Saturday, September 9, 2023

Halaman 395 : Al-Qasas, 28:78-84

PERKATAAN HARI INI 

 جَزَمَ Membuat dosa, jenayah. 
66 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Qarun bongkak kerana ilmunya (28:78)
  2. Sebahagian bentuk kezaliman dan kesombongan Qarun (28:79-82)
  3. Tempat pembalasan amal, kadar balasan dan pelajaran daripada kisah Qarun (28:83-84)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 395. Kita ingin belajar hidayah daripada Allah SWT agar kita dipimpin oleh Allah SWT hingga ke syurga.

Kita diingatkan berkali-kali untuk membuat persediaan bertemu Allah SWT. Di hujung kehidupan itu amat penting istiqamah bersama al-Quran agar kita kembali bertemu Allah SWT dalam husnul khatimah.


Ayat 28:78


قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِۦ مِنَ ٱلْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا ۚ وَلَا يُسْـَٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلْمُجْرِمُونَ


Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).


Pengajaran


  1. Qarun amat kaya. Dia bertugas sebagai tali barut Firaun mendapat gaji yang banyak. Dia kata bahawa harta kekayaannya disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang dia ada. 
  2. Sedangkan pada ayat 76 Allah SWT telah menyatakan bahawa semua itu adalah anugerah daripada Allah SWT. Semoga kita dijauhkan daripada sifat Qarun yang sombong, padahal semuanya adalah anugerah daripada Allah SWT.
  3. Allah SWT ingatkan bahawa Dia telah memusnahkan umat-umat yang terdahulu kerana dosa-dosa mereka walaupun mereka lebih kuat dan lebih banyak harta daripada Qarun.
  4. Janganlah kita menunjukkan kekayaan di sosial media kerana ia ada kaitan dengan motivasi yang tidak betul daripada New Age Movement kerana ia mengambil idea daripada Qarun.
  5. Semoga kita tidak menjadi orang-orang yang berdosa (ٱلْمُجْرِمُونَ).


Ayat 28:79


فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ فِى زِينَتِهِۦ ۖ قَالَ ٱلَّذِينَ يُرِيدُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا يَـٰلَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَآ أُوتِىَ قَـٰرُونُ إِنَّهُۥ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ


Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik".


Pengajaran


  1. Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. Pada masa itu mereka yang ada keinginan untuk kehidupan dunia sangat ingin mendapat kekayaan seperti Qarun. Mereka yakin bahawa Qarun adalah seorang yang bernasib baik.
  2. Mereka ada sifat materialistik walaupun sebenarnya mereka tidak ada kekayaan. Mereka ini ada penyakit. Allah SWT menyelar orang yang bersifat materialistik.


Ayat 28:80


وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ ٱللَّهِ خَيْرٌ لِّمَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا وَلَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلصَّـٰبِرُونَ


Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar".


Pengajaran


  1. Kita perlu faham ayat ini untuk mensikapi orang-orang yang memaparkan kekayaan dunia mereka.
  2. Lawan orang berilmu adalah orang yang sukakan kehidupan dunia. Makin kita belajar al-Quran, kita dapat ilmu maka kita akan sedar bahawa ganjaran di sisi Allah SWT adalah lebih baik dan lebih kekal.
  3. Orang berilmu dapat menghargai tentang ganjaran di sisi Allah SWT adalah lebih baik kepada orang yang terus membina iman dan terus beramal soleh. Dia sanggup mengejar iman berbanding mengejar kekayaan. 
  4. Jangan mengejar kekayaan sehingga mengenepikan iman dan amal soleh. Jangan kagum kepada harta kekayaan Qarun.
  5. Kita tidak akan dapat ganjaran di sisi Allah kecuali menjadi orang-orang yang sabar. Al-Biqai berkata, hendak sabar ini kena ramai-ramai. Kena saling ingat mengingati. 


Ayat 28:81


فَخَسَفْنَا بِهِۦ وَبِدَارِهِ ٱلْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُۥ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُنتَصِرِينَ


Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.


Pengajaran


  1. Allah SWT benamkan Qarun bersama dengan rumahnya di dalam tanah. Dia ada banyak pengikut tetapi tidak ada sesiapa yang dapat menolongnya.
  2. Ini mengingatkan kita bahawa segala kekuatan, harta, pengaruh dan sebagainya tidak berfungsi langsung.
  3. Harta kekayaan semuanya akan menjadi debu. Semoga kita dapat gunakan harta yang ada untuk bina iman dan amal soleh kita.


