PERKATAAN HARI INI
شَطَنَ Mengacau, menggoda. 88 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Terus memberi peringatan (26:207-212)
- Adab seorang dai' dan kewajipannya (26:213-220)
- Bantahan terhadap pendustaan orang musyrikin yang mengatakan bahawa nabi adalah dukun atau seorang penyair (26:221-227)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 376, halaman terakhir surah al-Syua'ara'.
Manusia perlu diberi peringatan setiap masa agar mereka tidak terjerumus ke lembah yang tidak diingini.
Ayat 26:207
مَآ أَغْنَىٰ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يُمَتَّعُونَ
(Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan.
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan tentang orang-orang yang diberi nikmat, diberi peluang, tetapi tidak kembali kepada Allah SWT dan tidak mahu bertaubat.
- Mereka rasa semakin maju, semain banyak nikmat, boleh happy go lucky.
Ayat 26:208
وَمَآ أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍ إِلَّا لَهَا مُنذِرُونَ
Dan tiadalah Kami membinasakan mana-mana negeri (yang telah dibinasakan itu), melainkan setelah diutus kepadanya lebih dahulu, Rasul-rasul pemberi amaran.
Pengajaran
- Ini adalah formula yang Allah SWT berikan bahawa tugas pemberi peringatan ini penting. Kalau sesuatu kaum itu melawan pemberi peringatan, maka bersedia untuk dihancurkan atau azab akan kena kepada sesuatu kaum.
- Kalau kaum itu buat masalah dan terlupa dan tidak ada beri peringatan, maka mereka tidak dihancurkan.
- Maka Allah hantarkan dulu peringatan demi peringatan kerana Allah SWT menyayangi kepada kita semua.
Ayat 26:209
ذِكْرَىٰ وَمَا كُنَّا ظَٰلِمِينَ
Memperingatkan mereka; dan Kami tidak sekali-kali berlaku zalim.
Pengajaran
- Allah SWT tidak pernah menzalimi sesiapa.
- Peringatan itu adalah ujian Allah SWT samada mahu sombong atau tidak sombong. Manusia bukan malaikat, kita ada pilihan dalam kehidupan.
Ayat 26:210
وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ ٱلشَّيَٰطِينُ
Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan.
Pengajaran
- Al-Quran tidak layak diturunkan oleh syaitan-syaitan.
- Al-Quran diturunkan untuk membawa kebaikan kepada semua orang. Sesiapa sahaja yang terus bertakwa dengan membaca al-Quran, tidak mungkin dia akan jauh daripada Allah SWT. Pasti akan jadi baik.
- Syaitan adalah lawan kepada seruan kepada al-Quran. Surah ini membawa mesej, kalau syair itu membawa kepada syaitan, itu dicela. Kalau syair itu atas dasar iman dan amal soleh, maka itulah yang diangkat oleh Allah SWT.
Ayat 26:211
وَمَا يَنۢبَغِى لَهُمْ وَمَا يَسْتَطِيعُونَ
Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.
Pengajaran
- Tidak layak syaitan yang membawa al-Quran kerana mereka pun tidak akan dapat melakukannnya
- Kita harap kita tidak bersekongkol dengan orang-orang yang mengatakan baca al-Quran pun tidak dapat apa-apa.
- Mesej al-Quran tetap sama sampai bila-bila tetapi tidak pernah membosankan kecuali bagi orang yang memang bosan dengan Tuhan.
Ayat 26:212
إِنَّهُمْ عَنِ ٱلسَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ
Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.
Pengajaran
- Syaitan tidak boleh dengar al-Quran, seperti tersumbat kerana dihalang sama sekali.
- Al-Quran adalah satu anugerah. Dengan mendengar al-Quran, ia akan buang rasa resah gelisah dan yang tersumbat dalam hati.
Ayat 26:213
فَلَا تَدْعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ فَتَكُونَ مِنَ ٱلْمُعَذَّبِينَ
Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa.
Pengajaran
- Jangan sekali-kali menyembah dan memohon selain daripada Allah SWT. Syaitan mengajak kepada syirik.
- Ada masalah, mohon terus daripada Allah SWT. Jangan pakai tangkal, jumpa bomoh dan minta dari kubur. Kena bersihkan semua hal begini.
Ayat 26:214
وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ ٱلْأَقْرَبِينَ
Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.
Ayat 26:215
وَٱخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.
Pengajaran Ayat 214-215
- Ini adalah dua disiplin penting bagaimana tanda seseorang itu makin dekat dengan al-Quran, makin jauh daripada godaan syirik syaitan.
- Beri peringatan kepada ahli keluarga. Jangan tinggalkan seruan kepada orang terdekat, ahli keluarga. Allah SWT perintahkan tentang perkara ini, bermakna ia penting. Contoh: Ayah kejutkan anak solat, ajar baca al-Quran.
- Rendahkan diri kepada pengikut-pengikut daripada orang-orang yang beriman. Nabi SAW diseru untuk merendahkan diri kepada sahabat-sahabat walaupun mereka hamba, seperti Saidina Bilal b Rabbah. Jangan pilih bulu terhadap kepada orang beriman.
- Ibu ayah dan sahabat yang beriman kena hargai pada setiap masa. Jangan dihina atau diketepikan. Iman sebagai tanda aras yang penting sebagai seorang yang adil dalam kehidupan.
Ayat 26:216
فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّى بَرِىٓءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ
Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!"
Pengajaran
- Kecuali bila mereka derhaka kepada Allah SWT, maka bolehlah berlepas diri daripada apa yang mereka lakukan.
Ayat 26:217
وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱلْعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ
Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
Pengajaran
- Tawakal kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Tetapi Allah yang Maha Penyayang memberi peluang kepada kita.
