Thursday, October 5, 2023

Halaman 426 Al-Ahzab, 33:55-62

 

PERKATAAN HARI INI 


أَذِيَ Mengganggu, menyakiti. 

24 kali disebut di dalam al-Quran




SINOPSIS  

  1. Peraturan bagi isteri Nabi Muhammad SAW (33:55)
  2. Mengagungkan Nabi Muhammad SAW serta balasan atas perbuatan menyakiti baginda dan kaum mukminin (33:56-58)
  3. Ayat tentang tudung wanita untuk menutup aurat (33:59)
  4. Balasan bagi orang munafik serta balasan untuk mereka (33:60-62)


         


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 425 surah al-Ahzab.

 

Pada halaman lepas kita telah belajar bagaimana Allah SWT mendidik para sahabat untuk meminta izin dahulu sebelum masuk ke rumah baginda SAW, jangan menunggu-nunggu untuk makan dan melihat-lihat dalam rumah baginda SAW. Satu lagi perintah daripada Allah SWT ialah jangan meminta sesuatu daripada isteri-isteri Nabi SAW kecuali di belakang tabir.

 


Ayat 33:55

 

لَّا جُنَاحَ عَلَيْهِنَّ فِىٓ ءَابَآئِهِنَّ وَلَآ أَبْنَآئِهِنَّ وَلَآ إِخْوَٰنِهِنَّ وَلَآ أَبْنَآءِ إِخْوَٰنِهِنَّ وَلَآ أَبْنَآءِ أَخَوَٰتِهِنَّ وَلَا نِسَآئِهِنَّ وَلَا مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُنَّ وَٱتَّقِينَ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدًا

 

Tidak ada salahnya kepada perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang melindungi anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa mereka, dan anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka, serta hamba-hamba yang dimiliki oleh mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

 

Pengajaran 

  1. Dalam ayat ini Allah SWT memberikan kelonggaran isteri-isteri Nabi SAW untuk berjumpa tanpa tabir dengan:
    • bapa-bapa mereka
    • anak-anak lelaki mereka
    • saudara-saudara lelaki
    • anak-anak lelaki saudara lelaki mereka
    • anak-anak lelaki saudara perempuan mereka
    • perempuan-perempuan Islam
    • hamba-hamba yang dimiliki mereka
  2. Peraturan ini juga mestilah dipatuhi oleh wanita zaman ini. Mesti berhijab kalau berjumpa dengan lelaki selain daripada 7 golongan di atas.
  3. Orang yang bertakwa mestilah ikut peraturan ini. Allah SWT sentiasa Menyaksikan apa yang kita lakukan.

 

Ayat 33:56

 

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا

 

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kita bahawa Nabi SAW dimuliakan oleh Allah SWT dan malaikat. Allah SWT dan para malaikat berselawat kepada baginda SAW.
  2. Allah SWT perintahkan kepada orang-orang beriman supaya berselawat kepada Nabi SAW serta ucapkan salam dengan penghormatan kepada  baginda SAW.
  3. Macam mana Allah SWT berselawat?  
    • Menurut Imam Bukhari Allah SWT memuji baginda SAW di hadapan para malaikat dan mengangkat darjat baginda SAW,
    • Abdullah bin Abbas pula mengatakan Allah SWT memberkati baginda sehingga ke hari kiamat.
    • Imam Tirmidzi mengatakan Allah memberi rahmat kepada baginda SAW.
  4. Hendaklah kita selalu berselawat. Ulamak mengatakan kedudukan selawat lebih tinggi daripada zikir, kerana di dalam selawat ada elemen zikir.
  5. Kelebihan selawat:
    • Allah SWT cukupkan keperluan kita dan ampunkan dosa kita. Saidina Ubai b Kaab pernah bertanya kepada Rasullullah SAW berapa beberapa banyak beliau hendak selawat? Lalu disebut yang beliau akan berselawat banyak-banyak dan baginda SAW mengatakan yang segala keperluannya akan dicukupkan dan Allah SWT akan ampunkan dosanya.
    • Allah SWT akan mengangkat kedudukan orang yang berselawat. Dalam sebuah hadis: siapa yang berselawat mendoakan Rasullullah SAW, Allah SWT akan mendoakan 10 kali ganda kepadanya, akan diampunkan 10 kesalahannya dan diangkat darjatnya 10 kedudukan.
    • Doanya lebih mudah dimakbulkan. Semua doa akan terhijab sehingga seseorang itu berselawat.
    • Dekat kepada Rasulullah SAW di akhirat nanti.
  6. Sahabat bertanya bagaimana hendak selawat? Selawat yang paling mudah ialah selawat Ibrahimiah, iaitu selawat yang dibaca dalam solat. Itulah yang diajar oleh baginda Nabi SAW.

 

Ayat 33:57

 

إِنَّ ٱلَّذِینَ یُؤۡذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمۡ عَذَابࣰا مُّهِینࣰا

 

Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT melaknat orang yang menyakiti baginda SAW di dunia dan di akhirat.
  2. Allah SWT sediakan azab seksa yang menghinakan kepada orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah SWT dan RasulNya.


