Saturday, October 14, 2023

Halaman 452 Al-Saffat (37:154-182)

 

PERKATAAN HARI INI

 

نَسَبَ  Keturunan. 

3 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS 

   

  1. Bantahan terhadap orang Musyrik (37:154-170)
  2. Pertolongan bagi pasukan Allah SWT (37:171-182)













Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman terakhir Surah al-Saffat yang memberi panduan kepada kita betapa bertasbih kepada Allah SWT adalah satu ibadah yang amat tinggi yang dilakukan oleh malaikat. Kita juga hendaklah perbanyakkan bertasbih.

 

Ayat 37:154-170 Bantahan terhadap orang Musyrik

 

Ayat 37:154

 

مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

 

Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?

 

Ayat 37:155

 

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

 

Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?

 

Ayat 37:156

 

أَمْ لَكُمْ سُلْطَٰنٌ مُّبِينٌ

 

Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)?

 

Ayat 37:157

 

فَأْتُوا۟ بِكِتَٰبِكُمْ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

 

(Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.

 

Ayat 37:158

 

وَجَعَلُوا۟ بَيْنَهُۥ وَبَيْنَ ٱلْجِنَّةِ نَسَبًا وَلَقَدْ عَلِمَتِ ٱلْجِنَّةُ إِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ

 

(Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat).

 

Ayat 37:159

 

سُبْحَٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يَصِفُونَ

 

Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu!

 

Ayat 37:160

 

إِلَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلْمُخْلَصِينَ

 

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat, dan akan mendapat sebaik-baik balasan).

 

Ayat 37:161

 

فَإِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ

 

Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik), dan apa yang kamu sembah itu.

 

Ayat 37:162

 

مَآ أَنتُمْ عَلَيْهِ بِفَٰتِنِينَ

 

Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya,

 

Ayat 37:163

 

إِلَّا مَنْ هُوَ صَالِ ٱلْجَحِيمِ

 

kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam neraka yang menjulang-julang.

 

Ayat 37:164

 

وَمَا مِنَّآ إِلَّا لَهُۥ مَقَامٌ مَّعْلُومٌ

 

(Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): "Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya);

 

Ayat 37:165

 

وَإِنَّا لَنَحْنُ ٱلصَّآفُّونَ

 

"Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat),

 

Ayat 37:166

 

وَإِنَّا لَنَحْنُ ٱلْمُسَبِّحُونَ

 

"Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!"

 

Ayat 37:167

 

وَإِن كَانُوا۟ لَيَقُولُونَ

 

Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata:

 

Ayat 37:168

 

لَوْ أَنَّ عِندَنَا ذِكْرًا مِّنَ ٱلْأَوَّلِينَ

 

"Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu

 

Ayat 37:169

 

لَكُنَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلْمُخْلَصِينَ

 

"Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik!"

 

Ayat 37:170

 

فَكَفَرُوا۟ بِهِۦ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

 

(Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya).

 

Pengajaran Ayat 154-170

 

  1. Allah SWT menemplak orang musyrik kerana tidak meletakkan Allah SWT lebih penting. Yang baik untuk mereka, baki-baki baru beri Allah SWT. Anak lelaki untuk mereka, anak perempuan untuk Allah SWT.
  2. Mereka menetapkan hukum yang terang-terang salah.
  3. Mereka ingkar walau sesudah ditegur.
  4. Kita membaca al-Quran untuk menyuluh diri kita agar dapat mengambil peringatan dan menyusun cara kita berfikir membuat keputusan.
  5. Allah SWT membantah segala bukti penipuan mereka.
  6. Mereka hanya mengikuti nenek moyang sahaja. Mereka tidak mempersoalkan bukti yang nyata tentang apa yang dibuatkan.
  7. Allah SWT menyuruh mereka menunjukkan kitab lain jika ada. Ini penting untuk kita. Apa sahaja yang kita buat kita perlu ada rujukan kepada al-Quran.
  8. Mereka menganggap jin adalah anak tuhan. Tidak bertepian cara berfikir syirik mereka itu. Orang kita juga ada yang berjumpa bomoh bila hilang barang dan bomoh mengatakan orang itu orang ini yang mengambilnya.
  9. Kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah dahulu bukan kerana ia tidak kuat tetapi kerana cara berfikir khurafat yang akhirnya menyucikan kepada orang-orang agama. Padahal orang agama adalah untuk mensucikan Allah SWT. Pemimpin mereka dipuja, dipuji, diberi macam-macam dan ini memberi kesan kepada ekonomi, politik dan sosial di negara mereka. Mereka mendapatkan pengiktirafan orang-orang agama untuk bab sosial dan politik mereka.
  10. Jin pun tahu bahawa mereka akan dihakimi dihadapan Allah SWT.
  11. Hendaklah kita berhati-hati agar tidak terlibat dengan perbuatan syirik begini.
  12. Maha suci Allah daripada segala apa yang mereka sifatkan itu; malaikat anak Allah, jin ada kaitan keturunan dengan Tuhan. (Nauzubillah)
  13. Allah SWT sekali lagi memuji orang yang ٱلْمُخْلَصِينَ iaitu orang-orang yang dilindungi oleh Allah SWT.
  14. Orang yang mukhlasin akan terselamat dan akan mendapat sebaik-baik balasan.
  15. Menurut Imam Qurtubi, kalau kita pilih jalan untuk buat syirik, kita mudah dipesongkan oleh musuh-musuh Allah SWT.
  16. Jika kita mencari ilmu, tersilap kita istighfar, kita bertasbih seperti Nabi Yunus AS maka insya Allah, kita akan terlindung daripada perbuatan syirik.
  17. Orang-orang yang buat syirik akan dibakar dalam neraka.
  18. Malaikat masing-masing mempunyai kedudukan tertentu. Di langit, setiap inci penuh dengan malaikat yang bertasbih dan bersolat untuk menyembah kepada Allah SWT.
  19. Inilah malaikat yang bersaf-saf seperti yang disebut di awal surah.
  20. Penting diberikan penekanan tentang saf kerana mereka ini berdisiplin. Saf inilah yang diperjuangkan oleh para nabi dan para sahabat Nabi SAW.
  21. Mereka sentiasa bertasbih menyucikan Allah SWT.
  22. Malaikat sentiasa bersedia untuk bertindak mengikut perintah Allah SWT.
  23. Orang musyrik berkata macam-macam. Mereka menyatakan jika mereka ada kitab, pasti mereka ikut. Mereka akan jadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan daripada sebarang syirik.
  24. Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka, mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak akibat kekufurannya.

