Sunday, October 1, 2023

Sinopsis Juzuk 21

 



Surah Al-Ankabut (Labah-labah) Ayat 45-69 (sambungan)

Membaca al-Quran dan solat amalan kita (45-49)
Orang munafik menuntut untuk lebih-lebih (50-55)
Peringatan kepada orang beriman (56-60)
Bumi Allah sangat luas. Ke mana sahaja kita berada laksanakan ibadat kerana Allah.
Allah akan tempatkan orang beriman dalam syurga sebagai balasan melakukan kebajikan di dunia.
Setiap manusia dilahirkan beriman (61-66)
Kehidupan di dunia hanya sementara. Kehidupan di akhirat itulah yang kekal.
Orang zalim memang patut masuk neraka (67-69)
Tidak bersyukur atas nikmat yang diterima.
Pembohongan terhadap Allah, menolak kerasulan Nabi SAW serta al-Quran.


Surah Ar-Rum (Bangsa Rom) Ayat 1-60

Surah ini dinamakan dengan Ar-Rum kerana Allah mengawali surah ini dengan memberitahu tentang kerajaan Romawi akan menang dalam perang menentang Persia. Romawi yang beragama Nasrani lebih dekat kepada kaum muslimin kerana mereka adalah ahlul kitab, manakala orang-orang Persia beragama Majusi menyembah api.

Diakhiri dengan pernyataan, jangan risau sangat dengan gelagat orang kafir kerana hati mereka sudah tertutup. Kerana itu, orang beriman harus bersabar dengan dugaan itu. Janji Allah tetap akan berlaku. Balasan orang kafir tidak akan diringankan.

Tema: Hati-hati dengan ujian

Allah SWT memperakukan – menang atau kalah, Allah yang menentukan (1-7)
Merenungi ciptaan Allah – diri sendiri, langit dan bumi, sejarah kaum yang telah dibinasakan kerana mempersendakan rasul dan wahyu (8-18)
Tanda-tanda Allah itu berkuasa (19-28)
Ikhlas beribadat hanya pada Allah sahaja (29-40)
Kerosakan berlaku kerana perbuatan sendiri (41-45)
Bukti-bukti kekuasaan Allah (46-54)
Hari dipisahkan orang kafir (55-60)


Surah Luqman (Luqman) Ayat 1-34 

Surah ini dinamakan dengan Luqman kerana ia menyebutkan nama Luqman pada ayat 12 dan sifatnya yang penuh hikmah. Luqman mewasiatkan anaknya dengan pendidikan Islam. Ini menunjukkan sungguh besar perhatian al- Quran kepada pendidikan anak-anak.

Dimulakan dengan Allah bersumpah dengan huruf ALIF LAM MIM, untuk membuktikan al-Quran itu mempunyai hikmah tertentu. Juga memberi petunjuk dan rahmat jika kita suka membuat kebajikan.

Diakhiri dengan pernyataan, Allah sahaja yang tahu bila kiamat berlaku. Bila hujan hendak turun. Keadaan janin dalam kandungan. Apa yang akan berlaku esok hari. Bila dan di mana kita akan mati. Semuanya Allah tahu dan sedia memberitahunya.

Tema: Pendidikan anak-anak

Al-Quran mengandungi hikmah dan petunjuk (1-11)
Harapan Luqman kepada anaknya (12-22)
Jangan sekali-kali kamu mensyirikkan Allah kerana syirik itu suatu kezaliman.
Berbuat baik dengan kedua ibu bapa. Jika kedua-duanya cuba mempengaruhi kita untuk mensyirikkan Allah, tidak perlu kita mematuhinya. 
Semua amalan kita walau sebesar biji sawi, tersimpan dalam batu pejal, sama ada terletak di bumi atau di langit sekalipun, Allah akan tunjukkan di akhirat nanti kerana Allah amat teliti dengan perancangannya.
Dirikan solat, galakkan orang lain membuat kebajikan. Larang juga mereka membuat kejahatan. Bersabarlah dengan dugaan yang menimpa. Itulah dia sebaik- baik azam yang perlu dilakukan.
Jangan sekali-kali kita memandang rendah orang lain dan berlagak sombong, bila berjalan. Kerana Allah tidak suka kepada orang sombong dan membangga diri.
Sederhanakan langkah bila berjalan. Rendahkan suara bila bercakap. 
Orang kafir tetap percayakan Allah (23-28)
Tanda-tanda kekuasaan Allah (29-34)


Surah Sajdah (Sujud) Ayat 1-30 

Sujud adalah simbolik kehambaan dan penyingkiran segala jenis kesombongan atas ayat-ayat Allah SWT. Nama surah ini disebut dalam ayat 15.

Dimulakan dengan sumpah Allah dengan huruf ALIF LAM MIM, memperakukan al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang memiliki alam ini. Diakhiri dengan pernyataan, bahawa bila Kota Mekah sudah ditawan pada tahun 8 hijrah, iman orang kafir tidak lagi berguna. Tiada pertolongan untuk mereka. Kerana itu, tinggalkan mereka. Tunggu sahaja hari penentuan Allah ke atas mereka.

Tema: Tunduk kepada Allah

Al-Quran diturunkan kepada Muhammad (1-6)
Penciptaan manusia (7-22)
Nabi Musa menerima kitab Taurat (23-30)


Surah Al-Ahzab (Golongan yang Bersekutu) Ayat 1-30 

Surah ini dinamakan dengan Al-Ahzab kerana Allah menyebutkan golongan orang-orang musyrikin dan sekutu mereka (pada ayat 20) ketika kaum musyrikin hendak memerangi kota Madinah. Allah SWT membuat mereka kembali dengan kerugian.

Dimulakan dengan Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW, bertakwa kepada Allah jangan sekali-kali taat dengan perintah orang kafir dan munafik. Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Diakhiri dengan Allah memperakukan, Dia akan mengazab orang munafik dan orang musyrik, sama ada lelaki atau perempuan. Sementara orang mukmin lelaki dan perempuan, Allah sedia memberikan pengampunan kepada mereka. Kerana Dia bersifat amat penyayang.

Tema: Tunduk kepada Allah

Peringatan Allah kepada Nabi Muhammad (1-3)
Allah tidak jadikan individu itu dua hati – hukum zihar, anak angkat dan kebajikan nabi dan isteri-isterinya (4-6)
Perjanjian perlu dihormati (7-11)
Sikap munafik dalam perang (12-20)
Rasulullah SAW ikutan yang baik (21-27) 
Kod etika isteri nabi (28-30)



Wallahua’lam


Rujukan

1. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
2. Sinopsis 114 Surah, Fazrul Ismail
3. Kompas 114, Syaari Ab Rahman
4. Tadabbur Al-Quran, Syaikh Adil Muhammad Khalil



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...