Sunday, October 1, 2023

Halaman 417 : Al-Sajdah, 32:21-30

PERKATAAN HARI 

دَنَا / دَنَوَ Mendekati, merendah. 133 kali disebut di dalam al-Quran.

SINOPSIS   

  1. Fasik dan zalim dirasakan azab di dunia sebelum azab akhirat (32:21-22)
  2. Hubungan antara dua risalah, penurunan Kitab Taurat kepada Nabi Musa A.S dan sikap orang Yahudi terhadapnya (32:23-25)
  3. Penegasan kembali tentang tauhid, kuasa Allah SWT dan Hasyr (32:26-30)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman akhir surah al-Sajdah. Surah ini mengingatkan tentang perjuangan Nabi SAW yang membawa kepada kemenangan dengan formula bersujud dan menyerah diri kepada Allah SWT.

Ayat 32:21

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ ٱلْعَذَابِ ٱلْأَدْنَىٰ دُونَ ٱلْعَذَابِ ٱلْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Pengajaran

  1. Pada ayat 20 Allah SWT menggunakan istilah fasik. Istilah fasik ini amat keras sebenarnya. Kafir bermakna tidak percaya, tetapi fasik bermakna tidak percaya dan menentang Allah SWT. Mereka derhaka kepada Allah SWT. Orang fasik tempatnya di neraka. 
  2. Mereka akan ditimpakan azab di dunia lagi sebelum sampai kepada azab lebih teruk di akhirat. 
  3. Ini adalah ancaman kepada orang-orang Quraisy yang menentang kepada Nabi Muhammad SAW dan menentang al-Quran. Mesej ini adalah untuk kita juga di zaman ini.
  4. Tidak percaya itu namanya kafir. Bila menentang agama/orang Islam, menyeksa orang Islam, itu fasik. Allah SWT memberi amaran bahawa di dunia lagi Allah boleh memberi azab yang lebih kecil berbanding azab di akhirat kerana Allah SWT hendak kita kembali bertaubat kepada Allah SWT. 
  5. Apabila kita melihat perkara ini, kita ambil pelajaran. Dalam hidup kita ini bila ada sedikit kepayahan, ujian yang diberikan, itu bukan azab tetapi ia adalah untuk kita kembali beristighfar kepada Allah SWT. Tengok balik apa yang kita telah buat selama ini. Solat, al-Quran bagaimana? Amalan apa yang tertinggal? Kita akan cuba semak kembali untuk persediaan kita bertemu Allah SWT. 
  6. Ujian bukan sekadar ujian tetapi untuk kita sedar dan kembali kepadaNya. Sentiasa bermuhasabah diri.

Ayat 32:22

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِۦ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَآ إِنَّا مِنَ ٱلْمُجْرِمِينَ مُنتَقِمُونَ

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.

Pengajaran

  1. Orang yang lebih zalim ialah yang berpaling dari peringatan Allah SWT. Ini adalah mesej untuk orang musyrik Mekah dan juga untuk kita.  Orang-orang musyrik tidak mahu disusun oleh Allah SWT yang mencipta segalanya dan mereka menentang peraturan Allah SWT.
  2. Bila baca al-Quran kita dapat tazkirah. Kalau kita baca tetapi tidak ikut, kita berpaling daripada apa yang disampaikan, ini adalah satu perkara yang besar kerana Allah SWT gelar orang begini sebagai penjenayah/pendosa (ٱلْمُجْرِمِينَ). Allah SWT akan balas mereka dengan azab yang teruk kerana mereka dapat peringatan tetapi tidak terkesan. 
  3. Didoakan semoga hati kita menjadi lembut dengan al-Quran. Semoga mesej al-Quran menggegarkan jiwa kita sehinggakan kita mampu mengamalkan peringatan daripada al-Quran. 
  4. Allah SWT memujuk Nabi SAW supaya tidak bersedih dengan mereka yang berpaling. Ikut semangat Nabi Musa AS seperti ayat seterusnya.

