Sunday, October 1, 2023

Halaman 408 : Al-Rum, 30:33-41

PERKATAAN HARI INI 

 قنط   Kecewa. 6 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Buruknya perilaku sebahagian manusia yang tidak sedar dan kembali kepada Allah SWT, kemudian kembali berbuat kesyirikan (30:33-37)
  2. Dorongan berinfak pelbagai pemberian, jaminan rezeki, pengukuhan dan penegasan hari dikumpulkan dan tauhid (30:38-40)
  3. Punca kerosakan di bumi dan lautan (30:41)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 408. Surah al-Rum ini turun pada tahun kelima kenabian Nabi SAW untuk kita sama-sama membina tamadun dengan panduan wahyu daripada Allah SWT.

Pada halaman lepas kita telah belajar psikologi tentang rezeki. Bimbang macam mana pun tentang rezeki kita, sebenarnya yang mampu menjaga rezeki kita hanyalah Allah SWT. Lebih baik kita kembali kepada Allah SWT, jaga psikologi kita berinteraksi dengan rahmat daripada Allah SWT.

Dalam kalangan manusia ada yang membina agama-agama lain seperti Kristian, Yahudi. Asalnya adalah agama yang lurus daripada Nabi Ibrahim AS sehinggalah kepada nabi-nabi seterusnya.

Ayat 30:33

وَإِذَا مَسَّ ٱلنَّاسَ ضُرٌّ دَعَوْا۟ رَبَّهُم مُّنِيبِينَ إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَآ أَذَاقَهُم مِّنْهُ رَحْمَةً إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُم بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;

Pengajaran

  1. Apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan dengan keadaan bertaubat kepadaNya.
  2. Apabila mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian daripada mereka kembali mensyirikkan Tuhannya. Mereka meletakkan hawa nafsu lebih tinggi daripada Allah SWT.
  3. Psikologi ini penting diberi perhatian kerana jika ada yang berperangai begini, sesuatu tamadun itu makin lama makin runtuh. Contoh: Qarun yang mengatakan dengan ilmunya dia berhak mendapat kekayaan daripada Allah SWT.

Ayat 30:34

لِيَكْفُرُوا۟ بِمَآ ءَاتَيْنَـٰهُمْ ۚ فَتَمَتَّعُوا۟ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka (dikatakan kepada mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara), kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)".

Pengajaran

  1. Allah SWT beri peluang untuk mereka mendapat rahmat supaya mereka menjadi lebih kufur. 
  2. Bagi orang yang beriman, dia sedar perkara ini, maka dia berjaga-jaga bila dapat nikmat. 
  3. Ini adalah sindiran kepada orang yang kufur.
  4. Janganlah kita lalai dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita, bimbang akan mendapat azab.

Ayat 30:35

أَمْ أَنزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَـٰنًا فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِمَا كَانُوا۟ بِهِۦ يُشْرِكُونَ

Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?

Pengajaran

  1. Allah SWT menempelak mereka yang melakukan perbuatan syirik.

Ayat 30:36

وَإِذَآ أَذَقْنَا ٱلنَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا۟ بِهَا ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌۢ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ

Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan tentang psikologi manusia bahawa apabila manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya sehingga lupa daratan; dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa (يَقْنَطُونَ).
  2. Kalau dalam sesebuah organisasi dan negara ada orang yang mempunyai ciri-ciri ini, dia akan meruntuhkan organisasi dan negara itu.
  3. Kita boleh bergembira bila mendapat rahmat, tetapi jangan melampau. Kita boleh bergembira melampau hanya dengan al-Quran.
  4. Orang beriman faham bahawa segala rahmat, segala keburukan yang berlaku, ada kaitan dengan Allah SWT.

Ayat 30:37

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Pengajaran

  1. Allah SWT menarik perhatian kita dengan bertanya mengapa mereka tidak melihat dengan mata hati bahawa Allah SWT memewahkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki sebagai ujian adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya.
  2. Allah SWT juga menyempitkan rezeki seseorang sebagai ujian sama ada dia terima dengan sabar atau tidak.
  3. Orang-orang yang beriman tahu bahawa semua yang berlaku mengandungi keterangan-keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.
  4. Inilah ubat untuk mengelakkan stres. Kita kena memahami hakikat bahawa punca rahmat itu adalah daripada Allah SWT.

