Sunday, October 1, 2023

Halaman 415 : Al-Sajdah, 32:1-11

PERKATAAN HARI 

عَرَجَ Naik, mendaki. 9 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Pengukuhan kenabian dan kerasulan (32-1-3)
  2. Bukti ketauhidan dan kuasa Allah SWT (32:4-9)
  3. Pengukuhan Ba'ts [hari dibangkitkan] dan keadaan orang kafir pada hari kiamat (32:10-11)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 415, surah al-Sajdah. Surah ini, Nabi SAW membacanya dalam solat Subuh pada hari Jumaat dengan surah al-Insan. 

Pada hujung surah Luqman, Allah SWT ingatkan kita bahawa Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Teliti dengan segala yang berlaku dalam hidup kita.

Ayat 32:1

الٓمٓ

Alif, Laam Miim.

Pengajaran

  1. Allah SWT sahaja yang tahu, kita tidak tahu makna Alif Lam Mim.
  2. Kalau kita membawa sikap merendah diri apabila memulakan surah ini maka bersedia untuk kita diberikan hikmah demi hikmah, ilmu demi ilmu, khabar demi khabar daripada Allah SWT. Sumbernya ialah daripada al-Quran.

Ayat 32:2

تَنزِيلُ ٱلْكِتَٰبِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِن رَّبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Pengajaran

  1. Al-Quran turun sedikit demi sedikit. Dengan kita tilawah al-Quran, ia juga memberi kesan kepada hati sedikit demi sedikit. Bacalah ia selalu walaupun kita tidak lancar.
  2. Kitab ini tidak diragui kerana ia diturunkan oleh Tuhan yang sama yang menciptakan alam ini untuk memberikan yang terbaik kepada kita.

Ayat 32:3

أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ بَلْ هُوَ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوْمًا مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.

Pengajaran

  1. Cabarannya, orang-orang kafir mengatakan Nabi Muhammad SAW mengada-adakan al-Quran. 
  2. Ia adalah kitab yang ada kebenaran. Ia juga ada al-Haq bermakna al-Quran sebagai  tujuan hidup. Kita perlu memastikan hidup kita mencapai standard yang Allah SWT atur dengan panduan al-Quran. 
  3. Surah ini turun di Mekah. Kawasan Mekah sudah lama tidak diutuskan nabi. Bersama rasul ada risalah yang diberikan untuk memberi amaran agar mereka sentiasa diberikan petunjuk oleh Allah SWT.
  4. Petunjuk amat penting agar kita jadi hebat dengan mendapat manfaat daripada al-Quran. Alam yang cantik ini mengikut petunjuk dan mematuhi peraturan Allah SWT, maka kita juga kena mengikut peraturan-peraturan Allah SWT dengan panduan hidayah daripada al-Quran.

Ayat 32:4

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ مَا لَكُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ وَلَا شَفِيعٍ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?

Pengajaran

  1. Surah al-Sajdah turun ketika Nabi SAW dan para sahabat di Mekah menghadapi berbagai ujian. Zaman ini kalau kita ada stres dalam pengurusan keluarga atau kerja, ambil panduan daripada ayat ini.
  2. Allah SWT mengingatkan kita Dia yang menciptakan bumi dalam enam masa. Allah SWT ajarkan kita bahawa dalam hidup ini ada masa yang perlu kita hargai dan nikmati. Kita perlu ada perancangan, perlu ada garis masa bertahap-tahap. 
  3. Bila Allah SWT bersemayam, tiada ada siapa pun selain daripada Allah yang dapat memberi pelindung dan memberi manfaat.
  4. Kita kena faham perkara ini. Bila kita rasa stres, kita tengok alam ini mudah sahaja Allah SWT jadikan, maka mudah sahaja Allah SWT hendak selesaikan masalah kita. Allah SWT amat berkusa, Allah SWT menguasai segala kerajaan ini. 
  5. Kalau rasa stres tidak ada orang hendak berkawan dengan kita, Allah SWT ingatkan bahawa Dia lah wali, kawan yang akan mendengar keluhan daripada hati kita. Hanya Allah SWT yang boleh menolong dan Allah al-Syafi’ yang akan rekomen kita kepada malaikat untuk mendapat bantuan. Kalau kita tidak dijaga oleh malaikat, kita akan terbiar begitu sahaja menguruskan stres dan masalah sendiri. Cabarannya ramai orang terlupa.
  6. Bila ditimpa ujian, ingatlah Allah SWT kan ada? Bila sakit, bersabar, berusaha dan tawakal kepada Allah SWT.
  7. Nikmatilah ujian dari Allah SWT. Allah SWT yang mencipta langit dan bumi. Allah SWT sentiasa memerhati. Setiap saat dalam hidup kita ini adalah ujian. Allah SWT sudah tawarkan untuk menjadi wali dan pelindung kita, untuk memberi semangat kepada kita dalam menghadapi berbagai cabaran dalam hidup ini. Allah SWT sentiasa memerhati dan membantu kita. Allah SWT boleh selesaikan masalah kita ‘anytime’ kerana Allah Maha Berkuasa.

