PERKATAAN HARI INI
1 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Perginya Nabi Musa AS ke negeri Madyan dan pernikahannya dengan puteri Nabi Syuaib AS (28:22-28)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 388 untuk menyambung kisah Nabi Musa AS.
Ayat 28:22
وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَآءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَىٰ رَبِّىٓ أَن يَهْدِيَنِى سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ
Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku”
Pengajaran
- Nabi Musa AS berdoa supaya Allah SWT menyelamatkannya daripada Firaun dan kuncu-kuncunya kerana tidak sengaja membunuh seorang Qibti.
- Ketika Nabi Musa AS menuju ke negeri Madyan, baginda berdoa agar Allah SWT memimpinnya ke jalan yang benar. Madyan itu adalah daerah di padang pasir, tidak ada apa-apa, tiada bangunan, tiada kenderaan. Baginda mungkin tersesat jalan.
- Nabi Musa AS bukan sahaja memohon untuk ke jalan yang selamat tetapi berdoa agar tidak semakin putus asa dalam kehidupan.
Ayat 28:23
وَلَمَّا وَرَدَ مَآءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ ٱلنَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ ٱمْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِى حَتَّىٰ يُصْدِرَ ٱلرِّعَآءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ".
Pengajaran
- Sampai di Madyan, baginda terlihat kumpulan orang mengambil air di telaga dan diberi kepada binatang ternakan mereka. Baginda nampak ada dua orang wanita yang sedang menarik kambing mereka dari pergi ke telaga kerana semua di situ adalah lelaki. Ini adab pergaulan wanita dan lelaki untuk kita ambil pelajaran.
- Nabi Musa dalam kepenatan, bangun dan bertanya kepada wanita-wanita itu. Diberitahu yang mereka mahu menunggu pengembala lelaki beredar.
- Mereka memberitahu Nabi Musa AS bahawa bapa mereka sudah tua (كَبِيرٌ شَيْخٌ - maksud yang lain seorang yang ada kuasa). Wanita-wanita itu tidak bercakap panjang, begitu juga Nabi Musa AS.
Ayat 28:24
فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰٓ إِلَى ٱلظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".
Pengajaran
- Nabi Musa AS terus membantu memberi kambing mereka minum. Selepas itu baginda berpaling untuk duduk di tempatnya berteduh.
- Nabi Musa AS selain kuat, juga ‘action oriented’. Terus buat, tidak berlengah, tidak tengok-tengok dahulu untuk membantu.
- Selepas itu Nabi Musa AS berdoa, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan". Nabi Musa AS berdoa memohon agar diberikan kebaikan oleh Allah SWT.
- Uslub al-Quran ini memang amat cantik. Tidak menyebut perkara yang remeh-temeh. Ayat ini memberi semangat kepada mereka yang di landa banjir dan hilang segalanya, untuk bangkit seperti Nabi Musa AS yang juga hilang segalanya.
- Karakter Nabi Musa AS begitu kerana baginda dilatih oleh ibu angkat dan ibu kandungnya. Baginda tidak suka melihat orang dizalimi. Baginda adalah pejuang keadilan.
- Nabi Musa AS sebatang kara di Madyan, tanpa apa-apa tetapi tetap membantu wanita itu.
- Formulanya, ketika susah, pergi tolong orang lain yang susah. Nabi Musa AS, bila menolong orang yang susah, itu adalah kebaikan yang Allah SWT sedang berikan. Kebaikan yang sebenar-benarnya adalah berbuat baik.
Ayat 28:25
فَجَآءَتْهُ إِحْدَىٰهُمَا تَمْشِى عَلَى ٱسْتِحْيَآءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِى يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا فَلَمَّا جَآءَهُۥ وَقَصَّ عَلَيْهِ ٱلْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ نَجَوْتَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّٰلِمِينَ
Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: "Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami". Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: "Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu ".
