Saturday, September 9, 2023

Halaman 394 : Al-Qasas, 28:71-77

PERKATAAN HARI INI

 ضَاءَ / ضَوَءَ Terang, bercahaya. 
6 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Dalil keagungan dan kekuasaan Allah SWT dan penegasan ancaman kepada musyrik (28:71-75)
  2. Tindakan aniaya Qarun terhadap kaum Nabi Musa A.S dan kesombongannya (28:76-77)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 394. Penghujung surah ini mengajar kita untuk menyusun kehidupan di dunia dan akhirat. Pentingnya persediaan untuk menuju akhirat dan takwa adalah tiketnya. Allah SWT memperkenalkan diriNya dengan penciptaan yang hebat. 

Pada halaman lepas kita telah melihat bahawa apa sahaja kebaikan yang ada pada kita seperti harta, ilmu, pangkat adalah pilihan daripada Allah SWT. Kita tidak mampu untuk mencipta oksigen, air, atau apa sahaja di muka bumi ini untuk membawa kebaikan dalam diri kita. Bila kita baca al-Quran ini, menyebabkan kita berfikir betul-betul. Kalau ada yang tidak baik, itu adalah ujian untuk kita makin lagi dekat dengan Allah SWT agar kita diberikan yang baik-baik oleh Allah SWT seperti Nabi Musa AS yang berdoa semasa sampai di Madyan.


Ayat 28:71


قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِن جَعَلَ ٱللَّهُ عَلَيْكُمُ ٱلَّيْلَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَٰمَةِ مَنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ ٱللَّهِ يَأْتِيكُم بِضِيَآءٍ أَفَلَا تَسْمَعُونَ


Katakanlah: "Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?"


Pengajaran


  1. Kalau Allah SWT menjadikan malam terus sampai hari kiamat, siapakah yang boleh mendatangkan cahaya yang panas? 
  2. Kalau terlalu sejuk kita tidak dapat berfungsi. Waktu malam, dalam gelap, kita menggunakan telinga sahaja. Mata sudah tidak berfungsi. 
  3. Kalau tidak ada cahaya, tumbuh-tumbuhan pun tidak boleh hidup. Amat sengsara kalau Tuhan tidak membantu kita.
  4. Ini adalah templak kepada orang Musyrik yang menyembah berhala. Adakah berhala boleh keluarkan cahaya?


Ayat 28:72


قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِن جَعَلَ ٱللَّهُ عَلَيْكُمُ ٱلنَّهَارَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَٰمَةِ مَنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ ٱللَّهِ يَأْتِيكُم بِلَيْلٍ تَسْكُنُونَ فِيهِ أَفَلَا تُبْصِرُونَ


Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?"


Pengajaran


  1. Kalau Allah SWT menjadikan siang berpanjangan sampai hari kiamat, siapa yang boleh memberi kegelapan? 
  2. Malam adalah tempat yang untuk mendapat ‘sakinah’. Siang kita sudah penat bekerja, malam kita berehat. Kalau kita duduk sahaja di rumah, tidak bergerak-gerak, itu tidak memberi ketenangan. 
  3. Pada pasangan, kita akan dapat ketenangan apabila kita bekerja keras, balik ke rumah dapat ketenangan. Kalau asyik rehat sahaja di atas katil, akan jadi amat sengsara. 
  4. Kalau siang berpanjangan, mata kita akan jadi letih. 
  5. Kita perlukan malam dan siang yang hanya mampu dicipta oleh Allah SWT. Ini adalah rahmat daripada Allah SWT.


Ayat 28:73


وَمِن رَّحْمَتِهِۦ جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.


