PERKATAAN HARI INI
كَفَى / كَفَيَ. Memadai, mencukupi. 33 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Nasihat Nabi Muhammad SAW dan sebab perintah menjadikan ibadah itu hanya kepada Allah SWT (25:56-62)
- Sifat sebagai hamba Allah Ar-Rahman (25:63-67)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 365. Kita berada di halaman kedua terakhir surah al-Furqan.
Pada halaman lepas, telah dijelaskan bahawa perjuangan al-Quran mesti diteruskan. Laut yang tawar dan masin tidak bercampur, maka dalam kehidupan kita ambil al-Quran yang menghasilkan air yang tawar yang sedap diminum dan jangan bercampur dengan orang-orang yang ada air masin pahit yang buruk akhlak, perkataan dan idea mereka. Teruskan bersama al-Furqan yang menjadi pembeza di antara yang hak dan yang batil.
Ayat 25:56
وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا
Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
Pengajaran
- Tugas Rasulullah SAW ialah menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan juga memberi amaran kepada orang-orang yang ingkar. Itu sahaja. Bukannya untuk memastikan hati orang itu beriman, terus masuk Islam. Itu bukan tugas kita.
- Begitu juga kita yang hendak mengikut jejak Nabi SAW ini. Kita kena beri amaran kepada rakan-rakan kita kalau ada perkara yang tidak kena dalam kehidupan. Contoh: Beri amaran kepada orang-orang yang terlibat dengan rasuah.
Ayat 25:57
قُلْ مَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ إِلَّا مَن شَآءَ أَن يَتَّخِذَ إِلَىٰ رَبِّهِۦ سَبِيلًا
Katakanlah: "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang balasan bagi apa yang aku sampaikan kepada kamu, selain daripada berimannya seseorang yang mahu mendapatkan jalan sampainya kepada keredaan Allah".
Pengajaran
- Nabi SAW dituduh macam-macam, antaranya dikatakan baginda SAW adalah ahli sihir, tukang tilik, orang yang hendak ambil kuasa. Tukang tilik ini ada bayaran untuk mendapat sumber pendapatan.
- Nabi SAW tidak minta semua itu. Baginda SAW hanya minta orang mengikut ajarannya untuk sampai kepada keredaan Allah SWT.
- Pelajaran untuk kita: dalam kita mendidik anak, masyarakat kita ada tujuan yang amat tinggi ini.
Ayat 25:58
وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱلْحَىِّ ٱلَّذِى لَا يَمُوتُ وَسَبِّحْ بِحَمْدِهِۦ وَكَفَىٰ بِهِۦ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرًا
Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;
Pengajaran
- Tawakkal sebenarnya hanyalah kepada Allah SWT, bukan bergantung kepada makhluk-makhluk lain.
- Mengajak orang kepada kebaikan memang penat. Allah SWT ingatkan, untuk dapatkan kekuatan banyakkan bertasbih, bertahmid dan bersujud kepada-Nya.
- Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi ia mesti diperjuangkan, kerana daripada bayang-bayang yang gelap ia akan menjadi cahaya menerangi manusia seluruh alam.
- Cukuplah Allah SWT yang tahu dosa hamba-hambaNya. Kita sebagai ibu ayah, pendakwah, penceramah, jangan suka membongkar dosa orang lain. Janganlah kita jadi penghukum kepada pendosa. Biarlah Allah SWT yang menghukum. Dengan itu kita tidak cepat letih.
- Tugas pendakwah adalah untuk mengajak orang kepada Allah SWT. Kalau kita suka menghukum orang, dalam kita pun banyak dosa. Akhirnya kita kurang bertasbih, suka menghukum. Padahal pendakwah adalah seperti Nabi SAW, hingga akhir hayatnya masih mengajak orang kepada al-Furqan. Inilah yang kita hendak ambil dari sunnah Nabi SAW, berdakwah sampai akhir hayat. Nabii SAW tidak menghukum kafir dan sebagainya tetapi terus mengajak kepada ar-Rahman, Allah Yang Maha Pemurah.
