Thursday, October 5, 2023

Halaman 427 Al-Ahzab, 33:63-73

 

PERKATAAN HARI INI  


دَرَى / دَرَيَ Mengetahui. 

9 kali disebut di dalam al-Quran





SINOPSIS 

  1. Ancaman terhadap orang kafir dengan dekatnya hari kiamat dan penjelasan tentang bentuk balasan bagi mereka (33:63-68)
  2. Pengharaman menyakiti yang tidak sampai menyebabkan kafir serta perintah bertakwa (33:69-71)
  3. Amanah pentaklifan [pembebanan hukum] dan kesan pada orang mukallaf (33:72-73)


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 427, halaman akhir Surah al-Ahzab. Semoga kita dapat terus meneroka dan mengkaji ayat-ayat al-Quran iaitu mukjizat yang diberi kepada Rasulullah SAW.

 

Pada halaman lepas, Allah SWT akhiri dengan sikap orang munafik. Pada halaman ini Allah SWT ingatkan kita tentang balasan dan ancaman yang dikenakan oleh Allah SWT kepada orang-orang kafir.


 

Ayat 33:63

 

يَسْـَٔلُكَ ٱلنَّاسُ عَنِ ٱلسَّاعَةِ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ ٱللَّهِ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ ٱلسَّاعَةَ تَكُونُ قَرِيبًا

 

Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. " Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.

 

Pengajaran

  1. Orang-orang kafir tidak percaya kepada hari kiamat. Mereka bertanya kepada baginda SAW apakah betul hari kiamat itu berlaku?
  2. Allah SWT didik Rasulullah SAW untuk menjawab bahawa hanya Allah SWT yang tahu.

 

Ayat 33:64

 

إِنَّ ٱللَّهَ لَعَنَ ٱلْكَٰفِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا

 

Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang, -

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang.


 

Ayat 33:65

 

خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا لَّا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

 

Kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; mereka pula tidak akan memperoleh sesiapapun yang akan menjadi pelindung atau penolong.

 

Pengajaran

 

1.     Mereka kekal di dalam neraka selama-lamanya.

2.     Tidak ada siapa dapat menjadi pelindung atau penolong mereka di dalam neraka.

 

Ayat 33:66

 

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِى ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيْتَنَآ أَطَعْنَا ٱللَّهَ وَأَطَعْنَا ٱلرَّسُولَا۠

 

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.

 

Pengajaran

  1. Muka mereka di balik-balikkan di dalam neraka umpama kena panggang.
  2. Pada masa itu mereka menyesal kerana tidak taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

 

Ayat 33:67

 

وَقَالُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠

 

Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.

 

Pengajaran

  1. Kesilapan mereka, kata mereka ialah mereka mentaati para pemimpin mereka yang menyesatkan mereka.
  2. Kepimpinan adalah amanah. Orang yang diberi kuasa boleh menyebabkan orang pergi ke jalan yang betul atau boleh membinasakan manusia dengan kuasa yang mereka ada dan amanah yang mereka pikul. Kepimpinan ini bukan main-main. Kalau pemimpin itu salah, kesannya kepada masyarakat dan negara juga.
  3. Anak buah tidak boleh taqlid buta (ikut sahaja) apa yang dibuat oleh orang terdahulu.  Pastikan apa yang dibuat ada sumber yang sahih. Kalau tidak pasti, tanyalah kepada orang yang tahu.
  4. Seorang ulama pernah berkata, "Andai aku diberi satu doa yang mustajab maka aku akan doakan kebaikan buat pemimpin agar dia dapat membawa kebaikan kepada seluruh negara."
  5. Penting untuk kita:
    • mendoakan kepimpinan yang baik
    • ikut kepimpinan yang baik
    •  jangan ikut sesuatu perkara tanpa kita kaji terlebih dahulu
    • Pemimpin yang sesat akan menyesatkan pengikut-pengikutnya juga.

Ayat 33:68

 

رَبَّنَآ ءَاتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ ٱلْعَذَابِ وَٱلْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا

 

"Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!"

