Saturday, October 14, 2023

Halaman 450 Al-Saffat (37:103-126)

 

PERKATAAN HARI INI


  رَأَى Melihat. 

328 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS   

 

1.     Sambungan kisah Nabi Ismail AS dikorbankan (37:103-113)

2.     Kisah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS (37:114-122)3.  

3.     Kisah Nabi Ilyas AS (37:123-126)

   







Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 450 Surah al-Saffat yang memberi panduan bagaimana seorang insan muhsinin yang bernama Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Nabi Ismail AS. Semoga kita dapat mengambil pelajaran daripada kisah ini untuk meningkatkan ketakwaan.

 

Pada halaman lepas, kita telah lihat selepas Nabi Ibrahim AS tidak bertemu isteri dan anaknya di Mekah, bila berjumpa semula, anaknya sudah baligh. Pada waktu itu anaknya sudah mampu berusaha. Nabi Ibrahim AS walaupun selalu 'out station' tetapi bila ada masa bercakap dengan anak, itulah peluang untuk menggunakan perkataan yang baik-baik.

 

Dalam hal ini, Nabi Ibrahim AS bertanya pendapat kepada Nabi Ismail AS bahawa baginda bermimpi menyembelih anaknya itu. Nabi Ibrahim sebagai khalilullah, ulamak tafsir mengatakan bahawa Allah SWT menguji Nabi Ibrahim dengan meleraikan kecintaan kepada anaknya.

 

Anaknya menyuruh ayahnya buat tanpa fikir apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Nabi Ismail AS mengatakan bahawa baginda akan menjadi dalam kalangan orang-orang yang sabar.

 

Ayat 37:103-111 KIsah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

 

Ayat: 103

 

فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ

 

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

 

Ayat: 104

 

وَنَٰدَيْنَٰهُ أَن يَٰٓإِبْرَٰهِيمُ

 

Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim"

 

Ayat: 105

 

قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

 

"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

 

Ayat: 106

 

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلَٰٓؤُا۟ ٱلْمُبِينُ

 

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;

 

Ayat: 107

 

وَفَدَيْنَٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

 

Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

 

Ayat: 108

 

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِى ٱلْءَاخِرِينَ

 

Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:

 

Ayat: 109

 

سَلَٰمٌ عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ

 

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".

 

Ayat: 110

 

كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

 

Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

 

Ayat: 111

 

إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ

 

Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

 

Pengajaran Ayat 103-111

 

  1. Ketika kedua-duanya telah berserah diri untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, Nabi Ibrahim AS membaringkan anaknya di atas pahanya untuk melaksanakan perintah Allah SWT itu.
  2. Lalu Allah SWT memanggil Nabi Ibrahim AS: "Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu."
  3. Dalam hidup ini, kita mungkin tidak dapat buat segala perkara. Tetapi bila kita tahu kebenaran dan bersedia melaksanakannya, kita ambil langkah-langkah kecil untuk menuju target yang besar, itu adalah pembenaran iman.
  4. Allah SWT memberitahu bahawa itu adalah pembenaran kepada orang yang muhsin. Dalam surah ini banyak menggunakan perkataan muhsin - orang yang cemerlang (tahap lebih tinggi daripada orang yang bertakwa).
  5. Dalam hal ini, tanda orang yang cemerlang dalam hidup ialah apabila dia ikut kepada kebenaran daripada Allah SWT.
  6. Ini adalah satu ujian yang besar. Setelah susah dapat anak, bila dapat, kena sembelih. Ini ujian melibatkan nyawa.
  7. Ujian yang besar hadir dalam hidup kita bila kita membenarkan perkataan Allah berbanding dengan apa yang kita fikirkan.
  8. Hati Nabi Ibrahim amat sejahtera (Qalbin Salim). Kita ada hati, ada pemikiran. Kalau kita utamakan pemikiran kadang-kadang bising, boleh mempersoalkan perintah Allah SWT. Tetapi bila hati sejahtera, hati ini menyerah kepada Allah SWT, kita dapat senyapkan apa pemikiran yang negatif. Sama seperti kita solat. Kalau kita fikir penat dan sebagainya, tetapi kalau hati cepat-cepat menyerah kepada Allah SWT, sedar bahawa Allah akan tolong (wasta'inu bissobri wassolah).
  9. Allah tebus dengan sembelihan yang besar. Menurut Ibnu 'Asyur, ini kerana:
    • Nabi Ismail
    • ibadah yang agung
    • jadi sunah yang berterusan sampai hari kiamat
    • Allah SWT abadikan untuk Nabi Ibrahim AS pujian di kalangan orang-orang yang datang kemudian. Ini adalah satu model keluarga yang Allah kekalkan seperti yang disebut dalam surah al-Syu'ara' ayat 84. Minta orang sebutkan yang baik-baik untuk kita.
  10. Allah SWT ucapkan kesejahteraan kepada Nabi Ibrahim AS.
  11. Itulah ganjaran bagi orang-orang yang melakukan kebaikan untuk keluarga dan masyarakat.
  12. Asas untuk menjadi orang cemerlang ialah menjadi seorang hamba, dan beriman. Jadi hamba maksudnya sedia menurut perintah Allah SWT.
  13. Iman adalah perkara yang tidak nampak. Tetapi berdasarkan ilmu yang sahih kita boleh meneguhkan keimanan kita.

