PERKATAAN HARI INI
ضَعَف Menggandakan. 52 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Sambungan sifat sebagai hamba Allah Ar-Rahman (25:68-76)
- Allah tidak peduli kepada orang yang tidak beribadah apatah lagi yang mendustakan-Nya (25:77)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 366. Kita berada di halaman akhir surah al-Furqan.
Pada halaman lepas kita telah melihat beberapa ciri-ciri Ibadurrahman. Ayat ini menyambung lagi ciri-ciri tersebut. Mengikut Ibnu Asyur ada 11 ciri-ciri Ibadurrahman. Menurut Imam Sya'rawi dan Imam Qardawi ada 12.
Ayat 25:68
وَٱلَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
Pengajaran
- Mereka tidak syirik dan tidak bergantung kepada apa-apa kecuali kepada Allah SWT.
- Mereka juga mengajak orang lain untuk tidak berdoa atau meminta selain daripada Allah SWT.
- Mereka tidak membunuh walaupun satu jiwa kecuali yang dibenarkan seperti melaksanakan hukum qisas.
- Mereka tidak berzina. Bunuh dan zina adalah dua dosa besar kesan daripada mensyirikkan Allah SWT. Orang yang tidak kisah kepada Allah SWT, mereka sanggup untuk membunuh, dan tidak kisah terlibat dengan zina.
- Isu yang berleluasa sekarang seperti rasuah juga menghala ke arah perzinaan dan pembunuhan. Mereka hanya hendakkan daripada manusia bukan daripada Allah SWT untuk menjadi kaya.
- Siapa yang buat perkara itu tanpa sedar, itu adalah dosa besar. Sebagai hamba sepatutnya kita bimbang terlibat dengan perkara ini.
Ayat 25:69
يُضَٰعَفْ لَهُ ٱلْعَذَابُ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِۦ مُهَانًا
Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, -
Pengajaran
- Sesiapa yang buat perkara itu, mereka akan digandakan azab di akhirat kelak dan dikekalkan dengan kehinaan. Ini kerana mereka sudah mengetahui tentang Allah SWT tetapi tetap mensyirikkan Allah SWT.
- Mereka tahu jiwa manusia berharga tetapi mereka tetap mahu membunuh. Bukan sekadar jenayah fizikal tetapi jenayah spiritual ( يَزْنُونَ) yang akan mematikan hati, perasaan individu dan masyarakat.
Ayat 25:70
إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَٰلِحًا فَأُو۟لَٰٓئِكَ يُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِهِمْ حَسَنَٰتٍ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pengajaran
- Kalau pernah terlibat, Allah ar-Rahman beri peluang selagi kita dipinjamkan nafas. Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
- Orang yang buat silap kemudian bertaubat, mereka bukan sekadar jadi orang baik, tetapi mereka jadi lebih baik sekiranya mereka:
- Bertaubat. Kembali kepada Allah, tidak mensyirikkan Allah SWT, tidak terlibat dengan jenayah bunuh, atau membantu jenayah.
- Memperbaiki iman. Mereka buat sesuatu kerana Allah SWT, bukan kerana manusia.
- Membuat amalan yang betul-betul ‘islah’, membaiki apa yang telah dibuat. Mereka menjauhkan diri darpada perkara-perkara keburukan.
- Kalau kita pernah terlibat dengan keburukan, Allah SWT beri peluang untuk membuat kebaikan. Dengan bertaubat, Allah SWT akan tutup segala kelemahan dan Allah SWT sayang sepertimana sebelum buat keburukan itu.
Ayat 25:71
وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا فَإِنَّهُۥ يَتُوبُ إِلَى ٱللَّهِ مَتَابًا
Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;
Pengajaran
- Allah SWT iktiraf orang yang bertaubat sebagai مَتَابًا. Ini adalah tahap taubat yang tinggi.
- Allah SWT menyukai hamba-hambaNya yang bertaubat. Allah SWT akan gantikan masa dia buat keburukan menjadi kebaikan sekiranya memenuhi 3 syarat di atas.
Ayat 25:72
وَٱلَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِٱللَّغْوِ مَرُّوا۟ كِرَامًا
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.
Pengajaran
- Mereka tidak memberi kesaksian palsu, tidak menyebar berita-berita palsu.
- Di zaman media sosial, amat mudah untuk viralkan perkara-perkara yang tidak betul sekiranya pemikirannya tidak sejahtera.
