PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Kesan azab kepada manusia (23:75-77)
- Nikmat agung Allah SWT kepada para hamba-Nya (23:78-80)
- Sikap orang musyrik yang mengingkari, menyangkal dan tidak mengakui adanya hari kebangkitan dan pembuktian tentang adanya Ba’ts dengan berdasarkan bukti-bukti yang pasti dan tidak dapat dibantah (23 :81-89)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 347. Kita ingin terus istiqomah bersama al-Quran dan kita doakan agar diberi barakah oleh Allah SWT.
Dalam surah ini Allah SWT mengajak kita kepada keimanan. Kadang-kadang kita terleka, Allah SWT bawa balik kepada-Nya.
Ayat 23:75
وَلَوْ رَحِمْنَٰهُمْ وَكَشَفْنَا مَا بِهِم مِّن ضُرٍّ لَّلَجُّوا۟ فِى طُغْيَٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ
Dan sekiranya Kami menaruh belas kasihan kepada mereka serta Kami hapuskan kesusahan yang menimpa mereka, nescaya mereka akan tetap terus meraba-raba dalam kesesatan mereka yang melampaui batas itu.
Pengajaran
- Allah SWT beritahu dua perkara untuk ajak mereka kembali ke jalan benar:
- Allah SWT kasihani dengan membiarkan sahaja
- Allah SWT lenyapkan bencana yang menimpa mereka.
- Tetapi mereka tetap berada dalam kesesatan. Kalau Allah SWT tidak lenyapkan bencana mereka boleh jadi lebih sombong dan buta mata hati.
- Sebaliknya, orang beriman kalau dapat bencana, dia akan kembali kepada Allah SWT. Dengan itu terelak daripada azab.
Ayat 23:76
وَلَقَدْ أَخَذْنَٰهُم بِٱلْعَذَابِ فَمَا ٱسْتَكَانُوا۟ لِرَبِّهِمْ وَمَا يَتَضَرَّعُونَ
Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan mereka dengan azab (di dunia), maka mereka tidak juga tunduk patuh kepada Tuhan mereka dan tidak pula berdoa kepadaNya dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat);
Pengajaran
- Orang-orang yang buta mata hati, apabila Allah SWT berikan bencana mereka tidak kembali kepada Allah SWT.
- Orang-orang yang beriman, bila Allah SWT memberi kepayahan mereka kembali insaf dan bertaubat. Contoh: Nabi Ayub AS yang ditimpa bencana sakit, baginda berdoa kepada Allah SWT. Itu adalah ujian baginya.
- Azab ialah bila orang itu buta mata hati dan tidak kembali kepada Allah SWT setelah diuji.
- Orang beriman, ia tunduk kembali kepada Allah SWT. Mereka merendah diri (يَتَضَرَّعُونَ) bila dapat azab.
- Bagi orang yang kufur, dia tidak kisah. Dia tidak dapat pelajaran daripada apa yang ada. Mereka hanya rasa itu satu fenomena. Tetapi mereka rasa tidak selamat.
- Kita akan rasa selamat bila kembali kepada Allah SWT.
Ayat 23:77
حَتَّىٰٓ إِذَا فَتَحْنَا عَلَيْهِم بَابًا ذَا عَذَابٍ شَدِيدٍ إِذَا هُمْ فِيهِ مُبْلِسُونَ
Sehingga apabila Kami bukakan kepada mereka sebuah pintu yang menyebabkan azab yang berat, maka mereka serta-merta berputus asa dengan sebabnya - dari mendapat sebarang kebaikan.
Pengajaran
- Mereka akan diberi azab yang pedih. Akhirnya mereka rasa putus asa (مُبْلِسُونَ) dan tidak mendapat apa-apa kebaikan pun daripada ujian.
Ayat 23:78
وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ
Dan Dia lah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
Pengajaran
- Selepas cerita tentang azab dan bencana, Allah SWT mengingatkan kita tentang anugerah penglihatan, pendengaran dan hati nurani yang diberi.
- Bila diberi telinga, kita dapat dengar berita. Dengan penglihatan kita dapat melihat dan membaca. Kedua-dua ini akan memberi kesan kepada ٱلْأَفْـِٔدَةَ.
