Thursday, October 5, 2023

Halaman 422 Al-Ahzab, 33:31-35

 

PERKATAAN HARI INI


خَضَعَ Tunduk, rendah diri, melembutkan. 

2 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS

    

  1. Keutamaan-keutamaan keluarga Nabi (33:31-34)
  2. Lelaki dan perempuan memiliki kedudukan, ganjaran pahala serta balasan akhirat      yang sama (33:35)









Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 422 surah al-Ahzab.

 

Pada halaman lepas Allah SWT menegur isteri-isteri Nabi SAW selepas Perang Bani Quraizah. Banyak harta ghanimah yang diperolehi dan di kalangan isteri Nabi SAW ada yang meminta nafkah lebih.

 

Jika isteri-isteri Nabi SAW melakukan kejahatan, mereka akan dikenakan azab 2 kali ganda.

 


Ayat 33:31

 

وَمَن يَقْنُتْ مِنكُنَّ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتَعْمَلْ صَٰلِحًا نُّؤْتِهَآ أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقًا كَرِيمًا

 

Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.

 

Pengajaran

  1. Dalam ayat ini Allah SWT akan memberi ganjaran 2 kali ganda bila isteri-isteri Nabi SAW beramal soleh. Menurut Sheikh Tantawi, orang yang tahu, tidak sama dengan orang yang tidak tahu, maka ancamannya bila ia melakukan, adalah lebih berat.
  2. Allah SWT sentiasa memberi bimbingan. Contoh: Tidak boleh minum arak, Allah SWT beri kita minuman lain. Tidak dibolehkan berzina, ada perkahwinan.

Ayat 33:32

 

يَٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

 

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)

 

Pengajaran

  1. Para isteri Nabi SAW bukan calang-calang wanita dan mereka tidak sama dengan wanita lain.
  2. Mereka dilarang melembutkan atau memanjakan suara kerana dibimbangi akan membangkitkan nafsu orang yang ada penyakit di dalam jiwanya. Pengajarannya juga untuk kita semua. Ajar anak-anak perempuan kita untuk bercakap dengan beradab.
  3. Suara wanita bukan aurat. Para isteri Nabi SAW banyak ilmu yang diambil daripada Rasulullah SAW terutamanya Saidatina Aishah yang paling banyak merawi hadis. Ilmunya dari Rasullullah SAW amat banyak kerana beliau duduk bersama Rasulullah SAW.
  4. Menurut Sheikh Zakaria Al-Ansari, wanita boleh bercakap dan bekerja asalkan tidak menimbulkan fitnah.

 

Ayat 33:33

 

وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ وَأَقِمْنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

 

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

 

Pengajaran

  1. Wanita pada zaman Rasulullah SAW juga bekerja. Saidatina Khadijah adalah usahawan. Isteri-isteri Nabi SAW juga mengajar. 
  2. Tetap di rumah itu bermaksud menjaga hak-hak di rumah.
  3. Wanita jangan berhias seperti tingkah laku jahiliah yang terdahulu.

 

Ayat 33:34

 

وَٱذْكُرْنَ مَا يُتْلَىٰ فِى بُيُوتِكُنَّ مِنْ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ وَٱلْحِكْمَةِ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا

 

Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuannya.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT juga mendidik para isteri Nabi SAW supaya berzikir mengingati ayat-ayat Allah SWT.
  2. Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuannya.
  3. Ayat 31-34 adalah tentang adab-adab untuk wanita.

 

Ayat 33:35

 

إِنَّ ٱلْمُسْلِمِينَ وَٱلْمُسْلِمَٰتِ وَٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ وَٱلْقَٰنِتِينَ وَٱلْقَٰنِتَٰتِ وَٱلصَّٰدِقِينَ وَٱلصَّٰدِقَٰتِ وَٱلصَّٰبِرِينَ وَٱلصَّٰبِرَٰتِ وَٱلْخَٰشِعِينَ وَٱلْخَٰشِعَٰتِ وَٱلْمُتَصَدِّقِينَ وَٱلْمُتَصَدِّقَٰتِ وَٱلصَّٰٓئِمِينَ وَٱلصَّٰٓئِمَٰتِ وَٱلْحَٰفِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَٱلْحَٰفِظَٰتِ وَٱلذَّٰكِرِينَ ٱللَّهَ كَثِيرًا وَٱلذَّٰكِرَٰتِ أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

