PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Kisah Nabi Soleh AS, Nabi Luth AS, Nabi Syuaib AS dan lain-lain (23:43-44)
- Kisah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS (23:45-49)
- Kisah Nabi Isa AS dan ibunya Maryam AS (23:50)
- Dasar perundangan dalam kehidupan (23:51-56)
- Ciri orang yang bersegera dalam kebajikan (23:57-59)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 345. Surah al-Mukminun ini memberi suntikan iman kepada sahabat-sahabt Nabi SAW, juga kepada kita. Kita ingin terus melihat kepada hidayah, panduan daripada Allah SWT.
Pada ayat 42 kita telah lihat kisah umat Nabi Hud yang telah diazab dan Allah SWT gantikan dengan umat yang lain.
Ayat 23:43
مَا تَسْبِقُ مِنْ أُمَّةٍ أَجَلَهَا وَمَا يَسْتَـْٔخِرُونَ
Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka pula tidak dapat melambatkannya.
Pengajaran
- Sesuatu umat itu ada tempoh yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Apabila tiba masanya ia akan hancur.
- Sebab kehancuran ialah kerana mereka mendustakan mesej kebaikan. Bila kepimpinannya rosak, rakyat rosak maka akan hancur. Bila akan hancur itu hanya Allah SWT yang tahu.
- Hendaklah kita pastikan kita jangan mendustakan kepada mesej kebaikan. Kita kena perjuangkan mesej kebaikan. Insya Allah, sesuatu umat itu akan bersambung jangka hayat dalam kehidupan.
- Ini berkaitan dengan sosiologi manusia yang perlu kita faham bahawa jatuh bangunnya itu ada kaitan dengan melaksanakan kebaikan atau keburukan.
- Umat ini ada ajal. Pada tahun 1924, hampir 100 tahun lalu, Islam jatuh kerana orang tidak kisah kepada al-Quran. Kalau kita hendak bangkit kembali sebagai satu umat, hendaklah kita kembali kepada al-Quran.
Ayat 23:44
ثُمَّ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا تَتْرَا كُلَّ مَا جَآءَ أُمَّةً رَّسُولُهَا كَذَّبُوهُ فَأَتْبَعْنَا بَعْضَهُم بَعْضًا وَجَعَلْنَٰهُمْ أَحَادِيثَ فَبُعْدًا لِّقَوْمٍ لَّا يُؤْمِنُونَ
Kemudian Kami mengutus Rasul-rasul Kami silih berganti. Tiap-tiap kali sesuatu umat didatangi Rasulnya, mereka mendustakannya; lalu Kami binasakan umat-umat yang demikian, lepas satu-satu; dan Kami jadikan perihal mereka sebagai cerita-cerita (yang mendatangkan iktibar); maka kebinasaanlah kesudahannya bagi orang-orang yang tidak beriman.
Pengajaran
- Kemudian Allah SWT mengutus para rasul berturut-turut kerana manusia mungkin lalai dan lupa. Rasul diutuskan agar sesuatu umat itu terus maju ke depan dan tidak dihancurkan oleh Allah SWT. Rasul yang terakhir ialah Nabi Muhammad SAW.
- Rasul ialah dari kalangan lelaki. Apabila Rasul datang, ramai yang mendustakannya, lalu Allah SWT binasakan mereka satu persatu. Kebinasaanlah untuk orang-orang yang tidak beriman.
- Allah SWT tinggalkan tanda-tanda kehancuran umat-umat terdahulu sebagai cerita yang mendatangkan iktibar untuk kita. Contoh: Madain Saleh peninggalan kaum Thamud di Arab Saudi. Di sekitar Hadralmaut Yaman dapat dilihat peninggalan kaum 'Aad. Di Mesir, ada kesan peninggalan kaum Firaun. Kalau hendak bergambar di situ jangan bergambar tanda gembira, tapi tunjukkan tanda takut dan takjub tanda kita mengambil pelajaran daripada cerita-cerita benar dalam al-Quran.
- Kisah-kisah kaum terdahulu adalah berita-berita semasa yang kita kena ambil pelajaran. Orang-orang yang tidak beriman merasakan cerita-cerita itu tidak penting, tiada kaitan dengan diri mereka.
- Orang yang senyap, yang tidak kisah keburukan berlaku juga termasuk dalam kalangan pendusta seperti yang Allah SWT sebut tentang kaum Thamud. Yang menyembelih orang tidak ramai, tetapi Allah SWT menyebut seolah-olah semua mereka terlibat, menunjukkan kemurkaanNya kepada mereka yang tidak melarang keburukan yang dilakukan.
