Saturday, October 14, 2023

Halaman 451 Al-Saffat (37:127-153)

 

PERKATAAN HARI INI

 أَبِقَ  Melarikan diri. 
1 kali disebut di dalam al-Quran







SINOPSIS 

  

  1. Sambungan Kisah Nabi Ilyas AS (37:127-132)
  2. Kisah Nabi Lut AS (37:133-138)
  3. Kisah Nabi Yunus AS (37:139-148)
  4. Bantahan pelbagai akidah orang Musyrik (37:149-153)









Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 451 Surah al-Saffat yang memberikan hentaman ataupun teguran, mengingatkan kepada hati kita agar menjadi qalbin salim seperti Nabi Ibrahim AS.

 

Pada halaman lepas kita telah melihat salah seorang tokoh muhsinin yang cemerlang, yang buat itqan dan ikhlas iaitu Nabi Ilyas AS. Baginda mengingatkan kepada kaumnya untuk bertakwa.


 

Ayat 37:127-132 Sambungan kisah Nabi Ilyas AS

 

Ayat 37:127

 

فَكَذَّبُوهُ فَإِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ

 

Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa),

 

Ayat 37:128

 

إِلَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلْمُخْلَصِينَ

 

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat, dan mendapat sebaik-baik balasan).

 

Ayat 37:129

 

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِى ٱلْءَاخِرِينَ

 

Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:

 

Ayat 37:130

 

سَلَٰمٌ عَلَىٰٓ إِلْ يَاسِينَ

 

"Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas!"

 

Ayat 37:131

 

إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

 

Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

 

Ayat 37:132

 

إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ

 

Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

 

Pengajaran Ayat 127-132

 

  1. Mereka mendustakan Nabi Ilyas AS dan mereka akan dihadirkan (مُحْضَرُونَ) di depan Allah SWT.
  2. Yang selamat ialah yang diikhlaskan dan dilindungi oleh Allah SWT kerana mengikut nabi-nabi.
  3. Nabi Ilyas AS juga  dimuliakan oleh Allah SWT.
  4. Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas AS dan pengikutnya. Jika kita ikut para nabi kita juga akan dimuliakan, insya Allah.
  5. Allah SWT membalas berdasarkan amal kita yang terbaik. Jangan berhenti berbuat kebaikan walaupun ada cabaran. Jadilah orang yang ٱلْمُحْسِنِينَ. Sentiasa perbaiki amal, buat bersungguh-sungguh.
  6. Nabi Ilyas AS ialah hamba yang beriman.

 

Ayat 133-138 Kisah Nabi Lut AS

 

Ayat 37:133

 

وَإِنَّ لُوطًا لَّمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

 

Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.

 

Ayat 37:134

 

إِذْ نَجَّيْنَٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ أَجْمَعِينَ

 

(ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya,

 

Ayat 37:135

 

إِلَّا عَجُوزًا فِى ٱلْغَٰبِرِينَ

 

Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.

 

Ayat 37:136

 

ثُمَّ دَمَّرْنَا ٱلْءَاخَرِينَ

 

Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut).

 

Ayat 37:137

 

وَإِنَّكُمْ لَتَمُرُّونَ عَلَيْهِم مُّصْبِحِينَ

 

Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.

 

Ayat 37:138

 

وَبِٱلَّيْلِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

 

Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?.

 

Pengajaran Ayat 133-138

 

  1. Allah SWT mengangkat seorang lagi tokoh, Nabi Lut  AS yang perlu kita ikuti.
  2. Nabi Lut AS dan pengikutnya diselamatkan dari bencana besar.
  3. Yang menentang Nabi Lut AS semuanya dihancurkan termasuk isterinya.
  4. Orang musyrik Mekah, lalu lalang di tempat mereka dihancurkan itu. Ini adalah untuk mereka gunakan akal dan ambil pelajaran.
  5. Jika kita ke tempat itu, ambil iktibar dan jangan suka-suka bergambar. Baginda SAW tidak berlama bila lalu di tempat-tempat yang dibinasakan. Nabi SAW tundukkan pandangan dan doa dijauhkan daripada mengikut perangai mereka yang dibinasakan itu.
  6. Menurut Ibnu Asyur, jangan kisah jika orang terima atau tidak ajakan kita kepada kebenaran. Fokus kepada balasan Allah SWT. Buat yang terbaik.

