Sunday, September 3, 2023

Halaman 375 Al-Syu'ara', 184-206

PERKATAAN HARI INI

 جَبَلَ Gunung, membukit, generasi. 41 kali disebut dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Sambungan kisah Nabi Syu'aib bersama kaumnya (26:184-191)
  2. Al-Quran turun daripada Allah SWT sebagai peringatan kepada orang musyrik dan khabar gembira buat golongan mukmin (26:192-206)

Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 375. Perjuangan yang dimaklumkan dalam surah ini adalah lambang kepada perjuangan wahyu yang perlu diberi perhatian. 

Ayat dalam surah ini banyak, tetapi pendek-pendek yang memberi panduan kepada kita bahawa mesej pendek-pendek tetapi jangan sampai pendek akal. Mesti panjang akal disebabkan ayat-ayat ini semuanya menceritakan bagaimana kebesaran Allah SWT. Kita perlu membina keimanan dan juga ambil peluang daripada ar-Rahim yang memberi peluang kepada kita untuk ambil pelajaran dan kembali kepada Allah SWT. 

Dalam surah ini Allah SWT tunjukkan ayat-ayat, kebesaran demi kebesaran seperti pada tumbuh-tumbuhan yang merupakan asas makanan kita. Ia bukan sekadar perkara biasa. Kalau lembu kambing tengok tumbuhan sekadar untuk makanan tetapi bagi kita ia adalah anugerah daripada Allah SWT, maka kita kena segan, mesti kembali beribadah dan bersyukur kepada Allah SWT.

Nabi Syuaib AS satu-satunya nabi yang diutus dua kali iaitu kepada penduduk Madyan dan penduduk Aikah. Nabi Syuaib AS memperingatkan apabila ada isu tentang ketauhidan ini, mereka sanggup menipu dalam ekonomi dan berjual beli.


Ayat 26:184


وَٱتَّقُوا۟ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلْجِبِلَّةَ ٱلْأَوَّلِينَ

"Dan (sebaliknya) berbaktilah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang telah lalu".

Pengajaran


  1. Ubat bagi penyakit menukar timbangan, rasuah, penipuan ialah takwa. 
  2. Orang yang tidak bertakwa tidak takut apa pun. Kita kena bina nilai takwa ini. Tidak ada pilihan kecuali takwa.
  3. Takwa ini maknanya orang yang takut kepada masalah atau cabaran pada masa akan datang dengan bantuan daripada Allah SWT, dengan mengikut peraturan dan jujur kepada urus niaga atau perkhidmatan yang ada.
  4. Generasi ini sesuatu yang kita bina bertahap-tahap atau berkelompok-kelompok seperti bukit-bukit yang saling bergabung dan saling berkait. 
  5. Apabila kita hendakkan keselamatan dalam hidup kita ini, kita kena bina takwa. Takwa memberi kesan kepada kita dan kepada generasi akan datang. Ayah soleh, anak juga akan dijaga oleh Allah SWT. Nabi Ibrahim AS soleh, generasinya juga dijaga oleh Allah SWT. Takwa sebagai kata kunci surah ini.

Ayat 26:185


قَالُوٓا۟ إِنَّمَآ أَنتَ مِنَ ٱلْمُسَحَّرِينَ

Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib) hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir.

Pengajaran


  1. Mereka menuduh baginda kena sihir, sedangkan Nabi Syuaib AS cuma mahu menyuruh mereka jujur dalam urusniaga/servis.

Ayat 26:186


وَمَآ أَنتَ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَإِن نَّظُنُّكَ لَمِنَ ٱلْكَٰذِبِينَ

"Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini dari orang-orang yang dusta.

Pengajaran


  1. Mereka mengatakan Nabi Syuaib AS hanyalah manusia biasa dan juga seorang penipu.
  2. Ini adalah satu penghinaan. Nabi Syuaib AS tetap bersabar.

Ayat 26:187


فَأَسْقِطْ عَلَيْنَا كِسَفًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ

Oleh itu, gugurkanlah atas kami ketul-ketul (yang membinasakan) dari langit, jika betul engkau dari orang-orang yang benar!"

Pengajaran


  1. Mereka mencabar Nabi Syuaib AS untuk menurunkan azab dari langit. 
  2. Sekarang dengan COVID-19, walaupun sudah boleh bergerak dan buat majlis-majlis, kita tetap kena jaga SOP. Kita tidak mahu ia ditarik balik. 

Ayat 26:188


قَالَ رَبِّىٓ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُونَ

Nabi Syuaib berkata: "Tuhanku lebih mengetahui akan apa yang kamu lakukan".