Pengajaran
- Perempuan yang dibantunya datang kembali dengan tersipu-sipu malu mengatakan yang bapanya menjemput Nabi Musa AS untuk membalas budinya (أَجْرَ لِيَجْزِيَكَ).
- Nabi Musa AS tanpa banyak soal, terus pergi dan baginda menceritakan hal dirinya kepada Nabi Syuaib AS. Pelajaran: Salah satu terapi untuk orang yang menghadapi cabaran kehidupan ialah cerita.
- Nabi Syuaib AS memberitahu Nabi Musa AS bahawa baginda telah selamat daripada kaum yang zalim itu.
Ayat 28:26
قَالَتْ إِحْدَىٰهُمَا يَٰٓأَبَتِ ٱسْتَـْٔجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".
Pengajaran
- Salah seorang daripada anak Nabi Syuaib AS menyuruh ayahnya untuk mengambil Nabi Musa AS bekerja kerana baginda ٱلْأَمِينُ ٱلْقَوِىُّ.
- Pelajaran:
- Anak perempuan boleh beri pendapat tentang bisnes/urusan ayahnya.
- Anak perempuan ini mesra dengan ayahnya.
- Ciri memilih pekerja ialah kuat dan amanah.
- Wanita boleh mencadangkan suami yang baik.
- Jangan ditangguhkan jodoh anak perempuan kalau ada orang soleh yang sesuai.
Ayat 28:27
قَالَ إِنِّىٓ أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ٱبْنَتَىَّ هَٰتَيْنِ عَلَىٰٓ أَن تَأْجُرَنِى ثَمَٰنِىَ حِجَجٍ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ
Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku InsyaAllah, dari orang-orang yang baik layanannya".
Pengajaran
- Nabi Syuaib AS mengatakan yang baginda mahu mengahwinkan salah seorang anaknya dengan Nabi Musa AS.
- Mahar perkahwinannya ialah bekerja dengan Nabi Syuaib AS selama sama ada 8 atau 10 tahun. Nabi Syuaib AS tidak mahu menyusahkan Nabi Musa AS maka diberi pilihan.
- Ini adalah pelajaran yang besar berkaitan bagaimana melakukan perundingan dalam pengurusan bisnes atau pengurusan sesuatu syarikat.
Ayat 28:28
قَالَ ذَٰلِكَ بَيْنِى وَبَيْنَكَ أَيَّمَا ٱلْأَجَلَيْنِ قَضَيْتُ فَلَا عُدْوَٰنَ عَلَىَّ وَٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌ
Musa menjawab: "Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu".
Pengajaran
- Hasil daripada berdoa dan berbuat kebaikan, daripada tiada apa-apa, Nabi Musa AS mendapat penginapan, pekerjaan, pasangan dan keluarga soleh.
- Nabi Musa AS tetap bersiap siaga. Baginda tidak terus membuat keputusan sama ada mahu bekerja 8 atau 10 tahun. Baginda bertawakal hanya kepada Allah SWT. Baginda hanya menggantungkan harapannya kepada Allah SWT.
- Pelajaran: Dalam kehidupan ini, kita mungkin dibantu oleh orang, tetapi jangan tawakal kepada manusia, bergantunglah kepada Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa berdoa Allah SWT pimpin kita dalam melakukan penghijrahan (28:22)
- Sentiasa menolong dan memperjuangkan kebenaran walau di bumi asing (28:23)
- Terus berdoa dalam apa jua keadaan (28:24)
Saya berasa lega, Allah SWT akan beri hikmah dan ilmu kalau saya terus berbuat kebaikan.
Saya jelas saya mesti sentiasa berdoa Allah SWT pimpin saya dalam melakukan penghijrahan. Saya jelas saya mesti sentiasa menolong dan memperjuangkan kebenaran walau di bumi asing. Saya jelas untuk terus berdoa dalam apa jua keadaan.
Ya Allah, pimpin kami dalam melakukan penghijrahan. Ya Allah, bantu kami menolong dan memperjuangkan kebenaran walau di bumi asing.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.