Sunday, September 3, 2023

Halaman 369 Al-Syu'ara', 40-60

 PERKATAAN HARI INI

  لَقِفَ  Menelan, mencapai. 3 kali disebut dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Ahli sihir merancang dalam temasya besar dan mereka menyerah kepada kebenaran (26:40-51)
  2. Selamatnya Nabi Musa AS beserta kaumnya dan tenggelamnya Firaun bersama pasukannya (26:52-60)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 368 untuk meneruskan kisah
Nabi Musa AS untuk dijadikan intipati dalam kehidupan kita.

Ayat 26:40

لَعَلَّنَا نَتَّبِعُ ٱلسَّحَرَةَ إِن كَانُوا۟ هُمُ ٱلْغَٰلِبِينَ

"Semoga kita (tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang menang".

Pengajaran

  1. Firaun dan orang-orangnya  bertanya  sama ada mereka akan berkumpul pada hari temasya. Ini adalah promosi untuk ahli-ahli sihir. Mereka adalah hero pada waktu itu.
  2. Bila mereka diangkat, mereka pun terasa merekalah punca kemenangan kepada Firaun. Ini adalah unsur-unsur teori politik yang tidak sihat.

Ayat 26:41

فَلَمَّا جَآءَ ٱلسَّحَرَةُ قَالُوا۟ لِفِرْعَوْنَ أَئِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِن كُنَّا نَحْنُ ٱلْغَٰلِبِينَ

Maka ketika ahli-ahli sihir itu datang, berkatalah mereka kepada Firaun: "Benarkah kami akan beroleh upah, kiranya kamilah orang-orang yang menang?"

Pengajaran

  1. Ahli-ahli sihir bertanya sama ada mereka akan mendapat upah sebagai motivasi untuk membawa kemenangan kepada Firaun. 
  2. Ini adalah temasya Firaun untuk menunjukkan kepada rakyat Mesir bahawa Nabi Musa AS adalah penipu, sebagai orang yang tidak layak diikuti. 
  3. Mereka seperti mengancam Firaun.

Ayat 26:42

قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ إِذًا لَّمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ

Firaun menjawab: "Benar, (kamu akan mendapatnya) dan sesungguhnya kamu dengan itu akan menjadi dari orang-orang yang dekat kepadaku".

Pengajaran

  1. Virus dalam politik dahulu dan sekarang ialah duit dan pangkat. 
  2. Firaun menyatakan yang mereka akan diberi upah dan pangkat yang akan mendekatkan mereka kepadanya.

Ayat 26:43

قَالَ لَهُم مُّوسَىٰٓ أَلْقُوا۟ مَآ أَنتُم مُّلْقُونَ

Nabi Musa berkata kepada mereka: "Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan".

Pengajaran

  1. Pada hari temasya, Nabi Musa AS menyuruh mereka melemparkan apa sahaja yang hendak mereka lemparkan.

Ayat 26:44

فَأَلْقَوْا۟ حِبَالَهُمْ وَعِصِيَّهُمْ وَقَالُوا۟ بِعِزَّةِ فِرْعَوْنَ إِنَّا لَنَحْنُ ٱلْغَٰلِبُونَ

Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: "Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang".

Pengajaran

  1. Ahli-ahli sihir membaling tongkat-tongkat dan tali-tali dengan berkata demi kekuasaan Firaun, mereka mesti menang.

Ayat 26:45

فَأَلْقَىٰ مُوسَىٰ عَصَاهُ فَإِذَا هِىَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ

Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).

Pengajaran

  1. Kemudian Nabi Musa AS melemparkan tongkatnya yang menjadi ular yang menelan ular-ular kecil mereka. 
  2. Mukjizat yang betul akan menelan segala kebatilan. Begitu juga al-Quran. Apabila al-Quran masuk dalam hati kita, ia akan menelan segala kebatilan yang mungkin kita belajar atau ikuti selama ini.
  3. Kebatilan dalam politik, sosial dan ekonomi akan ditelan oleh kebenaran daripada al-Quran.

Ayat 26:46

فَأُلْقِىَ ٱلسَّحَرَةُ سَٰجِدِينَ

Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud,

Pengajaran

  1. Ahli-ahli sihir terus bersujud (أُلْقِىَ terlempar) dengan hati yang tunduk dengan kebenaran dan mereka beriman. 
  2. Mereka tahu yang itu adalah mukjizat, bukan sihir.

Ayat 26:47

قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,

Pengajaran

  1. Mereka berkata mereka beriman kepada Tuhan sekalian alam.

Ayat 26:48

رَبِّ مُوسَىٰ وَهَٰرُونَ

"Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun".

Pengajaran

  1. Mereka beriman kepada Tuhan Nab Musa AS dan Nabi Harun AS.
  2. Dakwah mereka sampai kepada orang ramai yang berkumpul di situ.

Ayat 26:49

قَالَ ءَامَنتُمْ لَهُۥ قَبْلَ أَنْ ءَاذَنَ لَكُمْ إِنَّهُۥ لَكَبِيرُكُمُ ٱلَّذِى عَلَّمَكُمُ ٱلسِّحْرَ فَلَسَوْفَ تَعْلَمُونَ لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَٰفٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ

Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya".

Pengajaran

  1. Firaun marah ahli sihir kerana tidak meminta izinnya. Dia menuduh Nabi Musa AS itu ketua mereka yang mengajar ahli sihir. Firaun akan memotong kaki dan tangan ahli-ahli sihir itu, bersilang dan akan disalib. 
  2. Inilah mainan politik kotor Firaun. Tiba-tiba berubah sehingga sanggup membunuh ahli-ahli sihir.

