Saturday, September 9, 2023

Halaman 393 : Al-Qasas, 28:60-70

PERKATAAN HARI INI  

 بَقِيَ Kekal, tetap, tinggal. 

21 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Realiti kesenangan di dunia dan akhirat (28:60-61)
  2. Ancaman kepada orang musyrik pada Hari Kiamat dengan tiga pertanyaan (28:62-67)
  3. Pemilik kebenaran mutlak yang berhak mendapat pujian dan disembah (28:68-70)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 393 untuk kita sama-sama mendapat hidayah daripada al-Quran.

Allah dan malaikat selawat kepada Nabi SAW, maka kita juga mesti banyakkan selawat sebagai tanda kasih sayang kepada Nabi SAW.

Pada halaman lepas kita telah lihat bahawa kaum musyrik Mekah tidak mahu mengikut Nabi Muhammad SAW kerana takut dihalau daripada bumi mereka. Sebelum sesuatu tempat dihancurkan, Allah SWT menghantar rasul untuk memberi peringatan kepada mereka. Dihancurkan jika semua orang itu zalim. Masyarakat kena menghargai wakil daripada rasul iaitu mereka yang dakwah kepada Allah SWT.


Ayat 28:60


وَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَىْءٍ فَمَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتُهَا وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰٓ أَفَلَا تَعْقِلُونَ


Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?


Pengajaran


  1. Apa juga harta benda dan lain-lain yang Allah SWT berikan kepada kita adalah merupakan kesenangan dan perhiasan di dunia. Perhiasan ialah sesuatu yang mencantikkan. Ia adalah alat, pemudah cara dalam kehidupan sahaja. 
  2. Apa juga yang ada di sisi Allah SWT yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat adalah lebih baik dan lebih kekal.
  3. Kalau kita ada rumah dan kereta, Allah SWT mengatakan yang rumah kita tidak kekal. Ada yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat. Orang yang baru kahwin, ingatlah bahawa 'happy ever after' hanyalah di akhirat. Kalau ada pasangan dan anak, mereka hanyalah perhiasan. Tukarkan anak, pasangan dan perhiasan supaya jadi lebih kekal dengan amal soleh.
  4. Hendaklah kita letakkan keutamaan yang betul dalam hidup. Jangan mengejar sangat dunia sehingga tidak membawa kita kepada yang lebih baik dan lebih kekal dengan melakukan amal soleh. 
  5. Adik-adik yang dapat 5A itu bagus, ia adalah perhiasan. Kalau ilmu itu kita gunakan untuk lebih beramal, tolong orang lain, itu adalah lebih kekal.  


Ayat 28:61


أَفَمَن وَعَدْنَٰهُ وَعْدًا حَسَنًا فَهُوَ لَٰقِيهِ كَمَن مَّتَّعْنَٰهُ مَتَٰعَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ثُمَّ هُوَ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ مِنَ ٱلْمُحْضَرِينَ


(Jika sudah diketahui yang demikian) maka adakah orang yang Kami janjikan kepadanya janji yang baik (balasan Syurga) lalu ia mendapatnya, sama seperti orang yang kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada hari kiamat termasuk dalam golongan yang dibawa (untuk menerima azab neraka)?


Pengajaran


  1. Allah SWT janjikan janji yang baik. Yang diseret ke neraka ialah kerana mengutamakan dunia sedangkan Allah SWT telah menjanjikan yang terbaik. 
  2. Ada orang mudah menerima janji di dunia, sehingga mereka sering tertipu. Di akhirat mereka hadir dalam keadaan terseksa.


Ayat 28:62


وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ أَيْنَ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ كُنتُمْ تَزْعُمُونَ


Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: "Mana dia sekutu-sekutuKu, yang kamu anggap mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?"


