Sunday, October 1, 2023

Halaman 402 : Al-'Ankabut, 29:46-52

PERKATAAN HARI INI 

 خَطَّ/ خَطَطَ  Menulis. 1 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Cara berdakwah dan berinteraksi dengan al-Quran (29:46-51)
  2. Pujukan untuk Nabi Muhammad SAW - cukuplah Allah SWT sebagai saksi (29:52)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 402 untuk memulakan juz 21 dalam Surah al-‘Ankabut. Salah satu panduan dalam surah ini ialah jangan kita pergi ke rumah labah-labah yang lemah tetapi kita pergilah ke rumah Allah SWT. Kita bergantung kepada Allah SWT, bukan kepada tali pada sarang labah-labah yang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi pada setiap hari. 

Ayat 29:46

وَلَا تُجَٰدِلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلْكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنْهُمْ وَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا بِٱلَّذِىٓ أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمْ وَٰحِدٌ وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri."

Pengajaran

  1. Tilawah al-Quran dan mendirikan solat dapat membina hati dan karakter kita sehinggakan  menghindarkan kita dari perkara keji, mungkar dan kita mengingat Allah SWT yang paling besar, yang paling berkuasa atas segala ideologi dan atas segala perkara yang ingin kita lakukan.
  2. Perjuangan al-Quran ini bukan sekadar di Mekah. Ini adalah ‘clue’ kepada para sahabat untuk berjuang di tempat lain yang ada ahli kitab. Allah SWT memberikan persediaan-persediaan. 
  3. Kalau ingin berdebat, pastikan dengan cara ‘أَحْسَنُ’ iaitu dengan cara lebih baik, dengan ilmu yang baik, dengan akhlak yang baik, bukan kutuk-kutuk, bukan kita merendah-rendahkan agama orang lain, tetapi kita bertukar hujah itu dengan cara yang paling berakhlak.
  4. Kepada orang yang zalim, tidak payah kita berdebat. Orang-orang ini akan menggunakan cara yang boleh merosakan penghujahan atau ilmu yang sedang disampaikan.
  5. Allah SWT memberikan cara praktikal untuk bercakap dengan ahli kitab. Katakan kepada mereka bahawa kita percaya kepada Taurat, Injil selain al-Quran. Cari kesamaan dengan mereka.
  6. Tuhan kita dan Tuhan mereka adalah satu, iaitu Allah SWT. Kita menyerah diri kepada Islam bukan kerana keturunan kita Islam, tetapi kita Islam kerana menyerah hanya kepada Allah SWT kerana kita yakin Allah SWT yang berkuasa.
  7. Inilah teknik yang diajarkan kepada kita apabila berinteraksi dengan agama lain, terutama yang ada kitab iaitu Yahudi dan Nasrani. Jangan kita bergaduh dengan membawa hujah yang menghentam mereka.

Ayat 29:47

وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ فَٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَٰهُمُ ٱلْكِتَٰبَ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ وَمِنْ هَٰٓؤُلَآءِ مَن يُؤْمِنُ بِهِۦ وَمَا يَجْحَدُ بِـَٔايَٰتِنَآ إِلَّا ٱلْكَٰفِرُونَ

Dan (sebagaimana Kami telah menurunkan Kitab-kitab ugama kepada Rasul-rasul yang telah lalu) demikianlah Kami turunkan pula kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Al-Quran ini. Maka orang-orang yang Kami berikan Kitab (Taurat dan Injil) ada yang beriman kepada Al-Quran, dan juga sebahagian dari orang-orang (Makkah) beriman kepadanya; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang berdegil dalam kekufurannya.

