Thursday, October 5, 2023

Halaman 423 Al-Ahzab, 33:36-43

 


PERKATAAN HARI INI


بَدَا / بَدَوَ  Nyata, menjadi jelas.

31 kali disebut di dalam al-Quran



         SINOPSIS  

 

        1.     Kisah Zaid bin Haritsah dan Zainab binti Jahsy (33:36-40)






             2.    Mengagungkan Allah SWT dengan memperbanyakkan zikir dan tasbih (33:41-43)


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 423 untuk membincangkan surah al-Ahzab yang penuh dengan disiplin dan peraturan. Hari ini kita akan melihat kisah satu-staunya nama sahabat yang dirakamkan dalam al-Quran iaitu Saidina Zaid b Haritsah.

 

Zaid adalah anak angkat Nabi SAW yang pada mulanya dibinkan dengan nama Nabi Muhammad SAW, tetapi ditegur oleh Allah SWT, maka ditukarkan binnya kepada ayah sebenarnya menjadi Zaid bin Harithsah. Inilah disiplin untuk menjaga hak-hak dalam syariat Islam.

 

Ayat 33:36

 

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَٰلًا مُّبِينًا

 

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

 

Pengajaran

  1. Zainab adalah kaum Bani Hashim iaitu cucu kepada Abdul Mutalib.  Beliau dari keluarga yang mulia. Zaid b Haritsah, seorang hamba yang dibeli oleh Saidatina Khadijah untuk membantu urusan-urusan di rumahnya. Zaid adalah tiga orang pertama yang memeluk Islam. Setelah lama berkhidmat, Nabi SAW membebaskannya. 
  2. Nabi SAW meminang Zainab untuk anak angkatnya, Zaid bin Haritsah. Zainab menolak, ada riwayat kata, begitu juga dengan abang Zainab kerana Zaid ialah seorang hamba yang dirasakan tidak layak bagi Zainab.
  3. Apabila Zainab diberitahu yang urusan itu adalah dari Allah SWT dan Rasul, ia menerima lamaran daripada Zaid b Haritsah. Tidak mengambil arahan Allah SWT dan Nabi SAW, itu adalah satu kesesatan yang jelas nyata. Inilah asbabun nuzul ayat ini.
  4. Kisah ini menunjukkan boleh berkahwin dengan sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat, darjat, asalkan orang itu beriman. Ini adalah pelajaran bagi kita supaya tidak mementingkan ciri keduniaan sahaja.
  5. Rekomen orang untuk berkahwin adalah sunnah Nabi SAW. Syaratnya kita mesti semak betul-betul latar belakang orang yang hendak direkomen. Jangan takut untuk rekomen dengan kisah Zaid dan Zainab yang bercerai selepas dua tahun bernikah. Perkara baik serahkan kepada Allah SWT kerana perkahwinan adalah satu amal yang tidak boleh dijangka ke depan. Tidak boleh kekal itu banyak sebab. Itu adalah urusan Allah SWT.

 

Ayat 33:37

 

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِىٓ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَٱتَّقِ ٱللَّهَ وَتُخْفِى فِى نَفْسِكَ مَا ٱللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى ٱلنَّاسَ وَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَىٰهُ فَلَمَّا قَضَىٰ زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَٰكَهَا لِكَىْ لَا يَكُونَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِىٓ أَزْوَٰجِ أَدْعِيَآئِهِمْ إِذَا قَضَوْا۟ مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ ٱللَّهِ مَفْعُولًا

 

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.

