Saturday, September 2, 2023

Halaman 349 : Al-Mukminun, 23:105-118

PERKATAAN HARI INI   


خَسَأَ  Hina
4 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS  

 

  1. Pertanyaan dan respons mereka yang mendustakan (105-111)
  2. Menyentak kesedaran betapa singkatnya hidup di dunia, hukuman bagi orang musyrik dan rahmat bagi orang mukmin (112-118)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 349, halaman akhir surah al-Mukminun. Surah Makkiyyah memberikan suntikan tauhid, akhlak kepada kita.

Semoga kita terus ceria gembira bersama al-Quran dan dilindungi kita daripada hasutan syaitan. Halaman ini adalah kesimpulan apa yang dibawa oleh Allah SWT daripada awal tentang orang beriman yang berjaya.

Pada halaman lepas diceritakan bahawa orang-orang yang tidak beriman, muka mereka akan jadi hodoh cacat dibakar oleh api neraka. 


Ayat 23:105


أَلَمْ تَكُنْ ءَايَـٰتِى تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فَكُنتُم بِهَا تُكَذِّبُونَ

(Sambil dikatakan kepada mereka): "Bukankah ayat-ayatKu selalu dibacakan kepada kamu, lalu kamu terus-menerus mendustakannya?"


Pengajaran

  1. Muka mereka hodoh cacat kerana mereka terus-menerus mendustakan ayat-ayat Allah SWT.
  2. Allah SWT jadikan kita mulia dan Allah bekalkan lagi bukti-bukti kebesaran-Nya. Kita diberi akal, alam untuk kita perhatikan dan puncak rahmat iaitu ayat al-Quran yang dibacakan.
  3. Allah SWT bagi macam-macam, namun orang-orang yang tidak beriman terus-terusan mendustakannya.


Ayat 23:106


قَالُوا۟ رَبَّنَا غَلَبَتْ عَلَيْنَا شِقْوَتُنَا وَكُنَّا قَوْمًا ضَآلِّينَ

Mereka menjawab: "Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab-sebab kecelakaan kami, dan dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat.


Pengajaran

1. Mereka menjawab, mengatakan diri mereka jahat, tidak dapat petunjuk.  


Ayat 23:107


رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا مِنْهَا فَإِنْ عُدْنَا فَإِنَّا ظَـٰلِمُونَ

"Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim."


Pengajaran

  1. Pada masa itu mereka berdoa supaya tuhan kembalikan mereka ke dunia. Namun tidak ada peluang lagi bagi mereka.
  2. Ini adalah peringatan untuk kita supaya jangan mendustakan ayat-ayat Allah SWT.


Ayat 23:108


قَالَ ٱخْسَـُٔوا۟ فِيهَا وَلَا تُكَلِّمُونِ

(Allah) berfirman: "Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu!


Pengajaran 

  1. Oleh kerana semasa di dunia mereka itu degil, tidak kisah solat, al-Quran, Allah SWT biarkan mereka terus dalam kehinaan di neraka.


Ayat 23:109


إِنَّهُۥ كَانَ فَرِيقٌ مِّنْ عِبَادِى يَقُولُونَ رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰحِمِينَ

"Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata: ` Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat '.


Pengajaran

  1. Ayat ini berkenaan orang beriman. Mereka berdoa:  "Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".
  2. Allah SWT mengingatkan ciri-ciri mengapa seseorang itu tidak diazab, iaitu mereka beramal dengan doa ini semasa di dunia.


Ayat 23:110


فَٱتَّخَذْتُمُوهُمْ سِخْرِيًّا حَتَّىٰٓ أَنسَوْكُمْ ذِكْرِى وَكُنتُم مِّنْهُمْ تَضْحَكُونَ

"Maka kamu jadikan mereka ejek-ejekan sehingga ejek-ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasanKu, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka.


Pengajaran

  1. Orang-orang yang beriman dijadikan bahan ejekan semasa di dunia.  
  2. Kesan mengejek dan tertawakan orang buat baik, menyebabkan mereka lupa mengingati balasan Allah SWT.


