Sunday, September 3, 2023

Halaman 370 Al-Syu'ara', 61-83

PERKATAAN HARI INI

   دَرَكَ  Menahan. 12 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Nabi Musa AS dikejar dan gerombolan Firaun ditenggelamkan (26:61-68)
  2. Kisah Nabi Ibrahim AS: celaan terhadap penyembahan berhala dan penjelasan sifat-sifat Allah SWT, tuhan yang berhak disembah (26:69-82)
  3. Doa Nabi Ibrahim AS sebagai doa orang-orang yang ikhlas dan bertaubat (26:83)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 370 untuk menyambung kisah akhir Nabi Musa AS dan kita akan masuk ke kisah Nabi Ibrahim AS. 

Penting untuk kita memahami topik-topik perbincangan dalam kehidupan kita melalui media, atau berborak-borak dengan rakan-rakan. Kita hendak belajar daripada perjuangan nabi-nabi untuk memastikan kefahaman masyarakat adalah menuju kepada yang benar dan bukan sekadar mengisi masa kosong yang akhirnya membawa kepada sia-sia, malah menyokong kepada kezaliman.

Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa Nabi Musa AS telah membawa 600,000 orang Bani Israel keluar dari Mesir. Firaun dan tenteranya mengejar pada waktu matahari terbit.

Ayat 26:61

فَلَمَّا تَرَٰٓءَا ٱلْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَٰبُ مُوسَىٰٓ إِنَّا لَمُدْرَكُونَ

Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan".

Pengajaran

  1. Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan".

Ayat 26:62

قَالَ كَلَّآ إِنَّ مَعِىَ رَبِّى سَيَهْدِينِ

Nabi Musa menjawab: "Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku"

Pengajaran

  1. Jawapan Nabi Musa AS mereka tidak akan ditawan. Ini adalah jawapan Allah SWT yang telah berjanji akan uruskan tugas baginda semasa Nabi Musa AS berdialog dengan Allah SWT di Gunung Tursina. 
  2. Baginda memberi keyakinan kepada Bani Israel bahawa Allah SWT bersama baginda   (رَبِّى  (مَعِىَ. Nabi Musa AS memujuk dirinya sendiri dahulu dengan janji-janji Allah SWT.

Ayat 26:63

فَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنِ ٱضْرِب بِّعَصَاكَ ٱلْبَحْرَ فَٱنفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَٱلطَّوْدِ ٱلْعَظِيمِ

Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukullah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengilhamkan kepada Nabi Musa AS untuk memukul tongkatnya ke laut maka terbelahlah lautan memberi laluan kepada Nabi Musa dan Bani Israel.

Ayat 26:64

وَأَزْلَفْنَا ثَمَّ ٱلْءَاخَرِينَ

Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ.

Pengajaran

  1. Allah SWT dekatkan perjalanan mereka sehingga selamat.

Ayat 26:65

وَأَنجَيْنَا مُوسَىٰ وَمَن مَّعَهُۥٓ أَجْمَعِينَ

Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.

Pengajaran

  1. Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS dan semua Bani Israel. Seorang pun tidak tertinggal.
  2. Pelajaran: Kita buat tugas kita dan biarlah Allah SWT membuat tugasNya dalam menuju kejayaan.

Ayat 26:66

ثُمَّ أَغْرَقْنَا ٱلْءَاخَرِينَ

Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya).

Pengajaran

  1. Allah SWT tenggelamkan golongan lain yang mengejarnya. Allah SWT menghina dan tidak menyebut pun nama Firaun dalam ayat ini.
  2. Kalau ke Mesir, tidak perlulah kita kagum dan senyum-senyum gembira bila bergambar dengan mayat Firaun kerana Allah SWT sudah menghina Firaun dan kaumnya. 

Ayat 26:67 (sama dengan ayat 26:8)

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.