Ayat 28:82


وَأَصْبَحَ ٱلَّذِينَ تَمَنَّوْا۟ مَكَانَهُۥ بِٱلْأَمْسِ يَقُولُونَ وَيْكَأَنَّ ٱللَّهَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ ۖ لَوْلَآ أَن مَّنَّ ٱللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا ۖ وَيْكَأَنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلْكَـٰفِرُونَ


Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun - mulai sedar sambil berkata: "Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!"


Pengajaran


  1. Orang-orang yang bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun mulai sedar bahawa Allah SWT yang melapangkan rezeki seseorang kepada sesiapa yang Allah SWT kehendaki daripada hamba-hambaNya dan juga menyempitkannya. Semuanya Allah SWT telah letak qadarnya. 
  2. Kalau tidak kerana Allah SWT memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah seperti Qarun.
  3. Hakikat apa yang ada pada Qarun itu bukanlah untuk dikagumi. Kalau ada orang yang menunjuk-nunjuk, jangan kagum pada orang begini. Kalau kita ikut pada orang begini, ia tidak menambah iman dan amal kita. Kalau kita jadi pengikutnya kita pun terbenam sama.
  4. Allah SWT menegaskan bahawa orang-orang yang kufur itu tidak akan berjaya.


Ayat 28:83


تِلْكَ ٱلدَّارُ ٱلْـَٔاخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا ۚ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ


Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.


Pengajaran


  1. Firaun adalah lambang salah guna kuasa. Qarun adalah lambang kepada salah guna harta.
  2. Kita harus faham bagaimana menguruskan kuasa dan harta, jangan sampai hidup kita merana.
  3. Allah SWT sediakan negeri akhirat bagi orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di bumi. Contoh: Firaun salah guna kuasa dan Qarun salah guna harta.
  4. Kalau akhirat ini menjadi tujuan, maka kita tidak ada orang-orang yang buka kelab-kelab malam atau pusat-pusat perjudian. Orang-orang kaya akan pergi tolong orang miskin. Sebenarnya pusat perjudian dan kelab yang tidak baik ini disokong oleh orang yang banyak harta. Kita doakan kalau tidak banyak harta pun kita sentiasa berusaha menambahkan iman. Kalau banyak harta kita akan jadi orang yang menyokong kepada amalan takwa. 


Ayat 28:84


مَن جَآءَ بِٱلْحَسَنَةِ فَلَهُۥ خَيْرٌ مِّنْهَا ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى ٱلَّذِينَ عَمِلُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ إِلَّا مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ


Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan.


Pengajaran


  1. Allah SWT memberi motivasi kepada kita, kalau kita buat baik, kita akan dapat balasan yang lebih baik daripada Allah. Kalau buat yang tidak baik, Allah balas sekadarnya sahaja apa yang kita lakukan. 
  2. Ini memberi semangat kepada kita untuk terus membina iman dan amal soleh. Jangan kagum kepada kuasa. Latih anak kita, staf kita, agar jangan jadi seperti Qarun dan Firaun bila sudah meningkat harta dan kuasa. 


RESOLUSI


Ingat!

  1. Sentiasa sedar semua nikmat adalah anugerah Allah SWT, bukan kerana kekuatan diri (28:78)
  2. Jangan mudah tertipu kekayaan luaran (28:79)
  3. Rebut ganjaran di sisi Allah dengan iman, berbuat kebaikan dan bersabar (28:80)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya tidak mudah tertipu kekayaan luaran.

Saya jelas saya mesti sentiasa sedar semua nikmat adalah anugerah Allah SWT, bukan kerana kekuatan diri. Saya jelas untuk tidak mudah tertipu kekayaan luaran. Saya sedar saya mesti rebut ganjaran di sisi Allah dengan iman, berbuat kebaikan dan bersabar.

Ya Allah, bimbing kami untuk jadi orang yang sentiasa sedar semua nikmat adalah anugerahMu, bukan kerana kekuatan diri. Ya Allah, jaga kami agar tidak mudah tertipu kekayaan luaran. Ya Allah, bantu kami untuk rebut ganjaran di sisiMu dengan iman, berbuat kebaikan dan bersabar.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...