Pengajaran


  1. Nabi Syuaib AS menjawab bahawa Tuhan lebih mengetahui apa yang mereka buat.  
  2. Nabi Syuaib AS tidak cepat naik angin. Ini penting dalam kita menyampaikan kebaikan. Ini memberi kesan kepada orang yang hendak dengar. Mereka akan dapat mesej untuk bersujud kepada Allah SWT. 
  3. Jangan kita mudah naik angin. Ibu-ibu, guru-guru yang mengajar, kena ambil pelajaran dan bersabar apabila mengajar anak-anak. Ajarlah dengan rahmah.
  4. Dalam hidup ini, jika ada orang menyakiti kita, kita doakan ia diberi hidayah. Semoga dengan doa kita, dia menjadi lebih baik. Perkara-perkara ini kita tidak pasti, tetapi Allah SWT yang lebih mengetahui.

Ayat 26:189


فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمْ عَذَابُ يَوْمِ ٱلظُّلَّةِ إِنَّهُۥ كَانَ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab seksa hari awan mendung; sesungguhnya kejadian itu adalah merupakan azab seksa hari yang amat besar - (huru-haranya).

Pengajaran


  1. Kesimpulan ini konsisten dalam semua kisah nabi-nabi yang diceritakan dalam surah ini. Kaum yang mendustakan nabi-nabi itu diazab kerana mereka sombong apabila ditegur. Orang yang tidak boleh ditegur itu namanya mendustakan.
  2. Kaum Nabi Syuaib AS ditimpa azab yang dahsyat pada hari yang gelap. Mereka bersatu menentang Nabi Syuaib AS. 
  3. Kita sekarang ini, kalau hendak selamat, kena tegur perkara salah, bangkit memperjuangkan keadilan. 
  4. In Sya Allah, Allah SWT akan melindungi sesuatu kawasan itu jika ada orang soleh yang berbuat kebaikan dan memperjuangkan keadilan.

Ayat 26:190


إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

Pengajaran


  1. Ini adalah kesimpulan yang membuktikan kekuasaan Allah SWT, namun kebanyakan kaum tidak mengambil pelajaran.
  2. Jangan dustakan teguran apabila ada sesuatu masalah berlaku. Jangan nafikan atau buat tidak kisah. Itu tanda keimanan pada waktu itu rendah atau hampir tiada.

Ayat 26:191


وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Pengajaran


  1. Allah SWT boleh terus mengazab sesuatu individu dalam hidup kita ini tetapi Allah SWT Maha Mengasihani. 
  2. Allah SWT masih memberi peluang untuk kita baiki dan taubat, kembali pada-Nya.

Ayat 26:192


وَإِنَّهُۥ لَتَنزِيلُ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam.

Pengajaran


  1. Allah SWT turunkan al-Quran sebagai anugerah terhebat. Al-Quran akan mencerahkan hati yang gelap.
  2. Apabila hati gelap, itu yang mudah marah. Kena tegur sedikit sudah melenting. 
  3. Sentiasalah komited dengan al-Quran agar hidup kita dipandu oleh cahaya wahyu daripada Allah SWT.

Ayat 26:193


نَزَلَ بِهِ ٱلرُّوحُ ٱلْأَمِينُ

Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.

Pengajaran


  1. Allah SWT juga bawakan kisah nabi-nabi dan ditutup dengan Allah SWT mengingatkan tentang al-Quran kerana al-Quran yang dipandang rendah oleh orang musyrik ini turun daripada Allah SWT dibawa oleh Jibril yang jujur kepada Nabi SAW yang jujur untuk menjujurkan manusia.


Ayat 26:194


عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ ٱلْمُنذِرِينَ

Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).

Pengajaran


  1. Ada manusia yang suka menipu, memberi rasuah dan sebagainya. Maka al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk memberi peringatan kepada hati-hati manusia yang kadang-kadang sudah tidak jujur.

Ayat 26:195


بِلِسَانٍ عَرَبِىٍّ مُّبِينٍ

(Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

Pengajaran


  1. Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab yang fasih serta terang nyata (مُّبِينٍ).
  2. Al-Quran adalah mukjizat yang lebih hebat daripada tongkat Nabi Musa AS yang menjadi ular besar yang menelan kebatilan ahli sihir.

Ayat 26:196


وَإِنَّهُۥ لَفِى زُبُرِ ٱلْأَوَّلِينَ

Dan sesungguhnya Al-Quran (tersebut juga perihalnya dan sebahagian dari pengajaran-pengajarannya) di dalam Kitab-kitab ugama orang-orang yang telah lalu

Pengajaran


  1. Kebenaran yang dibawa oleh al-Quran ini telah disebut dalam kitab-kitab terdahulu. 
  2. Allah SWT memberi panduan kepada kita bagaimana al-Quran akan menyelamatkan diri kita, keluarga dan umat ini.
  3. Kaum terdahulu diazab kerana mereka tidak menghormati wahyu daripada Ilahi.

Ayat 26:197


أَوَلَمْ يَكُن لَّهُمْ ءَايَةً أَن يَعْلَمَهُۥ عُلَمَٰٓؤُا۟ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ

(Tidakkah mereka yang musyrik sedarkan kebenaran itu) dan tidakkah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita-pendita ugama Bani lsrail mengetahui akan kebenaran Al-Quran itu?