Ayat 23:45
ثُمَّ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ وَأَخَاهُ هَٰرُونَ بِـَٔايَٰتِنَا وَسُلْطَٰنٍ مُّبِينٍ
Kemudian Kami mengutus Nabi Musa dan saudaranya: Nabi Harun, dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata,
Pengajaran
- Kemudian Allah SWT utuskan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS membawa mukjizat tanda kebesaran Allah SWT dan bukti yang nyata.
- Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW ada al-Quran sebagai mukjizat yang kekal sehingga hari ini. Kita bersyukur dapat bersama dengan mukjizat ini.
Ayat 23:46
إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ فَٱسْتَكْبَرُوا۟ وَكَانُوا۟ قَوْمًا عَالِينَ
Kepada Firaun dan kaumnya; lalu mereka menentang (seruan Nabi-nabi Allah itu) dengan sombong takbur, serta menjadi kaum yang membesarkan diri.
Pengajaran
- Misi Nabi Musa AS ialah untuk menyeru Firaun dan penasihat-penasihatnya mentauhidkan Allah SWT.
- Namun Firaun dan pembesar-pembesarnya sombong takbur serta menjadi kaum yang membesarkan diri.
- Orang beriman adalah orang yang khusyuk dan merendahkan diri.
Ayat 23:47
فَقَالُوٓا۟ أَنُؤْمِنُ لِبَشَرَيْنِ مِثْلِنَا وَقَوْمُهُمَا لَنَا عَٰبِدُونَ
Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya): "Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedang kaum mereka menjadi orang-orang suruhan kita?"
Pengajaran
- Mereka menyoal apakah mereka mahu percaya kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang hanya manusia biasa seperti mereka.
- Mereka memandang rendah kerana Nabi Musa dan Nabi Harun daripada golongan hamba abdi.
- Orang beriman tidak sombong. Mereka solat dalam saf yang sama, rukuk sujud sama dan tidak menghina orang lain kerana semuanya mempunyai peluang yang sama untuk ke syurga Allah SWT.
Ayat 23:48
فَكَذَّبُوهُمَا فَكَانُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْلَكِينَ
Oleh itu, merekapun mendustakan keduanya, lalu menjadilah mereka sebahagian dari orang-orang yang dibinasakan.
Pengajaran
- Firaun dan penasihat-penasihatnya mendustakan Nabi Musa dan Nabi Harun.
- Lalu jadilah mereka orang-orang yang dibinasakan (ٱلْمُهْلَكِينَ). Allah menghancurkan mereka kerana mereka zalim, hendak menghancurkan kepada Nabi Musa, Nabi Harun dan Bani Israel pada waktu itu.
- Pelajaran untuk kita: Kalau ada pemimpin yang suka mengganggu, menghancurkan kebenaran, mereka tidak akan selamat. Sesiapa yang menghancurkan kebaikan akan dihancurkan oleh Allah SWT.
Ayat 23:49
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَٰبَ لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ
Dan sesungguhnya, Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, supaya mereka beroleh hidayah petunjuk.
Pengajaran
- Allah SWT memberikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa AS sebagai hidayah petunjuk. Allah SWT pimpin Nabi Musa AS dengan panduan Taurat.
- Nabi-nabi adalah mereka yang sentiasa bermunajat kepada Allah SWT. Munajat kita salah satunya ialah solat. Itulah masa untuk kita dekatkan diri dengan Allah SWT.
Ayat 23:50
وَجَعَلْنَا ٱبْنَ مَرْيَمَ وَأُمَّهُۥٓ ءَايَةً وَءَاوَيْنَٰهُمَآ إِلَىٰ رَبْوَةٍ ذَاتِ قَرَارٍ وَمَعِينٍ
Dan Kami jadikan (Nabi lsa) ibni Maryam serta ibunya sebagai satu tanda (mukjizat) dan Kami telah menempatkan keduanya di tanah tinggi, tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir.
Pengajaran
- Allah SWT jadikan Nabi Isa AS serta ibunya Maryam sebagai satu tanda mukjizat.
- Allah SWT lindungi mereka di tanah tinggi yang tenang dan banyak tanaman dan mata air yang mengalir.