 

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

 

Pengajaran

  1. Ayat ini ada kaitan dengan soalan Ummu Salamah kepada Rasulullah SAW. Kenapa asyik lelaki sahaja disebut dalam al-Quran. Dalam ayat ini Allah SWT sebut kedua-dua lelaki dan wanita.
  2. Menurut Imam Ibnu Kathir, pada awal masuk Islam dahulu, orang Islam masih tidak kuat iman. Orang yang beriman tidak akan melakukan kemungkaran, seperti berzina.
  3. Menetapkan iman bukan mudah. Ada kalanya kita rasa seronok membaca al-Quran, kadang-kadang kita rasa malas. Ini kerana iman itu turun naik.
  4. Allah SWT menyediakan keampunan dan pahala yang besar untuk orang lelaki dan perempuan yang:
    • Islam
    • beriman
    • taat
    • benar
    • sabar
    • merendah diri
    • bersedekah
    • berpuasa
    • memelihara kehormatan
    • menyebut nama Allah banyak-banyak
  5. Orang yang baik akan menjaga tutur katanya walaupun bergurau.
  6. Sabar ada macam-macam jenis:
    • Sabar dalam ketaatan. Contoh: Sabar mendirikan solat berjemaah.
    • Sabar dalam menjauhi maksiat.
    • Sabar terhadap ujian. Contoh: Sabar seperti Sumaiyah dan Mashitah. Ketika peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah SAW terbau bauan yang sangat wangi. Jibril menyatakan itulah haruman Mashitah tukang sikat anak Firaun yang  menyebut Allah SWT bila sikat tercampak.  Ditanya oleh anak Firaun, siapa Allah SWT dan dijawab Dia adalah Tuhan. Anak Firaun yang memang beranggapan ayahnya tuhan, terkejut. Anak Mashitah dicampakkan satu persatu ke dalam api, oleh Firaun. Betapa sabarnya Mashitah melihat anaknya dibakar. Sampai bila anak yang dikendongnya juga mahu dicampakkan, Mashitah menangis. Ditakdirkan, anak itu berkata-kata. Balasan di atas kesabaran Mashitah adalah syurga.
  7. Abu Thalhah menyumbang telaga yang amat disayanginya kepada Rasulullah SAW untuk manfaat orang Islam. Sampai sekarang, tersebut namanya. Masih ada kesan telaga itu di Masjid Nabawi.
  8. Ayat ini menunjukkan bahawa tidak ada diskriminasi kepada wanita dalam Islam, seperti yang didakwa oleh golongan feminism.
  
       RESOLUSI

           Ingat 
  1. 1.     Tetap tunduk dan beramal soleh biarpun sudah berpangkat dan masyhur (33:31)

    2.     Jaga interaksi antara jantina berbeza agar tidak menjadi sarang penyakit (33:32)

    3.     Elakkan perhiasan yang bersifat orang jahiliah (33:33)

     

    Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jaga interaksi antara jantina berbeza agar tidak menjadi sarang penyakit.

     

    Saya jelas untuk tetap tunduk dan beramal soleh biarpun sudah berpangkat dan masyhur. Saya jelas untuk jaga interaksi antara jantina berbeza agar tidak menjadi sarang penyakit. Saya jelas untuk elakkan perhiasan yang bersifat orang jahiliah.

     

    Ya Allah, pimpin kami untuk tetap tunduk dan beramal soleh biarpun sudah berpangkat dan masyhur. Ya Allah, bantu kami untuk jaga interaksi antara jantina berbeza agar tidak menjadi sarang penyakit. Ya Allah, elakkan kami dari perhiasan yang bersifat orang jahiliah.

     

    رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

     

    "Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai Tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya." ( al-Hasyr ayat 10)

     

    Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

     

    Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.






























































































































































Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...