Saturday, September 2, 2023

Halaman 348 : Al-Mukminun, 23:90-104

PERKATAAN HARI INI   


وَصَفَ  Menyifatkan, mengaitkan dengan sesuatu perkara. 
14  kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS


  1. Ada yang mendustakan kebenaran (23:90)
  2. Penafian anak dan sekutu bagi Allah SWT (23:91-92)
  3. Sejumlah panduan bagi Nabi Muhammad SAW (23:93-98)
  4. Harapan manusia ketika mati untuk boleh kembali lagi ke dunia beramal soleh (23:99-100)
  5. Piawai dan tolok ukur keselamatan di akhirat (23:101-104)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 348. 

Surah al-Mukminun ini adalah surah Makkiyyah yang penuh dengan motivasi iman untuk ketauhidan kepada Allah SWT. Pada halaman lepas kita telah melihat betapa apabila ditanya kepada manusia, siapa punya langit dan bumi? Mereka jawab ianya milik Allah SWT. Tidak mungkin dimiliki oleh manusia atau mana-mana makhluk.


Ayat 23:90


بَلْ أَتَيْنَـٰهُم بِٱلْحَقِّ وَإِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ

(Bukanlah sebagaimana tuduhan mereka) bahkan Kami telah membawa kepada mereka keterangan yang benar, dan sesungguhnya mereka adalah berdusta.


Pengajaran

  1. Walaupun mereka mengaku Allah SWT yang berkuasa pada segala perkara, tetapi Allah SWT gelar mereka pendusta. Ini kerana, cakap Allah sebagai Tuhan sahaja tidak cukup. Mereka tidak turut perintah Allah SWT dan perintah Nabi SAW.
  2. Dakwah bukan untuk seseorang itu beriman kepada Allah sahaja, tetapi beriman juga kepada apa yang disampaikan oleh rasul dalam al-Quran. Orang yang percaya Tuhan tetapi tidak ikut perintah Tuhan, mereka adalah pendusta.


Ayat 23:91


مَا ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ مِن وَلَدٍ وَمَا كَانَ مَعَهُۥ مِنْ إِلَـٰهٍ ۚ إِذًا لَّذَهَبَ كُلُّ إِلَـٰهٍۭ بِمَا خَلَقَ وَلَعَلَا بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ سُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يَصِفُونَ

Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu.


Pengajaran

  1. Puncak kepada pendustaan mereka ialah apabila mereka mengatakan Allah SWT ada anak. Allah SWT menafikan yang Dia mempunyai anak dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersama-Nya.
  2. Allah SWT bawakan dalil akal. Kalau ada tuhan yang menguasai bahagian tertentu, tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengah yang lain. Ini adalah mitos.
  3. Maha Suci Allah daripada apa yang dikatakan oleh mereka yang musyrik itu.


Ayat 23:92


عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

(Allah) Yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata; maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah keadaanNya dari segala yang mereka sekutukan.


Pengajaran

  1. Allah SWT Yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata; maka dengan yang demikian Maha Tinggilah keadaanNya dari segala yang mereka sekutukan.
  2. Orang mensyirikkan Allah kerana mereka rasa mereka tahu. Sebenarnya yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata adalah Allah SWT. Mereka membuat nilai-nilai syirik tanpa asas ilmu. Semuanya sangkaan dan pendustaan belaka.


Ayat 23:93


قُل رَّبِّ إِمَّا تُرِيَنِّى مَا يُوعَدُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhanku, kiranya Engkau hendak memperlihatkan kepadaku (azab) yang dijanjikan kepada mereka (di dunia), -


Ayat 23:94


رَبِّ فَلَا تَجْعَلْنِى فِى ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

"Maka wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku tinggal dalam kalangan kaum yang zalim itu".


Pengajaran Ayat 93-94

  1. Nabi SAW diajarkan supaya berdoa; "Wahai Tuhanku, kiranya Engkau hendak memperlihatkan kepadaku azab yang dijanjikan kepada mereka di dunia, maka wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku tinggal dalam kalangan kaum yang zalim itu".
  2. Kita diajar jangan jadi pembalas dendam walaupun mereka buat macam-macam permusuhan.


Ayat 23:95


وَإِنَّا عَلَىٰٓ أَن نُّرِيَكَ مَا نَعِدُهُمْ لَقَـٰدِرُونَ

Dan sesungguhnya Kami berkuasa memperlihatkan kepadamu azab yang Kami janjikan kepada mereka.