Ayat 32:23

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَٰبَ فَلَا تَكُن فِى مِرْيَةٍ مِّن لِّقَآئِهِۦ وَجَعَلْنَٰهُ هُدًى لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.

Pengajaran

  1. Ayat ini turun di Mekah. Ini sebagai petanda bahawa Nabi SAW dan sahabat-sahabat akan pergi ke satu tempat yang ada banyak orang Yahudi iaitu Yathrib (nama barunya Madinah al-Munawwarah). 
  2. Allah SWT mengingatkan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Nabi Musa AS diberikan kitab Taurat namun Bani Israel berpaling. Taurat adalah petunjuk bagi Bani Israel untuk beriman kepada hari akhirat. 
  3. Kesan beriman kepada hari akhirat menyebabkan kita berfikir tentang setiap perbuatan kita kerana semuanya akan ditanya oleh Allah SWT. 

Ayat 32:24

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا۟ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

Pengajaran

  1. Allah SWT jadikan dari kalangan Bani Israel pemimpin yang membimbing mereka kepada hukum Allah SWT. 
  2. Pemimpin yang baik ialah yang memberi petunjuk kepada perintah/urusan Allah SWT. Mereka memberi pencerahan tentang urusan Allah SWT dengan panduan daripada al-Quran. 
  3. Hendaklah kita ambil masa untuk belajar dan mengajar al-Quran dengan penuh kesabaran sebagai tanda bahawa kita amat yakin dengan pertemuan dengan Allah SWT. 
  4. Apa sahaja yang kita hendak buat, semak apa al-Quran kata.

Ayat 32:25

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

Pengajaran

  1. Allah SWT akan menentukan siapa yang betul, berdasarkan kebenaran wahyu Allah SWT.
  2. Ini adalah pendidikan Allah SWT kepada kita bagaimana menjadi pemimpin yang makin sujud, makin merendah diri, makin hendak belajar dan mendidik panduan daripada al-Quran kepada keluarga dan ahli organisasi.

Ayat 32:26

أَوَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم مِّنَ ٱلْقُرُونِ يَمْشُونَ فِى مَسَٰكِنِهِمْ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ أَفَلَا يَسْمَعُونَ

Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

Pengajaran

  1. Bila kita pergi ke tempat-tempat sejarah, kita sudah tidak nampak orangnya. Kita cuma nampak batu-batu/binaan yang tinggal. Bagi orang yang telah mendengar sejarahnya, bila melihat batu-batu/binaan yang tinggal, dia akan menghargai perjuangan nabi-nabi terdahulu dan mengambil pengajaran dari sejarah tersebut. 
  2. Pendengaran lebih penting dari penglihatan kerana pendengaran adalah tempat masuk ilmu, tempat masuk hidayah daripada Allah SWT. Kalau tidak boleh mendengar, boleh guna bahasa isyarat untuk belajar.
  3. Ambillah masa untuk belajar, mendengar ilmu-ilmu hidayah daripada Allah SWT. Itulah peranan telinga yang perlu kita manfaatkan.

Ayat 32:27

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا نَسُوقُ ٱلْمَآءَ إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلْجُرُزِ فَنُخْرِجُ بِهِۦ زَرْعًا تَأْكُلُ مِنْهُ أَنْعَٰمُهُمْ وَأَنفُسُهُمْ أَفَلَا يُبْصِرُونَ

Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan supaya kita lihat hujan yang turun ke bumi lalu Allah SWT tumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang menjadi makanan binatang ternak dan makanan kita sendiri.
  2. Gunakan mata tengok langit, nampak awan dan hujan yang turun lalu menghidupkan tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber makanan. 
  3. Allah SWT suruh kita lihat dengan mata hati. Bila kita perhatikan betul-betul, daripada air jadi tumbuh-tumbuhan yang menjadi manfaat kepada binatang dan juga diri kita. 
  4. Ini juga membawa mesej bahawa wahyu yang turun daripada langit akan dapat menghidupkan hati yang kontang agar menjadi manfaat kepada makhluk lain di sekitarnya. Itulah kesan wahyu yang menggerakkan ekonomi di Mekah kerana promosinya dibuat oleh Allah SWT. 
  5. Kalau Allah SWT menjaga rezeki kita, kenapa masih hendak melawan kepada wahyu Allah SWT.