 

Ayat 37:172-182 Pertolongan bagi pasukan Allah SWT

 

Ayat 37:172

 

إِنَّهُمْ لَهُمُ ٱلْمَنصُورُونَ

 

Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan

 

Ayat 37:173

 

وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ ٱلْغَٰلِبُونَ

 

Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).

 

Ayat 37:174

 

فَتَوَلَّ عَنْهُمْ حَتَّىٰ حِينٍ

 

Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.

 

Ayat 37:175

 

وَأَبْصِرْهُمْ فَسَوْفَ يُبْصِرُونَ

 

Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu).

 

Ayat 37:176

 

أَفَبِعَذَابِنَا يَسْتَعْجِلُونَ

 

Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami!

 

Ayat 37:177

 

فَإِذَا نَزَلَ بِسَاحَتِهِمْ فَسَآءَ صَبَاحُ ٱلْمُنذَرِينَ

 

Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan.

 

Ayat 37:178

 

وَتَوَلَّ عَنْهُمْ حَتَّىٰ حِينٍ

 

Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.

 

Ayat 37:179

 

وَأَبْصِرْ فَسَوْفَ يُبْصِرُونَ

 

Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga.

 

Ayat 37:180

 

سُبْحَٰنَ رَبِّكَ رَبِّ ٱلْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ

 

Akuilah kesucian Tuhanmu, - Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, - dari apa yang mereka katakan!

 

Ayat 37:181

 

وَسَلَٰمٌ عَلَى ٱلْمُرْسَلِينَ

 

Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul.

 

Ayat 37:182

 

وَٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

 

Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

 

Pengajaran Ayat 172-182

 

  1. Allah SWT ingatkan supaya berpalinglah dari mereka dan jangan menyerang mereka.
  2. Kita bercakap, berdakwah tetapi jangan diserang mereka yang tidak mahu menerima. Allah SWT mengingatkan Nabi SAW dan kita juga kena beringat. Nabi Ibrahim AS berhijrah bila mereka mula main kasar terhadap baginda.
  3. Tengoklah nanti siapa yang Allah SWT akan menangkan. Jangan pula kita terus pergi memusnahkan berhala orang. Nabi SAW hanya menghancurkan berhala di Kaabah selepas Islam menang di Mekah. Nabi Ibrahim AS juga bercakap elok-elok dahulu kepada kaumnya.
  4. Allah SWT sudah menentukan para rasul akan menang. Inilah pujukan kepada Nabi SAW dan kita juga.
  5. Tentera Allah SWT iaitu para pengikut rasul akan menang.
  6. Mereka selalu mencabar Nabi SAW. Mahu semua dicepatkan. Kita jangan menjadi seperti mereka. Nabi SAW tetap mendoakan kebaikan kepada penduduk Taif yang menyakitkannya.
  7. Dalam menyampaikan kebenaran, kita beri masa, kita berdoa untuk pasangan kita, untuk anak-anak  kita, untuk masyarakat kita.
  8. Kalau mereka minta cepat pun, Allah SWT tidak akan memberi tetapi sekali diberiNya, tidak ada patah balik lagi. Jangan minta keburukan untuk orang lain. Kita adalah satu umat. Umat kasih sayang. Seperti juga pemuda dalam Surah Yasin yang dibunuh oleh orang-orang di bandarnya, waktu beliau menyampaikan kebenaran. Sudah berada di syurga, masih memikirkan kaumnya.
  9. Allah SWT suruh berpaling dari mereka.
  10. Nabi melihat, mereka juga melihat.
  11. Maha Suci Allah. Allah lah Yang Maha Sempurna. Bila-bila masa sahaja Allah SWT boleh memakbulkan doa kita. Tidak dapat di dunia akan dapat di akhirat.
  12. Salam sejahtera kepada para rasul.
  13. Allah SWT tidak perlukan pujian dari sesiapa pun. Makhluk memerlukan bantuan daripada Allah SWT.

 

Petani di sawah berperit perih

Membanting tulang mencari rezeki

Banyak tahmid dan bertasbih

Ia amalan yang amat terpuji

 

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Bina cara membuat keputusan yang bercirikan tauhid, bukan syirik (37:154)

2.     Kaji bukti dan hujah nyata daripada al-Quran (37:156)

3.     Jangan bertangguh apabila dapat peringatan (37:169-170)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan beri kemenangan jika saya ikut rasul.

 

Saya jelas saya mesti bina cara membuat keputusan yang bercirikan tauhid, bukan syirik. Saya jelas untuk kaji bukti dan hujah nyata daripada al-Quran. Saya jelas untuk tidak bertangguh apabila dapat peringatan.

 

Ya Allah, bimbing kami bina cara membuat keputusan yang bercirikan tauhid, bukan syirik. Ya Allah, bimbing kami untuk kaji bukti dan hujah nyata daripada al-Quran. Ya Allah, bantu kami untuk tidak bertangguh apabila dapat peringatan.Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

 




Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...