Sunday, September 3, 2023

Halaman 368 Al-Syu'ara', 20-39

 PERKATAAN HARI INI

   فَرَّ /  فَرَرَ  Melarikan diri. 11 kali disebut dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Jawapan Nabi Musa AS berkenaan kesalahannya (26:20-22)
  2. Perdebatan antara Nabi Musa AS dan Firaun tentang ketetapan wujudnya Allah SWT (26:23-31)
  3. Mukjizat Nabi Musa AS dan anggapan Firaun mukjizat itu sihir (26:32-37)
  4. Keimanan para ahli sihir kepada Allah SWT dalam temasya besar (26:38-39)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 368 untuk menyambung kisah Firaun yang cuba tukar topik dengan berhujah bahawa dia sudah berjasa kepada Nabi Musa AS, Nabi Musa sudah duduk lama di istananya dan dia tahu apa yang pernah dibuat oleh Nabi Musa.

Ayat 26:20

قَالَ فَعَلْتُهَآ إِذًا وَأَنَا۠ مِنَ ٱلضَّآلِّينَ

Nabi Musa berkata: "Aku melakukan perbuatan yang demikian sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat petunjuk.

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS mengaku kesalahan yang telah dilakukannya ketika baginda lalai dan buat tanpa niat mahu membunuh.


Ayat 26:21

فَفَرَرْتُ مِنكُمْ لَمَّا خِفْتُكُمْ فَوَهَبَ لِى رَبِّى حُكْمًا وَجَعَلَنِى مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

"Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan ugama, dan menjadikan daku seorang RasulNya

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS mengatakan yang baginda lari kerana takut kepada Firaun dan pemerintah pada waktu itu.
  2. Kemudian Allah SWT telah memberinya hikmah dan baginda telah dilantik menjadi rasul.  


Ayat 26:22

وَتِلْكَ نِعْمَةٌ تَمُنُّهَا عَلَىَّ أَنْ عَبَّدتَّ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ

"Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS memberitahu yang baginda mengenang budi tetapi mengingatkan Firaun bahawa Firaun telah memperhambakan Bani Israel.

Ayat 26:23

قَالَ فِرْعَوْنُ وَمَا رَبُّ ٱلْعَٰلَمِينَ

Firaun berkata (dengan sombongnya): "Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?"

Pengajaran

  1. Firaun memperlekehkan Nabi Musa AS dengan bertanya "Apa Tuhan sekalian alam?", tidak menggunakan soalah 'siapa'.
  2. Nabi Musa AS tidak terkesan dengan perlekehan tersebut. Dia tetap menjawab dengan tenang.

Ayat 26:24

قَالَ رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ

Nabi Musa menjawab. "Dia lah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, - kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya".

Pengajaran

  1. Menurut Nabi Musa AS, Tuhan sekalian alam ialah Tuhan yang mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya termasuk matahari dan bulan yang disembah oleh Firaun dan pengikutnya. 
  2. Nabi Musa AS tidak marah diperlekehkan oleh Firaun kerana Allah SWT telah berjanji akan memudahkan jalan baginya. 

Ayat 26:25

قَالَ لِمَنْ حَوْلَهُۥٓ أَلَا تَسْتَمِعُونَ

Firaun berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: "Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan olehnya)?"

Pengajaran

  1. Firaun bertanya kepada penasihat-penasihatnya dan orang yang ada di sekelilingnya pada masa itu sama ada mereka mendengar apa yang Nabi Musa AS katakan.

Ayat 26:26

قَالَ رَبُّكُمْ وَرَبُّ ءَابَآئِكُمُ ٱلْأَوَّلِينَ

Nabi Musa menegaskan lagi: "Dia lah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu."

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS buat tidak tahu pertanyaan Firaun. Baginda menegaskan bahawa Tuhan itu ialah Tuhan yang memiliki dan memelihara mereka dan nenek moyang mereka dahulu.
  2. Nabi Musa AS fokus kepada misinya. Tidak terkesan kepada emosi yang dibawa oleh Firaun.

Ayat 26:27

قَالَ إِنَّ رَسُولَكُمُ ٱلَّذِىٓ أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ لَمَجْنُونٌ

Firaun berkata (kepada orang-orangnya): "Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila?"

Pengajaran

  1. Firaun menuduh Nabi Musa AS gila di depan pengikut-pengikutnya. 

Ayat 26:28

قَالَ رَبُّ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya dengan) berkata: "Dia lah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahamiNya!"

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS membalas bahawa Tuhan yang dikatakannya ialah Tuhan yang menguasai timur dan barat serta apa yang ada di antara keduanya.
  2. Baginda menyuruh mereka yang berakal supaya berfikir betul-betul.

Ayat 26:29

قَالَ لَئِنِ ٱتَّخَذْتَ إِلَٰهًا غَيْرِى لَأَجْعَلَنَّكَ مِنَ ٱلْمَسْجُونِينَ

Firaun berkata: "Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan".