Pengajaran

  1. Allah SWT telah menurunkan kitab-kitab sebelum al-Quran. Mereka yang  beriman ketika itu tetap beriman apabila al-Quran diturunkan seperti Abdullah b Salam. 
  2. Kita yang sudah beragama Islam, bila kita hendak membina iman, kita akan rasakan setiap hari adalah hari meningkatkan iman. Orang yang tidak beriman, tidak kisah untuk tilawah al-Quran. Mereka mengejek-ngejek atau merendahkan atau merasakan al-Quran ini tidak mampu untuk memajukan seseorang.  
  3. Orang musyrik pun akan beriman. Ini adalah satu pujukan kepada Nabi SAW. Waktu itu sahabat yang diazab trauma, tetapi Allah SWT meyakinkan Nabi SAW bahawa akan ada di antara yang musyrik dan ahli kitab yang beriman kepada al-Quran
  4. Inilah menjadi kekuatan kepada Nabi SAW, para sahabat dan kepada kita juga. Al-Quran bukan sekadar kita baca, tetapi perlu diperjuangkan. Inilah semangat al-Quran daripada surah al-‘Ankabut yang ingin kita bina dalam diri dan keluarga kita. 

Ayat 29:48

وَمَا كُنتَ تَتْلُوا۟ مِن قَبْلِهِۦ مِن كِتَٰبٍ وَلَا تَخُطُّهُۥ بِيَمِينِكَ إِذًا لَّٱرْتَابَ ٱلْمُبْطِلُونَ

Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).

Pengajaran

  1. Ini adalah pembuktian bahawa al-Quran daripada Allah SWT. Bukan dicipta, ditulis atau dipelajari daripada kitab-kitab lain.
  2. Ini adalah penegasan kepada orang musyrik yang menuduh Nabi SAW yang menulisnya. Nabi SAW tidak pernah belajar daripada mana-mana kitab lain. Nabi SAW juga tidak boleh menulis. Al-Quran ialah daripada Allah SWT, jadi kesannya berbeza untuk mengajak manusia kepada pencipta.
  3. Halaman ini banyak bercakap tentang berinteraksi dengan al-Quran. Secara tidak langsung, Allah SWT memberitahu kita untuk memperjuangkan al-Quran. Setelah membaca sampai juzuk 21 ini, kita akan rasa kemanisan daripada al-Quran, kita sudah memahami bahawa al-Quran ini bukan untuk disimpan begitu sahaja tetapi ia adalah satu hujah. 

Ayat 29:49

بَلْ هُوَ ءَايَٰتٌۢ بَيِّنَٰتٌ فِى صُدُورِ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ وَمَا يَجْحَدُ بِـَٔايَٰتِنَآ إِلَّا ٱلظَّٰلِمُونَ

(Al-Quran tetap datangnya dari Allah dengan tidak syak lagi) bahkan ia ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang zalim.

Pengajaran

  1. Ini adalah penghargaan kepada guru-guru yang mengajar dan menghafal al-Quran. 
  2. Hanya orang yang ingkar akan berlaku zalim dan tidak beradab. Al-Quran ini adalah hadiah daripada Allah SWT. Kalau tidak dibuka, tidak diperjuangkan, tidak kongsi bermakna kita berlaku zalim. 
  3. Persoalannya, adakah kita sudah benar-benar memperjuangkan al-Quran bersama keluarga dan organisasi kita seperti Khabab Al-Arat dan sahabat-sahabat lain? Perjuangan ini perlu diteruskan sampai ke kiamat.

Ayat 29:50

وَقَالُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ ءَايَٰتٌ مِّن رَّبِّهِۦ قُلْ إِنَّمَا ٱلْءَايَٰتُ عِندَ ٱللَّهِ وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" Jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata".

Pengajaran

  1. Mereka mempersoalkan tentang al-Quran. Mereka meminta mukjizat lain. Mereka merasa al-Quran tidak menarik. 
  2. Allah SWT yang memberi mukjizat. Setiap ayat di dalam al-Quran adalah mukjizat tetapi memerlukan ilmu. Ia adalah mukjizat yang kekal. Mukjizat ini bersifat maknawi atau bersifat ilmu untuk membolehkan kita merasakan kehebatan Allah SWT dan bertambah iman bila tengok bulan, matahari.

