Friday, September 1, 2023

Halaman 338 : Al-Hajj, 22:47-55

PERKATAAN HARI INI 

  مَلَا / مَلَوَ  Menangguhkan. 10 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Minta azab disegerakan dan penangguhannya (22: 47-48)
  2. Tugas Nabi Muhammad SAW (22:49-51)
  3. Pengukuhan wahyu dan pemeliharaannya daripada syaitan (Kisah al-Gharaniq) (22:52-55)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 338 surah al-Hajj. Syukur kita diberi peluang untuk melihat perkataan daripada Allah SWT.

Pada ayat 46, Allah SWT mengingatkan kita supaya berjalan dan melihat dengan mata hati tentang kezaliman dalam sesebuah organisasi, negeri, negara yang menyebabkan kehancurkan mereka.

Ayat 22:47

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِٱلْعَذَابِ وَلَن يُخْلِفَ ٱللَّهُ وَعْدَهُۥ وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.

Pengajaran

  1. Orang-orang yang kufur mencabar Nabi SAW agar azab itu disegerakan. Mereka tidak sabar. 
  2. Psikologi manusia memang suka hendak cepat (isti'jal), baik yang baik atau buruk. Dalam kehidupan kita ada misi masing-masing, tetapi kita jangan bersifat isti'jal. 
  3. Kita buat baik dengan bersungguh-sungguh, fastabiqul khairat. Tetapi hasil sesuatu perkara jangan kita minta cepat. Allah SWT tidak pernah mungkir janji. Kalau Allah hendak bagi kebaikan, Allah akan bagi. Kalau Allah hendak azab, Allah akan azab. Ingat kisah Nabi Musa AS yang ditegur oleh Allah SWT.
  4. Ada orang minta azab dicepatkan. Allah SWT ingatkan bahawa satu hari di sisi Allah SWT, bersamaan 1000 tahun di sisi kita. Siapa dapat azab, ia amat panjang dan amat menderita. Kalau satu hari diazab ia sampai 1000 tahun.  
  5. Kalau ada orang tidak buat seperti yang kita harap, jangan kita minta Allah azab orang itu. Doakan supaya dia diberi hidayah. Kalau orang itu tidak diazab, khuatir kita pula yang kena azab tersebut.

Ayat 22:48

وَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ أَمْلَيْتُ لَهَا وَهِىَ ظَالِمَةٌ ثُمَّ أَخَذْتُهَا وَإِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ

Dan bukan sedikit negeri-negeri yang Aku beri tempoh, sedang penduduknya berlaku zalim; kemudian Aku menimpakannya dengan azab seksa; dan (ingatlah) kepada Akulah tempat kembali.

Pengajaran

  1. Ayat ini sama dengan Ayat 44. Kisah tentang Nabi Musa AS didustakan oleh Firaun. Allah SWT beri peluang untuk Firaun. 
  2. Allah SWT beri tangguh untuk dua tujuan:
    • untuk bertaubat. 
    • terus berada dalam kezaliman sehingga Allah SWT menghukum mereka.

Ayat 22:49

قُلْ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّمَآ أَنَا۠ لَكُمْ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia, aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang menjelaskan keterangan-keterangan kepada kamu".

Pengajaran

  1. Surah ini banyak beri peringatan. Hari kiamat (As-Sa'ah) berlaku sekali sahaja. Bila sudah sampai hari akhirat sudah tidak boleh buat apa-apa. 
  2. Tugas Nabi SAW adalah untuk memberi peringatan kepada umatnya supaya bersedia menghadapi hari kiamat.

Ayat 22:50

فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

Pengajaran

  1. Orang beriman dan beramal soleh akan mendapat dua perkara:
    • Segala perbuatan yang dibuat kerana Allah SWT adalah peluang untuk kita mendapat keampunan.
    • Rezeki yang mulia (كَرِيمٌ رِزْقٌ) yang melimpah-limpah. Melimpah ruah sampai ke akhirat nanti.
  2. Orang musyrik yang kaya dan dapat macam-macam adalah mendapat  رِزْقٌ. Tetapi bagi orang beriman beramal soleh, mendapat كَرِيمٌ رِزْقٌ iaitu Allah SWT bagi elok-elok, mulia, melimpah ruah sampai ke akhirat sana.

Ayat 22:51

وَٱلَّذِينَ سَعَوْا۟ فِىٓ ءَايَٰتِنَا مُعَٰجِزِينَ أُو۟لَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.

Pengajaran

  1. Orang musyrik itu bersegera untuk melemahkan ayat-ayat Allah SWT. Mereka membuat kajian, guna berbagai sumber untuk melemahkan (مُعَٰجِزِينَ) dan menyebabkan orang tidak beriman. 
  2. Mereka memandang orang beriman seperti pandangan singa untuk menerkam mangsa.
  3. Pelajarannya: Kalau orang yang hendak melemahkan Islam ini bersegera dan bersungguh-sungguh, maka kita juga kena berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami dan mengajak orang memahami al-Quran supaya  ءَايَٰتِنَا (ayat-ayat Allah SWT) dinaikkan. 
  4. Orang-orang yang menentang Allah SWT, sentiasa buat sesuatu. Kita kenalah juga bersegera cari idea untuk memastikan mukjizat ini diangkat setinggi-tingginya.