- Jika seseorang itu derhaka kepada Allah SWT, kita boleh berlepas diri. Jika ia hanya melanggar hak kita, jangan sampai berputus akar pula. Kita bertawakal kepada Allah SWT untuk baiki anak dan juga pasukan kita untuk berjuang ke hadapan. Ini disiplin dalam membuat kebaikan.
Ayat 26:218
ٱلَّذِى يَرَىٰكَ حِينَ تَقُومُ
Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan sembahyang),
Pengajaran
Allah SWT sentiasa memerhati ketika Nabi SAW berdiri solat, bermunajat.
Kalau kita ada cabaran dan ada masa kita rasa kecewa, bermunajatlah kerana semasa bermunajat, Allah SWT memerhati.
Ayat 26:219
وَتَقَلُّبَكَ فِى ٱلسَّٰجِدِينَ
Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud.
Pengajaran
- Allah SWT melihat gerak-geri Nabi SAW dan kita waktu sujud.
Ayat 26:220
إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Pengajaran
- Allah SWT Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
Ayat 26:221
هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ ٱلشَّيَٰطِينُ
Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun?
Pengajaran
- Di zaman Nabi Musa AS, ahli sihir yang berilmu akhirnya tahu bahawa Nabi Musa AS tidak membawa sihir tetapi membawa mukjizat.
- Pada zaman setiap nabi itu ada orang-orang yang pakar dalam sesuatu perkara. Bila ada ilmu, maka mereka dapat kenal pasti mukjizat yang turun pada waktu itu bukanlah perkara sihir ataupun penipuan atau sesuatu yang bernilai rendah.
Ayat 26:222
تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ
Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,
Pengajaran
- Syaitan turun kepada orang yang berbuat dusta dan dosa.
Ayat 26:223
يُلْقُونَ ٱلسَّمْعَ وَأَكْثَرُهُمْ كَٰذِبُونَ
Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.
Pengajaran
- Orang-orang yang buat dosa, syaitan masuk ke dalam mereka dan akhirnya banyak penipuan-penipuan yang dibuat oleh mereka kerana digoda oleh syaitan.
- Kalau kita buat dosa, istighfar cepat-cepat dan baca al-Quran. Hasilnya, yang keluar daripada kita adalah perkataan yang bagus-bagus, yang benar, sudah tentunya daripada hati dan lidah yang diatur oleh Allah SWT.
Ayat 26:224
وَٱلشُّعَرَآءُ يَتَّبِعُهُمُ ٱلْغَاوُۥنَ
Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala.
Pengajaran
- Penyair pada zaman Nabi Muhammad SAW diikuti oleh orang-orang yang sesat.
Ayat 26:225
أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِى كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ
Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?
Pengajaran
- Ahli-ahli syair itu turun ke lembah-lembah untuk mencari followers. Mereka berlegar-legar macam unta mencari tempat yang ada air. Disebalik syair itu mereka mengharapkan upah. Itu sumber pendapatan mereka.
- Dalam surah ini banyak kali diulang bahawa rasul-rasul tidak meminta upah atas apa yang mereka sampaikan. Ganjaran daripada Allah SWT.
- Ada orang kerjanya menghiburkan orang. Buat lawak dan sebagainya yang tidak membawa mesej.
Ayat 26:226
وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ
Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?
Pengajaran
- Mereka cakap apa yang mereka tidak buat.
- Ini mengingatkan kita, sepatutnya drama, filem, penyanyi, pelawak, kalau boleh, bila tengok ayat ini kena segan sikit. Jangan kita buat lawak kerana lawak tetapi kerana Allah puji.
Ayat 26:227
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا وَٱنتَصَرُوا۟ مِنۢ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا۟ وَسَيَعْلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ أَىَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبُونَ
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.
Pengajaran
- Ini adalah ingatan kepada Youtubers, instafamous, sesiapa yang ingin menghiburkan, supaya berhati-hati membawa mesej kepada masyarakat. Jangan sampai Allah SWT templak kita. Jangan buat content, lawak untuk meraih likers yang tidak ada nilai kebaikan hanya untuk menarik perhatian orang yang lalai.
- Kalau kita buat atas dasar iman dan mengajak orang kepada kebaikan, banyak-banyak mengingati Allah SWT, bukan makin lupa Tuhan atau menyebabkan orang jauh daripada al-Quran, silakan kerana itu baik.
- Perjuangan waktu itu, adalah perjuangan tauhid. Para penyair seperti Hassan bin Tsabit membawa kemenangan kepada Islam dengan syairnya. Jika begitu, Youtubers, silakan buat untuk agama lebih difahami, walaupun kena menempuh cabaran.
- Penyair/penghibur yang baik, akhirnya ke syurga dan mereka yang pergi ke lembah-lembah akan dihina dan diazab.
RESOLUSI
Ingat!
- Sering mengambil peringatan agar tidak diazab (26:208)
- Sering mendengar al-Quran kerana ia tidak disenangi oleh syaitan (26:212)
- Menganjurkan majlis dan peringatan sesama ahli keluarga (26:214)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya sering dengar al-Quran untuk menjauhkan syaitan.
Saya jelas saya mesti sering mengambil peringatan agar tidak diazab. Saya jelas saya mesti sering mendengar al-Quran kerana ia tidak disenangi oleh syaitan. Saya jelas untuk menganjurkan majlis dan peringatan sesama ahli keluarga.
Ya Allah, pimpin kami untuk mengambil peringatan agar tidak diazab. Ya Allah, lapangkan masa kami untuk sering mendengar al-Quran kerana ia tidak disenangi oleh syaitan. Ya Allah, bantu kami untuk menganjurkan majlis dan peringatan sesama ahli keluarga.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.