Pengajaran


  1. Banyak sangat pelajaran yang dapat diambil dalam ayat ini. Setiap hari, kita nampak dua kali ciptaan Allah SWT (siang dan malam) yang tidak mampu dibuat oleh mana-mana Tuhan yang tidak benar dalam kehidupan ini.
  2. Perkataan rahmah ada kaitan dengan rahim wanita. Rahim pada wanita ialah sumber makanan, perlindungan dan kasih sayang untuk bayi. Lebih daripada itu, Allah SWT ada rahim. Allah SWT lebih sayang kepada hambaNya. Sanggup ke ibu membalingkan anak ke dalam api? Apatah lagi Allah SWT Yang Maha Pengasih Maha Penyayang tidak akan membaling hambaNya ke dalam neraka. 
  3. Salah satu tanda sayang Allah SWT ialah Dia jadikan malam dan siang. Malam untuk berehat, siang untuk mencari ‘fadhol’ iaitu kurniaan Allah SWT atau rezeki. ‘Fadhol’ daripada Allah SWT ada dua jenis: akhirat dan dunia. ‘Fadhol’ Allah SWT di dunia ini boleh dikejar, tetapi jangan sampai tersilap keutamaan. Kita kena tuju ke hari akhirat. 
  4. Kita syukur sangat Allah SWT beri malam dan siang, untuk kita rehat dan cari ‘fadhol’ daripada Allah SWT. ‘Fadhol’ itu bukan sekadar di sini tetapi untuk sampai ke akhirat nanti.
  5. Ada orang tidak endahkan malam dan siang. Mereka tidak rasa itu sebagai kasih sayang Allah SWT. 
  6. Setiap kali kita merasa cahaya matahari yang memberi vitamin D untuk kulit, kita kena ingat itu adalah tanda kasih sayang daripada Allah SWT agar kita bersyukur. Kalau kita bersyukur, Allah tambah lagi kasih sayang sehingga kita dapat banyak lagi kasih sayang Allah di akhirat. 
  7. Jangan ikut dekat-dekat dengan Qarun kerana dia tidak menghargai malam dan siang. Malam untuk rehat, siang untuk mencari ‘fadhol’ daripada Allah SWT. 
  8. Jangan jadi orang yang sibuk cari harta sampai tidak guna malam untuk rehat dan bangun untuk baiki hubungan dengan Allah SWT. Orang ini tidak bersyukur kepada Allah SWT.  Dalam kalangan pendakwah juga boleh berlaku begini. Bekerja siang malam sehingga merasakan dirinya sahaja yang betul.
  9. Pelajaran daripada malam dan siang, kita kena ubah sikit. Kalau kita hendak sokong kepada perkara kebaikan ini, bukan kita memilih nama atau label, tetapi kita memilih apakah isi perjuangan itu. Kalau platform yang berbeza, tidak ada masalah, yang penting perjuangannya itu membawa kepada syukur.


Ayat 28:74


وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ أَيْنَ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ كُنتُمْ تَزْعُمُونَ


Dan (ingatlah) pada hari (kiamat), Allah akan menyeru mereka lalu bertanya: "Mana dia sekutu-sekutuKu yang kamu sifatkan mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?"


Pengajaran


Allah SWT bertanya, mana sekutu-sekutu yang mereka sembah? Dapatkah mereka menolong? 


Ayat 28:75


وَنَزَعْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا فَقُلْنَا هَاتُوا۟ بُرْهَٰنَكُمْ فَعَلِمُوٓا۟ أَنَّ ٱلْحَقَّ لِلَّهِ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ


Dan (pada hari itu) Kami keluarkan dari tiap-tiap umat seorang saksi, lalu Kami katakan (kepada golongan yang kafir): "Bawalah keterangan dan bukti kebenaran kamu". Maka (pada saat itu) ketahuilah mereka bahawa kebenaran (hak ketuhanan) itu tertentu bagi Allah, dan (dengan itu), hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan secara dusta dahulu.


Pengajaran


  1. Hari kiamat adalah hari penentuan. Setiap orang akan ditanya tentang setiap perbuatannya semasa di dunia. Akhirat adalah mahkamah di mana kebenaran terserlah. Nabi Muhammad SAW akan menjadi saksi. 
  2. Apa yang mereka ada-adakan akan musnah. Kalau hendak bayangkan, seperti masuk mahkamah, kita rasa kita boleh menang. Datang saksi, habis segalanya. Kebenaran adalah milik Allah SWT. Semua yang mereka ada-adakan akan lenyap, tidak mampu untuk diperjuangkan lagi.
  3. Ini adalah satu peringatan kepada kita agar jangan sampai mempermain-mainkan kebenaran. Salah satu kebenaran itu adalah tengok pada alam dan tahu Allah SWT lah yang Esa yang perlu kita imani, yang perlu kita letakkan paling tinggi dalam membuat keputusan atau sumber hakim. 


Ayat 28:76


إِنَّ قَٰرُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَءَاتَيْنَٰهُ مِنَ ٱلْكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوٓأُ بِٱلْعُصْبَةِ أُو۟لِى ٱلْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُۥ قَوْمُهُۥ لَا تَفْرَحْ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْفَرِحِينَ


Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).


