Sunday, September 3, 2023

Halaman 364 Al-Furqan, 44-55

PERKATAAN HARI INI

   ظَلَّ / ظَلَلَ  Bayang-bayang. 33 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Gunakan deria sebaik mungkin (25:44)
  2. Lima hujah atas keberadaan Allah SWT dan keesaan-Nya (25:45-54)
  3. Menyembah sesuatu yang tidak bermanfaat (25:55)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 364 surah al-Furqan. Surah ini menjelaskan fungsi al-Quran bagi menaikkan taraf berfikir kita. Ini adalah anugerah daripada Allah SWT untuk meluruskan cara kita berperasaan dan berfikir.

Ayat 25:44

أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلَّا كَٱلْأَنْعَٰمِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلًا

Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.

Pengajaran

  1. Allah SWT menyatakan bahawa orang kufur ini boleh mendengar dan berfikir tetapi mereka tidak mahu mendengar dan mengikut peraturan. Mereka itu lebih sesat daripada binatang ternakan.
  2. Mereka mendengar dan boleh berfikir tetapi ia tidak digunakan secara optimum. Contoh: bila sampai masa untuk solat, mereka tidak ikut peraturan Tuhan. 
  3. Allah SWT suruh kita gunakan deria yang ada untuk melihat kebesaranNya.

Ayat 25:45

أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ ٱلظِّلَّ وَلَوْ شَآءَ لَجَعَلَهُۥ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا ٱلشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا

Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;

Pengajaran

  1. Allah SWT suruh kita perhatikan kekuasaanNya dengan melihat bayang-bayang.
  2. Bayang-bayang ialah salah satu daripada kehebatan Allah SWT. Ia merujuk kepada satu yang gelap. Bila panjang bayang-bayang, itu tandanya hari hendak malam. 
  3. Banyak manfaat daripada bayang-bayang. Allah SWT boleh sahaja membuat bayang-bayang sama atau tetap sahaja. Kesannya rumah kita mungkin runtuh kerana panas setempat sahaja dalam jangka masa panjang. Musim juga tidak berubah. Ada kawasan yang akan gelap atau siang sepanjang masa. 
  4. Allah SWT jadikan matahari sebagai petunjuk untuk kehidupan kita. 
  5. Apa kaitan al-Furqan dengan bayang-bayang? Allah SWT hendak ceritakan bahawa orang yang dalam jahiliyah ini mereka tidak dapat Quran. Mereka berada dalam gelap atau dalam keadaan malam. 

Ayat 25:46

ثُمَّ قَبَضْنَٰهُ إِلَيْنَا قَبْضًا يَسِيرًا

Kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur.

Pengajaran

  1. Allah SWT boleh menarik bayang-bayang itu secara perlahan-perlahan. Ia adalah perjuangan untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada terangnya matahari, diwakili oleh nur daripada al-Quran.
  2. Setiap kali kita melihat matahari, ia ada kaitan dengan al-Furqan. Di dunia ini, hanya satu billion sahaja dari 5-6 billion manusia yang Islam yang mendapat cahaya. Yang lain-lain itu dalam kegelapan. Teraba-teraba. 
  3. Kalau kita terus berada dalam bayang-bayang, itu menunjukan kita menuju kegelapan. Semakin pendik bayang-bayang makna kita menuju siang. Ini dikaitkan dengan matahari dan dengan al-Quran. 

Ayat 25:47

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ لِبَاسًا وَٱلنَّوْمَ سُبَاتًا وَجَعَلَ ٱلنَّهَارَ نُشُورًا

Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.

Pengajaran

  1. Malam ialah selimut alam. Orang yang dapat malam maknanya dia dapat selimut. 
  2. Tidur waktu malam adalah rehat yang terbaik. Itu adalah waktu membuang racun badan (detoxification). Tidak sama tidur siang dan tidur malam. Kualiti kesembuhan berbeza kalau tidur siang. Siang ialah untuk kita bangkit dan bertebaran untuk mencari rezeki.
  3. Apabila kita dapat cahaya daripada al-Quran, kita akan bangkit untuk memajukan alam ini. Kita akan nampak Quran ini sangat hebat. Cara berfikir kita berubah. Nampak alam, nampak akhirat. Nampak akhirat, nampak alam. Itulah yang diajarkan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Ayat 25:48

وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ ٱلرِّيَٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦ وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً طَهُورًا

Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci,

Pengajaran

  1. Bila ada angin bertiup, itu adalah khabar gembira bahawa selepas itu ada rahmat iaitu hujan.
  2. Bila seseorang bersama wahyu yang turun daripada langit iaitu al-Quran/al-Furqan, kesannya, ia adalah petanda khabar gembira bahawa kita akan dapat rahmat daripada Allah SWT. 
  3. Dari langit, turun hujan yang membersihkan sungai yang kotor dan lain-lain. Al-Quran (wahyu) yang juga turun dari langit, akan menyucikan hati. Orang yang ada al-Furqan ini akan bersikap baik, tidak gosip, tidak kutuk orang. Mereka dapat menjangkakan sesuatu kesan baik akan berlaku apabila mengamalkan al-Quran.
  4. Tengok bayang-bayang tengok pada diri. Tengok pada malam tengok pada diri. Tengok pahit masin, fikirkan siapa yang pahit masin dalam kehidupan kita atau kita yang pahit masin.
  5. Bila bersama Quran kita dapat memahami berbagai sudut yang Allah SWT sampaikan.

Ayat 25:49

لِّنُحْۦِىَ بِهِۦ بَلْدَةً مَّيْتًا وَنُسْقِيَهُۥ مِمَّا خَلَقْنَآ أَنْعَٰمًا وَأَنَاسِىَّ كَثِيرًا

Untuk Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada sebahagian dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang ramai.