 

Pengajaran

  1. Nabi SAW mengingatkan Zaid yang dia telah diberi nikmat yang banyak: Dapat duduk bersama Nabi SAW, menjadi hamba, boleh belajar, mendapat nikmat yang besar iaitu Islam dan iman. Nabi SAW juga memberi bantuan, kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kerana Nabi SAW tidak ada anak lelaki.
  2. Ketika mengetahui konflik rumahtangga Zaid dan Zainab, baginda SAW menyuruh Zaid untuk bertahan dan supaya dia bertakwa kepada Allah SWT.
  3. Konsisten dalam al-Quran, kalau tentang konflik rumahtangga, Allah SWT ingatkan supaya bertakwa kepada Allah. Semasa konflik, suami isteri perlu mendapat bantuan daripada Allah SWT. Ingat dan minta perlindungan daripada Allah SWT. Yang utama ialah Allah, bukan ego dan jangan diungkit-ungkit kesilapan.
  4. Yang sebenarnya, Allah SWT telah nampakkan kepada Nabi SAW yang baginda akan menikahi Zainab. Perkara itu pasti akan menimbulkan kontroversi. Teguran Allah SWT kepada Nabi SAW dan kepada kita juga supaya tidak takut cakap orang dan sepatutnya hanya takut kepada Allah SWT.
  5. Bila Zaid selesai keperluan dengan Zainab (bersama sebagai suami isteri), dia pun menceraikan Zainab. Pelajaran: Dalam rumahtangga, hubungan suami isteri adalah satu yang penting. Kalau tidak boleh lagi sekatil, maksudnya hubungan suami isteri itu berada dalam keadaan kritikal.
  6. Kemudian Allah SWT nikahkan Nabi SAW dengan Zainab. Ini menjadi satu kemuliaan kepada Zainab. Ini adalah satu ketentuan yang menjadi pelajaran kepada kita bahawa  tidak salah atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka.
  7. Al-Quran bukan buku cerita. Tetapi ia adalah cerita yang mempunyai hidayah. Kita baca al-Quran sebagai kehambaan kita dan untuk mendapat hidayah daripada Allah SWT.

 

Ayat 33:38

 

مَّا كَانَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ مِنْ حَرَجٍ فِيمَا فَرَضَ ٱللَّهُ لَهُۥ سُنَّةَ ٱللَّهِ فِى ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلُ وَكَانَ أَمْرُ ٱللَّهِ قَدَرًا مَّقْدُورًا

 

Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya.

 

Pengajaran

  1. Tidak mungkin Nabi SAW rasa susah hati tentang apa yang telah Allah SWT tetapkan. Pada waktu itu kaum munafik memang bergosip tentang Nabi SAW yang bernikah dengan bekas isteri anak angkatnya.
  2. Inilah sunnatullah. Nabi-nabi sebelum ini memimpin dengan tidak ada kepayahan kepada apa yang Allah tetapkan. Yang paling penting adalah ketetapan daripada Allah SWT.
  3. Kesan untuk kita, kalau kita ikut Nabi SAW, maka kita juga tidak ada rasa berat untuk lakukan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Contoh: Segerakan solat walaupun tengah mesyuarat, ambil Islamic loan berbanding loan konventional.
  4. Kalau ia adalah fardu daripada Allah, maka kita hendaklah sentiasa mengikutinya.
  5. Sunnatullah tidak berubah. Qadarnya telah ditentukan, maka hendaklah kita hayati dan hormati kerana ia adalah qadar yang melayakkan kita menjadi orang beriman. Beriman bukan sekadar cakap dimulut.
  6. Semoga kita menjadi orang yang qadarnya betul-betul mengikut  standard daripada Allah SWT.
  7. Ciri-ciri orang yang mematuhi peraturan yang tidak pernah berganjak ini diterangkan dalam ayat seterusnya.

 

Ayat 33:39

 

ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَٰلَٰتِ ٱللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُۥ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبًا

 

(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).?