Pengajaran

  1. Itulah bukti kekuasaan Allah SWT.

Ayat 26:68 (sama dengan ayat 26:9)

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Pengajaran

  1. Dua ayat di atas menceritakan kebesaran Allah SWT. Pada ayat 26:8-9 Allah SWT menyuruh orang musyrik perhatikan tentang tumbuh-tumbuhan yang juga menunjukkan kekuasaan Allah SWT. Ini sebagai persediaan untuk mendapat wahyu.
  2. Bila dapat wahyu, kemahiran berfikir itu perlu digunakan untuk menghargai kebesaran Allah SWT. 
  3. Selain daripada tumbuhan, pada ayat ini Allah SWT bawakan sejarah kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan sebagai peringatan kepada kita.  
  4. Allah SWT berkuasa untuk berbuat apa sahaja tetapi Allah SWT Maha Penyayang. Allah SWT beri peluang kepada kita melihat kebesaranNya dalam bentuk sains dan sejarah untuk kita kembali kepadaNya.

Ayat 26:69

وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ إِبْرَٰهِيمَ

Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim.

Pengajaran

  1. Permulaan kisah Nabi Ibrahim AS di dalam surah ini.

Ayat 26:70

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِۦ مَا تَعْبُدُونَ

Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apa yang kamu sembah?"

Pengajaran

  1. Bagaimana Nabi Ibrahim AS bertanya kepada ayahnya apa yang disembahnya (sama seperti cara Firaun bertanya kepada Nabi Musa AS menggunakan soalan ' مَا - apa' bukan 'siapa' pada ayat 26:23)
  2. Ini memberi gaya berfikir agar mereka jangan sampai tumpul akal dalam berhadapan dengan kebenaran.
  3. Tugas kita, kalau banyak cabaran dalam hidup, kita ada Allah SWT yang pasti memberi hidayah, akan menolong kita. Jati diri itulah yang kita kena bina betul-betul dengan kita mengambil ibrah daripada kisah nabi-nabi. 

Ayat 26:71

قَالُوا۟ نَعْبُدُ أَصْنَامًا فَنَظَلُّ لَهَا عَٰكِفِينَ

Mereka menjawab: "Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya".

Pengajaran

  1. Ayahnya menjawab mereka menyembah berhala.
  2. Mereka amat tekun menyembah berhala kerana bisnes berhala adalah sumber pendapatan mereka.

Ayat 26:72

قَالَ هَلْ يَسْمَعُونَكُمْ إِذْ تَدْعُونَ

Nabi Ibrahim bertanya: "Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya

Pengajaran

  1. Ini adalah dalil aqli yang dibawakan oleh Nabi Ibrahim AS. Sebelum ini dalil tarikhi (dalil sejarah).
  2. Bila berhujah, kita kena ada dalil. Nabi Ibrahim AS membawa dalil aqli. Baginda menyoal ayahnya  sama ada berhala itu boleh mendengar.
  3. Nabi Ibrahim Khalilullah, kawan yang amat rapat dengan Allah SWT.
  4. Nabi Musa Kalamullah, berhujah depan Firaun.

Ayat 26:73

أَوْ يَنفَعُونَكُمْ أَوْ يَضُرُّونَ

"Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?"

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS bertanya boleh ke berhala memberi manfaat atau mudharat?

Ayat 26:74

قَالُوا۟ بَلْ وَجَدْنَآ ءَابَآءَنَا كَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Mereka menjawab: "(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian".

Pengajaran

  1. Mereka berkata bahawa mereka mengikut nenek moyang mereka dahulu. Mereka buat tanpa sedar (يَفْعَلُونَ). Hanya ikut-ikutan.

Ayat 26:75

قَالَ أَفَرَءَيْتُم مَّا كُنتُمْ تَعْبُدُونَ

Nabi Ibrahim berkata: "Sudahkah kamu berfikir sehingga nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu? 

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS bertanya adakah mereka tidak berfikir dan memerhati secara benar berhala-berhala itu?

Ayat 26:76

أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُمُ ٱلْأَقْدَمُونَ

"(Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu?

