PERKATAAN HARI INI
مَدَّ / مَدَدَ Memberi, memanjangkan. 32 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Respon Nabi Sulaiman AS pada hadiah Ratu Balqis (27:36-37)
2. Ratu Balqis masuk Islam, ketaatannya serta kunjungannya kepada Nabi Sulaiman AS (27:38-44)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 380, Surah al-Naml, kisah Nabi Sulaiman AS sebagai panduan untuk menguruskan organisasi dan negeri. Inilah caranya untuk kita kembali dibantu oleh Allah SWT.
Di halaman ini, kita belajar bagaimana menjadi ketua atau raja yang baik untuk rakyat. Nabi Sulaiman AS mempunyai kerajaan yang besar termasuk jin, burung dan semut.
Kalau zaman Nabi Sulaiman AS ada jin yang manusia tidak nampak menjadi tenteranya, kita juga ada teknologi internet yang memberi kesan yang besar walaupun tidak nampak.
Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS bersyukur, mengucapkan alhamdulillah dan tidak menyombong dengan kelebihan yang diberi kepada mereka.
Ayat 27:36
فَلَمَّا جَآءَ سُلَيْمَٰنَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالٍ فَمَآ ءَاتَىٰنِۦَ ٱللَّهُ خَيْرٌ مِّمَّآ ءَاتَىٰكُم بَلْ أَنتُم بِهَدِيَّتِكُمْ تَفْرَحُونَ
Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): "Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).
Pengajaran
- Bila utusan Ratu Balqis datang membawa hadiah, Nabi Suaiman AS mempersoalkan mengapa menawarkan harta kepadanya. Menurutnya, kurniaan Allah SWT adalah lebih baik daripada apa yang ditawarkan.
- Baginda terus mengaitkan kurniaan daripada Allah SWT dan menyuruh mereka berserah diri kepada Allah SWT.
- Harta itu tidak menarik hatinya. Baginda tidak tergiur dengan tawaran harta yang boleh menyebabkan baginda lari dari misi sebenarnya. Inilah prinsip yang perlu dipegang oleh pemimpin yang diajar oleh Allah SWT.
Ayat 27:37
ٱرْجِعْ إِلَيْهِمْ فَلَنَأْتِيَنَّهُم بِجُنُودٍ لَّا قِبَلَ لَهُم بِهَا وَلَنُخْرِجَنَّهُم مِّنْهَآ أَذِلَّةً وَهُمْ صَٰغِرُونَ
"Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan."
Pengajaran
- Nabi Sulaiman AS menyuruh utusan Ratu Balqis pulang dan baginda memberitahu akan menghantar tenteranya dari kalangan jin, manusia dan burung untuk mengeluarkan mereka dari negara mereka.
- Nabi Sulaiman AS tegas kerana baginda ingin menyampaikan mesej yang besar supaya mereka kembali kepada kebenaran tauhid. Jika tidak, mereka akan terus melakukan kezaliman di atas muka bumi ini.
Ayat 27:38
قَالَ يَٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَؤُا۟ أَيُّكُمْ يَأْتِينِى بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَن يَأْتُونِى مُسْلِمِينَ
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"
Pengajaran
- Nabi Sulaiman AS meminta nasihat pegawainya siapa yang dapat membawa singgahsana Ratu Balqis kepadanya.
- Nabi Sulaiman AS mengatur strategi supaya negeri Saba’ dan Ratu Balqis menyerah diri kepada Allah SWT.
Ayat 27:39
قَالَ عِفْرِيتٌ مِّنَ ٱلْجِنِّ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبْلَ أَن تَقُومَ مِن مَّقَامِكَ وَإِنِّى عَلَيْهِ لَقَوِىٌّ أَمِينٌ
Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".
Pengajaran
- Jin Ifrit berkata bahawa ia akan membawa singgahsana itu sebelum mesyuarat itu habis. Ifrit memberitahu yang ia boleh dipercayai.
- Pelajaran: a. Sebelum ambil tindakan mesyuarat dulu.
b. Pegawai mesti dalam kalangan pakar yang tangkas, bukan lembap untuk menjalankan strategi dalam sesebuah negara.
c. Pegawai mesti kuat dan boleh dipercayai.
Ayat 27:40
قَالَ ٱلَّذِى عِندَهُۥ عِلْمٌ مِّنَ ٱلْكِتَٰبِ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُۥ قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّى لِيَبْلُوَنِىٓ ءَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّى غَنِىٌّ كَرِيمٌ
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".
Pengajaran
- Seorang penasihat baginda yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah berkata bahawa dia boleh bawakan singgahsana Ratu Balqis sebelum sekelip mata.
- Ini menunjukkan baginda mempunyai pengurusan yang bagus. Baginda pilih orang yang boleh buat kerja sebagai pembantu. Bukan orang yang hanya pandai bercakap tetapi tidak boleh ‘deliver’ bila diperlukan.
- Sekelip mata singgahsana Ratu Balqis sampai di sisi Nabi Sulaiman AS.
- Nabi Sulaiman AS mampu mendapatnya kerana ilmu dari kitab/wahyu. Bukan sekadar membaca al-Quran tetapi ada kemahiran.
- Nabi Sulaiman AS berkata bahawa itu adalah satu kurniaan daripada Allah SWT kepada baginda.
- Zaman sekarang, kita ada ‘database’ yang boleh digunakan untuk membantu dalam satu-satu urusan. Syaratnya kita sudah membuat persediaan sebelum sesuatu krisis berlaku. Itu semua memerlukan ilmu. Sudah tentu pemimpin akan mendapat ilham sekiranya selalu merujuk kepada al-Quran dalam urusan kepimpinan dan pengurusan negara.