 

Ayat 37:139-148 Kisah Nabi Yunus AS

 

Ayat 37:139

 

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

 

Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.

 

Ayat 37:140

 

إِذْ أَبَقَ إِلَى ٱلْفُلْكِ ٱلْمَشْحُونِ

 

(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat.

 

Ayat 37:141

 

فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ ٱلْمُدْحَضِينَ

 

(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut).

 

Ayat 37:142

 

فَٱلْتَقَمَهُ ٱلْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ

 

Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.

 

Ayat 37:143

 

فَلَوْلَآ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُسَبِّحِينَ

 

Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),

 

Ayat 37:144

 

لَلَبِثَ فِى بَطْنِهِۦٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

 

Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

 

Ayat 37:145

 

فَنَبَذْنَٰهُ بِٱلْعَرَآءِ وَهُوَ سَقِيمٌ

 

Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit.

 

Ayat 37:146

 

وَأَنۢبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِّن يَقْطِينٍ

 

Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.

 

Ayat 37:147

 

وَأَرْسَلْنَٰهُ إِلَىٰ مِا۟ئَةِ أَلْفٍ أَوْ يَزِيدُونَ

 

Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.

 

Ayat 37:148

 

فَـَٔامَنُوا۟ فَمَتَّعْنَٰهُمْ إِلَىٰ حِينٍ

 

(Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).

 

Pengajaran Ayat 139-148

 

  1. Nabi Yunus AS adalah antara nabi-nabi yang diutus.
  2. Nabi Yunus AS melarikan diri kerana kecewa dengan kaumnya.
  3. Bila sudah masuk ke dalam kapal, terjadi ribut taufan. Seorang kena keluar dari kapal dengan undian dan Nabi Yunus AS yang terpilih untuk dikeluarkan dari kapal.
  4. Ia dicampak dari kapal dan ditelan oleh ikan besar. Ia adalah dalam kalangan orang yang ditegur oleh Allah SWT kerana Allah SWT sayang kepada baginda.
  5. Dalam hidup ini kalau kita kena ujian itu adalah teguran Allah SWT, bukan kerana Allah SWT benci kita.
  6. Mengajak orang kepada kebaikan memang ada beban. Kalau kita ada perasaan begitu, itu adalah normal. Jangan ikut perasaan sampai berputus asa.
  7. Nabi Yunus AS bertasbih kepada Allah SWT. Menurut Ibnu Asyur, Nabi Yunus AS memang sudah biasa bertasbih sebelum itu lagi.
  8. Jika tidak, kekallah ia dalam perut ikan besar hingga hari kiamat. Dalam perut ikan ada asid yang boleh menghancurkan badan manusia tetapi Allah SWT selamatkan baginda.
  9. Pengajarannya, ketika senang banyakkan bertasbih, ketika susah teruskan bertasbih. Allah SWT akan selamatkan kita daripada segala kesulitan.
  10. Tasbih itu adalah menyucikan Allah SWT, ikhlas mengikut kepada apa yang Allah SWT sudah tentukan.
  11. Nabi Yunus AS dimuntahkan oleh ikan besar itu di tanah yang tandus. Nabi Yunus AS sakit di dalam perut ikan itu.
  12. Allah SWT tumbuhkan sebatang pokok yang berdaun lebar untuk melindunginya. Allah SWT berikan ubat untuk sembuh.
  13. Nabi Yunus AS kemudiannya diutuskan kepada 100 ribu orang yang mendapat hidayah.
  14. Setelah berlaku apa yang berlaku maka mereka pun beriman, lalu Allah SWT biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang ditetapkan bagi masing-masing.
  15. Pengajarannya, nabi pun tidak boleh memberi hidayah. Allah SWT sahaja yang mampu memberi hidayah. Kita hanya mengajak sahaja, jangan kita kawal kepada hasil samada orang percaya atau tidak. Jangan terlampau berkira kerana khuatir kita akan jatuh semangat.
  16. Orang beriman pun boleh hidup senang tetapi mestilah berasaskan iman. Kalau tidak senang di sini walaupun sudah berusaha, insya Allah akan senang di akhirat. Imanlah yang paling tinggi yang Allah SWT puji dalam ayat 148.

