PERKATAAN HARI INI
بَخَعَ Membinasakan. 2 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Pendustaan orang musyrik terhadap al-Quran dan peringatan kepada mereka serta bukti keesaan Allah SWT (26:1-9)
- Firaun mengasuh dan mendidik Nabi Musa AS (26:10-19)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 367 pada hari ini di surah baru, Surah Al-Syu'ara' yang bermakna Para Penyair.
Surah ini adalah tentang para penyair pada zaman Nabi SAW. Ada yang membawa kebaikan dan ada yang membawa keburukan. Di zaman ini, mungkin boleh dikaitkan dengan ahli seni, penulis di media sosial, ‘copywriter’ dan ‘cybertrooper’. Kita hendak belajar bagaimana disiplin yang ada dalam surah ke-26 ini.
Surah ini adalah surah Makkiyah yang turun di peringkat awal Nabi SAW di Mekah. Terdapat kisah Nabi Musa AS dan juga kisah Nabi Ibrahim AS. Ayat-ayat dalam surah ini pendek-pendek tetapi ia memberi kesan yang besar.
Ayat 26:1
طسٓمٓ
Taa, Siin, Miim.
Pengajaran
- Ini adalah huruf muqatta’ah. Dalam al-Quran, ada empat surah yang bermula dengan huruf muqatta’ah yang ada huruf ط iaitu surah Taha, al-Syu'ara', al-Naml dan al-Qasas.
- Keempat-empat surah ini ada kisah ular yang berkaitan dengan kisah Nabi Musa AS. Menurut ulama yang mengkaji, ini boleh dikaitkan dengan huruf ط yang bentuknya macam ular.
- Dengan sikap yang merendah diri kita, kita beriman bahawa Allah SWT yang lebih mengetahui.
Ayat 26:2
تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱلْكِتَٰبِ ٱلْمُبِينِ
Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata.
Pengajaran
- Seseorang akan mendapat peraturan dan kebesaran Allah SWT daripada kitab ini.
- Ayat-ayat al-Quran ini telah tertulis di Loh Mahfuz. Ia telah lengkap dan bukan Nabi SAW yang buat. Nabi SAW hanya bacakan kepada kaum pada zamannya dan kita dapat membacanya sampai sekarang.
- Ia penuh dengan penjelasan untuk memberi hidayah kepada kita semua kerana kita tidak tahu. Hanya Allah SWT yang Maha Tahu.
Ayat 26:3
لَعَلَّكَ بَٰخِعٌ نَّفْسَكَ أَلَّا يَكُونُوا۟ مُؤْمِنِينَ
Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.
Pengajaran
- Allah SWT memujuk Nabi SAW jangan stres kerana mereka tidak beriman.
- Allah SWT hendak menyatakan bahawa bukan salah baginda SAW dan kitab, tetapi masalah orang yang berinteraksi dengan kitab.
- Kaum musyrik di Mekah mengatakan Nabi SAW penipu, ahli sihir dan sebagainya. Nabi dipujuk, jangan stres, teruskan perjuangan memberi berita gembira dan ancaman supaya manusia kembali kepada Allah SWT. Ini juga peranan kita. Kalau kita sudah ajak orang buat kebaikan, Alhamdulillah, jangan stres kalau mereka tidak ikut.
- Bila orang tidak ikut, janganlah kita bimbang sehingga menyebabkan penyakit mental yang boleh membawa kebinasaan kepada diri sendiri.
Ayat 26:4
إِن نَّشَأْ نُنَزِّلْ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ءَايَةً فَظَلَّتْ أَعْنَٰقُهُمْ لَهَا خَٰضِعِينَ
Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya.
Pengajaran
- Allah SWT boleh sahaja menurunkan mukjizat yang mereka mahu Nabi SAW tunjukkan.
Ayat 26:5
وَمَا يَأْتِيهِم مِّن ذِكْرٍ مِّنَ ٱلرَّحْمَٰنِ مُحْدَثٍ إِلَّا كَانُوا۟ عَنْهُ مُعْرِضِينَ
Dan tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang baharu dari (Allah) Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya.
Pengajaran
- Hendaklah kita sedar bahawa al-Quran sebagai zikir daripada ar-Rahman ini bersifat مُحْدَثٍ, terkini, segar dan dekat dengan kita.
- Zikr maksudnya mengingatkan kembali apa yang kita lupa. Apa sahaja dalam Quran ini kita sudah tahu kerana sudah ada fitrah dalam diri kita iaitu kita menyembah kepada Tuhan Maha Esa, orang yang berbuat tidak baik akan dihancurkan, Nabi SAW adalah pesuruh Allah SWT dan kita bersedia untuk berdepan dengan hari akhirat.
- Apabila kita diberikan zikr daripada al-Quran, ia datang daripada ar-Rahman yang penuh kasih sayang seperti ibu yang mengingatkan kita kerana kasih sayangnya, bukan sengaja membebel.
Ayat 26:6
فَقَدْ كَذَّبُوا۟ فَسَيَأْتِيهِمْ أَنۢبَٰٓؤُا۟ مَا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ
Oleh kerana mereka telah mendustakan Al-Quran, maka sudah tentu akan datang kepada mereka berita-berita (azab) mengenai perkara yang mereka ejek-ejek itu.
Pengajaran
- Mereka mendustakan al-Quran.
- Apa yang mereka ejekkan itu akan kena kepada mereka juga
Ayat 26:7
أَوَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَى ٱلْأَرْضِ كَمْ أَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ
Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?
Pengajaran
- Allah SWT bertanya kepada mereka yang masih berdegil dan tidak perhatikan alam.
