Saturday, September 9, 2023

Halaman 401 Al-'Ankabut, 29:39-45

 

PERKATAAN HARI INI


حَصَبَ Hujan batu atau azab. 

5 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS

  

1.     Kisah Firaun dan Haman bersama Nabi Musa AS (29:39-40)

2.     Perumpamaan para penyembah berhala seperti labah-labah (29:41-43)

3.  Manfaat penciptaan langit dan bumi, membaca Al-Quran dan mendirikan solat (29:44-45)















Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 401 surah al-'Ankabut. Kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita sentiasa istiqamah sehingga kita mendapat ‘husnul khotimah’.

 

Pada halaman lepas kita telah pelajari bahawa orang yang bijak boleh membuat sesuatu yang tidak normal, perbuatan mungkar atau menghalang orang buat kebaikan kerana ia dihasut oleh syaitan. Ini adalah cabaran kepada kebijakan mereka. Itulah yang berlaku kepada kaum Aad dan Thamud. Kita perlukan perlindungan daripada Allah SWT berpandukan wahyu.

 

Ayat 29:39

 

وَقَٰرُونَ وَفِرْعَوْنَ وَهَٰمَٰنَ وَلَقَدْ جَآءَهُم مُّوسَىٰ بِٱلْبَيِّنَٰتِ فَٱسْتَكْبَرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا كَانُوا۟ سَٰبِقِينَ

 

Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah).

 

Pengajaran

 

  1. Qarun dibenamkan dalam tanah dengan harta-hartanya kerana sombong dengan hartanya. Dia kata itu adalah anugerah Allah SWT kepadanya kerana dia bijak. 
  2. Firaun lambang kepada satu individu yang diberi kuasa untuk memimpin, membantu rakyat tetapi dia salah guna kuasa malah menekan kepada rakyat. Dia dilemaskan di dalam laut.
  3. Tentera-tentera Firaun dan Haman yang menjadi penasihat Firaun telah salah guna pekerjaan/kedudukan untuk mengipas orang atas untuk berbuat kezaliman.
  4. Nabi Musa AS membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata kepada mereka tetapi mereka tetap sombong di muka bumi. Maka Allah SWT beritahu bahawa mereka tidak akan lepas daripada azab.
  5. Ini adalah peringatan buat kita juga agar jangan sombong ketika al-Quran dibacakan, ketika kita diingatkan. Hendaklah kita tundukkan hati kita agar tidak diazab oleh Allah SWT.

 

Ayat 29:40

 

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنۢبِهِۦ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ ٱلصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ ٱلْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

 

Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

 

Pengajaran

 

  1. Mereka diazab kerana dosa-dosa mereka. Semoga Allah SWT ampunkan dosa-dosa kita.
  2. Semua orang diberi ujian termasuklah para nabi. Jika sesuatu ujian itu menjauhkan kita dari Allah SWT, itu adalah azab walaupun nampak seperti baik.
  3. Qarun yang dapat banyak harta tetapi harta itu menjauhkannya daripada Allah SWT, itu adalah azab. Ada yang diazab dengan hujan batu, ada yang diazab dengan suara yang kuat hingga mati bergelimpangan, ada yang ditenggelamkan dalam bumi seperti Qarun, ada yang dilemaskan di laut seperti Firaun, Haman dan tenteranya serta kaum Nabi Nuh AS.
  4. Allah SWT senaraikan azab-azab ini bukan kerana Allah SWT menzalimi mereka, tetapi mereka yang menzalimi diri sendiri.
  5. Kita ada ujian tetapi kita tidak mahu Allah SWT azab kita. Ini peringatan Allah SWT untuk kita memahami hakikat sebenar dan jangan kita ini bergantung kepada satu sumber yang tidak benar. Itulah yang diistilahkan sebagai rumah labah-labah seperti ayat seterusnya.