Pengajaran

  1. Air boleh menghidupkan bumi yang mati, memberi manfaat kepada binatang ternakan dan kepada manusia yang ramai. 
  2. Al-Quran bila sampai ke dalam diri seseorang, ia akan memberi manfaat kepada berbagai kelompok manusia  (وَأَنَاسِىَّ كَثِيرًا).

Ayat 25:50

وَلَقَدْ صَرَّفْنَٰهُ بَيْنَهُمْ لِيَذَّكَّرُوا۟ فَأَبَىٰٓ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ إِلَّا كُفُورًا

Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur.

Pengajaran

  1. Allah SWT bercakap tentang air. Allah SWT pelbagaikan air sampai ke lain-lain tempat. 
  2. Wahyu juga Allah SWT pelbagaikan supaya ramai manusia ambil peringatan.
  3. Bila tengok alam, dapat Quran, hendaklah kita berfikir supaya dapat mengenal Allah SWT serta bersyukur kepadaNya. 

Ayat 25:51

وَلَوْ شِئْنَا لَبَعَثْنَا فِى كُلِّ قَرْيَةٍ نَّذِيرًا

Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran.

Pengajaran

  1. Allah SWT menghantar rasul di tempat yang strategik untuk memperingatkan mereka agar kembali kepada Allah SWT. 
  2. Orang-orang yang mendapat mesej daripada rasul, seperti matahari, mereka juga akan menyebarkan cahaya al-Quran di merata-rata tempat seluruh dunia. 

Ayat 25:52

فَلَا تُطِعِ ٱلْكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدْهُم بِهِۦ جِهَادًا كَبِيرًا

Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

Pengajaran

  1. Allah SWT bawakan ayat ini untuk mengingatkan kita tentang perjuangan Nabi SAW menyampaikan al-Quran kepada orang-orang kafir.
  2. Berjuang dengan al-Quran, baca, faham, amal dan sebar adalah juga jihad besar (جِهَادًا كَبِيرًا)
  3. Makin ramai yang membaca al-Quran, bersungguh-sungguh memperjuangkan al-Quran, nanti rahmat Allah SWT akan turun, ia akan menyucikan jiwa-jiwa yang kotor di atas muka bumi ini.

Ayat 25:53

وَهُوَ ٱلَّذِى مَرَجَ ٱلْبَحْرَيْنِ هَٰذَا عَذْبٌ فُرَاتٌ وَهَٰذَا مِلْحٌ أُجَاجٌ وَجَعَلَ بَيْنَهُمَا بَرْزَخًا وَحِجْرًا مَّحْجُورًا

Dan Dia lah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.

Pengajaran

  1. Allah SWT memberikan kepada kita dua laut berdampingan. Yang satu tawar lagi menghilangkan dahaga, yang satu lagi masin pahit. Kedua-dua laut ini tidak bercampur. Ada pemisah di antaranya. 
  2. Ini adalah satu kebesaran Allah SWT. Umat yang beriman dengan al-Quran, umpama air tawar yang tidak puas meminumnya. Orang yang tidak bersama al-Quran, umpama air yang masin pahit. Lagi diminum lagi haus.
  3. Pastikan kita letak pemisah antara kita dengan orang yang umpama air pahit masin itu. Mereka yang kufur, yang bawa ideologi pelbagai kita kena letak pemisah. Kita kena ada identiti dengan selalu mengambil air yang sedap daripada al-Quran.

Ayat 25:54

وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ مِنَ ٱلْمَآءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُۥ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan bahawa Dia mencipta manusia daripada air. Kemudian terjadinya hubungan pernikahan dan membiak. 
  2. Daripada wahyu yang turun daripada langit, ia membina manusia agar tidak berantakkan.
  3. Allah SWT berkuasa menciptakan apa jua yang dikehendakinya. 

Ayat 25:55

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُهُمْ وَلَا يَضُرُّهُمْ وَكَانَ ٱلْكَافِرُ عَلَىٰ رَبِّهِۦ ظَهِيرًا

Dan mereka (yang musyrik) menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak memberi manfaat kepada mereka (yang menyembahnya) dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada mereka (yang tidak menyembahnya); dan orang yang kafir selalu menjadi pembantu (bagi golongannya yang kafir) untuk menderhaka kepada tuhannya.

Pengajaran

  1. Orang-orang musyrik menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak memberi manfaat kepada mereka yang menyembahnya, dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada mereka yang tidak menyembahnya.
  2. Orang-orang yang kafir selalu menjadi pembantu syaitan untuk menderhaka kepada tuhannya.
  3. Jangan meletakkan Allah SWT kebelakang dan jangan mengambil selain Allah SWT sebagai pembantu.

RESOLUSI

Ingat!

  1. Gunakan deria untuk mencari kebenaran (25:44)
  2. Ambil pelajaran daripada bayang-bayang (25:45)
  3. Berjuang dengan al-Quran dengan bersungguh-sungguh (25:52)

Saya berasa lega, Allah SWT kurniakan deria yang baik untuk saya. Semoga saya dapat gunakan deria untuk mencari kebenaran.

Saya jelas saya mesti gunakan deria untuk mencari kebenaran. Saya jelas untuk ambil pelajaran daripada bayang-bayang. Saya jelas untuk berjuang dengan al-Quran dengan bersungguh-sungguh.

Ya Allah, bimbing  kami agar dapat gunakan deria untuk mencari kebenaran. Ya Allah, bimbing kami untuk ambil pelajaran daripada bayang-bayang. Ya Allah, bantu kami untuk berjuang dengan al-Quran dengan bersungguh-sungguh.

"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 



Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...