Thursday, October 5, 2023

Halaman 425 Al-Ahzab, 33:51-54


 

PERKATAAN HARI INI : 


حَلُم  Sabar, lembut. 

 21 kali disebut di dalam al-Quran




SINOPSIS    


1.  Wanita yang Allah SWT halalkan mereka dinikahi Nabi Muhammad SAW (33:51-52)




             2. Adab bertamu ke rumah nabi dan aturan hijab bagi isteri baginda (33:53-54)


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 425 surah al-Ahzab.

 

Halaman 424 kita telah belajar tentang wanita-wanita yang boleh dikahwini oleh Rasulullah SAW. Halaman 425 ini adalah sebahagiannya tentang rumah tangga Rasulullah SAW, seorang yang mulia. Maka kita kena berhati-hati membicarakannya.

 

Allah SWT abadikan cerita rumah tangga Nabi SAW sebagai pengajaran untuk kita. Al-Quran bukan dikarang oleh Rasulullah SAW. Kalau baginda SAW yang karang, buat apa baginda ceritakan tentang rumah tangganya.

 


Ayat 33:51

 

تُرْجِى مَن تَشَآءُ مِنْهُنَّ وَتُـْٔوِىٓ إِلَيْكَ مَن تَشَآءُ وَمَنِ ٱبْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكَ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن تَقَرَّ أَعْيُنُهُنَّ وَلَا يَحْزَنَّ وَيَرْضَيْنَ بِمَآ ءَاتَيْتَهُنَّ كُلُّهُنَّ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِى قُلُوبِكُمْ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَلِيمًا

 

Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT turunkan ayat ini untuk memberi kelonggaran kepada Rasulullah SAW memilih sama ada mahu menerima wanita yang menawarkan diri kepada baginda SAW atau tidak dan memberi peluang kepada baginda SAW untuk menyusun jadual bersama isteri-isterinya.
  2. Menurut Sheikh Tantawi, Rasulullah SAW sangat menjaga agar tidak menzalimi isteri-isteri baginda SAW. Masa perlu diberi dengan penuh keadilan kepada setiap isteri.
  3. Kebebasan yang diberikan kepada Nabi SAW itu adalah untuk mententeramkan hati isteri-isteri Nabi SAW dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang Nabi SAW lakukan kepada mereka semuanya.
  4. Allah SWT ingatkan kepada Nabi SAW dan isteri-isteri baginda bahawa Allah SWT sedia mengetahui apa yang ada dalam hati mereka; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

 

Ayat 33:52

 

لَّا يَحِلُّ لَكَ ٱلنِّسَآءُ مِنۢ بَعْدُ وَلَآ أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَٰجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلَّا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ رَّقِيبًا

 

Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT hanya membenarkan Rasulullah SAW berkahwin dengan 9 orang isteri sahaja, kecuali hamba-hamba perempuan yang baginda miliki.
  2. Tidak boleh menggantikan mereka dengan perempuan-perempuan lain walaupun baginda tertarik kepada kecantikan mereka.
  3. Lima daripada isteri Nabi SAW adalah wanita Quraish iaitu Saidatina Hafsah, Saidatina Aishah, Ummu Habibah, Saudah dan Ummu Salamah. Yang empat lagi bukan Quraish iaitu Sofiah, Maimunah, Zainab, dan Juwairiyah bin Harith.
  4. Allah SWT sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.

 

Ayat 33:53

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَدْخُلُوا۟ بُيُوتَ ٱلنَّبِىِّ إِلَّآ أَن يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَىٰ طَعَامٍ غَيْرَ نَٰظِرِينَ إِنَىٰهُ وَلَٰكِنْ إِذَا دُعِيتُمْ فَٱدْخُلُوا۟ فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَٱنتَشِرُوا۟ وَلَا مُسْتَـْٔنِسِينَ لِحَدِيثٍ إِنَّ ذَٰلِكُمْ كَانَ يُؤْذِى ٱلنَّبِىَّ فَيَسْتَحْىِۦ مِنكُمْ وَٱللَّهُ لَا يَسْتَحْىِۦ مِنَ ٱلْحَقِّ وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَٰعًا فَسْـَٔلُوهُنَّ مِن وَرَآءِ حِجَابٍ ذَٰلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ وَمَا كَانَ لَكُمْ أَن تُؤْذُوا۟ رَسُولَ ٱللَّهِ وَلَآ أَن تَنكِحُوٓا۟ أَزْوَٰجَهُۥ مِنۢ بَعْدِهِۦٓ أَبَدًا إِنَّ ذَٰلِكُمْ كَانَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمًا

 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.