 

Ayat 29:41

 

مَثَلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوْلِيَآءَ كَمَثَلِ ٱلْعَنكَبُوتِ ٱتَّخَذَتْ بَيْتًا وَإِنَّ أَوْهَنَ ٱلْبُيُوتِ لَبَيْتُ ٱلْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ

 

Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.

 

Pengajaran

 

  1. Kalau kita cari ilmu tentang labah-labah, kita dapati rumahnya tidak kuat untuk kita. Labah-labah duduk di rumahnya dan memerangkap serangga-serangga. Maksudnya, kalau kita mengambil selain daripada Allah SWT sebagai pelindung, sebenarnya kita bukan dilindungi tetapi itu sebagai perangkap. Awalnya mungkin cakap manis, tetapi sebenarnya dia sedang menanti masa untuk makan kita.
  2. Labah-labah betina akan bunuh labah-labah jantan selepas bersama. Keadaan dalam rumah labah-labah, isteri asyik bergaduh dengan suami sedangkan peranan sebuah rumah tangga itu adalah untuk mendapatkan ketenangan (sakinah).
  3. Kerosakan itu berlaku kerana bergantung kepada sumber bukan tuhan. Mereka lemah dari segi akhlak dan tindakan. Tidak buat kerja tetapi hendakkan juga bahagian masing-masing. Mereka tidak beretika dalam menjalankan tanggungjawab.
  4. Kita cari ilmu dan kita sebarkan betapa buruknya rumah labah-labah ini dalam menguruskan ekonomi, pejabat dan keluarga. Jangan hanya bergantung kepada World Wide Web sahaja, bergantunglah kepada rumah Allah SWT yang ada ketenangan dan ada panduan yang sempurna untuk kita.
  5. Firaun membina ekonomi, Qarun membina kekayaannya. Mereka sombong, menunjuk-nunjuk, bukannya hendak tolong orang. Semua ideologi yang rosak itu akan hancur apabila dibersihkan oleh Allah SWT seperti apabila kita bersihkan rumah daripada sarang labah-labah.
  6. Allah SWT sahaja yang boleh menyelamatkan kehidupan kita, bukan Spiderman.

 

Ayat 29:42

 

إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ مِن شَىْءٍ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

 

Sesungguhnya Allah mengetahui (kepalsuan) apa jua yang mereka sembah yang lain daripadaNya, dan Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengetahui apa jua yang mereka sembah selain daripadaNya, dan Allah SWT jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
  2. Sembahan yang lain (شَىْءٍ) itu tidak semestinya berhala sahaja. Ia boleh jadi hawa nafsu, orang lain yang dikagumi, ideologi tertentu yang songsang daripada Allah SWT.
  3. Bagi orang yang sentiasa mencari ilmu, dia akan peka bahawa sebenarnya dia tidak boleh minta tolong selain daripada Allah SWT walaupun dalam keadaan amat perit dalam kehidupan.
  4. Allah yang Maha berkuasa lagi Maha Bijaksana. Allah SWT beri kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Tidak payahlah kita bergantung kepada ideologi-ideologi yang lemah seperti rumah labah-labah.

 

Ayat 29:43

 

وَتِلْكَ ٱلْأَمْثَٰلُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ وَمَا يَعْقِلُهَآ إِلَّا ٱلْعَٰلِمُونَ

 

Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.

 

Pengajaran

 

  1. Perumpamaan ini adalah untuk seluruh manusia, bukan hanya untuk orang yang beriman.
  2. Tidak ada yang faham tentang perumpamaan-perumpamaan ini kecuali bagi orang-orang yang berfikir dan mencari ilmu.
  3. Banyak ilmu yang dapat dipelajari daripada berbagai jenis serangga seperti labah-labah dan nyamuk. Kita akan rasa kehebatan Allah SWT.

 

Ayat 29:44

 

خَلَقَ ٱللَّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لِّلْمُؤْمِنِينَ

 

Allah mencipta langit dan bumi dengan cara yang layak dan berhikmat; sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT mencipta langit dan bumi dengan cara yang layak dan berhikmah.