- ‘Afidah’ ialah lapisan hati ketiga (Fuad) yang akan terpanggil, emosi akan terasa dan kita akan berbuat sesuatu. Kita akan merasa rendah diri kepada Allah SWT. 'Dhur' akan kena pada orang tertentu seperti sakit atau ujian-ujian lain seperti berlaku kepada Nabi Ayub AS. Azab pula adalah bencana yang akan kena pada semua orang samada baik atau tidak baik apabila orang-orang di sesuatu kawasan itu tidak mengambil pelajaran daripada 'dhur' atau azab kecil yang diberikan.
- Bagaimana hendak mengambil pelajaran daripada azab kecil? Gunakan telinga dan mata dengan sebaiknya sebagai tanda kita bersyukur.
- Semoga Allah SWT jadikan kita dalam kalangan orang yang sedikit, yang sentiasa gunakan pendengaran, penglihatan dan hati nurani untuk bersyukur kepada Allah SWT.
Ayat 23:79
وَهُوَ ٱلَّذِى ذَرَأَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Dan Dia lah yang menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
Pengajaran
- Allah SWT yang menciptakan serta mengembang biakkan kita di bumi. Kita akan dikumpulkan balik di akhirat.
- Semasa dipanggil balik di hadapan Allah SWT, memang bimbang dan mendebarkan. Masing-masing akan sibuk dengan hal masing-masing.
- Semoga kita dapat menyiapkan diri untuk bertemu Allah SWT dengan mengikut hidayah daripada al-Quran dan berbuat amal soleh.
Ayat 23:80
وَهُوَ ٱلَّذِى يُحْىِۦ وَيُمِيتُ وَلَهُ ٱخْتِلَٰفُ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Dan Dia lah yang menghidupkan dan mematikan; dan Dia lah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?
Pengajaran
- Allah SWT menyuruh kita gunakan akal untuk melihat kehidupan, kematian dan pertukaran siang dan malam yang Dia ciptakan.
- Tuhan yang sama boleh mendatangkan azab kalau kita degil dalam kehidupan kita.
Ayat 23:81
بَلْ قَالُوا۟ مِثْلَ مَا قَالَ ٱلْأَوَّلُونَ
(Mereka tidak juga mahu berfikir) bahkan mereka berkata seperti yang dikatakan oleh orang-orang dahulu (yang ingkar);
Pengajaran
- Mereka tidak mahu berfikir dan tidak yakin akan dihidupkan kembali.
- Mereka mendustakan hari pembalasan. Mereka merasakan hidup mereka di dunia sudah cukup bagus.
- Allah bawakan ini bagi mengingatkan banyak nikmat yang Dia telah berikan dan akan berikan lagi nikmat yang lebih besar diakhirat nanti iaitu syurga Firdaus.
Ayat 23:82
قَالُوٓا۟ أَءِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَٰمًا أَءِنَّا لَمَبْعُوثُونَ
Mereka berkata: "Adakah apabila kami telah mati dan kami menjadi tanah dan tulang, adakah kami akan dibangkitkan (hidup semula)?
Pengajaran
- Mereka mempersoalkan akan dibangkitkan semula di akhirat.
Ayat 23:83
لَقَدْ وُعِدْنَا نَحْنُ وَءَابَآؤُنَا هَٰذَا مِن قَبْلُ إِنْ هَٰذَآ إِلَّآ أَسَٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ
"Demi sesungguhnya, kami telah dijanjikan perkara ini - kami dan datuk nenek kami - dari dahulu lagi; perkara ini hanyalah cerita dongeng orang-orang dahulu-kala."
Pengajaran
- Apabila Allah SWT memberi ujian kepada sesuatu individu atau kaum, sebenarnya Allah SWT hendak kita mengambil pelajaran dan cerah mata hati. Jangan jadi orang yang kena azab di dunia dan azab diakhirat.
- Mereka hanya berkata bahawa semua cerita ini adalah kisah dongeng orang dahulu kala. Mereka sombong dengan peringatan-peringatan yang diberikan.
Ayat 23:84
قُل لِّمَنِ ٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهَآ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Tanyakanlah (wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?"