Ayat 23:111


إِنِّى جَزَيْتُهُمُ ٱلْيَوْمَ بِمَا صَبَرُوٓا۟ أَنَّهُمْ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ

"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya".


Pengajaran

  1. Allah SWT membalas orang-orang beriman dengan sebaik-baik balasan disebabkan kesabaran mereka. Merekalah orang-orang yang berjaya.
  2. Kunci kejayaan mereka ialah sabar. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk beramal dengan apa yang terdapat dalam surah ini.
  3. 'Falaha' maknanya berjaya dunia akhirat. ٱلْفَآئِزُونَ maknanya kejayaan yang tidak ternilai iaitu tahap kejayaan yang amat besar. Kalau tidak dapat kejayaan itu, gone case, mati dalam kehidupan.


Ayat 23:112


قَـٰلَ كَمْ لَبِثْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ عَدَدَ سِنِينَ

Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): "Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?"


Pengajaran 

1. Allah SWT tanya kepada orang-orang kafir berapa lama mereka hidup.


Ayat 23:113


قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ فَسْـَٔلِ ٱلْعَآدِّينَ

Mereka menjawab: "Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung


Pengajaran

1. Mereka menjawab yang mereka hidup selama sehari atau sebahagian hari.


Ayat 23:114


قَـٰلَ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا ۖ لَّوْ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).


Pengajaran 

1. Masa kita dengan masa di sisi Allah adalah berbeza. 


Ayat 23:115


أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَـٰكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ 

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"


Pengajaran

1. Allah SWT hendak beritahu kita tentang realiti kehidupan. 


Ayat 23:116


فَتَعَـٰلَى ٱللَّهُ ٱلْمَلِكُ ٱلْحَقُّ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْكَرِيمِ

Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.


Pengajaran

  1. Kita dicipta dengan tujuan. Tujuan pertama ialah untuk kita makin dekat dengan Allah yang Maha Tinggi, Raja yang benar.
  2. Allah SWT mempunyai arasy yang mulia. Ini melambangkan mulianya Allah. Allah akan berikan kemuliaan kepada orang yang tidak main-main.
  3. Kita perlukan Allah untuk menjadi raja di syurga nanti.


Ayat 23:117


وَمَن يَدْعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ لَا بُرْهَـٰنَ لَهُۥ بِهِۦ فَإِنَّمَا حِسَابُهُۥ عِندَ رَبِّهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.


Pengajaran

  1. Sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya dan balasan amalnya yang jahat itu disediakan di sisi Tuhannya. 
  2. Orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.
  3. Allah amat teliti auditnya. 


Ayat 23:118


وَقُل رَّبِّ ٱغْفِرْ وَٱرْحَمْ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): "Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!"


Pengajaran

  1. Ini adalah doa yang perlu kita pegang betul-betul: "Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!"
  2. Dua komponen utama dalam doa ini: 
    • mohon ampun atas segala kesilapan kita.
    • mohon rahmat
  3. Daripada surah ali-'Imran (3:133), Allah SWT menyuruh kita bersegera untuk minta keampunan. 
  4. Bila kita beramal, Allah SWT akan berikan rahmat. Dengan rahmat Allah, semoga kita diizinkan ke syurga Firdaus al-A'la.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Selalu berdoa mohon keimanan, keampunan dan rahmat daripada Allah SWT (109)
  2. Jangan mengejek dan mentertawakan orang lain (110)
  3. Sentiasa jelas tujuan hidup menjadi hamba yang beriman kepada Allah SWT (115) 

Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan doa untuk mendapat keampunan dan rahmatNya.

Saya jelas saya mesti selalu berdoa mohon keimanan, keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Saya jelas untuk jangan mengejek dan mentertawakan orang lain. Saya jelas untuk sentiasa jelas tujuan hidup menjadi hamba yang beriman kepada Allah SWT.

Ya Allah, kurniakan kepada kami keimanan, keampunan dan rahmat. Ya Allah, jauhkan kami daripada menjadi orang suka mengejek dan mentertawakan orang lain. Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi hamba yang beriman kepada Mu. 

"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".

"Wahai Tuhan kami, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat."

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Rujukan: My #QuranTime Episod 454


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...