PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Taat kepada Allah SWT dan para rasul (24:54)
- Pokok-pokok negara keimanan (24:55-57)
- Hukum kesebelas: adab dalam rumah (24:58)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 357. Teruslah bergembira dengan al-Quran. Apabila kita diberikan al-Quran, ia adalah satu kurniaan dan rahmat daripada Allah SWT. Kita perlu lebih gembira daripada untung dalam bisnes atau masuk gaji di hujung bulan atau saham naik mencanak. Kita perlu ingat bahawa al-Quran lebih daripada itu kerana sahamnya ini bukan sekadar di sini tetapi sampai di akhirat nanti.
Surah al-Nur banyak ketegasan dan hukum yang perlu dilaksanakan berasaskan iman dan takwa. Contohnya tentang tudung yang Allah SWT perintah untuk dilabuhkan bagi menjaga maruah kehormatan wanita.
Pada halaman lepas Allah SWT mengingatkan ada orang di zaman Nabi SAW suka bersumpah untuk membuat kebaikan tetapi tidak buat. Sebenarnya tidak perlu bersumpah, buat sahaja. Contoh zaman sekarang, bila jadi pemimpin bersumpah tapi tipu juga kepada rakyat. Sumpah bukan perkara yang diperlukan tetapi buat sahaja amalan kebaikan.
Ayat 24:54
قُلْ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا عَلَيْهِ مَا حُمِّلَ وَعَلَيْكُم مَّا حُمِّلْتُمْ وَإِن تُطِيعُوهُ تَهْتَدُوا۟ وَمَا عَلَى ٱلرَّسُولِ إِلَّا ٱلْبَلَٰغُ ٱلْمُبِينُ
Katakanlah lagi (kepada mereka): " Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata".
Pengajaran
- Taatlah kepada Allah SWT dan Rasul untuk menghidupkan cahaya dalam sesuatu masyarakat dalam kalangan orang-orang yang ingin mencari cahaya Allah SWT.
- Jika tidak taat kepada Allah dan Rasul, cakap sahaja lebih, tetapi tidak buat juga, Rasul tidak bertanggungjawab ke atas dosa-dosa umatnya.
- Baginda SAW menjalankan tanggungjawapnya, umat juga kena menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk taat kepada Allah SWT dan Rasul. Buat kerja, jangan hanya manis mulut, maka akan dipimpin dan diberi hidayah menuju ke syurga.
- Ikutlah Nabi SAW yang menyampaikan sesuatu sampai ke hati (ٱلْبَلَٰغُ) dan fakta-faktanya jelas (ٱلْمُبِينُ). Ini kaedah komunikasi ketika bercakap atau menyampaikan tazkirah.
Ayat 24:55
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًٔا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَٰسِقُونَ
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
Pengajaran
- Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh tiga perkara:
- Allah akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang terdahulu khalifah-khalifah yang berkuasa.
- Allah akan menguatkan dan mengembangkan agama Islam yang telah diredhaiNya untuk mereka sehingga kita dapat beramal dengan sebenar-benarnya dalam sesebuah negeri.
- Allah akan memberi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan dari ancaman musuh.
- Kalau tidak beriman dan beramal soleh, Allah SWT akan tarik satu demi satu janji-janji tersebut. Kepimpinan akan diberikan kepada orang-orang yang tidak baik. Lihat kepada diri kita, apa yang telah kita buat?
- Kita perlu kuatkan iman dalam keluarga kita dan pastikan amal soleh dilaksanakan.
- Amal soleh yang dimaksudkan di sini ialah mesti ikhlas kerana Allah SWT dan mesti mengikut Rasul.
Ayat 24:56
وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat.
Pengajaran
- Amal soleh yang dimaksudkan ialah:
- Solat
- Zakat
- Taat kepada Allah SWT dan Rasul
- Kalau kita laksanakan tiga perkara ini dalam keluarga, insya Allah keluarga dan negara kita akan diberi rahmat oleh Allah SWT. Negara akan menjadi baik.
Ayat 24:57
لَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مُعْجِزِينَ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَأْوَىٰهُمُ ٱلنَّارُ وَلَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ
Janganlah engkau menyangka orang-orang kafir itu akan dapat melemahkan kekuasaan Allah (daripada menimpakan azab kepada mereka) di dunia, sedang tempat kembali mereka ialah neraka; dan sesungguhnya neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Pengajaran
- Dalam sesebuah masyarakat atau negara, Allah SWT mencela orang-orang yang tidak mahu beriman dan tidak mahu komited kepada amal soleh.
