Saturday, September 9, 2023

Halaman 391 : Al-Qasas, 28:44-50

PERKATAAN HARI INI 

طوَلَ / طَالَ memanjangkan. 

10 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Keperluan untuk mengutus para rasul dan pengutusan Nabi Muhammad SAW (28:44-47)
  2. Pendustaan penduduk Mekah terhadap al-Quran dan risalah Nabi Muhammad SAW (28:48-50)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 391 untuk mendapat panduan daripada wahyu.

Pada ayat 43 kita telah lihat bahawa kitab Taurat yang diberikan kepada Nabi Musa AS sebaga sumber mata hati kepada manusia.


Ayat 28:44


وَمَا كُنتَ بِجَانِبِ ٱلْغَرْبِىِّ إِذْ قَضَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَى ٱلْأَمْرَ وَمَا كُنتَ مِنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ


Dan engkau (wahai Muhammad) tidak ada di sebelah barat (tempat Nabi Musa menerima wahyu) ketika Kami sempurnakan penyerahan Kitab Taurat kepadanya, dan engkau juga tidak termasuk dalam golongan yang menyaksikan peristiwa itu.


Pengajaran


  1. Allah SWT menceritakan kisah Nabi Musa AS kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada kita.
  2. Walaupun Nabi SAW tidak ada di tempat kejadian, cerita yang disampaikan dalam al-Quran adalah amat tepat. Orang Yahudi hairan kerana Nabi SAW tidak pernah belajar daripada mana-mana rahib, tidak pernah pergi ke Madinah tetapi boleh tahu cerita ini.
  3. Maksudnya, cerita tentang Nabi Musa AS ini adalah datangnya daripada Allah SWT yang disampaikan dalam surah al-Qasas dan surah-surah lain. Ini membuktikan kebenaran al-Quran.


Ayat 28:45


وَلَـٰكِنَّآ أَنشَأْنَا قُرُونًا فَتَطَاوَلَ عَلَيْهِمُ ٱلْعُمُرُ ۚ وَمَا كُنتَ ثَاوِيًا فِىٓ أَهْلِ مَدْيَنَ تَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِنَا وَلَـٰكِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ


Akan tetapi (engkau hanya mengetahui kisah itu dengan jalan Kami memberi wahyu kenabian kepadamu disebabkan) Kami telah mengadakan beberapa umat (dari zaman Nabi Musa hingga ke zamanmu) sampai berlanjutanlah masa yang mereka lalui (serta kucar-kacirlah agama yang mereka anuti). Dan engkau pula tidak pernah tinggal bersama-sama penduduk negeri Madyan membaca dan mempelajari dari mereka ayat-ayat keterangan Kami (tentang hal Nabi Musa di sana), tetapi Kamilah yang mengutusmu (menjadi Rasul dan memberi wahyu kepadamu mengenai hal itu).


Pengajaran


  1. Allah SWT bawakan pula kisah Nabi Syuaib AS yang dihantar kepada penduduk Madyan.
  2. Apabila kita belajar al-Quran, ini bukan kitab sejarah semata-mata tetapi ia adalah sumber hidayah. 
  3. Sepanjang zaman, manusia memerlukan kepada pendakwah. Kalau tidak, kita akan terlupa. Orang yang ada kuasa kalau tidak diberi peringatan dia akan naik ‘tochang’. 


Ayat 28:46


وَمَا كُنتَ بِجَانِبِ ٱلطُّورِ إِذْ نَادَيْنَا وَلَـٰكِن رَّحْمَةً مِّن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوْمًا مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ


Dan engkau (Muhammad) juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (Al-Quran) dari Tuhanmu (menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya).


