PERKATAAN HARI INI
17 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Keistimewaan & kelebihan Surah Al-Nur (24:1)
- Hukum pertama dan kedua: hukuman had perbuatan zina dan hukum para pelaku zina (24:2-3)
- Hukuman ketiga: hukuman Hadd - Qadzf (24:4-5)
- Hukum keempat: hukum Li'an atau Qadzf yang dilakukan seorang suami terhadap isterinya (24:6-10)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 350 di surah baru yang mendebarkan. Surah Al-Nur ialah surah Madaniyyah yang penuh dengan peraturan dan ketegasan. Surah ini diturunkan sekitar 5-6 Hijrah.
Ayat 23:1
سُورَةٌ أَنزَلْنَٰهَا وَفَرَضْنَٰهَا وَأَنزَلْنَا فِيهَآ ءَايَٰتٍۭ بَيِّنَٰتٍ لَّعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).
Pengajaran
- Inilah surah yang dinantikan oleh Saidatina Aisyah kerana fitnah tentangnya dan seorang sahabat baginda SAW yang tersebut dalam hadis Ifki. Fitnah ini menyebabkan Saidatina Aisyah menangis berhari-hari.
- Baginda SAW tidak tahu bagaimana mengatasi konflik yang berlaku. Akhirnya turun surah ini. Ada di antara para sahabat yang percaya fitnah ini termasuk Hasan bin Tsabit dan Misthoh yang dibantu oleh Saidina Abu Bakar.
Ayat 23:2
ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجْلِدُوا۟ كُلَّ وَٰحِدٍ مِّنْهُمَا مِا۟ئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٌ مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Pengajaran
- Penzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat keduanya seratus kali sebatan di khalayak dan janganlah merasa belas kasihan kepada mereka.
- Ayat ini menjelaskan hukum jenayah dalam Islam apabila telah disabitkan dengan kesalahan. Surah ini adalah surah Madaniyyah yang turun apabila sudah ada negara dan ada perlembagaan.
- Jangan senang-senang hendak menghukum. Kena faham sejarahnya. Nabi SAW telah berdakwah 13 tahun di Mekah, ditambah 5 tahun di Madinah barulah Allah SWT turunkan peraturan-peraturan ini. Pendidikan amat penting.
Ayat 23:3
ٱلزَّانِى لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَٱلزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَآ إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
Pengajaran
- Perempuan yang berzina tidak akan berkahwin dengan lelaki yang berzina.
- Orang yang berzina ialah orang yang telah disabitkan kesalahannya oleh mahkamah. Kita tidak boleh menuduh orang lain penzina begitu sahaja. Surah ini perlu diajar dalam masyarakat.
- Surah ini adalah cahaya kepada masyarakat. Kita kena pastikan surah ini difahami peraturannya dalam keluarga dan masyarakat.
- Allah SWT beritahu dahulu peraturan dan perlembagaanNya. Bukan mudah untuk menjatuhkan hukuman kalau tiada saksi yang cukup. Saksi melalui video tidak cukup. Mesti tengok berhadapan baru boleh dikira sebagai saksi.
Ayat 23:4
وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَٰتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا۟ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجْلِدُوهُمْ ثَمَٰنِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا۟ لَهُمْ شَهَٰدَةً أَبَدًا وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَٰسِقُونَ
Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; -
Pengajaran
- Orang-orang yang membaling tuduhan kepada wanita yang terpelihara kehormatannya tanpa mendatangkan 4 orang saksi yang adil, dikenakan 80 sebatan. Mereka adalah orang-orang yang fasik.
- Ayat ini adalah untuk mengekang masyarakat dari bergosip, menuduh orang dan fikir kotor tentang orang lain. Serahkan kepada mahkamah untuk ambil tindakan. Jangan dibincangkan di khalayak ramai.
- Kalau pernah buat begini, bertaubat dan baiki diri. Allah SWT boleh ampunkan tetapi ia adalah satu yang amat serius dalam kehidupan.
Ayat 23:5
إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pengajaran
- Jika pernah terbuat tuduhan tanpa ada saksi, perbaiki diri dan mohon ampun dari Allah SWT.
- Siapa yang menuduh kena ada empat saksi.