- Jangan kita menyangka orang yang kufur akan terjauh daripada azab di dunia. Mereka akan diazab di neraka dengan azab yang paling buruk.
- Ada negara nampak maju walaupun mereka tidak beriman. Jangan kita merasakan mereka lepas daripada azab. Hendaklah kita lihat dengan mata iman. Kalau tidak beriman pasti Allah SWT akan azab.
- Sesuatu negara yang beriman, pemimpinnya akan memperjuangkan tiga perkara:
- Dirikan solat. Jaga hubungan dengan Allah SWT.
- Zakat. Jaga hubungan dengan manusia. Prihatin tentang orang miskin dan yang tidak mampu kahwin. Di zaman khalifah Umar Abd Aziz, tidak ada orang miskin. Itu adalah puncak ekonomi yang diberkati.
- Taat kepada rasul. Salah satu sunnahnya ialah memperjuangkan al-Quran.
- Kalau tiga perkara ini tidak diperjuangkan, malah ada orang Islam yang tidak solat, kesannya negara itu akan mendapat azab yang paling teruk. Negara tidak mendapat keamanan. Ia perlu banyak bantuan-bantuan manusia dan teknologi untuk mengamankan negaranya.
Ayat 24:58
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِيَسْتَـْٔذِنكُمُ ٱلَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ وَٱلَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا۟ ٱلْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَٰثَ مَرَّٰتٍ مِّن قَبْلِ صَلَوٰةِ ٱلْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ ٱلظَّهِيرَةِ وَمِنۢ بَعْدِ صَلَوٰةِ ٱلْعِشَآءِ ثَلَٰثُ عَوْرَٰتٍ لَّكُمْ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌۢ بَعْدَهُنَّ طَوَّٰفُونَ عَلَيْكُم بَعْضُكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْءَايَٰتِ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran
- Sehingga ayat 57, berbincang tentang kenegaraan. Tiba-tiba ayat ini pula Allah SWT bawakan adab untuk masuk ke master bedroom (bilik tidur).
- Sebelum masuk ke dalam bilik ibu ayah, mesti minta izin pada 3 masa:
- Sebelum fajar
- Tengahari iaitu waktu qailulah
- Selepas isyak
- Tiga masa ini adalah masa fitrah yang perlu kita faham. Kalau satu rumah itu ibu ayah tidak ada pada masa itu (kerja sampai larut malam, atau masih tidur sampai lewat pagi), maksudnya fitrah syariat bagi keluarga itu tidak berapa baik. Ia mengganggu kepada produktiviti bagi sesebuah negeri dan negara.
- Ini adalah satu daripada peraturan yang Allah SWT tetapkan. Kalau kita ajar kepada anak-anak adab-adab ini, kita dapat pahala kerana ia adalah syariat yang Allah SWT tetapkan.
- Kalau dalam rumah kita dapat bina syariat Islam, insya Allah syariat Islam akan terbina bagi sebuah negara yang kita cintai.
RESOLUSI
Ingat!
- Taati rasul untuk kita mendapat petunjuk atau hidayah (24:54)
- Tingkatkan iman dan amal soleh untuk layak dipilih pemimpin yang dibantu Allah SWT (24:55)
- Raih rahmat Allah SWT dengan solat, zakat dan taat pada rasul (24:56)
Saya berasa lega, Allah SWT kurniakan rahmat sekiranya saya solat, zakat dan taat pada rasul.
Saya jelas saya mesti taati rasul untuk mendapat petunjuk atau hidayah. Saya jelas untuk tingkatkan iman dan amal soleh supaya layak dipilih sebagai pemimpin yang dibantu Allah SWT. Saya jelas untuk raih rahmat Allah SWT dengan solat, zakat dan taat pada rasul.
Ya Allah, jadikan kami orang yang taati rasul agar kami mendapat petunjuk atau hidayah. Ya Allah, tingkatkan iman dan amal soleh kami supaya kami layak dipilih sebagai pemimpin yang dibantu Allah SWT. Ya Allah, jadikan kami orang yang solat, zakat dan taat kepada rasul. Ya Allah, kurniakan rahmat kepada kami.
Rujukan: My #QuranTime Episod 463