Pengajaran
- ‘Qul’ ialah perkataan yang Allah SWT ajarkan kepada kita supaya kuatkan hati kita dengan apa yang diberi dan sampaikan kepada orang lain.
- Iman bukan boleh disimpan begitu sahaja. Kalau kita tidak cakap perkara-perkara berasaskan ilmu yang diajar oleh Allah SWT, kesannya iman kita akan makin lama makin turun.
- Kalau masa sakit, kita tidak cakap yang baik, baca al-Quran, akhirnya makin lama akan makin lemah. Iman kepada Allah SWT akan tergugat, hilang keyakinan bahawa Allah SWT berkuasa menyembuhkan.
- Orang beriman dan berilmu, boleh berhujah dengan benar. Allah SWT menyuruh baginda SAW bertanya kepada mereka, "Bumi ini milik siapa?". Allah SWT ajarkan ilmunya.
Ayat 23:85
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?"
Pengajaran
- Orang yang tidak beriman pun akan jawab bahawa bumi ini milik Allah SWT.
- Jika tahu milik Allah SWT, kenapa masih tidak mengambil pelajaran dan masih sombong?
- تَذَكَّرُونَ maknanya ambil sedikit pelajaran. Allah SWT ajarkan agar jangan sombong, buatlah persediaan.
Ayat 23:86
قُلْ مَن رَّبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ ٱلسَّبْعِ وَرَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْعَظِيمِ
Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?"
Pengajaran
- Allah SWT ajarkan lagi untuk tanyakan kepada orang-orang yang rasa sombong, tidak mahu beriman, "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?"
Ayat 23:87
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ
Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"
Pengajaran
- Mereka akan jawab, semuanya milik Allah SWT.
- Tanyakan lagi, kenapa mereka tidak minta perlindungan daripada Tuhan yang berkuasa?
- Kalau dalam keadaan sakit, dalam kesusahan, lihat alam, lihat langit, maka kita akan rasa yang Allah SWT pasti boleh menyelesaikan masalah kita. Kita tidak akan putus asa
- Ayat-ayat ini mengingatkan kepada diri kita untuk minta perlindungan daripada Allah SWT apabila berdepan dengan cabaran yang melanda.
Ayat 23:88
قُلْ مَنۢ بِيَدِهِۦ مَلَكُوتُ كُلِّ شَىْءٍ وَهُوَ يُجِيرُ وَلَا يُجَارُ عَلَيْهِ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!"
Pengajaran
- Allah SWT ajarkan supaya berhujah dengan diri sendiri kalau kita rasa iman hanya sipi-sipi sahaja.
- Yang berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu ialah Allah SWT. Ini menunjukkan bahawa percaya kepada Allah SWT sahaja tidak cukup. Mereka mengabaikan mesej rasul, mesej al-Quran. Mereka tidak mahu perjuangkan iman dalam hidup dan tetap sombong.
Ayat 23:89
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ فَأَنَّىٰ تُسْحَرُونَ
Mereka akan menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". Katakanlah: "Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?"
Pengajaran
- Allah SWT bertanya kenapa masih sombong dan mempercayai perkara yang tidak benar?
RESOLUSI
Ingat!
- Hargai peluang yang Allah SWT beri untuk kembali kepada-Nya (23:75)
- Apabila ditimpa kemudaratan, usahakan agar semakin dekat kepada Allah SWT (23:76-77)
- Cari ilmu agar lebih dapat peringatan, bertakwa dan tidak tertipu (23:82, 87, 89)
Saya berasa lega, Allah SWT beri peluang untuk kembali kepada-Nya apabila ditimpa kemudaratan.
Saya jelas saya mesti hargai peluang yang Allah SWT beri untuk kembali kepada-Nya. Saya jelas, apabila ditimpa kemudaratan, usahakan agar semakin dekat kepada Allah SWT. Saya jelas, saya mesti cari ilmu agar lebih dapat peringatan, bertakwa dan tidak tertipu.
Ya Allah, jadikan kami orang yang hargai peluang yang Engkau beri agar kami kembali kepada-Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk semakin dekat kepada Mu apabila ditimpa kemudaratan. Ya Allah, bimbing kami untuk cari ilmu agar lebih dapat peringatan, bertakwa dan tidak tertipu.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib