Saturday, September 2, 2023

Halaman 346 : Al-Mukminun, 23:60-74

PERKATAAN HARI INI 


كَلَّفَ  Membebankan. 
8 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Ciri bersegera-segera dalam kebajikan (23:60-62)
  2. Kecaman dan pelbagai perbuatan kafir Quraisy dan golongan musyrik terhadap orang Islam (23: 63-74)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 346. Semoga kita dipimpin oleh Allah SWT pada setiap saat.

Kita memuji Allah SWT kerana Allah tidak jadikan kita begini sahaja, tetapi dibekalkan kitab yang tiada kebengkokan di dalamnya dari segi pemikiran dan perasaan agar kita terus lurus di atas sirat al-Mustaqim.

Banyakkan berdoa pada hari Jumaat, kerana dalam Islam ada masa dan tempat yang istimewa untuk berdoa. 

Pada halaman lepas kita telah lihat ciri-ciri orang beriman iaitu mereka takut azab Allah SWT, berhati-hati, selalu membaca al-Quran yang menambahkan iman mereka dan mereka tidak syirik kepada Allah SWT.


Ayat 23:60


وَٱلَّذِينَ يُؤْتُونَ مَآ ءَاتَوا۟ وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَىٰ رَبِّهِمْ رَٰجِعُونَ

Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;


Pengajaran

  1. Tambahan sifat orang beriman, mereka banyak fokus kepada hati. Hati mereka bergetar bila diingatkan nama Allah SWT kerana sedar mereka akan dikembalikan kepada Allah SWT. Umpama kita takut bila kereta kita yang dipandu laju, di tangkap oleh kamera AES dan kena saman. 
  2. Orang beriman takut sekiranya apa yang dibuat tidak diterima oleh Allah SWT. 


Ayat 23:61


أُو۟لَٰٓئِكَ يُسَٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَهُمْ لَهَا سَٰبِقُونَ

Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.


Pengajaran

  1. Orang-orang beriman bersegera dan berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan. 
  2. Mereka tidak menanti Allah SWT bagi harta untuk bersedekah. Mindset mereka mahu cepat sampai kepada Allah SWT. 
  3. Peluang cepat sampai kepada Allah SWT terbuka untuk semua.


Ayat 23:62


وَلَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَلَدَيْنَا كِتَٰبٌ يَنطِقُ بِٱلْحَقِّ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya; dan di sisi Kami ada sebuah Kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang mereka tidak dianiaya.


Pengajaran

  1. Allah SWT tidak memberatkan hambaNya. Bagilah apa yang kita mampu. 
  2. Semua amalan kita akan dicatat dan disimpan di Luh Mahfuz. Amal kita akan bercakap di akhirat nanti. Allah SWT tidak aniaya sesiapa.


Ayat 23:63


بَلْ قُلُوبُهُمْ فِى غَمْرَةٍ مِّنْ هَٰذَا وَلَهُمْ أَعْمَٰلٌ مِّن دُونِ ذَٰلِكَ هُمْ لَهَا عَٰمِلُونَ

(Sekalipun demikian, orang-orang yang ingkar tidak juga berfikir) bahkan hati mereka tenggelam di dalam kejahilan, lalai daripada (memahami ajaran Al-Quran) ini; dan mereka pula mempunyai lagi amal-amal (yang jahat) selain dari itu, yang mereka terus-menerus mengerjakannya;


Pengajaran

  1. Orang-orang yang ingkar hati mereka itu sesat ( غَمْرَةٍ). Mereka bangga dengan jalan hidup yang sesat. 
  2. Mereka tenggelam dalam kejahilan. Hati mereka lalai daripada al-Quran. 
  3. Mereka terperangkap dalam rat race. Terus menerus buat amal yang buruk. 