Pengajaran


  1. Sekali lagi Allah SWT mempasakkan kepada kita agar kita yakin bahawa apa yang disampaikan dalam surah al-Qasas bukan dibuat-buat. 
  2. Lebih daripada itu kita yakin bahawa ia bukan daripada Nabi SAW, tetapi ia datang daripada Pencipta kita semua.
  3. Kehancuran berlaku apabila orang tidak baca al-Quran, atau kalau baca tidak faham dan tidak amal.
  4. Kisah Nabi Musa AS yang diceritakan kepada Nabi SAW adalah rahmat kerana ia menerangkan kebenaran al-Quran, dan kebenaran bahawa perjuangan Nabi Musa AS adalah sama dengan perjuangan Nabi SAW. Ia adalah pujukan kepada Nabi SAW.
  5. Rahmah ada kaitan dengan rahim. Ia berkaitan dengan kasih sayang ibu kepada anaknya. Kalau seorang ibu tidak sanggup membaling anaknya ke dalam api, Allah SWT lagi lebih kasih sayangnya. Allah SWT tidak mahu menyeksa hambaNya yang ciptakanNya daripada masuk ke dalam neraka.
  6. Allah SWT bawakan cerita Nabi Musa AS sebagai sumber rahmat kepada kaum yang terlupa. Ambil peringatan agar jangan sampai ke dalam azab Allah SWT.
  7. Rupa-rupanya kisah ini adalah tanda kasih sayang Allah SWT supaya kita ambil peringatan agar jangan ulang perbuatan kaum yang diazab oleh Allah SWT. 
  8. Bila semakin berkuasa, seseorang itu mudah menjadi Firaun. Kita mesti ambil pelajaran agar jangan kita memperlekehkan al-Quran.


Ayat 28:47


وَلَوْلَآ أَن تُصِيبَهُم مُّصِيبَةٌۢ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَيَقُولُوا۟ رَبَّنَا لَوْلَآ أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولًا فَنَتَّبِعَ ءَايَـٰتِكَ وَنَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ


Dan kalau tidaklah orang-orang musyrik itu akan berkata - semasa mereka ditimpa bala bencana disebabkan perbuatan kufur dan maksiat yang mereka lakukan: "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada Kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu (yang dibawanya), dan supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman, " (tentulah engkau wahai Muhammad tidak diutuskan kepada mereka, bahkan Kami terus menyeksa mereka).


Pengajaran


  1. Nabi SAW ada kisah pelajaran untuk semua orang. Jangan ulang balik perangai Firaun. Kalau ada kuasa jangan menekan rakyat dan kumpulkan ‘follower’ untuk jatuhkan kebenaran.
  2. Bila ada musibah, mereka minta Nabi Musa AS doakan. Selepas itu lupa. Kita tidak mahu jadi begitu. Bila ada COVID-19, ada banjir kita sibuk hendak baca Yasin dan berdoa.
  3. Ujian-ujian yang berlaku adalah untuk Allah SWT perkenalkan diriNya agar kita makin komited. Bukannya waktu susah kita kembali kepada sunnah rasul, tetapi bila senang, agenda al-Quran diketepikan.


Ayat 28:48


فَلَمَّا جَآءَهُمُ ٱلْحَقُّ مِنْ عِندِنَا قَالُوا۟ لَوْلَآ أُوتِىَ مِثْلَ مَآ أُوتِىَ مُوسَىٰٓ ۚ أَوَلَمْ يَكْفُرُوا۟ بِمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ مِن قَبْلُ ۖ قَالُوا۟ سِحْرَانِ تَظَـٰهَرَا وَقَالُوٓا۟ إِنَّا بِكُلٍّ كَـٰفِرُونَ


Maka ketika datang kepada mereka kebenaran (Al-Quran) dari sisi Kami, mereka berkata pula: "Hendaknya (Muhammad) diberi (Kitab ugama yang diturunkan dengan sekaligus) sebagaimana Kitab Taurat yang diberikan kepada Musa". Bukankah mereka dahulu telah kufur ingkar akan apa yang diberikan kepada Nabi Musa? Mereka berkata lagi: "Kedua-duanya (Al-Quran dan Taurat) itu ialah sihir yang saling membantu (yang satu menyokong yang lain). "Dan mereka berkata pula: "Sesungguhnya kami kufur ingkar terhadap Kitab-kitab itu semuanya!"


