga oleh orang Islam. Allah SWT tidak benarkan tempat-tempat ibadah agama lain dihancurkan.
- Allah SWT Maha Kuat dan Maha Perkasa. Allah SWT yang memberi kemenangan di Badar.
- Apa kaitan hajj dengan perang? Nabi SAW dan para sahabat dihalang dari menunaikan hajj maka Allah SWT izinkan perang bila mereka di zalimi dan dihalau tanpa kebenaran.
- Bila ada penentangan kepada keimanan maka perang itu diizinkan. Perang adalah untuk mempertahankan diri.
Ayat 22:41
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
Pengajaran
- Allah SWT amat kagum kepada pemimpin yang diberi kuasa dan mereka buat 3 perkara ini:
- Dirikan solat.
- Memberi zakat kerana zakat adalah keperihatinan sosial.
- Ajak kepada kebaikan dan halang kemungkaran.
- Allah jualah kesudahan segala urusan. Kalau buat tiga perkara di atas barulah Allah SWT puji dan akan bantu.
- Pemimpin perlu hidupkan tiga perkara ini:
- Dengan solat, ia akan memajukan diri dan ada integriti.
- Dengan zakat, pemimpin akan prihatin kepada masyarakat dan tidak mementingkan diri sendiri.
- Memberi peluang untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, kesannya masyarakat tidak zalim antara satu sama lain.
Ayat 22:42
وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَعَادٌ وَثَمُودُ
Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing;
Pengajaran
- Kalau tidak buat tiga perkara di atas, sesuatu kaum itu akan dihancurkan oleh Allah SWT.
- Sejarah kaum-kaum dahulu, mereka mendustakan rasul, mereka dihancurkan dan tidak lagi menjadi tamadun yang hebat. Awalnya mereka ada tamadun yang hebat seperti kaum Nabi Nuh AS, Aad, Thamud dan Ashabul Madyan.
- Kalau rakyat tidak baik, yang naik jadi pemimpin juga tidak baik. Rakyat sudah biasa dengan tidak ada mindset untuk memberi (zakat/sedekah) tetapi hanya suka menerima (hadiah/rasuah).
- Kalau rakyat tidak suka menegur, masyarakat yang penuh dengan budaya pentingkan diri sendiri, akhirnya pemimpin yang naik juga hanya hendak jaga hati orang bukannya hendak memperjuangkan keadilan.
Ayat 22:43
وَقَوْمُ إِبْرَٰهِيمَ وَقَوْمُ لُوطٍ
Dan (demikian juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut;
Pengajaran
- Kaum yang dihancurkan itu, pemimpin mereka tidak suka ditegur, tidak ada integriti dan amanah untuk beribadah kepada Allah SWT. Contoh: Penjual berhala boleh mewah kerana ada masyarakat yang membeli.
- Kaum Lut biasa dengan budaya homoseks (LGBT). Bila ditegur, mereka memulau Nabi Lut AS. Kita tidak mahu menjadi seperti mereka sehingga kehancuran melanda masyarakat.
Ayat 22:44
وَأَصْحَٰبُ مَدْيَنَ وَكُذِّبَ مُوسَىٰ فَأَمْلَيْتُ لِلْكَٰفِرِينَ ثُمَّ أَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ
Dan juga penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu
Pengajaran
- Madyan lambang kepada rosaknya ekonomi seperti menipu dan rasuah.
- Firaun lambang politik yang amat rosak. Menteri-menterinya tukang kipas kepada Firaun. Yang penting mereka dapat komisen, dapat projek. Nabi Musa AS menegur kepada mereka.
- Allah SWT beri tangguh kepada orang-orang kafir. Kalau mereka terus tidak kisah, terus mendustakan kebenaran, maka bila sampai masanya mereka akan ditimpa azab.
Ayat 22:45
فَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَٰهَا وَهِىَ ظَالِمَةٌ فَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُّعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ مَّشِيدٍ
Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).
Pengajaran
- Ini adalah bukti bahawa Allah SWT boleh menghancurkan sesuatu tamadun kerana pemimpin dan rakyatnya yang zalim. Mereka tidak mendirikan solat, tidak membayar zakat, tidak menegur keburukan atau mengajak ke arah kebaikan.
- Kesannya, negeri mereka dihancurkan. Roboh-roboh bangunan-bangunan dan bisnes mereka. Allah SWT bagi preview setahun dua ini dengan COVID-19, banyak kedai-kedai tutup, hancur ekonomi. Semoga kita tidak jadi orang yang zalim yang tidak melaksanakan tiga perkara dalam ayat 41.
- Ini perjuangan antarabangsa, bukan sekadar di peringkat negara kita sahaja. Negeri-negeri yang hendak memilih pemimpin, pilihlah pemimpin yang melaksanakan tiga perkara ini agar tamadun sesebuah negeri itu tidak dihancurkan dengan sebab pemimpin dan rakyat yang zalim.
Ayat 22:46
أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَآ أَوْ ءَاذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى ٱلْأَبْصَٰرُ وَلَٰكِن تَعْمَى ٱلْقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
Pengajaran
- Kalau tidak percaya, Allah SWT suruh kita berjalan tengok negeri-negeri yang dihancurkan.
- Gunakan hati untuk memahami perkara ini. Pastikan gambar yang kita ambil di tempat-tempat itu kita boleh faham kekuasaan Allah SWT. Fikirkan adakah itu diberkati atau telah diazab oleh Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Berjuang untuk mempertahankan hak dan kebenaran (22:39)
- Berusaha mendapat pertolongan Allah SWT dengan mendirikan solat, zakat dan amar makruf nahi mungkar (22:41)
Berjuang agar masyarakat tidak zalim kerana ia mengundang kesengsaraan (22:45)
Saya berasa lega, Allah SWT akan tolong sekiranya saya mendirikan solat, zakat dan amar makruf nahi mungkar.
Saya jelas untuk berjuang demi mempertahankan hak dan kebenaran. Saya jelas saya mesti berusaha mendapat pertolongan Allah SWT dengan mendirikan solat, zakat dan amar makruf nahi mungkar. Saya jelas untuk berjuang agar masyarakat tidak zalim kerana ia mengundang kesengsaraan.
Ya Allah, bimbing kami untuk berjuang demi mempertahankan hak dan kebenaran. Ya Allah, pimpin kami supaya menjadi orang yang mendirikan solat, zakat dan amar makruf nahi mungkar. Ya Allah, bantu kami untuk berjuang agar masyarakat tidak zalim kerana kami takut ia mengundang kesengsaraan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib