PERKATAAN HARI
وَلَجَ Masuk, melepasi. 14 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Bukti keluasan ilmu Allah SWT dan seruan berdoa kepada-Nya (31:29-32)
- Perintah bertakwa kepada Allah SWT dan penjelasan tentang kunci-kunci ghaib (31:33-34)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 414. Kita berada pada halaman akhir Surah Luqman, yang akan memberi kesimpulan kepada surah ini. Ia adalah pendidikan penting yang perlu difahami oleh ibu ayah, pemimpin-pemimpin yang ingin memastikan setiap unit rumah dalam negeri, negara ini berteraskan kepada panduan wahyu agar dapat membina generasi yang mantap akidahnya, membuat kebaikan di mana jua.
Pada ayat 20, disebut ‘أَلَمْ تَرَوْا’ iaitu Allah SWT menyuruh kita memerhatikan beramai-ramai segala nikmat yang perlu kita syukuri. Allah SWT tundukkan langit dan bumi, betapa nikmat ini zahir batinnya semuanya Allah SWT beri. Tetapi ada manusia yang tidak bersyukur tanpa ilmu, tanpa hidayah, tanpa kitab yang mencerahkan.
Ayat 31:29
أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُولِجُ ٱلَّيْلَ فِى ٱلنَّهَارِ وَيُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِى ٱلَّيْلِ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَأَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Pengajaran
- Pada ayat ini Allah SWT gunakan perkataan تَرَ أَلَمْmerujuk kepada seorang/individu. Allah ulang lagi, untuk ingatkan kita supaya lihat tanda-tanda kebesaranNya di maya pada ini secara individu kerana setiap orang itu unik dan perlu memahami tentang ayat ini.
- Allah SWT menyelinapkan (يُولِجُ) malam ke dalam siang dan menyelinapkan siang ke dalam malam. Allah SWT lakukannya dengan penuh teliti. Allah SWT juga amat teliti melihat apa yang kita buat pada setiap masa.
- Allah SWT suruh kita perhatikan secara individu, bila Allah SWT sudah jadikan malam dan siang, siang dan malam, itu tandanya Allah SWT beri lagi kita peluang untuk kembali kepada Allah SWT. Kalau ada kesilapan betulkan, kalau ada tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat yang belum ditunaikan, maka lakukan segera.
- Itu tandanya Allah SWT sedang pinjamkan masa kepada kita. Masa itu berbeza di antara setiap individu. Setiap kali kita tengok matahari, Allah SWT ingatkan supaya kita gunakan masa yang masih ada untuk kembali kepada Allah SWT, tunaikan tanggungjawab terutama kepada keluarga sebagaimana yang dikatakan oleh Luqman kepada anaknya.
- Allah SWT tundukkan matahari untuk manfaat kita seperti proses fotosintesis, cahaya dengan vitamin D dan sebagainya. Tetapi, manfaat spiritual daripada matahari itu adalah ketentuan untuk kita solat. Kita kena perhatikan solat kita macam mana hari ini. Allah SWT sudah jaga elok-elok matahari, adakah kita jaga elok-elok untuk dekat dengan Allah SWT, iaitu solat 'on time'.
- Dengan melihat bulan, itu mengingatkan kita tentang kalendar ‘qamariah’ sebagai lambang tentang peraturan tentang rukun-rukun Islam yang ada iaitu puasa, haji, bayar zakat, dan peredaran haid wanita.
- Peranan bulan, selain daripada penting dalam proses graviti dan proses air pasang surut untuk kehidupan di laut, adalah juga sebagai peringatan kepada kita agar janganlah lalai untuk tunduk kepada Allah SWT sebagaimana bulan tunduk kepada peraturan Allah SWT.
- Ini adalah unik bagi setiap individu. Kalau bulan sudah tunduk kepada Allah SWT, tetapi kita tidak mahu tunduk kepada pencipta bulan, itu tandanya kita amat sombong.
- Moga-moga kita berjaga-jaga terutama bila sudah tidak ada matahari dan bulan, habis peluang untuk kita tunduk kepada Allah SWT. Pada waktu itu keputusan apakah yang baik dan yang buruk akan ditentukan.
- Bagaimana matahari dan bulan masuk secara menyelinap memberi banyak nikmat kepada kita. Dalam hidup kita pun ada waktu gelap, tetapi Allah SWT bawa sikit-sikit menuju cahaya. Untuk memastikan kita terus berjalan, sudah pastinya kita kena merujuk kepada panduan sabar dan syukur dalam ayat-ayat berikutnya.
Ayat 31:30
ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُونَ مِن دُونِهِ ٱلْبَٰطِلُ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْكَبِيرُ
Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
Pengajaran
- Ada yang menyembah matahari dan bulan, bukan kepada pencipta matahari dan bulan.
- Allah SWT tidak terkesan pun sama ada kita puji Dia atau pun tidak kerana Allah SWT memang sudah yang tertinggi dan terpuji.
Ayat 31:31
أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱلْفُلْكَ تَجْرِى فِى ٱلْبَحْرِ بِنِعْمَتِ ٱللَّهِ لِيُرِيَكُم مِّنْ ءَايَٰتِهِۦٓ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ
Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.
Pengajaran
- أَلَمْ تَرَ disebut sekali lagi untuk kita perhatikan betul-betul bagaimana kapal besar belayar di lautan. Kalau matahari/bulan tidak ada tali untuk pastikan mereka tidak jatuh atau terpelanting. Begitu juga dengan kapal yang tidak ada tali pun dari atas untuk pastikan ia berada di atas air dengan stabil. Itu adalah nikmat daripada Allah SWT. Formula fizik ini Allah SWT yang buat. Kita hanya belajar dan aplikasi. Allah SWT bagi nikmat kepada orang-orang yang sangat-sangat sabar dan bersyukur dalam menguruskan kehidupannya.
- Sabar dan syukur memang tarbiyah yang perlu dibina dalam diri seorang anak dalam sebuah rumah tangga. Inilah yang akan keluar dalam masyarakat, menjadi orang yang sabar kalau ada ujian dan syukur ketika mendapat sesuatu.
Ayat 31:32
وَإِذَا غَشِيَهُم مَّوْجٌ كَٱلظُّلَلِ دَعَوُا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ فَلَمَّا نَجَّىٰهُمْ إِلَى ٱلْبَرِّ فَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمَا يَجْحَدُ بِـَٔايَٰتِنَآ إِلَّا كُلُّ خَتَّارٍ كَفُورٍ
Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.
Pengajaran
- Bila diuji, manusia berdoa betul-betul kepada Allah SWT. Tetapi bila telah diselamatkan, mereka kembali kepada cara hidup lama, bukan semakin dekat kepada Allah SWT.
- Dalam hidup kita ada macam-macam peristiwa yang berlaku untuk menguji kesabaran kita. Ada manusia yang خَتَّارٍ. Maksudnya, pengkhianat atau penipu. Bila selamat dia tipu Allah SWT. Sepatutnya dia bersabar dengan ujian yang ada, dan dengan peristiwa Allah SWT selamatkan itu dia makin dekat dengan Allah SWT. Perkataan ini sekali sahaja disebut dalam al-Quran.
- Allah SWT ingatkan kita jangan tipu Allah SWT. Tanda tipu Allah SWT, kita tidak makin dekat dengan Allah SWT bila diselamatkan dengan ujian-ujian. Ujian setiap orang adalah spesifik.
- Jangan bertangguh lagi, sekaranglah masa untuk membuat perubahan kembali kepada Allah SWT.
Ayat 31:33
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ وَٱخْشَوْا۟ يَوْمًا لَّا يَجْزِى وَالِدٌ عَن وَلَدِهِۦ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِۦ شَيْـًٔا إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلْغَرُورُ
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
Pengajaran
- Allah SWT menyeru kepada seluruh manusia. Di akhirat, ayah yang hendak menolong anak, sudah tidak boleh. Masing-masing mementingkan diri sendiri pada hari ‘as-Saah’, iaitu hari bertemu Allah SWT.
- Orang yang tipu Allah SWT, bila susah merayu-rayu, bila habis susah dia kembali balik kepada hidup biasanya. Ini digelar orang yang tidak sabar. Dia hendak mendapat ‘immediate gratification’, tidak sabar, hendak senang cepat.
