PERKATAAN HARI INI
يَقِنَ Meyakini. 28 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Risalah al-Quran (27:1-6)
- Kisah Nabi Musa A.S di lembah suci (27: 7-13)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada surah al-Naml, halaman 377. Semoga kita terus bersedia mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan al-Quran ini.
Ayat 27:1
طسٓ تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱلْقُرْءَانِ وَكِتَابٍ مُّبِينٍ
Taa, siin. Ini ialah ayat-ayat Al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata (kandungannya dan kebenarannya),
Pengajaran
- Surah ini dimulakan dengan huruf muqotho’ah. Huruf ط biasanya dikaitkan dengan kisah ular yang berkaitan dengan Nabi Musa AS.
- Di zaman Nabi SAW al-Quran dibaca dengan pendengaran bukan dengan tulisan kerana Nabi SAW tidak boleh membaca daripada tulisan. Baginda dan sahabat-sahabat membaca daripada ingatan yang diberikan oleh Allah SWT.
- Al-Quran adalah sesuatu yang tertulis di Luh Mahfuz. Pendengaran dan penglihatan amat penting. Kita boleh membaca daripada mushaf, itu adalah ibadah. Kalau kita menghafal, kita boleh membaca tanpa melihat mushaf.
Ayat 27:2
هُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ
Menjadi hidayah petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman,
Pengajaran
- Al-Quran menjadi hidayah petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman.
- Ada beza orang yang mendapat hidayah apabila dia menyiapkan diri sebagai orang biasa, atau sebagai orang beriman, atau sebagai orang bertakwa.
- Kesan al-Quran itu berbeza kepada setiap orang. Umpama telefon yang baterinya 100% atau cuma tinggal 5% di musim banjir ini. Pada tahap bateri 5%, berkemungkinan tidak dapat guna banyak fungsi untuk mendapatkan bantuan. Hanya boleh call. Begitu juga hati kita ini perlu kita charge untuk mendapat fungsi yang optimum daripada al-Quran sebagai perlembagaan dalam kehidupan kita.
Ayat 27:3
ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلْءَاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Iaitu mereka yang tetap mendirikan sembahyang dan memberi zakat, sedang mereka pula percaya dengan yakin akan hari akhirat.
Pengajaran
- Orang-orang yang mendapat hidayah dan khabar gembira daripada al-Quran adalah orang-orang beriman.
- 3 ciri-ciri orang beriman:
- mendirikan solat jaga hubungan dengan Allah SWT
- menunaikan zakat - jaga hubungan dengan manusia
- amat yakin akan hari akhirat.
3. Semak diri kita dan jaga elok-elok. Mangsa banjir yang duduk di masjid surau, bila azan, jangan lupa solat sekali. Jangan hanya mengambil makanan sahaja dan tidak solat.
Ayat 27:4
إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْءَاخِرَةِ زَيَّنَّا لَهُمْ أَعْمَٰلَهُمْ فَهُمْ يَعْمَهُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, Kami jadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka kelihatan baik kepada mereka; oleh itu, tinggallah mereka meraba-raba dalam kesesatan.
Pengajaran
- Orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, Allah SWT jadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka kelihatan baik kepada mereka. Tinggallah mereka meraba-raba dalam kesesatan.
- Ayat ini menceritakan kesan tidak beriman kepada hari akhirat. Semua orang, sebenarnya, percaya yang Tuhan Maha Berkuasa. Kita melihat air yang bergenang dan naik, kita tahu kita tidak dapat mengawal air tersebut. Allah SWT yang berkuasa.
- Beriman kepada hari akhirat ini dibuktikan dengan solat, dengan zakat, dengan percaya kepada hari akhirat.
- Percaya kepada hari akhirat ada ganjaran dan hukuman. Ada orang buat baik dalam hidup tetapi merasakan tidak perlu solat. Oleh itu kita juga perlu ada hukuman dan ganjaran supaya kita mengikut segala peraturan.
- Orang-orang yang tidak beriman pada hari akhirat, mereka tidak membaiki amalnya. Mereka buta mata hati. Tidak kisah berbuat keburukan seperti mengambil rasuah, tipu orang atau buat dosa.