Ayat 32:28

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلْفَتْحُ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

Dan mereka bertanya: "Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?"

Pengajaran

  1. Mereka bertanya bila orang Islam hendak menang? Mereka mencabar Nabi SAW.

Ayat 32:29

قُلْ يَوْمَ ٱلْفَتْحِ لَا يَنفَعُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِيمَٰنُهُمْ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)".

Pengajaran

  1. Allah SWT ajarkan kepada Nabi SAW dan juga kepada kita bahawa hari kemenangan yang sebenar ialah di akhirat. 
  2. Pada hari akhirat, tidak berguna lagi kalau orang-orang kafir hendak beriman kerana semuanya telah terlambat. Mereka tidak diberi penangguhan lagi. Hendak percaya, percayalah sekarang. 
  3. Kejayaan kita bukan diukur di dunia ini. Di dunia ini kita diberikan sedikit demi sedikit. Kalau hendak diukur kejayaan dengan kekayaan, Firaun itu paling berjaya tetapi Allah SWT ingatkan bahawa itu bukan berjaya (fath).
  4. Penentuan kejayaan yang sebenar-benarnya ialah apabila sampai di akhirat. Di sini, Allah SWT hendak beri kita peluang supaya kembali kepada Allah SWT. 

Ayat 32:30

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَٱنتَظِرْ إِنَّهُم مُّنتَظِرُونَ

Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan tunggulah (kesudahan mereka), sesungguhnya mereka pun menunggu (kesudahanmu).

Pengajaran

  1. Kalau seruan kepada kebaikan yang kita sampaikan tidak dihiraukan, jangan stres. Sama-samalah menunggu. Kita akan lihat siapakah yang akan menang dan berjaya.
  2. Dengan membaca surah ini, kita akan rasa lebih bersemangat untuk menyampaikan al-Quran. Kita tidak akan melawan Allah SWT yang menjadikan tujuh petala langit dan bumi. 
  3. Ada masa kita perlu berpisah dengan orang yang menentang, iaitu apabila mereka menjadi fasik. Fasik ialah orang yang tidak percaya dan mereka menentang kebenaran. Untuk berpisah, cakap dalam diri kita ayat ini.
  4. Mesej penting kepada ibu ayah, kalau anak kita degil atau ada masanya tidak ikut cakap, jangan berpaling daripada mereka, jangan abaikan mereka, kerana itu hanya layak bagi orang yang fasik sahaja. Terus berikan peringatan. Kita ingin menjadi orang yang terus beri peringatan dengan sabar. 
  5. Bila baca surah ini doakan: "Ya Allah, aku ingin mendidik keluargaku dan masyarakat dengan al-Quran." 

RESOLUSI

Ingat!
  1. Ambil pelajaran azab kecil sebelum diazab di akhirat (32:21)
  2. Sabar dalam mencerahkan wahyu kepada masyarakat (32:24)
  3. Ambil pelajaran dari sejarah yang boleh dipelajari tentang kehancuran umat dahulu (32:26)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya ambil pelajaran azab kecil sebelum diazab di akhirat.

Saya jelas saya mesti ambil pelajaran azab kecil sebelum diazab di akhirat. Saya jelas saya mesti sabar dalam mencerahkan wahyu kepada masyarakat. Saya jelas untuk ambil pelajaran dari sejarah yang boleh dipelajari tentang kehancuran umat dahulu.

Ya Allah, bimbing kami untuk ambil pelajaran azab kecil sebelum diazab di akhirat. Ya Allah, bimbing kami untuk sabar dalam mencerahkan wahyu kepada masyarakat. Ya Allah, bimbing kami untuk ambil pelajaran dari sejarah yang boleh dipelajari tentang kehancuran umat dahulu.Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami hidayah, ketakwaan, kesucian dan kekayaan jiwa.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...