Ayat 29:51

أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَرَحْمَةً وَذِكْرَىٰ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

(Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.

Pengajaran

  1. Ini pujukan kepada Nabi SAW, para sahabat dan juga kepada kita. Kalau al-Quran ditilawahkan iaitu bukan perkataan kita tetapi perkataan Allah SWT, tidak akan habis perkataannya. Al-Quran membawa kita kepada zaman Nabi Adam AS, Nabi Musa AS, akhirat, syurga, neraka. Ilmu manusia amat terhad, tetapi cukup dengan al-Quran ini yang boleh membawa kita menerobos ke seluruh dimensi kehidupan. 
  2. Dalam al-Quran ada rahmah kasih sayang Allah, ada zikra (peringatan) kepada orang yang beriman. Allah SWT beritahu tentang neraka untuk kita jauhinya, buat persediaan, ‘take it serious’. Allah SWT memberi kita peringatan kerana kita mudah lupa. Kita terlupa bahawa kita pernah mengaku di hadapan Allah SWT, bahawa Allah SWT itu adalah Tuhan. 
  3. Al-Quran sifatnya mendidik. Zaman ini penuh pancaroba dari segi fizikal dan emosi juga. Kita perlukan mukjizat al-Quran.

Ayat 29:52

قُلْ كَفَىٰ بِٱللَّهِ بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ شَهِيدًا يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱلْبَٰطِلِ وَكَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَٰسِرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Cukuplah Allah menjadi saksi (yang mengetahui perkara yang berbangkit) antaraku dengan kamu; Ia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi. Dan mereka yang percaya kepada perkara yang salah dan tidak percaya kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang rugi.

Pengajaran

  1. Cukuplah Allah SWT menjadi saksi. Tidak payah kita menyahut permintaan dari orang yang percaya selain dari Allah SWT.
  2. Allah SWT lebih mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi. Kalau kita tidak dapat kasih sayang dan peringatan daripada Allah SWT, kita akan jadi orang yang rugi. Kalau tidak dapat kasih sayang, kita akan stres. Kalau kita lupa, kita akan jadi orang yang rugi. Allah SWT beri kasih sayang dan peringatan kepada kita pada setiap masa. Itu tandanya Allah SWT tidak mahu kita jadi orang yang rugi.
  3. Inilah al-Quran yang hendak kita perjuangkan agar masyarakat kita tidak jadi masyarakat yang hancur. Kerajaan Islam di Sepanyol hancur selepas 800 tahun kerana mereka tinggalkan al-Quran. Bila sudah kaya, sudah ada kuasa, mereka terlupa pelajaran daripada surah al-Qasas, bahawa Firaun itu berkuasa, Qarun itu kaya, hancur disebabkan mereka tidak beriman kepada Allah SWT. 

RESOLUSI

Ingat!
  1. Jangan suka berdebat dengan Yahudi dan Nasrani kecuali dengan cara yang terbaik (29:46)
  2. Cari ilmu al-Quran agar ia memberi kesan pada hati (29:49)
  3. Dapatkan rahmat Allah SWT dengan tilawah al-Quran (29:51)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya tilawah al-Quran dan dirikan solat untuk menjauhi perkara keji dan mungkar.

Saya jelas saya mesti jangan suka berdebat dengan Yahudi dan Nasrani kecuali dengan cara yang terbaik. Saya jelas saya mesti cari ilmu al-Quran agar ia memberi kesan pada hati. Saya jelas saya mesti dapatkan rahmat Allah SWT dengan tilawah al-Quran.

Ya Allah, pimpin kami agar jangan suka berdebat dengan Yahudi dan Nasrani kecuali dengan cara yang terbaik. Ya Allah, bimbing kami untuk cari ilmu al-Quran agar ia memberi kesan pada hati. Ya Allah, bimbing kami untuk tilawah al-Quran, kurniakan kepada kami rahmat Mu, Ya Allah ya Rahim. 
 
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...