 

Pengajaran

  1. Kemarahan mereka menyebabkan mereka menyesal dan mereka mendoakan pemimpin mereka diazab dua kali ganda kerana menyesatkan mereka.
  2. Pelajaran untuk kita:
    • Perlu kepimpinan yang benar
    • Jangan ikut membabi buta. Perlu taqlid yang betul - Bukan semua kita tahu semua perkara. Sahabat Nabi SAW yang jumlah mereka lebih 124 ribu orang, bukan semuanya alim. Mereka juga taqlid kepada sahabat-sahabat lain. Contoh: Pernah seorang lelaki bertanya makna 'wal adiat' kepada Saidina Abdullah b Abbas dan diberitahu ia bermakna, kuda perang. Saidina Ali pula mengatakan Abdullah b Abbas tidak tahu apa yang dikatakannya kerana makna perkataan itu ialah unta. Ini bermakna, para sahabat juga berbeza pandangan tetapi mereka tetap bertanya sesama mereka untuk lebih jelas. Mereka tidak ikut membuta tuli.
  3. Orang awam sepatutnya ikut pandangan mufti kerana mufti yang tahu dalil-dalil setiap perkara.

 

Ayat 33:69

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ ءَاذَوْا۟ مُوسَىٰ فَبَرَّأَهُ ٱللَّهُ مِمَّا قَالُوا۟ وَكَانَ عِندَ ٱللَّهِ وَجِيهًا

 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT mengimbau bagaimana kaum Nabi Musa AS  menyakitinya dengan meminta tuhan yang lain. Bani Israel juga pernah berkata kepada Nabi Musa AS yang mereka tidak akan beriman kepadanya selagi tidak dapat melihat tuhan secara terang-terangan.
  2. Nabi Musa AS sangat pemalu dan sentiasa menutup aurat sehingga satu masa, kaumnya mengambil pakaiannya untuk melihat tubuhnya kerana  dikatakan oleh mereka, Nabi Musa AS mungkin ada penyakit kusta maka itulah baginda menutup tubuhnya. Lalu Allah SWT menunjukkan kepada mereka betapa sempurnanya tubuh badan Nabi Musa AS.
  3. Dalam ayat ini Allah SWT ingatkan supaya jangan jadi seperti kaum Nabi Musa AS yang menyakiti hati Nabi Musa AS.

 

Ayat 33:70

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًا سَدِيدًا

 

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara),

 

Pengajaran

  1. Apabila kita hendak kaji hujung surah, hendaklah kita kembali melihat kepada ayat pertama surah. Tiga ayat pada halaman akhir ini sebut tentang sifat benar, amanah, tentang orang munafik dan orang kafir dan tentang taubat.
  2. Pada ayat pertama Allah SWT ingatkan Nabi SAW dan kepada kita supaya bertakwa kepada Allah SWT dan jangan taat kepada orang kafir dan munafik. Allah SWT akan mengazab mereka dan jika sesiapa mengikut mereka, ia  akan diazab juga.
  3. Orang munafik tidak bercakap benar. Bila bercakap, mereka berbohong. Sedangkan Allah SWT ajarkan kepada orang beriman supaya bercakap benar.
  4. Menurut Imam Qurtubi, tentang sifat benar, kena belajar daripada Saidina Abu Bakar. Beliau membenarkan dengan perkataan dan membenarkan dengan perbuatan, Dia digelar as-Siddiq kerana sikapnya yang membenarkan apa yang diterima daripada Allah dan Rasul.  Kehidupannya, amat bertepatan dengan ajaran Islam. Sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga, 5 orang di antaranya memeluk Islam di bawah Abu Bakar.
  5. Hendaklah kita jadi seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang bukan sahaja beriman kepada Allah dan Rasul, malah membawa kebaikan untuk orang lain.