2.     Semua ciptaan Allah SWT ada tujuan.

3.     Allah SWT beritahu tentang labah-labah supaya orang beriman berfikir bahawa ini adalah tanda kebesaranNya dan tanda kasih sayangNya. Allah SWT bagi perumpamaan ini supaya kita jangan ambil selain Allah SWT sebagai tempat bergantung.

 

Ayat 29:45

 

ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

 

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

 

Pengajar

 

  1. Inilah tindakan yang perlu kita ambil di rumah dan di organisasi. Ini tanda seseorang itu bergantung kepada Allah SWT, bukan bergantung kepada labah-labah:
    • Selalulah baca al-Quran. Tilawah al-Quran jangan ditinggalkan kerana ia meningkatkan iman. Itu adalah tali Allah SWT, bukan tali labah-labah. Tilawah bukan sekadar baca, kena faham, dan amal serta kongsikan dengan ahli keluarga, dan orang lain. Bina rumah dengan formula daripada Allah SWT, bukan dari labah-labah.
    • Allah SWT perintah supaya dirikan solat. Setiap individu kena ada proses dia bersama al-Quran dan proses membaiki solat. Solat perlu dibina dengan asas yang kukuh. Kemudian hiaskan solat dengan bacaan-bacaan yang bagus dan kefahaman yang benar.
  2. Orang yang ada al-Quran bersama solat ini akan terhalang daripada perkara keji dan mungkar. Kalau ada orang yang solat tetapi masih berbuat perkara mungkar, itu bermakna al-Qurannya itu tidak terkesan.
  3. Bila bergantung kepada tali Allah SWT, al-Quran ini sepatutnya menambah iman, maka dia tidak akan berani membuat perkara keji dan mungkar. Kalau terbuat, cepat-cepat istighfar, ingat Allah SWT.
  4. Tujuan kita baca al-Quran dan solat ialah untuk membesarkan Allah SWT. Kalau masih ada perkara keji dan mungkar yang berlaku, ada sesuatu yang kita kena semak balik. Solat kita Allah SWT terima atau tidak, atau mungkin kita tidak faham apa yang kita baca ketika solat, atau kita tidak sedar bahawa solat ini adalah masa bertemu dengan Allah SWT.
  5. Mengikut Imam As-Sa'adi, kalau baca al-Quran menyebabkan kita pucat, maka dalam solat pun ada rasa pucat, kerana bertambah iman dan merasakan ketakutan kepada Allah SWT.
  6. Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita rancangkan. Allah SWT Maha Berkuasa dalam merancang sesuatu projek, maka baiklah kita kembali berpegang kepada Allah SWT iaitu melalui al-Quran dan solat dan tidak terpengaruh dengan rumah labah-labah.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Jangan sombong bila mukjizat al-Quran dibentangkan (29:39)
  2. Yakin Allah SWT amat berkuasa dan boleh mengazab pada bila-bila masa (29:40)
  3. Tilawah al-Quran dan dirikan solat untuk menjauhi perkara keji dan mungkar (29:45)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya tilawah al-Quran dan dirikan solat untuk menjauhi perkara keji dan mungkar.

 

Saya jelas saya mesti jangan sombong bila mukjizat al-Quran dibentangkan. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT amat berkuasa dan boleh mengazab pada bila-bila masa. Saya jelas saya mesti tilawah al-Quran dan dirikan solat untuk menjauhi perkara keji dan mungkar.

 

Ya Allah, bimbing kami agar jangan sombong bila mukjizat al-Quran dibentangkan. Ya Allah, tingkatkan keyakinan bahawa Engkau amat berkuasa dan boleh mengazab pada bila-bila masa. Ya Allah, bimbing kami untuk tilawah al-Quran dan dirikan solat untuk menjauhi perkara keji dan mungkar.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...