Ayat 26:50

قَالُوا۟ لَا ضَيْرَ إِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا مُنقَلِبُونَ

Mereka menjawab: "(Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal! Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.

Pengajaran

  1. Firaun mengancam bunuh, menuruf Hamka dalam tafsirnya, sebagai penyempurnaan kekalahan.
  2. Firaun tidak lagi ada hujah kerana ahli sihirnya pun sudah bersama Nabi Musa AS. 
  3. Ahli sihir sebagai orang yang berilmu, mereka objektif. Mereka tahu kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa AS. 
  4. Ahli sihir tidak takut ancaman bunuh Firaun. Mereka sedar bahawa akhirnya akan kembali kepada Tuhan.

Ayat 26:51

إِنَّا نَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لَنَا رَبُّنَا خَطَٰيَٰنَآ أَن كُنَّآ أَوَّلَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

"Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman (dalam peristiwa ini)".

Pengajaran

  1. Ahli sihir tidak takut kerana amat berharap Allah SWT mengampunkan mereka kerana merekalah orang-orang yang mula-mula beriman. 
  2. Kemanisan iman telah masuk ke dalam hati mereka sehingga mereka tidak nampak lagi apa-apa yang lebih berharga daripada iman.

Ayat 26:52

وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِىٓ إِنَّكُم مُّتَّبَعُونَ

(Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)".

Pengajaran

  1. Allah SWT mewahyukan Nabi Musa AS supaya meninggalkan Mesir bersama 600,000 orang Bani Israel. 
  2. Allah SWT beritahu bahawa mereka akan dikejar oleh Firaun dan tenteranya.

Ayat 26:53

فَأَرْسَلَ فِرْعَوْنُ فِى ٱلْمَدَآئِنِ حَٰشِرِينَ

(Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya),

Pengajaran

  1. Firaun mengutus orang-orangnya ke bandar-bandar untuk mengumpulkan tenteranya.

Ayat 26:54

إِنَّ هَٰٓؤُلَآءِ لَشِرْذِمَةٌ قَلِيلُونَ

(Sambil berkata kepada mereka): "Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil,

Pengajaran

  1. Firaun mengatakan yang Bani Israel yang mengikut Nabi Musa AS adalah sedikit sahaja.  
  2. Ini adalah kaedah media tentang propaganda. Kadang-kadang yang masuk dalam berita, hanya sedikit sahaja. Pada zaman Nabi SAW, penyair-penyair adalah orang-orang yang membawa berita. Hanya yang beriman seperti Hasan bin Tsabit, yang memberi kesan positif kepada Islam. 
  3. Kita kena berhati-hati membaca media pada zaman ini. 

Ayat 26:55

وَإِنَّهُمْ لَنَا لَغَآئِظُونَ

"Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah.

Pengajaran

  1. Ini lagi propaganda Firaun kepada orang-orangnya untuk menguatkan kuasanya di bumi Mesir.

Ayat 26:56

وَإِنَّا لَجَمِيعٌ حَٰذِرُونَ

"Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga".

Pengajaran

  1. Firaun mengatakan yang Nabi Musa AS membenci mereka dan tidak boleh diberi peluang kepadanya dan mereka kena berjaga-jaga. 
  2. Firaun tidak mahu kehilangan kaum Bani Israel yang 600,000 itu. Seperti pemimpin sekarang takut kehilangan undi.

Ayat 26:57

فَأَخْرَجْنَٰهُم مِّن جَنَّٰتٍ وَعُيُونٍ

Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair,

Pengajaran

  1. Allah SWT mengeluarkan Firaun dan tentera-tenteranya dari kebun-kebun mereka.

Ayat 26:58

وَكُنُوزٍ وَمَقَامٍ كَرِيمٍ

Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia.

Pengajaran

  1. Dan Allah SWT memberi mereka harta kekayaan kerana mereka beriman dan berjuang bersama Nabi Musa.

Ayat 26:59

كَذَٰلِكَ وَأَوْرَثْنَٰهَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ

Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka.

Pengajaran

  1. Allah SWT memberikan kepada Bani Israel harta peninggalan Firaun.

Ayat 26:60

فَأَتْبَعُوهُم مُّشْرِقِينَ

Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit.

Pengajaran

  1. Firaun mengejar Nabi Musa ketika matahari terbit.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Berjuang betul-betul dan tidak mengharapkan ganjaran dunia (26:41)
  2. Makin bersujud apabila menyaksikan mukjizat (26:46-47)
  3. Sering mendekati mukjizat al-Quran yang akan memberi semangat luar biasa dalam memperjuangkan kebenaran (26: 50-51)

Saya berasa lega, Allah SWT akan beri semangat luar biasa dalam memperjuangkan kebenaran sekiranya saya sering mendekati mukjizat al-Quran.

Saya jelas saya mesti berjuang betul-betul dan tidak mengharapkan ganjaran dunia. Saya jelas untuk makin bersujud apabila menyaksikan mukjizat. Saya jelas saya mesti sering mendekati mukjizat al-Quran yang akan memberi semangat luar biasa dalam memperjuangkan kebenaran.
 
Ya Allah, bantu kami untuk berjuang betul-betul dan tidak mengharapkan ganjaran dunia. Ya Allah, jadikan kami orang yang makin bersujud apabila menyaksikan mukjizat. Ya Allah, pimpin kami untuk sering mendekati mukjizat al-Quran agar kami mendapat semangat luar biasa dalam memperjuangkan kebenaran.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...