Ayat 22:52

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِىٍّ إِلَّآ إِذَا تَمَنَّىٰٓ أَلْقَى ٱلشَّيْطَٰنُ فِىٓ أُمْنِيَّتِهِۦ فَيَنسَخُ ٱللَّهُ مَا يُلْقِى ٱلشَّيْطَٰنُ ثُمَّ يُحْكِمُ ٱللَّهُ ءَايَٰتِهِۦ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada ugama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Pengajaran

  1. Para rasul dan nabi ada cita-cita untuk menyampaikan dakwah yang betul kepada masyarakat yang ingkar supaya mereka tidak diazab. 
  2. Syaitan akan cuba untuk mengganggu bagi melemahkan usaha para rasul dan para nabi terhadap apa juga cita-cita yang hendak dilaksanakan. 
  3. Ada kisah tidak betul tentang peristiwa al-Gharaniq iaitu dikatakan semua orang Islam dan bukan Islam sujud kepada berhala. Yang betulnya, bila nabi hendak buat sesuatu kebaikan, syaitan akan lawan dengan membuat godaan bagi melemahkan nabi dan orang-orang di sekelilingnya. Allah SWT akan hilangkan apa yang gangguan-gangguan tersebut. Allah SWT pasti akan menangkan dan kuatkan ayat-ayatNya.
  4. Sesiapa yang berpegang kepada ayat al-Quran ketika merancang sesuatu perkara, walaupun diserang oleh syaitan, confirm akan menang bila berpegang pada al-Quran.
  5. Allah SWT Maha Mengetahui Maha Bijaksana dalam mengatur perkara ini.
  6. Pengajarannya: Apabila kita hendak buat kebaikan, akan ada godaan-godaan. Kadang-kadang rasa lemah atau ada orang yang akan melemahkan kita. Hendaklah kita pegang kepada ayat-ayat Allah SWT kerana Allah SWT Amat Bijaksana mengaturkannya.

Ayat 22:53

لِّيَجْعَلَ مَا يُلْقِى ٱلشَّيْطَٰنُ فِتْنَةً لِّلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَٱلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَفِى شِقَاقٍۭ بَعِيدٍ

(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengizinkan syaitan menggoda kita sebagai ujian bagi:
    • Hati yang sakit - iaitu orang munafik. Mereka ada ilmu tentang nabi-nabi tetapi cuma ambil yang negatif. Contoh: mereka menyebut tentang Nabi Nuh pun tidak dapat berdakwah kepada anaknya, sebagai hjjah untuk tidak payah mengikut panduan Allah SWT dan mengajak orang kepada kebaikan.
    • Hati yang keras - iaitu orang kafir. Mereka tidak kisah pun dengan peringatan. Ada juga orang Islam yang hatinya keras tidak mahu mengikut.
  2. Mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran. Semoga kita tidak menjadi orang yang hati sakit atau hati yang keras.

Ayat 22:54

وَلِيَعْلَمَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَيُؤْمِنُوا۟ بِهِۦ فَتُخْبِتَ لَهُۥ قُلُوبُهُمْ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.

Pengajaran

  1. Ini adalah kumpulan ketiga. Orang yang berilmu, apabila berhadapan cabaran syaitan, mereka semakin beriman dan tidak mudah lemah. Mereka makin teguh untuk berjuang, tidak jadikan alasan.
  2. Allah SWT memberi mereka hidayah dan mereka tunduk taat mematuhi ayat-ayatNya. 

Ayat 22:55

وَلَا يَزَالُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فِى مِرْيَةٍ مِّنْهُ حَتَّىٰ تَأْتِيَهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغْتَةً أَوْ يَأْتِيَهُمْ عَذَابُ يَوْمٍ عَقِيمٍ

Dan orang-orang kafir tetap di dalam keraguan terhadap Al-Quran hingga datang kepada mereka saat kiamat secara mengejut, atau datang kepada mereka azab hari yang tidak ada kebaikan untuk mereka.

Pengajaran

  1. Orang-orang kafir meragui tentang al-Quran. Mereka tidak percaya tentang hari kiamat.
  2. Jangan kita ada keraguan daripada al-Quran. Jangan tunggu azab sampai baru hendak percaya. 

RESOLUSI

Ingat!
  1. Sentiasa memberi peringatan agar negeri dan keluarga kita aman (22:49)
  2. Bina keinginan yang kuat dalam menjunjung kebenaran walau ada cabaran (22:52)
  3. Cari ilmu agar keimanan pada al-Quran membawa kepada hidayah yang benar (22:54)
Saya berasa lega, Allah SWT akan beri hidayah yang benar sekiranya saya cari ilmu.

Saya jelas untuk sentiasa memberi peringatan agar negeri dan keluarga kita aman. Saya jelas untuk bina keinginan yang kuat dalam menjunjung kebenaran walau ada cabaran. Saya jelas untuk cari ilmu agar keimanan pada al-Quran membawa kepada hidayah yang benar.

Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa memberi peringatan agar negeri dan keluarga kami aman. Ya Allah, bantu kami untuk bina keinginan yang kuat dalam menjunjung kebenaran walau ada cabaran. Ya Allah, bimbing kami untuk cari ilmu agar keimanan pada al-Quran membawa kepada hidayah yang benar.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...