Ayat 23:64


حَتَّىٰٓ إِذَآ أَخَذْنَا مُتْرَفِيهِم بِٱلْعَذَابِ إِذَا هُمْ يَجْـَٔرُونَ

Hingga apabila Kami timpakan azab kepada orang-orang yang mewah di antara mereka maka dengan serta-merta mereka menjerit-jerit meminta tolong.


Pengajaran

  1. Akhirnya mereka akan diazab dan mereka baru sedar yang hidup ini bukan hanya di sini.
  2. Hidup ini ada tujuan menuju Allah SWT. Bukan hanya duduk di sini, kerja, makan gaji, bisnes, cuti, hiburan, mati dan habis begitu sahaja. 


Ayat 23:65


لَا تَجْـَٔرُوا۟ ٱلْيَوْمَ إِنَّكُم مِّنَّا لَا تُنصَرُونَ

(Lalu dikatakan kepada mereka): "Janganlah kamu menjerit-jerit meminta tolong pada hari ini, sesungguhnya kamu tidak akan beroleh sebarang pertolongan dari Kami.


Pengajaran

  1. Apabila diazab nanti, mereka tidak akan dibantu kerana masa di dunia mereka tidak bantu agama Allah SWT. 
  2. Baca dan perjuangkan al-Quran dalam keluarga dan organisasi kita. Allah SWT akan membantu mereka yang membantu agamaNya. 
  3. Jangan terjebak dalam kancah orang tidak beriman. 


Ayat 23:66


قَدْ كَانَتْ ءَايَٰتِى تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فَكُنتُمْ عَلَىٰٓ أَعْقَٰبِكُمْ تَنكِصُونَ

"(Kerana) sesungguhnya ayat-ayatKu telah berkali-kali dibacakan kepada kamu, dalam pada itu kamu berpaling undur ke belakang


Pengajaran

  1. Mereka berpaling ke belakang selepas dibacakan ayat-ayat al-Quran. Sepatutnya mereka ke hadapan. Mereka tidak memberi perhatian semasa al-Quran dibacakan.
  2. Menurut Imam As-Sa'di, al-Quran akan membawa kita maju ke hadapan. 


Ayat 23:67


مُسْتَكْبِرِينَ بِهِۦ سَٰمِرًا تَهْجُرُونَ

"Dengan keadaan sombong angkuh mendustakannya, serta mencacinya dalam perbualan kamu pada malam hari".


Pengajaran

  1. مُسْتَكْبِرِينَ orang yang tidak ada apa-apa pun tetapi hendak menjadi terkenal. Mereka sombong, dan bangga sebagai penerus legasi Nabi Ibrahim AS. Sedangkan apa yang mereka buat bertentangan dengan ajaran Nabi Ibrahim AS.
  2. Di waktu malam mereka berborak-borak mengutuk Nabi SAW dan orang beriman. Sunnah Nabi SAW, selepas solat Isyak kita tidak digalakkan cakap-cakap perkara yang sia-sia seperti mengopi sehingga lewat malam. Makin lewat malam, disiplin diri kita makin berkurang, menjadi merapu-rapu. 
  3. Semoga kita boleh hidupkan sunnah Nabi SAW agar tidak jauh dari hidayah Allah SWT.


Ayat 23:68


أَفَلَمْ يَدَّبَّرُوا۟ ٱلْقَوْلَ أَمْ جَآءَهُم مَّا لَمْ يَأْتِ ءَابَآءَهُمُ ٱلْأَوَّلِينَ

Maka adakah mereka melakukan yang demikian kerana mereka tidak dapat memahami kata-kata ajaran (yang disampaikan kepada mereka)? Atau kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang tidak pernah datang kepada datuk nenek mereka yang telah lalu?


Pengajaran

  1. Mereka melakukan demikian kerana sombong. Mereka tidak tadabbur al-Quran. Dengar sahaja tidak cukup. 
  2. Kalau al-Quran tidak ditadabbur, kita boleh jadi takabbur. 
  3. Ada aktiviti masyarakat sekarang membaca sejuzuk seorang al-Quran dan buat majlis khatam. Hakikatnya mereka cuma membaca sejuzuk.