- Sepanjang sejarah nabi, tidak pernah ada kes. Bukan mudah untuk mendapatkan saksi. Zaman ini, mudah sangat nak menuduh orang. Lepas itu masuk mahkamah. Orang yang tidak membawa saksi sebelum masuk mahkamah, Allah SWT kata mereka itu berdusta.
Ayat 23:6
وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَٰجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَآءُ إِلَّآ أَنفُسُهُمْ فَشَهَٰدَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَٰدَٰتٍۭ بِٱللَّهِ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ
Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; -
Pengajaran
- Orang yang menuduh isterinya atau pasangannya berzina tanpa saksi, ini adalah qazaf. Kena bersaksi dengan empat kali sumpah bahawa ia berkata benar.
Ayat 23:7
وَٱلْخَٰمِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ ٱللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ ٱلْكَٰذِبِينَ
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.
Pengajaran
1. Sumpah kelima ialah untuk menyatakan bahawa dia akan dilaknat oleh Allah SWT jika ia berdusta. Ini semua mesti buat di mahkamah iaitu institusi hakim.
Ayat 23:8
وَيَدْرَؤُا۟ عَنْهَا ٱلْعَذَابَ أَن تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَٰدَٰتٍۭ بِٱللَّهِ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلْكَٰذِبِينَ
Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; -
Pengajaran
- Jika mahu menepis tuduhan dan tidak mahu direjam sampai mati bagi perempuan yang sudah berkahwin dan melakukan zina, isteri juga bersumpah empat kali menyatakan yang suaminya berdusta.
Ayat 23:9
وَٱلْخَٰمِسَةَ أَنَّ غَضَبَ ٱللَّهِ عَلَيْهَآ إِن كَانَ مِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.
Pengajaran
- Sumpah kelima pula, jika tahu yang suaminya betul, jangan berpaling. Kalau ia berpaling dan dia menyatakan suaminya bersalah, kedua-dua tidak dihukum tetapi hukumannya berpindah ke akhirat.
- Betapa cantiknya peraturan Islam. Ada perkara mahkamah dunia tidak boleh selesaikan dan mahkamah akhirat yang boleh selesaikan.
- Namun, jangan main-main dengan mahkamah akhirat. Allah SWT lebih Mengetahui. Allah SWT amat menjaga hak dan maruah setiap manusia, menaikkan status harga manusia.
- Ada orang menyatakan yang hukum sebat ini macam zaman barbarian, namun Allah Yang Maha Mengetahui.
Ayat 23:10
وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ حَكِيمٌ
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).
Pengajaran
- فَضْلُ ialah kurniaan daripada Allah SWT. Salah satu فَضْلُ yang paling besar ialah al-Quran yang lebih baik dari unta merah.
- Allah SWT ulang banyak kali, kalau bukan kerana kurniaan dan kasih sayangNya, akan rosak masyarakat ini. Sekarang ini mudah sahaja orang buat fitnah. Jangan follow page yang ada gosip atau menceritakan hal yang tidak benar tentang orang.
- Allah SWT adalah Maha Penerima taubat, Allah hakim yang Maha Bijaksana. Kalau kita ada kesilapan, Allah Maha Perima taubat.
- Kalau kita pernah share perkara yang tidak betul, hendaklah kita bertaubat.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa mengambil peringatan daripada surah yang dibaca (24:1)
- Doakan agar hukum jenayah dapat dididik dan dilaksanakan (24:2)
- Selalu bertaubat dan baiki amal apabila berbuat dosa (24:5)
Saya berasa lega, Allah SWT Maha Penerima Taubat.
Saya jelas saya mesti sentiasa mengambil peringatan daripada surah yang dibaca. Saya jelas untuk doakan agar hukum jenayah dapat dididik dan dilaksanakan. Saya jelas saya mesti selalu bertaubat dan baiki amal apabila berbuat dosa.
Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa mengambil peringatan daripada surah yang dibaca. Ya Allah, kurniakan kesedaran kepada pemimpin kami untuk mendidik dan melaksanakan hukum jenayah seperti yang diajar dalam surah ini. Ya Allah, ampunkan kami dan terimalah taubat kami. Pimpin kami untuk berbuat amal soleh, jauhkan kami daripada melakukan maksiat dan dosa.
"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: My #QuranTime Episod 455