Ayat 33:58

 

وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَٰنًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

 

Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT memberi ancaman supaya tidak menyakiti hati baginda SAW dan juga melarang menyakiti orang  yang beriman. Menjatuhkan maruah orang beriman lain adalah di larang dalam agama. Contoh: Jangan upload gambar orang lain di media sosial yang memalukan mereka.
  2. Orang yang menyakiti Nabi SAW dilaknat oleh Allah SWT. Menurut ulamak, laknat bermakna Allah SWT tarik rahmat daripada kehidupan kita.
  3. Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Semoga Allah SWT merahmati kita.

 

Ayat 33:59

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

 

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT meneruskan didikanNya kepada para isteri nabi SAW dan wanita beriman. Allah SWT mengarahkan mereka untuk menutup keseluruhan tubuh mereka dengan jilbab. Jilbab adalah baju ataupun kain yang lapang yang menutup kepala, badan dan seluruh anggota.
  2. Menurut Sheikh Tantawi, ini adalah arahan untuk isteri-isteri Rasulullah SAW dan wanita-wanita yang beriman supaya menutup keseluruhan tubuh mereka.
  3. Apabila ayat ini turun, wanita-wanita beriman di zaman Rasulullah SAW bersegera mengikut perintah Allah SWT. Ummu Salamah mengatakan bila turun sahaja ayat ini, wanita-wanita beriman segera menutup badan mereka.
  4. Tujuan menutup aurat itu ialah supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita beriman dan terhindar dari gangguan.
  5. Walaupun perintah ini kepada Rasulullah SAW, tetapi dari aspek aplikasinya kita juga mestilah patuh kepada perintah ini.

 

Ayat 33:60

 

لَّئِن لَّمْ يَنتَهِ ٱلْمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَٱلْمُرْجِفُونَ فِى ٱلْمَدِينَةِ لَنُغْرِيَنَّكَ بِهِمْ ثُمَّ لَا يُجَاوِرُونَكَ فِيهَآ إِلَّا قَلِيلًا

 

Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja,

 

Pengajaran

  1. Allah SWT menceritakan sikap orang munafik yang suka menyakiti hati Rasulullah SAW. Contoh: Mereka menyebarkan fitnah Aisyah. Jika wanita beriman tidak dijaga, mereka akan diganggu oleh orang munafik.

 

Ayat 33:61

 

مَّلْعُونِينَ أَيْنَمَا ثُقِفُوٓا۟ أُخِذُوا۟ وَقُتِّلُوا۟ تَقْتِيلًا

 

serta mereka tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.

 

Pengajaran

  1. مَّلْعُونِينَ bermakna dilaknat. Jadi janganlah bergurau memanggil kawan kita 'malaun'.
  2. Tiga perkara bagaimana golongan Munafik menyakiti Rasulullah SAW:
    • Menimbulkan keraguan terhadap Islam. Hari ini kita bimbang kalau ada orang Islam sendiri yang menimbulkan keraguan terhadap Islam dan al-Quran. Ada yang katakan al-Quran sudah tidak relevan.
    • Mereka memburuk-burukkan Rasulullah SAW dan Islam. Contoh: Fitnah kepada Saidatina Aisyah
    • Mereka menyebabkan perselisihan. Waktu Peperangan Bani Mustaliq, datang Jahjah b Masud, dari golongan Muhajirin, hendak mengambil air dari telaga dan bertembung  dengan Sinan b Waba' dari golongan Ansar. Terjadi perselisihan. Abdullah b Ubai mengutuk orang Islam hendak mengapi-apikan keadaan dan Rasullullah SAW menegur perangai perkauman begitu. 
  3. Orang munafik yang jelas membuat kerosakan boleh ditangkap dan dibunuh beramai-ramai.

 

Ayat 33:62

 

سُنَّةَ ٱللَّهِ فِى ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلُ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبْدِيلًا

 

Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu.

 

Pengajaran

 

1.     Peraturan-peraturan yang Allah SWT tetapkan adalah releven sampai bila-bila.


 

RESOLUSI

 

Ingat!

  1. Sentiasa selawat ke atas Nabi Muhammad SAW (33:56)
  2. Jangan menyakiti Allah SWT dan rasul dengan mempersendakan segala arahannya (33:57)
  3. Elakkan menyakiti mukmin yang tidak buat silap kerana ia akan mengakibatkan kebohongan dan dosa nyata (33:58)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan untuk sentiasa selawat ke atas Nabi SAW kerana ia banyak kelebihan.

 

Saya jelas saya mesti sentiasa selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Saya jelas untuk tidak menyakiti Allah SWT dan rasul dengan mempersendakan segala arahannya. Saya jelas saya mesti elakkan menyakiti mukmin yang tidak buat silap kerana ia akan mengakibatkan kebohongan dan dosa nyata.

 

Ya Allah,  ingatkan kami supaya selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Ya Allah, jauhkan kami daripada mempersendakan arahan-Mu dan arahan rasul. Ya Allah, elakkan kami daripada menyakiti mukmin yang tidak buat silap kerana ia akan mengakibatkan kebohongan dan dosa nyata.

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

 

"Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya." ( al-Hasyr ayat 10)

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...