Ayat 25:59
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱلرَّحْمَٰنُ فَسْـَٔلْ بِهِۦ خَبِيرًا
Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya.
Pengajaran
- Allah SWT menciptakan langit dan bumi dalam enam masa. Ini menunjukkan Allah SWT ada sistem, ada peraturan, ada masa yang dirancang untuk panduan kita.
- Kalau kita hendak menguruskan sesuatu projek yang besar, kita kena ada fasa-fasa. Fasa-fasa inilah dinamakan enam 6 masa. Inilah kehebatan Allah SWT.
- Kemudian Allah bersemayam di atas takhta. Menunjukan Allah SWT amat berkuasa. Raja bila bersemayam di atas tahta akan menjatuhkan hukuman. Yang baik diberi anugerah. Yang tidak, dihukum, ditarik balik pingat yang telah diberi.
- Allah SWT Maha Pemurah dan sentiasa memberi anugerah untuk kita dekat padaNya.
Ayat 25:60
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱسْجُدُوا۟ لِلرَّحْمَٰنِ قَالُوا۟ وَمَا ٱلرَّحْمَٰنُ أَنَسْجُدُ لِمَا تَأْمُرُنَا وَزَادَهُمْ نُفُورًا
Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): "Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!" Mereka bertanya: "Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?" Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar.
Pengajaran
- Orang musyrik mempersoalkan siapa Ar-Rahman. Mereka tidak mahu sujud bahkan menjauhkan lagi diri dari Allah SWT. Mereka tidak fokus kepada mesej tetapi kepada orang yang memberi mesej.
- Di zaman ini juga ada orang yang hanya mahu mengambil mesej daripada asatizah tertentu yang dia suka. Ini adalah kesombongan yang nyata. Bila bersama dengan al-Quran, kita diajar untuk fokus kepada mesej yang disampaikan agar tidak jadi orang yang sombong.
Ayat 25:61
تَبَارَكَ ٱلَّذِى جَعَلَ فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًا وَجَعَلَ فِيهَا سِرَٰجًا وَقَمَرًا مُّنِيرًا
Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.
Pengajaran
- Perkataan تَبَارَكَ ٱلَّذِى yang disebut pada permulaan surah disebut sekali lagi. Untuk menjadi hamba ar-Rahman, kena kenal dahulu ar-Rahman itu siapa.
- Maha Berkat Tuhan yang menjadikan gugusan bintang dan matahari sebagai lampu (سِرَٰجًا). Allah SWT suruh kita lihat kehebatan ini supaya kita rasa betapa kerdilnya kita.
Ayat 25:62
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ خِلْفَةً لِّمَنْ أَرَادَ أَن يَذَّكَّرَ أَوْ أَرَادَ شُكُورًا
Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu).
Pengajaran
- Allah SWT menjadikan siang dan malam untuk kita berfikir tentang kebesaranNya.
- Bila melihat pertukaran siang dan malam, ia sepatutnya mengingatkan kita bila kita lalai atau malas. Ada masa kita susah buat kebaikan, ada masa mudah buat kebaikan. Hendaklah kita cepat-cepat berubah kepada kebaikan. Jangan biarkan perkara negatif berterusan.
- Dengan perubahan siang dan malam, kita semakin mengingat Allah SWT, semakin hendak bersyukur dan kesan daripada mengingat Allah SWT dan syukur ini hamba ar-Rahman terbina dengan akhlak-akhlak seperti dalam ayat-ayat seterusnya.
Ayat 25:63
وَعِبَادُ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى ٱلْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلْجَٰهِلُونَ قَالُوا۟ سَلَٰمًا
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;
Pengajaran
- Hamba-hamba ar-Rahman, ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.
- Perasaan inilah yang melakari kehidupan hamba-hamba Allah SWT. Mereka tidak sombong, megah, tidak merasa lebih baik dari orang lain, tetap dia adalah seorang hamba yang hendak mengajak orang lain menjadi hamba dengan penuh rasa kehambaan.