 

Ayat 37:149-153 Bantahan pelbagai akidah orang Musyrik

 

Ayat 37:149

 

فَٱسْتَفْتِهِمْ أَلِرَبِّكَ ٱلْبَنَاتُ وَلَهُمُ ٱلْبَنُونَ

 

(Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?

 

Ayat 37:150

 

أَمْ خَلَقْنَا ٱلْمَلَٰٓئِكَةَ إِنَٰثًا وَهُمْ شَٰهِدُونَ

 

Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu - perempuan?

 

Ayat 37:151

 

أَلَآ إِنَّهُم مِّنْ إِفْكِهِمْ لَيَقُولُونَ

 

Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:

 

Ayat 37:152

 

وَلَدَ ٱللَّهُ وَإِنَّهُمْ لَكَٰذِبُونَ

 

"Allah beranak"; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!

 

Ayat 37:153

 

أَصْطَفَى ٱلْبَنَاتِ عَلَى ٱلْبَنِينَ

 

(Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dia lah yang menciptakannya)?

 

Pengajaran Ayat 149-153

 

  1. Ini adalah cara berfikir orang yang kufur. Di Mekah dahulu, bila anak perempuan lahir, berubah muka mereka. Anak lelaki adalah kebanggaan kepada kaum musyrik Mekah pada waktu itu.
  2. Kita sekarang pun jangan sampai ada perasaan seperti musyrik Mekah bila dapat anak perempuan. Merasakan anak lelaki lebih mulia adalah kefahaman kufur.
  3. Mereka kata tuhan ada anak perempuan. Jangan kongsi gambar cupid yang menunjukkan perempuan bersayap seolah-olah kita mengiyakan malaikat itu anak perempuan tuhan.
  4. Allah SWT menafikan cara berfikir orang kufur yang mengatakan malaikat adalah anak tuhan.
  5. Mereka mengatakan tuhan ada anak. Mereka menyamakan tuhan dengan makhluk. Padahal tuhan adalah pencipta.
  6. Hendaklah kita selalu menyerah diri kepada Tuhan. Ikut dengan rasa rendah diri.
  7. Orang beriman yang ingin berjaya di dunia dan akhirat, jangan bagi baki-baki kepada Tuhan. Contoh: Kalau hendak derma bagilah yang terbaik, jangan bagi yang kita sudah tidak mahu.

 

Burung serindit terbang di angkasa

Indah sawah hijau sejahtera

Berikan yang terbaik untuk

Yang Esa

Buat pilihan hingga ke syurga

 

RESOLUSI


 

Ingat!


1.     Didik ahli keluarga agar patuh pada Allah SWT - namun keputusannya pada Allah     SWT (37:134-135)

2.     Selalu bertasbih apabila berbuat kesilapan (37:142-143)

3.     Baiki dan dalami konsep tauhid yang benar, bukan khurafat (37:149-150)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan selamatkan daripada kesulitan kalau saya selalu bertasbih dengan penuh ikhlas.

 

Saya jelas saya mesti didik ahli keluarga agar patuh pada Allah SWT - namun keputusannya pada Allah SWT. Saya jelas saya mesti selalu bertasbih apabila berbuat kesilapan. Saya jelas saya mesti baiki dan dalami konsep tauhid yang benar, bukan khurafat.

 

Ya Allah, bantu kami didik ahli keluarga agar patuh pada Allah SWT. Ya Allah, ingatkan kami untuk selalu bertasbih apabila berbuat kesilapan. Ya Allah, bimbing kami untuk baiki dan dalami konsep tauhid yang benar, jauhkan kami dari khurafat.Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 








Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...