Pengajaran


  1. Makin kita ikut al-Quran ini, akan banyak musibah kita dapat elakkan kerana Allah SWT melindungi orang-orang yang mengikut kepada perkataanNya.
  2. Bila datang kebenaran, mereka hendak ikut cara fikir yang lama. Sedangkan apabila diberikan mukjizat yang bermacam-macam mereka tetap tidak beriman. 
  3. Mereka tidak gunakan kapasiti akal untuk memikirkan kebenaran (al-Haq). Tidak mahu berinteraksi, tidak mahu menundukkan diri. Mereka mengatakan mukjizat Nabi Musa AS adalah sihir. Zaman Nabi SAW juga digelar sihir oleh orang-orang musyrik.
  4. Tongkat Nabi Musa menjadi ular besar amat menakjubkan. Begitu juga al-Quran ini ada kesan yang menakjubkan. Bila baca, kita rasa berubah dalam hati menjadi lembut. 


Ayat 28:49


قُلْ فَأْتُوا۟ بِكِتَـٰبٍ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ هُوَ أَهْدَىٰ مِنْهُمَآ أَتَّبِعْهُ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau demikianlah sikap kamu maka bawalah sebuah Kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya, supaya aku menurutnya. (Bawalah dia) jika betul kamu orang-orang yang benar".


Pengajaran


  1. Allah SWT ajarkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada kita bagaimana berhujah.
  2. Kalau ada orang melekehkan al-Quran, seperti mana Taurat diperlekehkan, suruh mereka datangkan kitab lain yang lebih baik sebagai panduan.


Ayat 28:50


فَإِن لَّمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَكَ فَٱعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَآءَهُمْ ۚ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ بِغَيْرِ هُدًى مِّنَ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ


Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).


Pengajaran


  1. Kalau mereka tidak dapat menerima cabaran itu bermakna mereka hanyalah menurut hawa nafsu. 
  2. Mereka hanya ikut pemikiran, idea dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah SWT.
  3. Allah SWT tidak memberi hidayah kepada kaum yang zalim. Firaun adalah contoh pemimpin yang ikut hawa nafsu akhirnya jadi amat zalim dan disokong oleh kuncu-kuncunya yang zalim juga. Akhirnya dia membina negara yang zalim dan Allah SWT meranapkan negara tersebut. 
  4. Semoga kita terhindar daripada mengikut hawa nafsu. Bila kita tidak komited dengan al-Quran, itu menunjukkan hawa nafsu berperanan. 
  5. Kalau kita komited dengan al-Quran, baca, faham, amal, inilah peluang Allah SWT beri nafas untuk kita bertaubat maka gunakan kesempatan ini dengan baik. Jangan sampai kita dihancurkan disini atau sampai di akhirat. 


RESOLUSI


Ingat!

  1. Hargai semua sejarah yang dibawakan al-Quran walaupun kita tidak berada di lokasi berkenaan (28:44-45)
  2. Beri peringatan agar dapat pengajaran (28:46)
  3. Cari petunjuk dan jangan beri alasan untuk beramal (28:47)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan saya jangan ikut hawa nafsu agar tidak menjadi orang yang zalim.

Saya jelas saya mesti hargai semua sejarah yang dibawakan al-Quran walaupun saya tidak berada di lokasi berkenaan. Saya jelas saya mesti beri peringatan agar dapat pengajaran. Saya jelas untuk cari petunjuk dan tidak beri alasan untuk beramal.

Ya Allah, bimbing kami untuk hargai semua sejarah yang dibawakan al-Quran agar kami mendapat pengajaran. Ya Allah, bantu kami untuk beri peringatan agar dapat pengajaran. Ya Allah, kurniakan kami hidayah agar kami dapat beramal soleh. 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...