PERKATAAN HARI INI
30 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Hukum kelima: Kisah Al-Ifk [berita bohong tentang tuduhan terhadap Aisyah R.A] (24:11-20)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 351. Semoga kita diberi rahmat dan kurniaan oleh Allah SWT.
Surah Al-Nur ni adalah surah Madaniyyah yang turun sekitar 5-6 hijrah untuk melindungi dan menyusun masyarakat Islam pada waktu itu.
Ayat 24:11
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
Pengajaran
- Ketika Nabi SAW, dalam perjalanan pulang dari Perang Ahzab, mereka berhenti sebentar. Saiditina Aisyah keluar sekejap. Belum sempat masuk ke kenderaannya, kafilah telah bergerak dan beliau tertinggal. Beliau ditemui oleh seorang sahabat baginda SAW dan dibawanya pulang ke Madinah.
- Abdullah b Ubai mengambil peluang menyebarkan fitnah tentang mereka untuk menyakiti Nabi SAW.
- Berita itu tersebar di mana-mana dan Nabi SAW juga sukar menyelesaikan isu itu. Keperitan yang ada berhari-hari itu dinyatakan oleh Allah SWT sebagai ada kebaikannya.
- Daripada perstiwa ini, amat perit bagi umat Islam pada waktu itu, tetapi ia adalah baik bagi kita. Banyak pelajaran sampai sekarang bagi menguruskan ifk iaitu berita bohong (fitnah) yang dikenakan kepada orang-orang yang beriman.
- Setiap mereka akan mendapat azab, paling besar ialah Abdullah bin Ubai kerana memulakan tersebarnya fitnah itu.
Ayat 24:12
لَّوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا۟ هَٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
Pengajaran
- Jika mendengar tuduhan, orang-orang beriman sepatutnya bersangka baik terhadap orang beriman. Katakan: "Ini adalah fitnah yang nyata".
- Orang beriman tidak akan mudah percaya segalanya.
- Ujian fitnah amat berat kerana ia boleh memporak perandakan rumahtangga dan masyarakat.
Ayat 24:13
لَّوْلَا جَآءُو عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا۟ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُو۟لَٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْكَٰذِبُونَ
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
Pengajaran
- Sepatutnya mereka yang menuduh membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu.
- Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
- Dalam Surah Al-Nisa' juga ada disebut tentang keperluan membawa 4 orang saksi bila menuduh seseorang berzina. Jika tidak, mereka itu dianggap pendusta.
- Bagi orang beriman, mereka sepatutnya beriman dan beramal dengan ayat ini. Allah SWT ingatkan lagi supaya jangan memberi hukuman lebih awal. Itu bukan ciri orang beriman.
Ayat 24:14
وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ لَمَسَّكُمْ فِى مَآ أَفَضْتُمْ فِيهِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu;
Pengajaran
- Kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya di dunia dan di akhirat, tentulah orang yang menyebarkan berita palsu itu akan dikenakan azab seksa yang besar.
- Mereka yang percaya berita begitu, yang tidak ada bukti tentang kebenarannya, akan mengundang azab Allah SWT jika tidak kerana rahmat-Nya.
Ayat 24:15
إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
Pengajaran
- Bertanya apa yang berlaku, gosip-gosip itu adalah langkah pertama yang boleh membawa ke langkah kedua yang lebih buruk iaitu menyebarkan cerita tentang fitnah tersebut tanpa ilmu dan merasakan perkara itu remeh.
- Maruah setiap orang beriman adalah amat besar di sisi Allah SWT. Tidak boleh kita mengecilkan apa yang Allah SWT kata besar.
- Orang-orang munafik ada penyakit hati. Mereka cuba membunuh karakter dan kredibiliti orang beriman. Mereka mahu serang Aisyah dan juga Nabi SAW.
- Cara kita menyebut ayat-ayat al-Quran sebagai satu disiplin penting. Disiplin membaca 'subhanallah' atau 'subhanak' dalam ayat 16, ada kaitan dengan menguruskan fitnah. Kalau kita jaga disiplin ketika baca al-Quran, kita kena jaga disiplin bagaimana berinteraksi dengan kata-kata tuhan dalam kehidupan. Ada orang yang sangat berdisiplin dalam bacaan al-Quran tetapi bila dalam hidup, kata-kata tuhan dia tidak kisah pun. Dia menjadi pembawa fitnah dan kisah-kisah gosip yang sebenarnya adalah satu yang amat besar di sisi Allah SWT.