- Tanpa suami boleh lahir seorang anak, itulah kebesaran Allah SWT. Nabi Adam AS lagi hebat, dijadikan tanpa ayah dan ibu. Hawa juga bukti kebesaran Allah SWT.
Ayat 23:51
يَٰٓأَيُّهَا ٱلرُّسُلُ كُلُوا۟ مِنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَٱعْمَلُوا۟ صَٰلِحًا إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Pengajaran
- Dua perintah yang tegas daripada Allah SWT:
- Makan makanan yang baik dan halal.
- Lakukan amal soleh.
- Makan dari sumber yang baik-baik. Pemimpin jangan rasuah untuk mendapatkan undi. Jika mahu mengawal orang, kena kawal diri dahulu.
- Ini mesej yang besar. Kalau kita pengikut rasul, jaga sumber makanan kita. Sumber makanan memberi kesan kepada amal soleh kita. Kalau makanan kita tidak halal, amal kita tidak jadi soleh. Contoh: malas solat, malas tolong orang.
- Allah SWT Maha Mengetahui makanan yang kita ambil. Perlu diberi perhatian dalam bab makanan ini. Ia adalah satu perkara yang berkaitan dengan rasul.
Ayat 23:52
وَإِنَّ هَٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱتَّقُونِ
Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu - agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertakwalah kamu.
Pengajaran
- Satu dunia ini adalah satu umat yang diciptakan oleh Tuhan yang satu. Maka sepatutnya kita bertakwa.
Ayat 23:53
فَتَقَطَّعُوٓا۟ أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ زُبُرًا كُلُّ حِزْبٍۭ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan agama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka
Pengajaran
- Kemudian umat ini berpecah-pecah menjadi Kristian, Yahudi, Budha dan lain-lain. Asalnya daripada agama yang betul. Tetapi penyelewangan membawa kepada kelompok-kelompok agama yang berbeza.
- Mereka gembira dengan agama yang menyeleweng itu.
Ayat 23:54
فَذَرْهُمْ فِى غَمْرَتِهِمْ حَتَّىٰ حِينٍ
Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa.
Pengajaran
- Tidak perlulah kita gaduh-gaduh. Biarlah mereka dalam kesesatannya hingga sampai ke suatu masa.
Ayat 23:55
أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِۦ مِن مَّالٍ وَبَنِينَ
Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu.
Pengajaran
- Mereka ingat bila dapat anak, harta, mereka dapat kebaikan. Kena berjaga-jaga. Sebenarnya itu adalah fitnah.
Ayat 23:56
نُسَارِعُ لَهُمْ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ بَل لَّا يَشْعُرُونَ
(Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar).
Pengajaran
- Mereka tidak sedar hakikat yang sebenarnya.
Ayat 23:57
إِنَّ ٱلَّذِينَ هُم مِّنْ خَشْيَةِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka;
Pengajaran
- Orang yang beriman takut kepada kemurkaan Tuhan. Mereka sentiasa berhati-hati.
- Ajaran pelik-pelik itu akan terkeluar dengan sendiri.
Ayat 23:58
وَٱلَّذِينَ هُم بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ
Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka;
Pengajaran
- Mereka beriman kepada ayat-ayat Tuhan. Al-Quran boleh menyatukan kita dan menghalang daripada syirik kepada Allah SWT.
Ayat 23:59
وَٱلَّذِينَ هُم بِرَبِّهِمْ لَا يُشْرِكُونَ
Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka;
Pengajaran
- Orang beriman tidak mempersekutukan Tuhan mereka.
RESOLUSI
Ingat!
- Buat persediaan terbaik bagi diri serta keluarga dan jangan bertangguh (23:43)
- Jangan pandang rendah pada orang lain (23:47)
- Hargai ibu dan isteri dalam perjuangan keimanan (23:50)
Saya berasa lega, Allah SWT hargai ibu dan isteri dalam perjuangan keimanan.
Saya jelas saya mesti buat persediaan terbaik bagi diri serta keluarga dan jangan bertangguh. Saya jelas untuk tidak pandang rendah pada orang lain. Saya jelas untuk hargai ibu dan pasangan dalam perjuangan keimanan.
Ya Allah, bimbing kami untuk buat persediaan terbaik bagi diri serta keluarga dan tidak bertangguh. Ya Allah, jauhkan kami daripada sifat sombong dan pandang rendah pada orang lain. Ya Allah, bimbing kami untuk hargai ibu dan pasangan kami dalam perjuangan keimanan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.