- Hendaklah kita bina sifat Ibadurrahman di dalam kelas, di dalam rumah dan dalam organisasi. Jika hati tidak betul-betul rendah hati, (هَوْنًا), kita akan ada rasa kesombongan itu.
- Orang yang bersyukur tidak akan marah-marah ketika bersama orang di sekeliling. Contohnya waktu mengajar orang yang susah memahami, perlu ada kesabaran dan tidak marah-marah.
- Orang-orang yang jahil bercakap dengan suara yang kuat. Mereka mungkin orang yang ada ilmu tetapi tidak boleh mengawal perasaan yang negatif, mereka akan cepat marah-marah.
- Orang-orang yang ada ciri Ibadurrahman, apabila orang jahil menghina mereka, mereka akan balas dengan kata-kata yang baik (سَلَٰمًا). Mereka ucapkan kata-kata yang sejahtera. Kalau perlu diam, maka diamlah. Kalau perlu, balaslah dengan perkataan yang baik yang menyebabkan orang itu makin lagi menerima hujah yang ada, itulah sejahtera. Cakap supaya keadaan semakin baik, bukan semakin rosak.
- Hadis Nabi SAW: "Siapa yang beriman pada Allah dan hari akhirat, cakaplah perkara yang baik atau senyap".
Ayat 25:64
وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَٰمًا
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,
Pengajaran
- Mereka menghidupkan rumah di waktu malam dengan mengerjakan ibadah, berdoa, bersujud dan berdiri untuk mendapatkan bantuan Allah SWT bagi melaksanakan projek-projek besar pada siang hari.
- Mereka menghidupkan dinamo hati pada waktu malam bagi mendapatkan kekuatan untuk mengerjakan kebaikan pada siang hari.
Ayat 25:65
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan
Pengajaran
- Ibadurrahman takut azab neraka. Mereka bimbang risiko paling tinggi apabila ahli keluarga atau ahli organisasi dihumban ke dalam neraka jahannam. Mereka berdoa: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami. Sesungguhnya azab neraka itu adalah mengerikan".
- Risiko paling tinggi ialah dihumban ke dalam neraka dan melekat di dalamnya, tidak dapat dipisahkan lagi. Hukuman bukan dari manusia biasa, tetapi daripada Allah SWT yang Amat Perkasa.
Ayat 25:66
إِنَّهَا سَآءَتْ مُسْتَقَرًّا وَمُقَامًا
Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk";
Pengajaran
- Neraka adalah tempat kediaman paling buruk.
Ayat 25:67
وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
Pengajaran
- Mereka tidak melampau membelanjakan harta, dan tidak kedekut.
- Hamba ar-rahman bersederhana dalam kehidupannya. Selalu istiqomah mengikut panduan al-Quran.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa menyeimbangkan khabar gembira dan ancaman dalam memperbaiki diri (25:56)
- Berjuang untuk lebih ramai mengikut jalan Allah SWT (25:57)
- Mengamalkan ciri hamba Ar-Rahman dengan merendah diri dan berkata sopan (25:63)
Saya berasa lega, Allah SWT berikan khabar gembira dan ancaman agar saya dapat memperbaiki diri.
Saya jelas saya mesti sentiasa menyeimbangkan khabar gembira dan ancaman dalam memperbaiki diri. Saya jelas untuk berjuang agar lebih ramai mengikut jalan Allah SWT. Saya jelas untuk mengamalkan ciri hamba Ar-Rahman dengan merendah diri dan berkata dengan sopan.
Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa menyeimbangkan khabar gembira dan ancaman dalam memperbaiki diri. Ya Allah, bantu kami untuk berjuang agar lebih ramai mengikut jalan Allah SWT. Ya Allah, bimbing kami untuk mengamalkan ciri hamba Ar-Rahman dengan merendah diri dan berkata dengan sopan.
Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat.
Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami. Sesungguhnya azab neraka itu adalah mengerikan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.