Ayat 32:5

يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ إِلَى ٱلْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِى يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُۥٓ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

Pengajaran

  1. Yang mentadbir alam ini termasuk diri kita adalah Allah SWT. Kita kena ikut sahaja formula daripada Allah SWT.  
  2. Laporan apa yang kita buat akan dihantar oleh malaikat kepada Allah SWT. 
  3. Satu hari di sisi Allah SWT adalah 1000 tahun di sisi kita. 
  4. Segala peraturan yang ada di bumi ditadbir oleh Allah SWT.

Ayat 32:6

ذَٰلِكَ عَٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;

Pengajaran

  1. Allah SWT mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata.
  2. Kalau kita ikut peraturan yang Allah SWT tetapkan, insya Allah kita akan sampai ke syurga. 
  3. Segala urusan adalah dari langit. Kita tidak nampak yang ghaib. Roh naik bertemu Allah SWT di malam hari, kita tidak nampak. Semuanya di bawah kuasa dan kasih sayang Allah SWT.
  4. Allah al-Aziz boleh buat apa sahaja. Malaikat hendak sampai ke bumi tidak payah pakai masa. Alam syahadah, tidak seperti alam ghaib, memakan masa. Mudah bagi Allah SWT untuk tolong kita kerana Allah Maha Berkuasa. 
  5. Allah Yang Maha Penyayang memberi kita peluang untuk melalui proses-proses memperbaiki diri.

Ayat 32:7

ٱلَّذِىٓ أَحْسَنَ كُلَّ شَىْءٍ خَلَقَهُۥ وَبَدَأَ خَلْقَ ٱلْإِنسَٰنِ مِن طِينٍ

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;

Pengajaran

  1. Semua telah disusun oleh Allah SWT. Syurga, neraka kita tidak nampak.
  2. Pasangan kepada ghaib ialah as-syahadah. 
  3. Manusia dijadikan dari sari pati tanah.

Ayat 32:8

ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُۥ مِن سُلَٰلَةٍ مِّن مَّآءٍ مَّهِينٍ

Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;

Pengajaran

  1. Kemudian Allah SWT jadikan keturunan manusia dari air yang hina.

Ayat 32:9

ثُمَّ سَوَّىٰهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِۦ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ

Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Pengajaran

  1. Allah SWT sempurnakan pada hari ke 120 dengan ditiup roh kepada bayi dalam rahim.  Roh adalah milik Allah SWT. Jangan isi roh kita dengan perkara-perkara tidak baik kerana ia kurang adab namanya kerana roh ini adalah pinjaman daripada Allah SWT. Roh ini kita kena jaga elok-elok. 
  2. ‘Al-Amr’ sesuatu yang tidak nampak. ‘Al-Syahadah’ apa yang kita nampak. 
  3. Allah SWT kurniakan kepada kita telinga, mata dan hati. Telinga bila diberi roh, kita dapat mendengar. Dengan adanya roh, mata kita boleh melihat, menghargai anugerah Allah SWT. Telinga, mata dan hati hendaklah digunakan untuk makin dekat dengan Allah SWT.
  4. Namun hanya sedikit manusia yang bersyukur. Ramai tidak guna telinga, mata, hati dengan baik. 
  5. Al-Quran tidak boleh ditukar kerana ia dari alam al-Amr di Luh Mahfuz. 
  6. Jika kita dapat bersyukur, kita adalah orang yang dipuji.

Ayat 32:10

وَقَالُوٓا۟ أَءِذَا ضَلَلْنَا فِى ٱلْأَرْضِ أَءِنَّا لَفِى خَلْقٍ جَدِيدٍۭ بَلْ هُم بِلِقَآءِ رَبِّهِمْ كَٰفِرُونَ

Dan mereka (yang kafir) itu berkata: "Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian?" (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.

Pengajaran

  1. Allah SWT cipta kita dengan elok ini adalah untuk kembali kepada Allah membawa yang terbaik.
  2. Mereka yang kufur menafikan pertemuan dengan Allah SWT. Kita mahu kembali kepada Allah SWT dengan ‘qalbu salim’.

Ayat 32:11

قُلْ يَتَوَفَّىٰكُم مَّلَكُ ٱلْمَوْتِ ٱلَّذِى وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".

Pengajaran

  1. Semua kita akan kembali kepada Allah SWT.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Yakin bahawa al-Quran adalah kebenaran dan menjadi tujuan kehidupan untuk diamalkan (32:3)
  2. Sentiasa mohon dan tunduk kepada Allah SWT yang menolong dan memberi syafaat pada setiap masa (32:4)
  3. Hargai telinga dan mata untuk menjaga hati dan perasaan dengan perkara kebaikan (32:9)
Saya berasa lega, Allah SWT kurniakan nikmat al-Quran yang menjadi tujuan kehidupan.

Saya jelas saya mesti yakin bahawa al-Quran adalah kebenaran dan menjadi tujuan kehidupan untuk diamalkan. Saya jelas untuk sentiasa mohon dan tunduk kepada Allah SWT yang menolong dan memberi syafaat pada setiap masa. Saya jelas saya mesti hargai telinga dan mata untuk menjaga hati dan perasaan dengan perkara kebaikan.

Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa al-Quran adalah kebenaran dan menjadi tujuan kehidupan untuk diamalkan. Ya Allah, jadikan kami orang yang tunduk kepadaMu, bantulah kami untuk membuat amal soleh, kuniakan kami syafaat pada setiap masa. Ya Allah, bimbing kami untuk hargai telinga dan mata untuk menjaga hati dan perasaan dengan perkara kebaikan.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...