- Nabi Sulaiman AS merendah diri. Menurut seorang imam Al-Baghawi, "Jika bersyukur, ia menjemput nikmat yang ada dan memburu nikmat yang hilang". Allah SWT akan tambah nikmat bagi yang bersyukur.
- Mukjizat Nabi Sulaiman AS banyak memberi kesan kepada kita untuk menyedari bahawa pentingnya ilmu yang benar. Apa sahaja anugerah yang Allah SWT beri kepada kita, jangan lupa bersyukur dan kembalikan kepada Allah SWT.
- Misi membawa singgahsana itu bukan kerana Nabi Sulaiman AS hendak tunjuk hebat tetapi mahu menunjukkan kehebatan Allah SWT. Baginda mengharapkan Ratu Balqis berserah diri kepada Allah SWT.
- Kalau kita dapat membantu orang, kita bersyukur. Allah SWT boleh sahaja menggantikan kita dengan orang lain berdakwah atau membantu orang lain. Allah SWT tidak memerlukan kita pun.
- Kurniaan yang ada dalam hidup kita seperti pangkat, boleh membantu orang lain, teknologi dan sebagainya adalah kurniaan daripada Allah SWT bukan untuk kita makin kufur tetapi untuk kita makin syukur.
- Ada internet, tv, kereta, kemahiran bercakap dll, hendaklah digunakan untuk kebaikan. Itulah kaedah untuk bersyukur dengan apa sahaja yang kita ada.
Ayat 27:41
قَالَ نَكِّرُوا۟ لَهَا عَرْشَهَا نَنظُرْ أَتَهْتَدِىٓ أَمْ تَكُونُ مِنَ ٱلَّذِينَ لَا يَهْتَدُونَ
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian".
Pengajaran
1. Nabi Sulaiman AS menyuruh pembantunya untuk mengubah sedikit singgahsana itu.
2. Ini adalah strategi untuk menguji kebijaksanaan Ratu Balqis.
3. Orang yang mengenal Allah SWT adalah orang yang bijak.
Ayat 27:42
فَلَمَّا جَآءَتْ قِيلَ أَهَٰكَذَا عَرْشُكِ قَالَتْ كَأَنَّهُۥ هُوَ وَأُوتِينَا ٱلْعِلْمَ مِن قَبْلِهَا وَكُنَّا مُسْلِمِينَ
Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)".
Pengajaran
- Ratu Balqis mengatakan singgahsana itu nampaknya seperti kepunyaannya.
- Ratu Balqis juga adalah seorang yang bijak. Ia ada ilmu dan menyatakan yang ia sudah tahu tentang Nabi Sulaiman AS yang menyerah diri kepada Allah SWT.
Ayat 27:43
وَصَدَّهَا مَا كَانَت تَّعْبُدُ مِن دُونِ ٱللَّهِ إِنَّهَا كَانَتْ مِن قَوْمٍ كَٰفِرِينَ
Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.
Pengajaran
- Ratu Balqis memang kafir sebelum itu.
- Walaupun tahu tentang Islam tetapi kerana pangkatnya, dia sudah ada rutin dengan kebiasaan beribadah kepada selain dari Tuhan, maka itu menghalangnya dari menyembah Allah SWT.
Ayat 27:44
قِيلَ لَهَا ٱدْخُلِى ٱلصَّرْحَ فَلَمَّا رَأَتْهُ حَسِبَتْهُ لُجَّةً وَكَشَفَتْ عَن سَاقَيْهَا قَالَ إِنَّهُۥ صَرْحٌ مُّمَرَّدٌ مِّن قَوَارِيرَ قَالَتْ رَبِّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى وَأَسْلَمْتُ مَعَ سُلَيْمَٰنَ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ
(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ".
Pengajaran
- Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana. Dia kagum dengan lantai istana yang seperti kolam air, lalu disingkapnya sedikit kain daripada betisnya. Nabi Sulaiman AS beritahu bahawa lantai istana itu dilapisi kaca.
- Ratu Balqis kagum dengan kemampuan kerajaan Nabi Sulaiman AS. Dia tidak mampu mempunyai semua itu. Namun dia ada fitrah yang baik. Dia telah mendapat ilmu tetapi terhalang untuk masuk Islam.
- Pemimpin seperti Nabi Sulaiman AS menggunakan teknologi dan kebijaksanaan supaya Ratu Balqis kagum kepada Allah SWT.
- Dengan teknologi dan kelebihan yang ditunjukkan oleh kerajaan Nabi Sulaiman AS, Ratu Balqis menyerah diri bersama Nabi Sulaiman AS kepada Allah Tuhan sekalian alam.
- Dalam hidup kita ini, kalau ada ilmu, pangkat, amat penting untuk kita gunakan kelebihan itu untuk membantu manusia, agar manusia kagum kepada Allah Tuhan sekalian alam.
RESOLUSI
Ingat!
1. Menolak hadiah atau anugerah yang konflik dengan tugas dan amanah (27:36-37)
2. Pelajari ilmu dari al-Quran yang boleh membawa kejayaan (27:40)
3. Manfaatkan ilmu dan teknologi untuk berdakwah (27:44)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya pelajari ilmu dari al-Quran untuk kejayaan.
Saya jelas untuk menolak hadiah atau anugerah yang konflik dengan tugas dan amanah. Saya jelas untuk pelajari ilmu dari al-Quran yang boleh membawa kejayaan. Saya jelas saya mesti manfaatkan ilmu dan teknologi untuk berdakwah.
Ya Allah, bantu kami untuk menolak hadiah atau anugerah yang konflik dengan tugas dan amanah. Ya Allah, bimbing kami untuk pelajari ilmu dari al-Quran yang boleh membawa kejayaan. Ya Allah, ajarkan kami untuk manfaatkan ilmu dan teknologi untuk berdakwah.
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.