- Sangat penting kita bercakap sesuatu dengan ilmu. Ilmu terbahagi kepada yang nampak dan ghaib. Di zaman ini terlalu banyak ruang untuk fitnah tersebar.
Ayat 24:16
وَلَوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَٰذَا سُبْحَٰنَكَ هَٰذَا بُهْتَٰنٌ عَظِيمٌ
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".
Pengajaran
- Allah SWT ingatkan, kalau kita bertemu orang yang sedang menyebarkan fitnah, ucapkan سُبْحَٰنَكَ. Kita tidak patut borak tentang orang lain. Inilah disiplin kita bila mendengar berita yang tidak pasti betul.
- بُهْتَٰنٌ adalah kebohongan yang ada unsur menjatuhkan seseorang.
- Kita kena ada pendirian bila dengar cerita yang tidak pasti betul. Kalau syirik itu dosa besar, ini juga adalah dosa besar kalau kita menyebarkan fitnah atau menyokong kepada fitnah.
Ayat 24:17
يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُوا۟ لِمِثْلِهِۦٓ أَبَدًا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Pengajaran
- Peringatan dari Allah SWT supaya tidak mengulang perbuatan yang demikian, jika betul-betul seseorang itu beriman.
- Orang yang mengulang kesalahan sebenarnya dia tidak kisah peringatan Allah SWT.
Ayat 24:18
وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْءَايَٰتِ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran
- Allah SWT Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
- Allah SWT menyusun segala-galanya. Dialah hakim yang sebenarnya.
Ayat 24:19
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
Pengajaran
- Allah SWT akan memberi azab di dunia dan di akhirat kepada orang yang suka menyebarkan perkara tanpa bukti (ٱلْفَٰحِشَةُ). Mereka tidak kisah apa yang Allah SWT jaga.
- Hendaklah kita jaga-jaga jangan 'share' berita yang tidak pasti kebenarannya, atau perkara keji.
- Orang beriman tidak mudah percaya kepada fitnah.
- Allah SWT tahu, kita tidak tahu. Nabi SAW pun tidak tahu kebenaran kisah Aisyah jika bukan Allah SWT yang mewahyukan. Fitnah memecah belahkan masyarakat.
Ayat 24:20
وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).
Pengajaran
- Kalau kita selamat dan tidak terlibat dengan fitnah, itu adalah kurniaan yang besar daripada Allah SWT (فَضْلُ).
- Janganlah kita terlibat dengan perbuatan gosip, fitnah kerana ia adalah dosa besar yang menjauhkan kita daripada mendapat limpah kurnia dan rahmat daripada Allah SWT. Contoh: Stesen TV yang buat program-program gosip, berhenti sahajalah kerana ia adalah dosa besar. Rahmat tidak turun kepada stesen TV tersebut.
- Allah SWT amat menyayangi kita. Allah tidak mahu sesama kita bergaduh. Janganlah kita jadi agen batu api yang membuatkan orang lain bergaduh. Jangan sensasikan perkara yang tidak pasti kerana ia boleh membawa kepada murka daripada Ilahi.
RESOLUSI
Ingat!
- Berjaga-jaga agar tidak terlibat atau melaksanakan fitnah (ifk) (24:11)
- Perlu berbaik sangka ketika berita buruk sampai serta jangan mudah percaya kecuali sudah disahkan - tabayyun (24:12)
- Jangan percaya kepada penuduh zina kecuali dibawa 4 saksi (24:13)
Saya berasa lega, Allah SWT jauhkan saya daripada gosip dan selamatkan saya daripada fitnah.
Saya jelas saya mesti berjaga-jaga agar tidak terlibat atau melaksanakan fitnah (ifk). Saya jelas saya perlu berbaik sangka ketika berita buruk sampai serta jangan mudah percaya kecuali sudah disahkan - tabayyun. Saya jelas jangan percaya kepada penuduh zina kecuali dibawa 4 saksi.
Ya Allah, lindungi kami daripada melaksanakan fitnah (ifk). Ya Allah, bimbing kami untuk berbaik sangka ketika berita buruk sampai serta jangan mudah percaya kecuali sudah disahkan - tabayyun. Ya Allah, jauhi kami daripada percaya kepada penuduh zina kecuali dibawa 4 saksi.
"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: My #QuranTime Episod 456