Pengajaran


  1. Ini adalah pertanyaan daripada Allah SWT pada hari akhirat. Ia amat menakutkan seperti Nabi Musa AS takut bila namanya diseru di Bukit Thuwa kerana baginda ada isu di Mesir. Bila seorang yang mensyirikkan Allah SWT, dipanggil namanya satu persatu, mereka menjadi takut. 
  2. Dunia bukanlah tempat yang terus menerus baik. Jika kita bermesyuarat tanpa bersolat bila waktunya, itu adalah sumber syirik yang kita kena jaga. 


Ayat 28:63


قَالَ ٱلَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلْقَوْلُ رَبَّنَا هَٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ أَغْوَيْنَآ أَغْوَيْنَٰهُمْ كَمَا غَوَيْنَا تَبَرَّأْنَآ إِلَيْكَ مَا كَانُوٓا۟ إِيَّانَا يَعْبُدُونَ


Mereka yang berhak menerima hukuman (azab neraka) berkata: "Wahai Tuhan kami, inilah mereka yang kami menyebabkan kesesatannya, kami menyebabkan mereka sesat (dengan pilihan mereka sendiri) sebagaimana kami telah sesat (dengan pilihan kami sendiri); (dengan ini) kami mengakui kepadaMu bahawa kami berlepas diri (dari kekufuran mereka). Bukanlah Kami yang mereka puja dan taati, (bahkan mereka hanya memuja dan mentaati hawa nafsu mereka sendiri)".


Pengajaran


  1. Di akhirat nanti, apa yang disyirikkan itu akan berlepas diri. Kalau hendak ikut orang, ikutlah orang yang baik-baik.  
  2. Allah SWT menyatakan semua ini agar kita ada kefahaman tentang dunia dan akhirat dengan lebih jelas. Bukan baca al-Quran sahaja, tetapi hendaklah kita ikut panduan al-Quran dalam kehidupan.


Ayat 28:64


وَقِيلَ ٱدْعُوا۟ شُرَكَآءَكُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَهُمْ وَرَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ لَوْ أَنَّهُمْ كَانُوا۟ يَهْتَدُونَ


Dan dikatakan (kepada mereka): Panggillah makhluk-makhluk dan benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah (untuk menolong kamu)". Lalu mereka memanggilnya, tetapi makhluk-makhluk dan benda-benda itu tidak menyahut panggilan mereka; dan mereka tetap melihat azab (dengan merasa sesal) serta bercita-cita kalaulah mereka di dunia dahulu menurut petunjuk. 


Pengajaran


  1. Syirik banyak jenis. Daripada menyembah berhala sampailah memegang idea daripada orang yang tidak tepat dengan Allah perintahkan. 
  2. Allah SWT menyuruh mereka memanggil apa yang mereka syirikkan. Benda yang mereka syirikkan itu tidak menyahut panggilan mereka. 
  3. Pada masa itu mereka mengharapkan agar mereka mengikut hidayah semasa di dunia dahulu.


Ayat 28:65


وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ مَاذَآ أَجَبْتُمُ ٱلْمُرْسَلِينَ


Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: "Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?


Pengajaran


  1. Allah SWT bertanya lagi apa yang mereka jawab kepada peringatan daripada rasul-rasul yang diutus kepada mereka dahulu?


Ayat 28:66


فَعَمِيَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْأَنۢبَآءُ يَوْمَئِذٍ فَهُمْ لَا يَتَسَآءَلُونَ


Maka gelaplah kepada mereka, pada hari itu, segala khabar berita dan peristiwa (yang telah lalu), serta menjadilah mereka tidak dapat hendak bertanya-tanyaan sesama sendiri.


Pengajaran


  1. Mereka berasa gelap, tidak nampak alasan yang hendak disampaikan pada hari itu. 
  2. Di akhirat nanti, bila gelap, mereka sampai tidak bertanya-tanya kerana takut.


Ayat 28:67


فَأَمَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا فَعَسَىٰٓ أَن يَكُونَ مِنَ ٱلْمُفْلِحِينَ


(Demikianlah akibat orang-orang derhaka), adapun orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka semoga akan menjadilah ia dari orang-orang yang berjaya.