Pengajaran

  1. Allah SWT berkuasa memperlihatkan azab yang telah dijanjikan kepada mereka.


Ayat 23:96


ٱدْفَعْ بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ٱلسَّيِّئَةَ ۚ نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَصِفُونَ

Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.


Pengajaran

  1. Kalau mereka buat kejahatan, Allah SWT ajar supaya tolaklah kejahatan yang dilakukan dengan cara yang sebaik-baiknya.
  2. Allah SWT Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.


Ayat 23:97


وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَـٰطِينِ

Dan katakanlah: "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan


Ayat 23:98


وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ

"Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".


Pengajaran Ayat 97-98

  1. Dengan musuh yang tidak nampak iaitu syaitan, Allah SWT ajarkan doa;  "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".
  2. Hendaklah kita baca dengan betul dan tepat. Bacaan yang tidak tepat tidak dapat memberi perlindungan daripada syaitan.
  3. Manusia, kalau dia buat buruk macam mana pun kita kena terus berdakwah, tidak boleh menjauhkan diri daripada mereka.
  4. Syaitan akan buat kita stres, hilang sabar. Hendaklah kita beramal dengan doa ini.


Ayat 23:99


حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ٱرْجِعُونِ

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia).


Ayat 23:100


لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).


Pengajaran Ayat 99-100

  1. Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku hidup semula di dunia supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". 
  2. Mereka merayu untuk hidup kembali bagi membuat amal soleh yang ditinggalkan semasa hidup. Namun, mereka tidak dapat kembali.
  3. Keadaan dalam alam barzakh berbeza bagi orang yang beramal soleh dan yang tidak beramal soleh. Orang yang beramal soleh rasa tenang dalam alam barzakh, sebaliknya bagi orang yang tidak cukup amal, alam barzakh dirasakan tidak tenang dan amat panjang.


Ayat 23:101


فَإِذَا نُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَلَآ أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَآءَلُونَ

Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.


Pengajaran

  1. Pada hari ditiup sangkakala, tidak ada lagi pertalian nasab. Masing-masing tidak sempat bertanya khabar.


Ayat 23:102


فَمَن ثَقُلَتْ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.


Pengajaran

  1. Sesiapa yang berat timbangan amal soleh, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.
  2. Mereka ini semasa di dunia selalu menimbang-nimbang untuk melakukan amalan. Ini cara berfikir orang yang beriman, mereka sentiasa berfikir untuk menambahkan amalan kebaikan bagi memberatkan timbangan kebaikan.


Ayat 23:103


وَمَنْ خَفَّتْ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ فِى جَهَنَّمَ خَـٰلِدُونَ

Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam -


Pengajaran

  1. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam.


Ayat 23:104


تَلْفَحُ وُجُوهَهُمُ ٱلنَّارُ وَهُمْ فِيهَا كَـٰلِحُونَ

Api neraka itu membakar muka mereka, dan tinggalah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat.


Pengajaran

  1. Wajah mereka dibakar api neraka, dan tinggallah mereka dalam neraka dengan muka yang hodoh cacat. 
  2. Ini kerana semasa di dunia mereka ini muka tak malu kepada Allah SWT. Ambil oksigen Allah, tetapi tidak mahu menghadap Allah on time.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Syukur dengan ketauhidan sejahtera yang Allah SWT kurniakan kepada kita, bukan kepercayaan cacamarba (23:91)
  2. Balas keburukan dengan kebaikan sekuat mungkin (23:96)
  3. Doa agar selalu dilindungi daripada bisikan syaitan (23:97-98) 

Saya berasa lega, Allah SWT kurniakan saya ketauhidan yang sejahtera. Saya bersyukur dengan kurniaan ini.

Saya jelas saya mesti syukur dengan ketauhidan yang sejahtera yang Allah SWT kurniakan kepada kita, bukan kepercayaan cacamarba. Saya jelas untuk balas keburukan dengan kebaikan sekuat mungkin. Saya jelas saya mesti doa agar selalu dilindungi daripada bisikan syaitan.

Ya Allah, bimbing kami untuk bersyukur dengan ketauhidan yang sejahtera bukan kepercayaan cacamarba. Ya Allah, jadikan kami orang yang balas keburukan dengan kebaikan sekuat mungkin. Ya Allah, lindungi kami daripada bisikan syaitan.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Rujukan: My #QuranTime Episod 453

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...