Pengajaran


  1. Firaun gila kuasa. Qarun pula dengan harta dia jadi gila. Firaun adalah dari kalangan musuh, tetapi Qarun adalah daripada Bani Israel pengikut Nabi Musa AS.  Firaun adalah orang musyrik. Qarun sudah ikut Nabi Musa AS tetapi selepas itu dia menjadi orang yang melampau (بَغَىٰ). 
  2. Qarun asalnya hamba yang menjadi tali barut Firaun. Dia menyampaikan berita-berita Bani Israel kepada Firaun dan dia dibayar harta yang lebih. Allah SWT izinkan dia mempunyai harta yang banyak. 
  3. Hartanya banyak dan kuncinya besar. Itulah gambaran betapa besar dan kayanya Qarun itu. Kaumnya menasihatinya supaya jangan berbangga. 
  4. Allah SWT tidak suka kepada orang yang berbanga-bangga. Orang yang kaya, pandai, semuanya anugerah daripada Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada orang yang menunjuk-nunjuk. Orang sekarang, suka menunjuk-nunjuk di sosial media.
  5. Kalau seseorang itu ada kuasa, jangan jadi seperti Firaun. Kalau ada harta jangan jadi seperti Qarun. 


Ayat 28:77


وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْءَاخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ


"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


Pengajaran


  1. Ini adalah formula untuk orang yang berharta. Orang berharta ada kemungkinan berbuat kerosakkan. Makin kaya makin lagi boleh berbuat kerosakan kecuali kalau kita ambil formula daripada ayat ini. 
  2. Kalau hendak cari harta, silakan. Tetapi carilah segala-galanya ini untuk negeri akhirat.  Siang adalah untuk mencari ‘fadhol’, bukan sekadar untuk dunia, tetapi untuk negeri akhirat. 
  3. Kita kena isi hidup kita untuk mencari anugerah Allah SWT di hari akhirat. Ada orang yang gunakan siang untuk cari duit untuk dirinya sahaja. Tetapi ada orang yang gunakan siang untuk cari duit bukan sekadar untuk dirinya tetapi untuk orang lain juga. Itulah yang dimaksudkan dengan  ٱلدَّارَ ٱلْءَاخِرَةَ. Dia cuba untuk terlibat dengan dakwah, memberi manfaat kepada orang lain dan inilah yang Allah SWT suruh kita buat di waktu siang. Bukannya asyik cari duit untuk diri sendiri. Cari duit untuk bantu orang lain, itu yang disebut di sini.
  4. Kita boleh mencari bahagian kita di dunia, beli kereta, rumah, untuk sara keluarga, tetapi itu bukan segala-galanya. Macam kita naik gunung, kalau letak target dekat depan kita sahaja, kita tidak akan sampai jauh. Tetapi kalau letak target sampai ke atas, maka kesannya kita akan berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya sampai ke atas. 
  5. Islam ini adalah seperti hendak mendaki puncak gunung yang paling atas. Jadi, letakkan target kita bukan sekadar dunia, tetapi mestilah sampai ‘darul akhirah’ memberi manfaat kepada orang lain.
  6. Buatlah yang terbaik seperti mana Allah SWT telah berikan yang terbaik kepada kita. Orang kaya hendaklah buat baik kepada orang lain. Jangan jadi seperti Qarun yang hanya cari kekayaan untuk diri sendiri. 
  7. Hendaklah kita mencari akhirat dengan buat perkara baik menggunakan harta yang ada. Orang yang tidak menyokong kepada perjuangan Islam setiap hari sebenarnya orang itu adalah berbuat fasad (ٱلْمُفْسِدِين).
  8. Semoga kita tidak jadi seperti Qarun yang terlampau mewah sampai tidak ada perjuangan yang menyokong kepada ‘darul akhirah’.


RESOLUSI


Ingat!

  1. Bersyukur dengan adanya pertukaran malam dan siang (28:71-72)
  2. Sentiasa mencari dan menguatkan kebenaran (28:75)
  3. Jangan berlebih-lebihan ketika bergembira (28:76)

Saya berasa lega, Allah SWT jadikan malam untuk saya berehat.

Saya jelas saya mesti bersyukur dengan adanya pertukaran malam dan siang. Saya jelas untuk sentiasa mencari dan menguatkan kebenaran. Saya jelas untuk tidak berlebih-lebihan ketika bergembira.

Ya Allah, kami bersyukur dengan adanya pertukaran malam dan siang. Jadikan kami dapat berehat dengan baik di waktu malam dan bekerja bersungguh-sungguh untuk ‘darul akhirah’ di waktu siang. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa mencari dan menguatkan kebenaran. Ya Allah hindarkan kami daripada berlebih-lebihan ketika bergembira.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kep ada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...