Sunday, October 1, 2023

Halaman 416 : Al-Sajdah, 32:12-20

PERKATAAN HARI 

ملا Memenuhi. 40 kali disebut di dalam al-Quran.

SINOPSIS   

  1. Tunduk di sisi Allah SWT (32:12-14)
  2. Sifat orang mukmin di dunia dan balasan bagi mereka di sisi Allah SWT di akhirat (32:15-17)
  3. Ganjaran untuk orang mukmin dan balasan untuk orang fasik (32:18-20)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 416, surah al-Sajdah. 

Rasulullah SAW baca surah al-Sajdah setiap malam. Baginda SAW tidak akan tidur sebelum membaca surah al-Sajdah dan surah al-Mulk.

Bila mendengar ayat yang melibatkan sajdah, Rasulullah SAW lantas sujud dan para sahabat juga sujud. Zaid b Thabit menyatakan bahawa  baginda SAW pernah juga tidak sujud.  Maka ada pendapat yang menyatakan boleh sujud dan tidak sujud. Yang paling popular ialah untuk sujud dan ia adalah sunat muakkad. 

Cara sujudnya, sama ada boleh takbir dahulu seperti yang dikatakan oleh Imam Nawawi atau tidak perlu takbir, terus sujud juga boleh seperti sesetengah pendapat.

Pada halaman lepas Allah SWT mengingatkan kita bahawa Allah SWT telah menciptakan alam ini dengan sebaik-baik ciptaan. Akhirnya, kita akan kembali kepadaNya.

Ayat 32:12

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا۟ رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَٱرْجِعْنَا نَعْمَلْ صَٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".

Pengajaran

  1. Di akhirat nanti orang yang berdosa akan tertunduk malu. Bila sudah bertemu Allah SWT baru mereka yakin dengan apa yang Allah SWT telah perintahkan dan balasan dari Allah SWT. Mereka memohon untuk kembali ke dunia.
  2. Ciri-ciri Mujrimun (Rujuk surah al-Muddathir):
    • Golongan yang tidak mendirikan solat. Saidina Bilal menceritakan dalam satu permusafiran yang panjang, mereka kepenatan dan tertidur dan tersedar hanya bila matahari sudah naik. Maka mereka terus bersolat. Bermakna, jika dalam keadaan tertidur, bila bangun kita boleh terus solat subuh. Jangan kita tinggalkan solat.
    • Tidak memberi makan kepada anak yatim.
    • Mereka leka dan mengejek-ngejek agama.
    • Mereka mendustakan hari akhirat.
    • Mereka tidak mahu berinfak.
  3. Ada golongan anak muda atheis yang tidak percaya Tuhan kerana menurut mereka,  tidak ada bukti saintifik untuk membuktikan wujudnya tuhan. Mereka ini adalah golongan yang rugi kerana mendustakan hari akhirat.
  4. Jangan pula kita menyesal di akhirat nanti. Rasullullah SAW pernah menyebut bahawa ada ahli syurga yang akan menyesal kerana mereka melihat buku amalan mereka, dan ada saat-saat mereka tidak berzikir kepada Allah SWT. Zikir adalah amalan yang paling mudah tetapi kita yang tidak mahu buat.

Ayat 32:13

وَلَوْ شِئْنَا لَءَاتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَىٰهَا وَلَٰكِنْ حَقَّ ٱلْقَوْلُ مِنِّى لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: `Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)".

Pengajaran

  1. Allah SWT memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang Allah SWT beri hidayah. 
  2. Amalkan doa Rasullullah SAW ini "Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah kami hidayah, ketakwaan, kesucian dan kekayaan jiwa." Sentiasalah kita berdoa untuk diri kita, untuk ahli keluarga kita.

Ayat 32:14

فَذُوقُوا۟ بِمَا نَسِيتُمْ لِقَآءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَآ إِنَّا نَسِينَٰكُمْ وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْخُلْدِ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

(Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".

Pengajaran

  1. Orang-orang yang berdosa akan diazab dengan azab yang kekal.
  2. Rasulullah SAW baca surah ini setiap malam untuk mengingatkan tentang kebangkitan pada hari kiamat dan balasan kepada orang-orang yang beriman serta balasan kepada orang-orang yang berdosa.

Ayat 32:15

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِـَٔايَٰتِنَا ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا۟ بِهَا خَرُّوا۟ سُجَّدًا وَسَبَّحُوا۟ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ ۩

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

Pengajaran

  1. Orang-orang yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Allah SWT akan sujud apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu.
  2. Mereka bertasbih serta memuji Tuhan, dan mereka tidak bersikap sombong takbur.
 