- Mereka yang berciri Ibadurrahman tidak mahu bersekongkol dengan perkara-perkara yang tidak baik yang boleh mencetuskan dosa.
Ayat 25:73
وَٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا۟ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا۟ عَلَيْهَا صُمًّا وَعُمْيَانًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.
Pengajaran
- Bila diberi peringatan, mereka tidak tunduk dalam keadaan pekak dan buta kepada ayat-ayat Allah SWT. Mereka ciri Ibadurrahman akan dengar betul-betul dan ambil tindakan.
- Mereka tidak buta, tidak menutup fahaman mereka daripada perkara yang betul. Kanta pemandangan mereka bertukar untuk mendapat keuntungan di akhirat.
Ayat 25:74
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
Pengajaran
- Dengan hati yang bersih, Ibadurrahman sentiasa berdoa agar Allah SWT berikan hadiah besar:
- mendapat pasangan yang baik.
- zuriat keturunan yang menjadi penyejuk mata,
- قُرَّةَ أَعْيُنٍ penyejuk mata iaitu pasangan dan zuriat yang melakukan kebaikan demi kebaikan. Akhlak mulia, tolong menolong dalam keluarga.
- Kefahaman tentang doa ini, kitalah kena jadi orang yang menyejukkan mata dahulu. Kita balas kelemahan/keburukan dengan kata-kata yang sejahtera.
Ayat 25:75
أُو۟لَٰٓئِكَ يُجْزَوْنَ ٱلْغُرْفَةَ بِمَا صَبَرُوا۟ وَيُلَقَّوْنَ فِيهَا تَحِيَّةً وَسَلَٰمًا
Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,
Pengajaran
- Ibadurrahman akan mendapat tempat yang tinggi di syurga (ٱلْغُرْفَةَ) disebabkan kesabaran mereka, dan mereka akan menerima penghormatan dan ucapan kesejahteraan di dalam syurga.
- Ganjaran ini akan diperolehi oleh orang-orang yang mengamalkan 11 ciri-ciri yang disebut di atas.
Ayat 25:76
خَٰلِدِينَ فِيهَا حَسُنَتْ مُسْتَقَرًّا وَمُقَامًا
Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.
Pengajaran
- Mereka kekal di dalam syurga itu.
- Itulah tempat bermukim yang amat luas dan kekal selama-lamanya (مُسْتَقَرًّا).
Ayat 25:77
قُلْ مَا يَعْبَؤُا۟ بِكُمْ رَبِّى لَوْلَا دُعَآؤُكُمْ فَقَدْ كَذَّبْتُمْ فَسَوْفَ يَكُونُ لِزَامًۢا
Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu".
Pengajaran
- Kalau segala tawaran ini kita tidak berminat, Allah SWT kata "Dia tidak perlukan kita".
- Allah SWT templak kepada orang-orang yang tidak mahu kembali kepada al-Quran dan tidak mahu menjadi Ibadurrahman. Mereka akan diberi balasan azab.
RESOLUSI
Ingat!
- Elakkan menyembah atau memohon selain daripada Allah SWT sebagai tempat mutlak (25:68)
- Sentiasa bertaubat agar Allah SWT gantikan keburukan dengan kebaikan (25:70)
- Sentiasa respons kepada ayat-ayat Allah SWT (25:73)
Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan sifat hamba ar-Rahman agar saya berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.
Saya jelas saya mesti membina sifat sebagai hamba Allah Ar-Rahman. Saya jelas Allah tidak peduli kepada orang yang tidak beribadah apatah lagi yang mendustakan-Nya. Saya jelas untuk elakkan menyembah atau memohon selain daripada Allah SWT sebagai tempat mutlak. Saya jelas untuk sentiasa bertaubat agar Allah SWT gantikan keburukan dengan kebaikan. Saya jelas untuk sentiasa respons kepada ayat-ayat Allah SWT.
Ya Allah, bimbing kami untuk membina sifat sebagai hamba Allah Ar-Rahman. Ya Allah bimbing kami agar menjadi orang sentiasa beribadah kepada Mu dan jauhkan kami daripada mendustakan-Mu. Ya Allah, jauhkan kami daripada menyembah atau memohon selain daripada Mu. Ya Allah, terimalah taubat kami, gantikan keburukan dengan kebaikan kepada kami. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa respons kepada ayat-ayat Mu.
Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari pasangan dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.