Pengajaran

  1. Yang telah disembah sekian lama.

Ayat 26:77

فَإِنَّهُمْ عَدُوٌّ لِّىٓ إِلَّا رَبَّ ٱلْعَٰلَمِينَ

"(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS berkata bahawa semua berhala itu adalah musuh baginya kecuali Tuhan sekalian alam. 
  2. Nabi Ibrahim AS meneguhkan jati diri. Jati diri tauhid ditunjukkan dengan mengatakan bahawa semua berhala itu adalah musuh. 
  3. Ini seperti mengatakan perang kepada kaumnya. Pasti kaumnya tidak suka.  
  4. Nabi Ibrahim AS seorang yang benar-benar dekat dengan Allah SWT yang sentiasa bersama Tuhan sekalian alam.

Ayat 26:78

ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَهْدِينِ

"Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS mendidik kaumnya dengan mengatakan Tuhan yang menciptakan dia, yang memberi hidayah dan petunjuk baginya. Ini menunjukkan Nabi Ibrahim amat ‘khalil’, amat dekat dengan Allah SWT.
  2. Kaumnya hanya menyembah berhala tanpa berfikir. Itu terpesong daripada jalan yang sebenarnya.

Ayat 26:79

وَٱلَّذِى هُوَ يُطْعِمُنِى وَيَسْقِينِ

"Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,

Pengajaran

  1. Hanya Allah, Tuhan yang memberi makan.
  2. Allah SWT yang menurunkan air dari langit untuk minuman. 

Ayat 26:80

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS amat beradab. Baginda tidak mengatakan Allah SWT memberi sakit sebaliknya berkata bila baginda sakit, Allah SWT (هُوَ) yang menyembuhkan. 

Ayat 26:81

وَٱلَّذِى يُمِيتُنِى ثُمَّ يُحْيِينِ

"Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku;

Pengajaran

  1. Tidak ada sesiapa yang boleh menghidupkan dan mematikan kecuali Allah SWT. 
  2. Ini adalah bukti Tauhid yang sejahtera.
  3. Baginda mengajar kaumnya dengan hujah. 

Ayat 26:82

وَٱلَّذِىٓ أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِى خَطِيٓـَٔتِى يَوْمَ ٱلدِّينِ

"Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS menyatakan ketauhidannya dan memohon keampunan.

Ayat 26:83

رَبِّ هَبْ لِى حُكْمًا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّٰلِحِينَ

"Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;

Pengajaran

  1. Ini adalah doa Nabi Ibrahim memohon diberi kefahaman dan supaya dapat bersama orang-orang yang soleh.
  2. Amalkan doa ini. Mudah-mudahan kita akan bersama Nabi Ibrahim AS di akhirat nanti. 
  3. Bila bertauhid, seseorang itu akan sedar yang ia banyak kesilapan-kesilapan. Dengan kesedaran itu, ia akan diberi hikmah-hikmah dan akhirnya digabungkan bersama orang-orang yang soleh.

RESOLUSI

Ingat!

  1. Yakin pertolongan Allah SWT melangkaui perancangan manusia (26:62)
  2. Jangan melakukan sesuatu sekadar mengikut amalan orang terdahulu (26:74)
  3. Selalu berdoa dikurniakan hikmah dan sentiasa berdamping dengan orang yang soleh (26:83)

Saya berasa lega, pertolongan Allah SWT melangkaui perancangan manusia.

Saya jelas saya mesti yakin pertolongan Allah SWT melangkaui perancangan manusia. Saya jelas jangan melakukan sesuatu sekadar mengikut amalan orang terdahulu. Saya jelas untuk selalu berdoa dikurniakan hikmah dan sentiasa berdamping dengan orang yang soleh.

Ya Allah, kurniakan kami keyakinan bahawa pertolongan-Mu melangkaui perancangan manusia. Ya Allah, jauhkan kami daripada melakukan sesuatu sekadar mengikut amalan orang terdahulu. Ya Allah, kurniakan hikmah dan bimbing kami untuk sentiasa berdamping dengan orang-orang yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...