Ayat 23:69


أَمْ لَمْ يَعْرِفُوا۟ رَسُولَهُمْ فَهُمْ لَهُۥ مُنكِرُونَ

Atau kerana mereka tidak kenal rasul mereka, lalu mereka mengingkarinya


Pengajaran

  1. Allah SWT bawa banyak sifat-sifat orang yang tidak beriman. Mereka kenal Nabi SAW tetapi mereka ingkar.


Ayat 23:70


أَمْ يَقُولُونَ بِهِۦ جِنَّةٌۢ بَلْ جَآءَهُم بِٱلْحَقِّ وَأَكْثَرُهُمْ لِلْحَقِّ كَٰرِهُونَ

Atau kerana mereka mengatakan: "Dia kena penyakit gila?" (Sebenarnya bukan kerana sesuatu pun dari yang tersebut itu) bahkan kerana Rasul mereka datang kepada mereka membawa ugama yang tetap benar, dan tabiat kebanyakan mereka tidak suka kepada sebarang kebenaran.


Pengajaran

  1. Mereka tuduh Nabi SAW gila kerana mereka tidak suka kepada kebenaran yang dibawa oleh Nabi SAW.


Ayat 23:71


وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلْحَقُّ أَهْوَآءَهُمْ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ بَلْ أَتَيْنَٰهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ

Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;


Pengajaran

  1. Kalau kebenaran itu tunduk ikut hawa nafsu mereka, maka rosak binasa langit dan bumi serta segala yang ada. 
  2. Allah SWT berikan kepada mereka al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka, tetapi mereka tidak mahu menerima. Contoh: Kaunselor, doktor, engineer, kalau tidak ada al-Quran, mereka akan memberi idea-idea yang merosakkan. 
  3. Semua yang ada dalam al-Quran mengingatkan kita apa yang sepatutnya berlaku.


Ayat 23:72


أَمْ تَسْـَٔلُهُمْ خَرْجًا فَخَرَاجُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ

Atau adakah (mereka menolak seruanmu itu kerana) engkau meminta kepada mereka suatu pemberian (sebagai hasil pendapatan seruanmu)? (Ini pun tidak!) Kerana engkau percaya pemberian Tuhanmu lebih baik, dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki. 


Pengajaran

  1. Jangan layan orang-orang yang mengikut hawa nafsu.
  2. Percayalah bahawa pemberian Allah SWT adalah lebih baik. Allah SWT sebaik-bak Pemberi rezeki.


Ayat 23:73


وَإِنَّكَ لَتَدْعُوهُمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanya menyeru mereka ke jalan yang lurus;


Pengajaran

  1. Nabi SAW hanya menyeru ke jalan yang lurus


RESOLUSI

Ingat!

  1. Perlu ada rasa gementar ketika memberi kerana khuatir tidak diterima amal (23:60)
  2. Buat kebaikan sebanyak mungkin kerana ia dicatat dan tidak dizalimi (23:62)
  3. Fokus dan beri perhatian ketika ayat al-Quran dibacakan (23:66)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya buat kebaikan sebanyak mungkin kerana semuanya akan dicatat dan saya tidak akan dizalimi.

Saya jelas saya perlu ada rasa gementar ketika memberi kerana khuatir tidak diterima amal. Saya jelas untuk buat kebaikan sebanyak mungkin kerana ia dicatat dan tidak dizalimi. Saya jelas saya mesti fokus dan beri perhatian ketika ayat al-Quran dibacakan.

Ya Allah, bangkitkan rasa gementar ketika memberi kerana khuatir tidak diterima amal. Ya Allah, bimbing kami untuk buat kebaikan sebanyak mungkin kerana ia dicatat dan tidak dizalimi. Ya Allah, pimpin kami untuk fokus dan beri perhatian ketika ayat al-Quran dibacakan.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: My #QuranTime Episod 450


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...