- أَوَلَمْ maksudnya ini satu penekanan daripada Allah SWT sebagai kesinambungan kepada ciri orang yang berzikir, dapat peringatan, sedar semua tumbuhan itu adalah terkini.
- Pada tumbuh-tumbuhan ada pasangannya, ada jantan dan betina. Ada siang dan malam, ada langit dan bumi, lelaki dan perempuan, ada dunia dan akhirat. Makhluk Allah SWT, mesti ada penciptanya. Inilah cara berfikir yang dibina dengan zikr, daripada ar-Rahman, yang bersifat مُحْدَثٍ, sentiasa 'fresh'.
Ayat 26:8
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat pengurniaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga beriman.
Pengajaran
- Sebelum al-Quran turun, sudah ada tumbuh-tumbuhan dan ini adalah tanda kebesaran Allah SWT tetapi ramai tidak mahu beriman.
Ayat 26:9
وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ
Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
Pengajaran
- Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Mengasihani.
Ayat 26:10
وَإِذْ نَادَىٰ رَبُّكَ مُوسَىٰٓ أَنِ ٱئْتِ ٱلْقَوْمَ ٱلظَّٰلِمِينَ
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: "Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim, -
Pengajaran
- Allah SWT menyuruh Nabi Musa AS untuk mendatangi kaum yang zalim.
Ayat 26:11
قَوْمَ فِرْعَوْنَ أَلَا يَتَّقُونَ
"Iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaanKu?"
Pengajaran
- Iaitu Firaun dan kaumnya yang zalim
Ayat 26:12
قَالَ رَبِّ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يُكَذِّبُونِ
Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku.
Pengajaran
- Nabi Musa AS menyatakan yang baginda khuatir akan didustakan.
Ayat 26:13
وَيَضِيقُ صَدْرِى وَلَا يَنطَلِقُ لِسَانِى فَأَرْسِلْ إِلَىٰ هَٰرُونَ
"Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu utuskanlah perintahMu kepada Harun (supaya ia membantuku).
Pengajaran
- Cabaran lain, baginda terasa dadanya sempit, baginda bimbang akan mudah marah.
- Nabi Musa AS memang kuat dan tegas karakternya dan baginda juga takut percakapannya tidak lancar apabila dalam keadaan marah. Oleh itu, baginda memohon abangnya sebagai pembantu.
Ayat 26:14
وَلَهُمْ عَلَىَّ ذَنۢبٌ فَأَخَافُ أَن يَقْتُلُونِ
"Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku".
Pengajaran
- Nabi Musa AS menyatakan yang baginda ada dosa yang memalukan (ذَنۢبٌ). Baginda pernah tidak sengaja terbunuh orang ketika di Mesir.
Ayat 26:15
قَالَ كَلَّا فَٱذْهَبَا بِـَٔايَٰتِنَآ إِنَّا مَعَكُم مُّسْتَمِعُونَ
Allah berfirman: "Jangan! Jangan fikir (akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu)! Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu: mendengar.
Pengajaran
- Allah SWT menyatakan baginda tidak akan didustakan, baginda akan dibantu oleh Nabi Harun AS dan dosa yang dilakukan, tidak mengapa.
- Allah SWT memberinya lebih banyak mukjizat.
- Allah SWT menegaskan bahawa Dia Maha Mendengar. Allah SWT dengar betul-betul dan ceritakan dalam surah ini. Jadi kita juga kena dengar betul-betul dengan panduan-panduan dalam surah ini.
Ayat 26:16
فَأْتِيَا فِرْعَوْنَ فَقُولَآ إِنَّا رَسُولُ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ
"Maka pergilah kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam.
Pengajaran
- Allah SWT perintahkan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS pergi kepada Firaun.
- Mudah sahaja mereka masuk ke istana Firaun dengan bantuan Allah SWT dan memberitahu bahawa mereka adalah utusan Tuhan sekalian alam.
Ayat 26:17
أَنْ أَرْسِلْ مَعَنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ
"Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami".
Pengajaran
- Baginda memberitahu Firaun bahawa Tuhan menyuruhnya membebaskan Bani Israel.
Ayat 26:18
قَالَ أَلَمْ نُرَبِّكَ فِينَا وَلِيدًا وَلَبِثْتَ فِينَا مِنْ عُمُرِكَ سِنِينَ
Firaun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu?
Pengajaran
- Firaun menjawab yang dia yang memelihara Nabi Musa AS tetapi Nabi Musa AS tidak bersyukur.
Ayat 26:19
وَفَعَلْتَ فَعْلَتَكَ ٱلَّتِى فَعَلْتَ وَأَنتَ مِنَ ٱلْكَٰفِرِينَ
"Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?"
Pengajaran
- Firaun tidak membongkar kesalahan yang telah dilakukan oleh Nabi Musa AS tetapi dia menyatakan yang Nabi Musa AS tidak mengenang budi.
RESOLUSI
Ingat!
- Bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah (26:3)
- Perhatikan tumbuh-tumbuhan sebagai bukti kebenaran dan kebesaran Tuhan (26:7)
- Perlu mengingatkan kaum yang berbuat zalim dan jangan diam (26:10)
Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan sifat hamba ar-Rahman agar saya berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.
Saya jelas saya mesti bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah. Saya jelas untuk perhatikan tumbuh-tumbuhan sebagai bukti kebenaran dan kebesaran Tuhan. Saya jelas saya perlu mengingatkan kaum yang berbuat zalim dan jangan diam.
Ya Allah, pimpin kami supaya bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah. Ya Allah, ingatkan kami untuk perhatikan tumbuh-tumbuhan sebagai bukti kebenaran dan kebesaran Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk mengingatkan kaum yang berbuat zalim.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.