Ayat 32:16

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ ٱلْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Pengajaran

  1. Sifat orang beriman, mereka merenggangkan lambungan/badan (جُنُوبُهُمْ تَتَجَافَىٰ) dari tempat tidur. Mereka suka bangun solat malam, sentiasa berdoa kepada Tuhan dengan perasaan takut dan harap untuk mendapat keredaanNya. 
  2. Allah SWT berbangga dengan orang-orang yang bangun solat malam. Ini yang kita mahukan supaya Allah SWT redha dengan kita.
  3. Abu Hurairah suka bangun solat malam dan dia mengejut ahli keluarganya untuk bangun solat malam. Orang beriman bukan sahaja bangun untuk dirinya, bahkan dia mengejut ahli keluarganya untuk sama-sama dekat kepada Allah SWT.
  4. Abdullah bin Umar ialah seorang yang Rasullullah SAW puji sebagai ‘rajulun soleh’. Dia pernah tertidur dan bermimpi ia disentap ke neraka. Lalu dia mengadu kepada kakaknya Saidatina Habsah. Bila ditanya kepada Rasullullah SAW, baginda berkata, Abdullah bin Umar adalah lelaki yang soleh kerana dia bangun qiamullail. Sejak itu, Abdullah bin Umar tidak pernah tinggal qiamullail. 
  5. Qiamullail membina jiwa. Semoga kita menjadi orang yang istiqamah bangun solat malam.
  6. Orang yang beriman juga suka infakkan rezeki mereka ke jalan Allah SWT. Kesan infak sangat besar. Kesan tinggalan yang baik akan kekal selepas kita meninggal dunia. Beri apa sahaja, kerana yang kekal adalah amal soleh.

Ayat 32:17

فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّآ أُخْفِىَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Pengajaran

  1. Ini adalah tentang ganjaran kepada orang-orang yang beramal soleh. 
  2. Nikmat syurga yang Allah SWT beri, adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah dirasa oleh hati. Kita tidak dapat bayangkan keadaan syurga yang sebenarnya. 

Ayat 32:18

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا لَّا يَسْتَوُۥنَ

(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).

Pengajaran

  1. Orang yang fasik, tidak sama dengan orang yang beriman dalam menerima balasan di akhirat nanti.

Ayat 32:19

أَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ فَلَهُمْ جَنَّٰتُ ٱلْمَأْوَىٰ نُزُلًۢا بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

Pengajaran

  1. Orang beriman dan beramal soleh, dimasukkan ke dalam syurga sebagai balasan kebaikan mereka. 

Ayat 32:20

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُوا۟ فَمَأْوَىٰهُمُ ٱلنَّارُ كُلَّمَآ أَرَادُوٓا۟ أَن يَخْرُجُوا۟ مِنْهَآ أُعِيدُوا۟ فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ

Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: "Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu".

Pengajaran

  1. Ayat ini menggetarkan jiwa. Mereka yang masuk ke neraka, hendak cuba keluar tetapi  malaikat mencampakkan mereka semula ke dalam neraka.
  2. Mereka juga ditemplak kerana sentiasa mendustakan azab neraka semasa di dunia. 
  3. Semoga dengan membaca surah ini setiap malam, kita sentiasa ingat untuk melakukan amal soleh dan berusaha menjauhkan diri daripada perbuatan orang-orang yang berdosa.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Bina rasa takut di dunia agar tidak menerima balasan yang ngeri di akhirat nanti (32:12)
  2. Sentiasa buat pilihan untuk dipilih mendapat hidayah (32:13)
  3. Jangan lalaikan Allah SWT dalam kehidupan di dunia agar tidak dilalaikan Allah SWT di akhirat nanti (32:14)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya bina rasa takut di dunia agar tidak menerima balasan yang ngeri di akhirat nanti.

Saya jelas saya mesti bina rasa takut di dunia agar tidak menerima balasan yang ngeri di akhirat nanti. Saya jelas saya mesti sentiasa buat pilihan untuk dipilih mendapat hidayah. Saya jelas untuk jangan lalaikan Allah SWT dalam kehidupan di dunia agar tidak dilalaikan Allah SWT di akhirat nanti.

Ya Allah, pimpin kami untuk rasa takut di dunia agar tidak menerima balasan yang ngeri di akhirat nanti. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa buat pilihan untuk dipilih mendapat hidayah. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami lalai dalam kehidupan di dunia agar tidak dilalaikan Allah SWT di akhirat nanti. Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami hidayah, ketakwaan, kesucian dan kekayaan jiwa.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...