Saturday, September 2, 2023

Halaman 358 : Al-Nur, 24:59-61

PERKATAAN HARI INI   


جَنَحَ Cedera, dosa. 
34 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Hukum 12-13: Adab dalam rumah (24:59-60)
  2. Meminta izin kepada keluarga dan dibenarkan makan di sebahagian rumah tanpa perlu minta izin (24:61)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 358. Semoga Allah SWT menerima amalan kita dan  diberkati dengan hidayah dan inayah daripada-Nya. 


Ayat 24:59


وَإِذَا بَلَغَ ٱلْأَطْفَٰلُ مِنكُمُ ٱلْحُلُمَ فَلْيَسْتَـْٔذِنُوا۟ كَمَا ٱسْتَـْٔذَنَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَٰتِهِۦ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


Pengajaran

  1. Anak-anak yang telah baligh, perlu diajarkan untuk minta izin sebelum masuk ke rumah orang atau hendak masuk ke bilik ibu ayah. 
  2. Allah SWT menjelaskan ayat-ayat ini untuk meletakkan Allah SWT sebagai sumber besar untuk peraturan hidup termasuk dalam rumah kita. Kita kena ingat bahawa rumah kita adalah dipinjamkan oleh Allah SWT. Ia tidak kekal. Semuanya bukan milik kita. Milik Allah SWT segalanya. 
  3. Allah SWT Maha Mengetahui psikologi manusia dan bagaimana psikologi tumbesaran anak-anak. Interaksi dengan anak kecil lain caranya. Anak yang sudah baligh, cara berinteraksi sudah berbeza. Sudah ada pemisahan antara lelaki perempuan. Perlu diajar dari segi syariatnya. Kalau tidak diajar, nanti khuatir di rumah orang pun mereka akan buat selamba. 
  4. Allah SWT menjelaskan kepada kita agar anak-anak dididik dengan nur daripada Allah SWT. Nur dalam diri kita kena digilap supaya tidak berdebu dan berjelaga. Fitrah anak yang baik kalau tidak dijaga kaca hatinya, ia akan kotor. Dia mula berfikir kotor, bertindak tidak baik, lantaran ayah ibu tidak ajar kepada anak. 
  5. Tempat tidur anak lelaki dan perempuan mesti diasingkan. Kalau hendak masuk perlu minta izin.


Ayat 24:60


وَٱلْقَوَٰعِدُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ ٱلَّٰتِى لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَٰتٍۭ بِزِينَةٍ وَأَن يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَّهُنَّ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Pengajaran

  1. Ayat ini menekankan lagi tentang etika melabuhkan tudung untuk tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita demi menjaga maruah mereka.
  2. Wanita yang sudah putus haid, tidak boleh mengandung lagi, tidak menginginkan untuk bernikah lagi, tidak berdosa bagi mereka tidak memakai lapisan luar pakaian. 
  3. Kalau wanita memakai tudung tetapi bonggol rambutnya kelihatan, itu tidak memenuhi syarat menutup aurat yang sebenarnya.
  4. Kalau wanita-wanita ini memilih untuk menutup aurat sepenuhnya, itu adalah lebih baik. Ada banyak kebaikan yang diperoleh jika menutup aurat dengan sempurna. Itu adalah perjuangan untuk mentaati perintah daripada Allah yang Maha Penyayang. 
  5. Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui psikologi wanita. Orang yang dengar cakap Allah, Allah akan sentiasa dekat dengannya. Allah akan mendengar rintihannya untuk berjaya.
  6. Ada juga orang berumur yang mahu rupa seperti orang muda. Hidung, muka tidak mahu berkedut. Jangan tergedik sangat. Baik fokus kepada mencuci hati, menaikkan appearance kita dihadapan Allah, dari cucuk sana, cucuk sini untuk nampak menawan. Rupa-rupanya Allah kata itu adalah perbuatan menampakkan perhiasan yang bersifat jahiliah. 