Pengajaran


  1. Di awal surah ini orang-orang musyrik menyuruh Nabi SAW datangkan mukjizat yang memberi kesan kepada mereka. Mereka tidak percaya kepada al-Quran. 
  2. Allah SWT beritahu bahawa al-Quran ini datang daripada Allah SWT melalui Jibril ruhul amin, kepada Nabi SAW al-Amin. Ia kitab terbaik, dibawa oleh malaikat yang amanah. Guru terbaik, silibus terbaik, jika tidak juga mahu menerima, memang ada sesuatu yang tidak kena kepada mereka. 
  3. Ulama Bani Israel tahu tentang nilai al-Quran kerana mereka berilmu. 

Ayat 26:198


وَلَوْ نَزَّلْنَٰهُ عَلَىٰ بَعْضِ ٱلْأَعْجَمِينَ

Dan sekiranya Kami turunkan Al-Quran kepada setengah orang yang bukan Arab, yang tidak tahu membaca Arab,

Ayat 26:199


فَقَرَأَهُۥ عَلَيْهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ مُؤْمِنِينَ

Kemudian ia (dikurniakan Tuhan dapat) membacakannya kepada mereka, mereka tetap juga tidak mahu percayakan bacaan itu daripada Tuhan.

Pengajaran Ayat 198-199


  1. Jika al-Quran diturunkan dalam bahasa selain Arab pun, mereka tetap mendustakan.

Ayat 26:200


كَذَٰلِكَ سَلَكْنَٰهُ فِى قُلُوبِ ٱلْمُجْرِمِينَ

Demikianlah Kami masukkan perasaan (kufur ingkar) itu ke dalam hati orang-orang yang melakukan dosa - tidak percayakan Al-Quran.

Pengajaran


  1. Bila kita buat dosa, akan ada titik-titik hitam dalam hati. Cahaya daripada al-Quran tidak tembus sehinggakan hati tidak bersemangat dengan al-Quran untuk membina keimanan yang kuat.

Ayat 26:201


لَا يُؤْمِنُونَ بِهِۦ حَتَّىٰ يَرَوُا۟ ٱلْعَذَابَ ٱلْأَلِيمَ

Mereka tidak beriman kepada Al-Quran sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya,

Pengajaran


  1. Mereka tidak beriman sehinggalah datang azab depan mata. 

Ayat 26:202


فَيَأْتِيَهُم بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Lalu azab itu datang menimpa mereka secara mengejut, dengan tidak mereka menyedarinya.

Pengajaran


  1. Mereka terkejut kerana azab datang tiba-tiba.

Ayat 26:203


فَيَقُولُوا۟ هَلْ نَحْنُ مُنظَرُونَ

Maka (pada saat itu) mereka akan berkata (dengan menyesal): "Dapatkah kiranya kami diberi tempoh?"

Pengajaran


  1. Dan mereka memohon azab ditangguh sedangkan mereka yang minta disegerakan.

Ayat 26:204


أَفَبِعَذَابِنَا يَسْتَعْجِلُونَ

(Kalaulah demikian keadaan mereka) maka patutkah mereka meminta disegerakan azab Kami?

Pengajaran


Sepatutnya mereka tidak meminta disegerakan azab.

Ayat 26:205


أَفَرَءَيْتَ إِن مَّتَّعْنَٰهُمْ سِنِينَ

Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad)? Jika Kami berikan mereka menikmati kesenangan bertahun-tahun.

Ayat 26:206


ثُمَّ جَآءَهُم مَّا كَانُوا۟ يُوعَدُونَ

Kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan kepada mereka,


Pengajaran Ayat 205-206



  1. Dalam ayat 18, Firaun mengungkit yang dia menjaga Nabi Musa AS. Nabi Musa AS tidak lupa daratan. Baginda tetap kembali untuk menyelamatkan Bani Israel.
  2. Pada ayat 205 ini Allah SWT mengungkit bahawa Dia telah berikan mereka kesenangan yang banyak sepanjang hidup mereka. 
  3. Bila kita sudah mewah, jangan lupa misi kita adalah untuk makin dekat dengan Allah SWT dan tolong orang-orang yang dizalimi dalam masyarakat.


RESOLUSI


Ingat!
  1. Bersabar dan tenang menghadapi provokasi orang kufur (26:188)
  2. Jangan sampai kita menjadi orang yang beriman selepas melihat azab di depan mata (26:201)
  3. Sering ingat nikmat di sini hanyalah sementara (26:204)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya sabar dan tenang hadapi provokasi orang kufur.

Saya jelas saya mesti bersabar dan tenang menghadapi provokasi orang kufur. Saya jelas untuk segera menjadi orang yang beriman. Saya jelas saya mesti sering ingat nikmat di sini hanyalah sementara.

Ya Allah, bimbing kami untuk bersabar dan tenang menghadapi provokasi orang kufur. Ya Allah, jadikan kami orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, ingatkan kami bahawa nikmat di sini hanyalah sementara.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...