 

Pengajaran

  1. Orang-orang yang menyampaikan risalah Allah SWT, berdakwah, mereka inilah orang yang menjejak kepada Nabi SAW.
  2. Kisah Zaid memeritkan sebenarnya. Dari seorang hamba, ia dibebaskan, berkahwin dan menghadapi perceraian pula.
  3. Mereka yang menyampaikan mesej Allah SWT hanya takut kepada Allah SWT. Contoh: Ayah yang kematian isterinya, jangan pula dihalang ayah untuk berkahwin semula hanya kerana takut orang bercakap. Atau ada kawan yang kahwin dengan bekas isteri kawan. Tidak salah dan janganlah bergosip tentangnya. Jangan sampai tidak kahwin atau ada skandal atau perkara-perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT. Jangan tolak pernikahan dengan orang baik hanya kerana gajinya rendah.
  4. Kita perlu bersifat objektif mengikut qadar Allah SWT bukan ikut qadar kita. Kalau ikut qadar kita, itu tandanya kita takut mengikut perspektif masyarakat bukannya takut hitungan daripada Allah SWT.

 

Ayat 33:40

 

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَاۤ أَحَدࣲ مِّن رِّجَالِكُمۡ وَلَـٰكِن رَّسُولَ ٱللَّهِ وَخَاتَمَ ٱلنَّبِیِّـۧنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَیۡءٍ عَلِیمࣰا

 

Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT menjelaskan Nabi SAW bukan ayah kandung Zaid b Haritsah.
  2. Nabi Muhammad SAW adalah Rasul Allah dan penutup para nabi. Kisah Zaid adalah contoh untuk mendidik kita. Kisah konflik rumah tangga Nabi dengan Aisyah dalam surah al-Nur juga untuk mendidik kita. Ia adalah satu pelajaran penting untuk kita belajar secara praktikal apa yang ditunjukkan dalam sejarah.

 

Ayat 33:41

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

 

Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;

 

Ayat 33:42

 

وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

 

Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.

 

Pengajaran

  1. Inilah amalan yang perlu kita hidupkan sebagai orang beriman. Bila tersebar berita Nabi SAW berkahwin dengan Zainab, orang beriman diseru untuk zikir, ingat Allah, bertasbih banyak-banyak kepada Allah pada waktu pagi dan petang.
  2. Kita pun di hari ini, jangan layan orang yang suka bergosip. Terus zikir bila orang gosip. Inilah cara beramal dengan ayat 41 dan 42.
  3. Zaman sekarang lagi penting. Bila ada berita-berita gosip, tajuk artikel yang buat kita mahu membaca seterusnya, jangan klik. Kalau betul, ia tidak menambah iman pun. Kalau tidak betul, ia menambah dosa.

Ayat 33:43

 

هُوَ ٱلَّذِى يُصَلِّى عَلَيْكُمْ وَمَلَٰٓئِكَتُهُۥ لِيُخْرِجَكُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَكَانَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا

 

Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).

 

Pengajaran

  1. Inilah cara Allah SWT hendak mengeluarkan kita dari kezaliman-kezaliman kepada cahaya dengan rahmatnya.
  2. Jangan sampai kita rasa hidup tidak syok tanpa gosip. Sekarang ini ada macam-macam page. Jangan follow page-page sebegini kerana ia akan menggelapkan hati masyarakat. Masyarakat akan punah.  
  3. Allah SWT sayang kepada orang-orang beriman. Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita menjadi insan beriman, banyak berzikir dan tidak terlibat dengan perkara sia-sia.

 

RESOLUSI

 

Ingat!

 

1.     Utamakan pilihan Allah SWT berbanding pilihan sendiri (33:36)

2.     Biarpun berat, tetap ikuti peraturan daripada Allah SWT (33:37)

3.     Tidak takut kecuali kepada Allah SWT (33:39)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya tidak takut kecuali kepada Allah SWT.

 

Saya jelas untuk utamakan pilihan Allah SWT berbanding pilihan sendiri. Saya jelas saya mesti tetap ikuti peraturan daripada Allah SWT, biarpun berat. Saya jelas untuk tidak takut kecuali kepada Allah SWT.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk utamakan pilihan-Mu berbanding pilihan sendiri. Ya Allah, bimbing kami untuk tetap ikuti peraturan daripada-Mu, biarpun berat. Ya Allah, jauhkan kami daripada perasaan takut kecuali kepada-Mu Ya Allah.

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

 

"Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya." (al-Hasyr ayat 10)

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk        kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya        Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami,        Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami      dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...