- Kalau kita ikut nasihat Luqman (halaman 412) kepada anaknya iaitu solat, menolong orang, berbuat baik kepada ibu-bapa, Allah SWT akan berikan ganjaran yang baik.
- Kalau hendak tolong anak, emak, ayah, hendaklah kita buat sekarang. Tengok balik senarai semak pada halaman 412.
- Janji Allah SWT itu adalah amat benar. Manusia bertangguh dan kembali kepada perangai lama kerana dia tertipu dengan kehidupan dunia. Allah SWT pesan jangan terpedaya dengan ‘al-Gharur’ iaitu syaitan yang tidak pernah renggang daripada kita untuk menipu keluarga kita.
- Seperti yang disebut di awal surah Luqman, antara penipuan yang paling kerap digunakan oleh syaitan adalah hiburan-hiburan yang melalaikan, yang tidak membawa dekat kepada Allah SWT. Contoh: Menonton sinetron beratus episod. Jika ayah pun sama tengok sampai lambat solat, seolah-olah memberi mesej kepada anak, di akhirat nanti pandai-pandailah.
- Jangan sampai kita ini tertipu dengan perkara dunia. Cabaran zaman sekarang anak-anak dan kita juga mungkin menengok gajet sampai melangkau daripada segala apa yang perlu dibuat.
- Dalam surah Luqman ini tidak ada cerita tentang anaknya. Allah SWT hanya ‘highlight’ peranan ibu ayah dalam mendidik anak. Kita kena pastikan, jangan sampai hiburan melalaikan anak-anak sehingga apa yang dinasihatkan oleh Luqman terganggu. Jangan sampai anak 'scam' Tuhan sebab ayah pun 'scam' Tuhan. Contohnya: Bila susah mengadu pada Allah SWT, bila senang tengok ‘movie’ sampai beratus-ratus episod.
- Semoga Allah SWT tolong kita istiqamah membuat kebaikan.
Ayat 31:34
إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥ عِلْمُ ٱلسَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ ٱلْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِى ٱلْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِى نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِى نَفْسٌۢ بِأَىِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۢ
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
Pengajaran
- ‘As-Saah’ ialah satu detik. Allah SWT tahu detik berlakunya hari kiamat. Pada saat itu ayah tidak boleh tolong anak, anak tidak boleh tolong ayah. Harta banyak macam mana pun, pada hari itu kita tidak mampu menolong antara satu sama lain kecuali kita sudah tolong di atas muka bumi. Jangan bertangguh! ‘As-Saah’ boleh jadi saat kematian kita, yang juga kita tidak tahu.
- Allah SWT menurunkan hujan untuk menghidupkan sesuatu yang mati seperti menghidupkan tumbuhan-tumbuhan. Hanya Allah Yang Mengetahui hujan banjir atau hujan untuk suburkan pokok.
- Allah SWT tahu apa yang ada di dalam rahim seorang ibu.
- Apa yang kita akan buat esok, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
- Kita akan mati di bumi mana pun, hanya Allah SWT yang tahu.
- Buat perubahan kepada kebaikan dalam keluarga sekarang kerana masa tidak panjang! Inilah masanya untuk kita mengambil tindakan untuk menguatkan keluarga kita.
RESOLUSI
Ingat!
- Teliti dalam berbuat kerja (31: 29)
- Sentiasa semak tujuan berbuat sesuatu iaitu niat hanya kerana Allah SWT sahaja (31:30)
- Tetap istiqamah sama ada ketika senang atau susah (31:32)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya istiqamah sama ada ketika senang atau susah.
Saya jelas untuk teliti dalam berbuat kerja. Saya jelas untuk sentiasa semak tujuan berbuat sesuatu iaitu niat hanya kerana Allah SWT sahaja. Saya jelas untuk tetap istiqamah sama ada ketika senang atau susah.
Ya Allah, bimbing kami supaya teliti dalam berbuat kerja. Ya Allah, ingatkan kami untuk sentiasa semak tujuan berbuat sesuatu iaitu niat hanya kerana Allah SWT sahaja. Ya Allah, pimpin kami untuk tetap istiqamah sama ada ketika senang atau susah.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.