Ayat 30:38

فَـَٔاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجْهَ ٱللَّهِ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Pengajaran

  1. Untuk mengelakkan diri daripada berputus asa, sibukkan diri dengan memberi kepada orang-orang yang berhak iaitu kerabat, dan orang miskin serta orang musafir.
  2. Inilah formula untuk membina sebuah tamadun yang berjaya kerana Allah SWT sentiasa memerhati kepada manusia yang berakhlak dengan ayat ini. 
  3. Seseorang yang beriman kepada Allah SWT yakin bahawa Allah SWT melapangkan rezeki (duit, harta, keluarga, keputusan periksa dan lain-lain) atau mengehadkan. Inilah tanda-tanda kebesaran Allah SWT untuk kita ambil pelajaran bagi membina keimanan. 
  4. Orang yang beriman sedar bahawa rezeki yang diberikan oleh Allah SWT bukan miliknya sendiri tetapi juga ada hak orang lain. 
  5. Orang yang beriman amat prihatin kepada kejiranan, kawan dekat, kaum kerabat dengan memberi hak mereka. Inilah budaya yang akan membina sesebuah tamadun.

Ayat 30:39

وَمَآ ءَاتَيْتُم مِّن رِّبًا لِّيَرْبُوَا۟ فِىٓ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ فَلَا يَرْبُوا۟ عِندَ ٱللَّهِ ۖ وَمَآ ءَاتَيْتُم مِّن زَكَوٰةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُضْعِفُونَ

Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.

Pengajaran

  1. Ayat ini bercerita tentang riba. Menurut Hamka, kalau kita tolong orang, jangan kita harap balasan daripada orang itu.
  2. Asas kepada riba ialah tidak payah usaha tetapi dapat untung. 
  3. Allah SWT ingatkan bahawa harta yang terlibat dengan riba ini sebenarnya ia tidak berkembang. Hanya sedekah yang diberikan dengan tujuan mendapat keredaan Allah SWT semata-mata akan berkembang.
  4. Ayat ini amat penting dalam sesebuah negara kerana riba merosakkan ekonomi negara. Sesebuah keluarga, organisasi, negara yang dibesarkan dengan riba, akhirnya akan rosak.
  5. Riba memberi kepuasan dalam jangka masa pendek tetapi dalam jangka masa panjang ia amat menekan bagi seseorang, malah ia merosakkan ekonomi sesebuah negara.
  6. Hendaklah kita kembali kepada amalan infak, zakat sebagai amalan yang telah terbukti dalam sejarah dapat meningkatkan ekonomi seperti yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Ayat 30:40

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ۖ هَلْ مِن شُرَكَآئِكُم مَّن يَفْعَلُ مِن ذَٰلِكُم مِّن شَىْءٍ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).

Pengajaran

  1. Allah SWT jualah yang mencipta kita; kemudian Allah SWT memberi rezeki kepada kita; sesudah itu Allah SWT mematikan kita; kemudian Allah SWT menghidupkan kita semula.
  2. Syirik mula masuk apabila bercakap tentang rezeki, tentang kematian, tentang kehidupan. Bila kita faham yang mencipta kita daripada kosong kepada ada ini adalah Allah SWT, kemudian Dia memberikan rezeki seperti oksigen untuk kita bernafas, dan pelbagai rezeki yang ada, juga Allah SWT mematikan dan menghidupkan pada hari akhirat, maka kita kena ada ‘mindset’ rezeki yang kita dapat adakah kita lulus? 
  3. Kita kena fikirkan rezeki kita dapat dari mana, guna untuk apa, adakah ianya boleh menjadi bekalan apabila kita sampai ke akhirat sana. 
  4. Cara berfikir begini jika ia melatari sesebuah keluarga, negeri dan negara, tidak ada orang yang berani rasuah, scam dan lain-lain penipuan.
  5. Semoga kita tidak jadi orang yang melakukan amalan syirik dengan meletakkan hawa nafsu sebagai cara berfikir dalam menguruskan harta dan kuasa yang ada.

Ayat 30:41

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Pengajaran

  1. Kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut timbul dengan sebab tangan manusia. Contoh: meluluskan pembangunan di tempat yang tidak selamat.
  2. Segala bencana, cabaran sosial, cabaran ekonomi yang berlaku adalah kerana Allah SWT  hendak kita insaf dan bertaubat, fikir balik supaya kembali kepada al-Quran.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Terus mensyukuri rahmat Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya (30:33)
  2. Berhati-hati dengan kesenangan yang ada - agar ia tidak menjauhkan kita daripada Allah SWT (30:34)
  3. Jauhi riba, tunaikan zakat (30:39)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya berhati-hati dengan kesenangan yang ada agar tidak jauh daripada Allah SWT.

Saya jelas saya mesti terus mensyukuri rahmat Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya. Saya jelas saya mesti berhati-hati dengan kesenangan yang ada - agar ia tidak menjauhkan saya daripada Allah SWT. Saya jelas saya mesti jauhi riba, saya mesti tunaikan zakat.

Ya Allah, bimbing kami untuk terus mensyukuri rahmatMu dan tidak mensyirikkan-Mu. Ya Allah pimpin kami untuk berhati-hati dengan kesenangan yang ada - agar ia tidak menjauhkan kami daripada Allah SWT. Ya Allah, jauhkan kami dari riba, bantu kami untuk tunaikan zakat.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...