Ayat 27:5
أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَهُمْ سُوٓءُ ٱلْعَذَابِ وَهُمْ فِى ٱلْءَاخِرَةِ هُمُ ٱلْأَخْسَرُونَ
Merekalah orang-orang yang akan beroleh azab seksa yang buruk (di dunia) dan mereka pula pada hari akhirat adalah orang-orang yang paling rugi.
Pengajaran
- Mereka akan beroleh azab seksa yang buruk di dunia dan pada hari akhirat mereka paling rugi.
- Mereka rugi kerana iman mereka tidak dibuktikan dengan solat, zakat dan yakin pada hari akhirat. dan
- Yakin pada hari akhirat menyebabkan mereka menimbang-nimbang apa yang ingin dilakukan. Dalam keadaan sekarang, jangan menghukum orang yang sedang menghadapi ujian.
- Kalau seseorang itu tidak menimbang-nimbang, itu tanda ada masalah tentang percaya kepada hari akhirat. Mereka itu paling rugi di akhirat.
Ayat 27:6
وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى ٱلْقُرْءَانَ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ عَلِيمٍ
Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) diberikan menyambut dan menerima Al-Quran dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
Pengajaran
- Nabi Muhammad SAW bertalaqqi al-Quran dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
- Kita bertalaqqi al-Quran dengan guru, mengambil masa dengan al-Quran, memahami dan mendapat pencerahan.
- Dalam surah ini kita akan bertemu dengan berbagai kebijaksanaan Allah SWT yang menyusun hidup Nabi Musa AS.
- Allah SWT lah yang mengatur hidup kita dengan COVID-19, banjir, belajar al-Quran, semuanya daripada Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
- Allah SWT mengatur kehidupan kita sehingga kita dapat hikmah kerana kita banyak berinteraksi dengan al-Quran.
- Selepas kita tahu bahawa al-Quran ini membawa kebijaksanaan kalau kita selalu talaqqi, maka kesannya kita akan dapat hikmah. Orang yang mendapat hikmah bila melihat COVID-19, kejadian banjir, ia nampak bagaimana Allah SWT susun hidupnya, mereka nampak bahawa ini adalah aturan Allah SWT.
Ayat 27:7
إِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِأَهْلِهِۦٓ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا سَـَٔاتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ ءَاتِيكُم بِشِهَابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ
(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada isterinya: "Sesungguhnya aku ada melihat api; aku akan bawakan berita dari situ kepada kamu, atau aku akan bawakan colok api daripadanya, supaya kamu dapat memanaskan diri.
Pengajaran
- Hikmah ini kita boleh nampak dalam kisah Nabi Musa AS.
- Baginda yakin dia akan bawa api yang menyala. Di dalam Surah Taha, digambarkan Nabi Musa AS belum lagi yakin bahawa baginda akan bawa api.
- Apa yang dapat dipelajari, dalam hidup kita ini, ada masa kita rasa yakin ada masa rasa tidak yakin. Bila kita banyak berinteraksi dengan al-Quran, kita akan menjadi semakin yakin.
Ayat 27:8
فَلَمَّا جَآءَهَا نُودِىَ أَنۢ بُورِكَ مَن فِى ٱلنَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحَٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ
Maka apabila ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) ia diseru: "Berkat yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini dan sesiapa yang ada (di daerah) sekelilingnya; dan Maha Sucilah Allah Tuhan sekalian alam.
Pengajaran
- Apabila Nabi Musa AS bertemu Allah di sebuah Wadi, baginda nampak api yang bernyala-nyala. Ini api yang ada barakah dan juga memberkati orang yang berada di sekeliling bumi Palestin itu.
- Ini bukanlah perkara syirik. Perkara syirik bila mengaitkan api dengan Allah SWT. Sedangkan yang berlaku ini adalah satu perlambangan yang Allah SWT itu melangkau daripada api yang biasa kita lihat.
Ayat 27:9
يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّهُۥٓ أَنَا ٱللَّهُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
"Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
Pengajaran
- Allah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.
- Dengan kejadian banjir yang melanda, Allah Yang Maha Bijaksana sedang menyusun sesuatu untuk kita. Semoga kita semua selamat.