 

Ayat 33:71

 

يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

 

Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

 

Pengajaran

  1.  Allah SWT akan memperbaiki amalan dan mengampunkan orang yang bercakap benar.
  2. Orang-orang yang taat kepada Allah dan Rasul telah berjaya mencapai kejayaan yang besar.
  3. Hendalah kita bercakap benar, dan bersikap jujur kepada diri sendiri. Jangan buat kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

 

Ayat 33:72

 

إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَٰنُ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

 

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang tetapi mereka tidak sanggup kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya.
  2. Hanya manusia yang sanggup menerima amanah itu. Sekiranya mereka melanggar amanah, mereka tergolong dalam kalangan orang-orang yang zalim.
  3. Sifat amanah perlu ada di tempat kita bertugas dan di mana-mana kerana jika tidak, ia akan merosakkan masyarakat dan negara. Contoh: Kalau ada staf yang ambil rasuah, dia merosakkan sistem pengurusan kerajaan.
  4. Rasulullah SAW sentiasa ingatkan tentang amanah apabila baginda menghantar tentera. Jika tentera tidak amanah, mereka boleh sahaja mengambil harta rampasan perang dan buat yang lain-lain.
  5. Begitu juga dengan staf yang dilantik dalam organisasi mestilah amanah. Jangan terlibat dengan perbuatan pecah amanah, ambil rasuah dan membuat perkara-perkara yang tidak patut dilakukan.
  6. Mudah-mudahan kita bukan sekadar baca al-Quran tetapi kita juga menjadi orang yang siddiq, membenarkan apa yang dipelajari daripada surah ini dengan bersifat amanah dan bertanggungjawab. Tidak mengambil rasuah, tidak melakukan perkara-perkara yang memecah amanah yang diberikan kepada kita.

 

Ayat 33:73

 

لِّيُعَذِّبَ ٱللَّهُ ٱلْمُنَٰفِقِينَ وَٱلْمُنَٰفِقَٰتِ وَٱلْمُشْرِكِينَ وَٱلْمُشْرِكَٰتِ وَيَتُوبَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًۢا

 

(Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

Pengajaran

  1.  Allah SWT akan menyeksa orang-orang munafik dan orang-orang kafir.
  2. Allah SWT akan menerima taubat orang-orang yang beriman.
  3. Ayat 70 tentang sifat benar, ayat 72 sifat amanah dan pada ayat ini tentang sifat taubat. Allah SWT mengetahui bahawa dalam kalangan orang beriman mungkin ada yang tersalah melakukan kesalahan. Allah SWT mengajak mereka bertaubat. Allah SWT menerima taubat orang-orang yang mengakui kesalahan mereka.
  4. Kalau kita telah melakukan kesalahan, hendaklah kita berani membetulkan kesilapan yang telah dilakukan.
  5. Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Buat persediaan ke kiamat, bukan berteori dengan bilanya hari kiamat (33:63)
  2. Hargai Allah SWT dan rasul ketika di dunia untuk mengelakkan azab pedih di akhirat kelak (33:66)
  3. Elakkan menjadi seperti Bani Israel yang selalu menyakiti hati Nabi Musa AS (33:69)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya hargai Allah SWT dan rasul agar terelak daripada azab pedih di akhirat.

 

Saya jelas saya mesti buat persediaan ke kiamat, bukan berteori dengan bilanya hari kiamat. Saya jelas saya mesti hargai Allah SWT dan rasul ketika di dunia untuk mengelakkan azab pedih di akhirat kelak. Saya jelas untuk elakkan menjadi seperti Bani Israel yang selalu menyakiti hati Nabi Musa AS.

 

Ya Allah, ingatkan kami untuk buat persediaan ke kiamat, bukan berteori dengan bilanya hari kiamat. Ya Allah, pimpin kami untuk hargai Allah SWT dan rasul ketika di dunia agar kami terelak daripada azab pedih di akhirat kelak. Ya Allah, jauhkan kami daripada menjadi seperti Bani Israel yang selalu menyakiti hati Nabi Musa AS.

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

 

"Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya." ( al-Hasyr ayat 10)

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.






















Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...