Pengajaran


  1. Orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, mereka akan berjaya. Kita membaca al-Quran untuk menyegarkan iman. Kadang-kadang baca al-Quran, tidak rasa apa-apa. Maka beristighfar dan bertaubatlah untuk kembalikan hati kepada Allah SWT.
  2. Tidak semestinya kita yang baca al-Quran sekarang, di akhir hayat kita, kita akan baca al-Quran. Jangan over confident bila kita sudah berbuat baik dan jangan pandang hina kepada orang. Mungkin kita selamat, mungkin tidak selamat. Semoga akhir hayat kita dalam husnul khotimah.


Ayat 28:68


وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ وَيَخْتَارُ مَا كَانَ لَهُمُ ٱلْخِيَرَةُ سُبْحَٰنَ ٱللَّهِ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ


Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia-lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya.


Pengajaran


  1. Allah SWT lah yang menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dia yang memilih. Allah SWT mencipta air. Kalau tidak ada air liur, kita tidak dapat bercakap.
  2. Yang memilih adalah Allah SWT. Kita hendak baca al-Quran, lidah pun Allah SWT yang pinjamkan. Allah SWT sentiasa bantu kita. Pilihan yang baik hanya daripada Allah SWT.
  3. Kalau pada tahun ini kita mahu yang terbaik, mohon kepada Allah SWT untuk memberi kepada kita yang terbaik.


Ayat 28:69


وَرَبُّكَ يَعْلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُمْ وَمَا يُعْلِنُونَ


Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.


Pengajaran


  1. Menurut Imam Qurtubi, ayat ini ada kaitan dengan solat istikharah. 
  2. Kalau hendak yang baik-baik, selalu bergantung kepada Allah SWT dan jangan kaitkan yang tidak baik dengan Allah SWT.
  3. Menurut sesetengah ulama, "Tidak patut seseorang meminta sesuatu urusan dunia sebelum mereka meminta kepada Allah SWT dengan mendirikan solat istikharah" Istikharah menunjukkan kita amat serius dalam membuat sesuatu keputusan. 
  4. Yang kita sembunyikan Allah SWT tahu dan Allah SWT tahu kita bukan meminta hanya kerana dunia.


Ayat 28:70


وَهُوَ ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ لَهُ ٱلْحَمْدُ فِى ٱلْأُولَىٰ وَٱلْءَاخِرَةِ وَلَهُ ٱلْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ


Dan Dia lah Allah tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji tertentu bagiNya, di dunia dan di akhirat; dan hanyalah Dia yang berkuasa menghukum, serta kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.


Pengajaran


  1. Tiada Tuhan melainkan Dia. Illah bukan sekadar yang kita sembah tetapi Dia adalah sumber hukum.
  2. Setiap yang kita buat mesti berpandukan al-Quran. Kalau kita letakkan Allah sebagai Illah, kita tidak akan buang masa atau relax sahaja. 



RESOLUSI


Ingat!

  1. Sentiasa membuat persediaan ke akhirat (28:60)
  2. Cari hidayah agar tidak mudah menyekutukan Allah SWT (28:64)
  3. Sentiasa menyedari bahawa Allah SWT mengetahui yang jelas atau tersembunyi agar kita sentiasa memperbaiki amal tidak kira di mana jua (28:69)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan untuk buat persediaan ke akhirat.

Saya jelas saya mesti sentiasa membuat persediaan ke akhirat. Saya jelas untuk cari hidayah agar tidak mudah menyekutukan Allah SWT. Saya jelas saya mesti sentiasa menyedari bahawa Allah SWT mengetahui yang jelas atau tersembunyi agar sentiasa memperbaiki amal tidak kira di mana jua.

Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa membuat persediaan ke akhirat. Ya Allah, Saya jelas untuk cari hidayah agar tidak mudah menyekutukan Allah SWT. Saya jelas saya mesti sentiasa menyedari bahawa Allah SWT mengetahui yang jelas atau tersembunyi agar sentiasa memperbaiki amal tidak kira di mana jua.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...