Ayat 27:10
وَأَلْقِ عَصَاكَ فَلَمَّا رَءَاهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَآنٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ يَٰمُوسَىٰ لَا تَخَفْ إِنِّى لَا يَخَافُ لَدَىَّ ٱلْمُرْسَلُونَ
Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): " Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut,
Pengajaran
- Apabila tongkat yang dicampaknya menjadi ular, Nabi Musa AS takut. Baginda berpaling melarikan diri. Ular selalu dikaitkan dengan jin.
- Allah SWT memberitahu Nabi Musa AS supaya jangan takut. Rasul-rasul tidak takut di hadapan Allah SWT. Yang patut takut ialah orang yang berbuat dosa. Nabi Musa AS pernah tersilap tetapi itu tidak disengajakan.
Ayat 27:11
إِلَّا مَن ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسْنًۢا بَعْدَ سُوٓءٍ فَإِنِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Tetapi sesiapa yang berbuat salah, kemudian ia mengubahnya dengan melakukan kebaikan sesudah berbuat salah, maka sesungguhnya Aku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pengajaran
- Jangan takut dengan banjir. Takutlah kalau berbuat dosa. Banyak istighfar, minta Allah SWT jaga kita. Kalau Allah SWT sudah ampun kita, Allah SWT akan suruh banjir surut, COVID-19 surut. Itulah yang berlaku kepada Nabi Musa AS yang dibantu oleh Allah SWT untuk berjuang bertemu dengan Firaun.
- Bila sedar buat kesalahan, istighfar dan tambahkan dengan kebaikan demi kebaikan.
- Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat 27:12
وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ فِى تِسْعِ ءَايَٰتٍ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِۦٓ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا فَٰسِقِينَ
"Dan masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat (ini ialah) di antara sembilan mukjizat (yang membuktikan kebenaranmu), untuk dibawa kepada Firaun dan kaumnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik - derhaka.
Pengajaran
- Nabi Musa AS masukkan tangan ke dalam sakunya. Bila dikeluarkan, tangan Nabi Musa AS jadi putih tanpa ada cacat.
- Tongkat menjadi ular dan tangan menjadi putih adalah dua dari sembilan mukjizat untuk Nabi Musa AS bertemu Firaun dan kaumnya.
- Inilah persediaan Allah SWT melatih Nabi Musa AS. Kita dilatih dengan mukjizat al-Quran dapat ilham, khabar gembira. Nabi Musa dapat hadapi ujiannya dengan mukjizat. Kita juga dapat hadapi ujian dengan hidayah, busyra, dengan rasa positif. Takut tetap takut, tetapi kita ada mukjizat al-Quran. Talaqqi elok-elok, kita akan dapat kebijaksanaan, ilmu yang datang daripada sisi Allah SWT.
Ayat 27:13
فَلَمَّا جَآءَتْهُمْ ءَايَٰتُنَا مُبْصِرَةً قَالُوا۟ هَٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Maka ketika keterangan-keterangan mukjizat Kami sampai kepada Firaun dan kaumnya dengan jelas nyata, berkatalah mereka: " ini adalah sihir yang terang nyata!"
Pengajaran
- Ketika Nabi Musa AS menunjukkan mukjizat daripada Allah SWT kepada Firaun dan kaumnya dengan jelas nyata, mereka kata bahawa itu adalah sihir.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa dapatkan hidayah dan berita gembira daripada al-Quran (27:2)
- Sentiasa prihatin dan menjaga keluarga (27:7)
- Sentiasa manfaatkan mukjizat dalam dakwah (27:12)
Saya berasa lega, Allah SWT berikan hidayah dan khabar gembira daripada al-Quran.
Saya jelas saya mesti sentiasa dapatkan hidayah dan berita gembira daripada al-Quran. Saya jelas untuk sentiasa prihatin dan menjaga keluarga. Saya jelas untuk sentiasa manfaatkan mukjizat dalam dakwah.
Ya Allah, kurniakan kepada kami hidayah dan berita gembira daripada al-Quran. Ya Allah, bantu kami untuk sentiasa prihatin dan menjaga keluarga. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa manfaatkan mukjizat dalam dakwah.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.