 

Pengajaran

  1.  Ayat ini mendidik orang beriman di sekeliling Nabi SAW tentang adab-adab untuk masuk ke rumah Nabi SAW dan juga adab secara umum untuk kita jadikan panduan untuk bertamu ke rumah orang lain:
    • Minta izin sebelum masuk - Menurut ulamak, haram masuk tanpa izin. Untuk minta izin masuk, Rasulullah SAW ajarkan supaya duduk di tepi pintu supaya tidak nampak terus ke dalam rumah.
    • Jangan lihat perkara yang tidak perlu dilihat - Jangan kita jengok sana sini dalam rumah orang. Dalam hadis ada ceritakan seorang lelaki masuk ke rumah Nabi SAW dan melihat sana sini sehingga baginda SAW menegur lelaki itu.
    • Jangan memanjangkan sembang
    • Kalau ada keperluan daripada isteri Nabi, minta daripada belakang tabir
    • Jangan menyakiti hati Nabi SAW iaitu tidak boleh menikahi para isteri Nabi SAW setelah baginda wafat
  2. Asbabun Nuzul ayat ini mengikut Imam Ibnu Asyur:
    • Kisah ini berlaku ketika Rasulullah SAW bernikah dengan Zainab binti Jahsyi. Rasulullah SAW buat jamuan. Para sahabat datang ke rumah Nabi SAW tetapi setelah selesai makan mereka sembang lama sehingga Rasullullah SAW bangun, baru para sahabat yang ikut. Namun, ada sebahagian sahabat terus bersembang di rumah Nabi SAW. Allah SWT tegur sikap mereka itu.
    • Diriwayatkan daripada Saidina Umar. Beliau memberitahu Rasulullah SAW bahawa orang yang masuk ke dalam rumah baginda SAW, ada yang baik, ada yang tidak baik. Ada orang beriman dan mungkin juga ada orang munafik yang dengki terhadap rumah tangga Nabi SAW. Lalu Saidina Umar minta supaya sesiapa yang hendak berurusan dengan para iseri Nabi SAW berurusan di belakang tabir bagi menjaga jiwa dan adab orang yang beriman dengan para isteri Nabi SAW.
  3. Saidina Umar mengatakan ada tiga tempat kehendaknya bertepatan dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT:
    • Ayat hijab ini
    • Ayat Badar iaitu Saidina Umar mahu menghapuskan sahaja musuh/tawanan.
    • Menjadikan Maqam Nabi Ibrahim AS tempat solat. Dalam sebuah hadis menyebutkan kalau ada nabi selepas baginda SAW, barangkali Saidina Umar lah orangnya.

 

Ayat 33:54

 

إِن تُبْدُوا۟ شَيْـًٔا أَوْ تُخْفُوهُ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًا

 

(Awasilah keadaan-keadaan kamu, kerana) jika kamu nyatakan sesuatu atau kamu sembunyikan dia, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.

 

Pengajaran

  1. Jika kita nyatakan sesuatu atau sembunyikan, Allah SWT Maha Mengetahui segalanya.

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Sentiasa bina amal personal yang baik kerana Allah SWT amat memerhati (33:52)

2.     Hormati Nabi Muhammad SAW sebaik-baiknya (33:53)

3.     Yakin segala amal kita dihitung Allah SWT (33:54)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan tentang adab-adab bertamu agar terpelihara kehormatan diri dan keluarga.

 

Saya jelas saya mesti sentiasa bina amal personal yang baik kerana Allah SWT amat memerhati. Saya jelas saya mesti hormati Nabi Muhammad SAW sebaik-baiknya. Saya jelas saya mesti yakin segala amal kita dihitung Allah SWT.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa bina amal personal yang baik kerana kami sedar Engkau amat memerhati. Ya Allah, bimbing kami untuk hormati Nabi Muhammad SAW sebaik-baiknya. Ya Allah, tingkatkan  keyakinan kami bahawa segala amal dihitung Allah SWT.

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

 

"Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya." ( al-Hasyr ayat 10)

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.






Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...