Ayat 24:61


لَّيْسَ عَلَى ٱلْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْمَرِيضِ حَرَجٌ وَلَا عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ أَن تَأْكُلُوا۟ مِنۢ بُيُوتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ ءَابَآئِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أُمَّهَٰتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ إِخْوَٰنِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَخَوَٰتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَعْمَٰمِكُمْ أَوْ بُيُوتِ عَمَّٰتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَخْوَٰلِكُمْ أَوْ بُيُوتِ خَٰلَٰتِكُمْ أَوْ مَا مَلَكْتُم مَّفَاتِحَهُۥٓ أَوْ صَدِيقِكُمْ لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَأْكُلُوا۟ جَمِيعًا أَوْ أَشْتَاتًا فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ مُبَٰرَكَةً طَيِّبَةً كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْءَايَٰتِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki, atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya, atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.


Pengajaran

  1. Ayat 24:61 ini kena gabung dengan ayat 24:31 untuk lebih faham. Ayat ini panjang, pasti ada mesej yang istimewa untuk kita amalkan. Wanita perlu ambil perhatian tentang adab apabila bersama adik beradik dan keluarga emak ayah agar maruah dan aurat terjaga dengan panduan daripada Allah SWT.
  2. Orang yang buta atau OKU, orang sakit tidak ada masalah untuk makan di dalam rumah kita. 
  3. Tidak ada masalah kalau kita hendak makan di rumah ayah, ibu, adik beradik, pak cik atau mak cik sebelah ayah atau sebelah emak. Pelihara aurat dan adab yang sepatutnya.
  4. Apa sahaja makanan yang ada dalam rumah kita, rumah adik beradik, emak/bapa saudara, rumah yang kita jaga, bolehlah dimakan oleh semua orang yang ada dalam rumah itu bersama-sama atau berasing-asing. 
  5. Ayat ini panjang kerana Allah SWT ajar etika penting ketika bercampur gaul dengan adik beradik dan saudara mara. Ini bukan sekadar isu makan tetapi tentang adab, aurat dan etika dalam pergaulan keluarga terdekat. Semasa kecil-kecil tidak ada masalah, tetapi bila sampai tahap baligh adab, aurat dan termasuk juga etika pergaulan ini perlu dijaga. Kalau bertamu di hari raya, atau semasa bercuti tidak dijaga perkara ini dalam rumah, maksudnya syariat Islam itu tidak dibangkitkan, khuatir ia akan menghancurkan sesebuah masyarakat. 
  6. Apabila masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kita memberi salam walaupun tidak ada orang. Salam itu bukan sahaja untuk orang di dalam rumah itu, tetapi adalah untuk diri kita juga bagi memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.
  7. Allah SWT berikan panduan adab dan etika ini adalah untuk menjauhkan kita daripada pelbagai isu fitnah dalam masyarakat yang bermula daripada rumah.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Ajarkan anak-anak yang baligh supaya meminta izin untuk masuk ke bilik orang tuanya (24:59)
  2. Ingatkan wanita tentang hijab dan sifat malu (24:61)
  3. Ketika hendak masuk rumah, ucapkan : Bismillah, kemudian berikan salam (24:61)

Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan adab dan etika bersama adik-beradik dan keluarga tedekat agar maruah saya terjaga.

Saya jelas saya mesti ajarkan anak-anak yang baligh supaya meminta izin untuk masuk ke bilik orang tuanya. Saya jelas untuk ingatkan wanita tentang hijab dan sifat malu. Saya jelas ketika hendak masuk rumah, ucapkan : Bismillah, kemudian berikan salam.

Ya Allah, bimbing kami untuk jaga adab dan aurat dalam rumah bersama adik beradik dan keluarga terdekat. Ya Allah, kurniakan keberkatan dan kesejahteraan kepada keluarga kami.


Rujukan: My #QuranTime Episod 464

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...