Pengajaran

  1. Firaun hilang pedoman. Dia mengambil keputusan untuk memenjarakan Nabi Musa AS. 
  2. Apabila habis hujah, Firaun mula menggunakan kekerasan.
  3. Hendaklah kita gunakan hujah untuk mengawal sesuatu perkara, jangan gunakan penjara.

Ayat 26:30

قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكَ بِشَىْءٍ مُّبِينٍ

Nabi Musa menjawab: "Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?"

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS menggunakan strategi baru iaitu membawa ayat-ayat Allah SWT sebagai bukti yang nyata. 

Ayat 26:31

قَالَ فَأْتِ بِهِۦٓ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ

Firaun berkata: "Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar".

Pengajaran

  1. Firaun menyuruh Nabi Musa AS menunjukkan bukti jika baginda daripada orang-orang yang benar.

Ayat 26:32

فَأَلْقَىٰ عَصَاهُ فَإِذَا هِىَ ثُعْبَانٌ مُّبِينٌ

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang amat besar dan jelas nyata.

Ayat 26:33

وَنَزَعَ يَدَهُۥ فَإِذَا هِىَ بَيْضَآءُ لِلنَّٰظِرِينَ

Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih bersinar-sinar bagi orang-orang yang melihatnya. 

Ayat 26:34

قَالَ لِلْمَلَإِ حَوْلَهُۥٓ إِنَّ هَٰذَا لَسَٰحِرٌ عَلِيمٌ

Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada dikelilingnya: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

Pengajaran

  1. Firaun terkejut. Dia memberitahu kepada malak bahawa itu adalah sihir yang mahir.

Ayat 26:35

يُرِيدُ أَن يُخْرِجَكُم مِّنْ أَرْضِكُم بِسِحْرِهِۦ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ

"Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan?"

Pengajaran

  1. Firaun menakut-nakutkan malak bahawa Nabi Musa AS akan menghalau mereka.
  2. Beliau minta cadangan apa yang perlu dibuat daripada malak. 

Ayat 26:36

قَالُوٓا۟ أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَٱبْعَثْ فِى ٱلْمَدَآئِنِ حَٰشِرِينَ

Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir),

Ayat 26:37

يَأْتُوكَ بِكُلِّ سَحَّارٍ عَلِيمٍ

"Supaya mereka membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir".

Pengajaran

  1. Firaun dan pembesarnya sudah buntu apabila mendengar hujah Nabi Musa AS dan juga melihat mukjizat yang mengagumkan mereka. 
  2. Mereka suruh tangguhkan tindakan untuk memenjara Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS.
  3. Mereka juga suruh dikumpulkan ahli-ahli sihir yang bijak pandai dari bandar-bandar Mesir.

Ayat 26:38

فَجُمِعَ ٱلسَّحَرَةُ لِمِيقَٰتِ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ

Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir itu pada satu masa yang ditentukan, pada hari (perayaan) yang termaklum.

Pengajaran

  1. Lalu dikumpulkan ahli-ahli sihir pada hari perayaan. 
  2. Nabi Musa AS menggunakan dua teknik. Awalnya menggunakan soal jawab dengan lancar. Bila berhujah sudah tidak boleh, maka baginda menggunakan mukjizat-mukjizat yang ada. 
  3. Pelajarannya kepada kita: kalau kita diajak komunikasi dengan orang, mula-mula borak-borak sahaja. Kemudian kalau perlu, bawakan al-Quran sedikit demi sedikit. Al-Quran akan menelan segala kebatilan dan apa yang diragukan oleh seseorang. Inilah kaedah dakwah Nabi Musa AS untuk kita bawa dalam hidup kita.
  4. Kalau al-Quran tidak dibawa, didengar, dibaca, ditadabburkan, perbincangan kita kadang-kadang habis begitu sahaja.

Ayat 26:39

وَقِيلَ لِلنَّاسِ هَلْ أَنتُم مُّجْتَمِعُونَ

Dan dikatakan kepada orang ramai: "Berkumpulah kamu semuanya;.

Pengajaran

  1. Mereka umumkan kepada orang ramai supaya berkumpul pada hari yang telah ditentukan.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Walau pernah bersalah, tetap terus berjuang atas kebenaran (26:20-22)
  2. Yakin apabila menyampaikan hujah tauhid (26:24)
  3. Fokus kepada mesej dan jangan terjejas dengan provokasi (26:28)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya terus berjuang atas kebenaran walaupun pernah bersalah.

Saya jelas saya mesti terus berjuang atas kebenaran walau pernah bersalah. Saya jelas saya mesti yakin apabila menyampaikan hujah tauhid. Saya jelas untuk fokus kepada mesej dan jangan terjejas dengan provokasi.
 
Ya Allah, pimpin kami untuk terus berjuang atas kebenaran walau pernah bersalah. Ya Allah, bimbing kami supaya yakin apabila menyampaikan hujah tauhid. Ya Allah, bimbing kami untuk fokus kepada mesej dan jangan terjejas dengan provokasi.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...