 

Ayat 37:112-113 Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak

 

Ayat: 112

 

وَبَشَّرْنَٰهُ بِإِسْحَٰقَ نَبِيًّا مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

 

Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

 

Ayat: 113

 

وَبَٰرَكْنَا عَلَيْهِ وَعَلَىٰٓ إِسْحَٰقَ وَمِن ذُرِّيَّتِهِمَا مُحْسِنٌ وَظَالِمٌ لِّنَفْسِهِۦ مُبِينٌ

 

Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.

 

Pengajaran

 

  1. Allah berikan gambar gembira dengan kelahiran Nabi Ishak AS yang termasuk dalam kalangan orang-orang yang soleh.
  2. Ini untuk menafikan dalam Taurat yang telah diubah bahawa yang disembelih itu adalah Nabi Ishak. Mereka buat begitu untuk mengatakan bahawa yang dimuliakan adalah keturunan Yahudi. Mereka hendak menafikan Nabi Ismail yang daripadanya keturunan arab Nabi Muhammad SAW. Mereka cakap Nabi Ismail adalah anak luar nikah.
  3. Mereka hendak mengatakan bahawa umat pilihan adalah Bani Israel.
  4. Allah SWT beritahu Nabi Ismail AS dan Nabi Ishak AS untuk membuktikan bahawa Nabi Ibrahim memang ada dua orang anak.
  5. Allah SWT berkati kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak yang mempunyai keturunan Bani Israel.
  6. Daripada zuriatnya ini ada dua kumpulan, satu yang baik (muhsinun) dan satu lagi yang menzalimi diri sendiri.
  7. Menurut Ibnu 'Asyur, walaupun ayahnya nabi, tidak ada jaminan anaknya itu muhsin. Walaupun datuk neneknya ulamak, orang baik tetapi kalau dia tidak betul-betul berserah seperti Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Ishak maka mereka adalah orang yang menzalimi diri sendiri.
  8. Mak bapa yang baik, anak jangan ambil lewa. Kena bertanggungjawab, belajar ilmu yang ada dan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Kena diusahakan untuk menjadi orang yang muhsin.

 

Ayat 37:114-122 Kisah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS

 

Ayat: 114

 

وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَىٰ مُوسَىٰ وَهَٰرُونَ

 

Dan demi sesungguhnya! kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.

 

Ayat: 115

 

وَنَجَّيْنَٰهُمَا وَقَوْمَهُمَا مِنَ ٱلْكَرْبِ ٱلْعَظِيمِ

 

Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar;

 

Ayat: 116

 

وَنَصَرْنَٰهُمْ فَكَانُوا۟ هُمُ ٱلْغَٰلِبِينَ

 

Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya);

 

Ayat: 117

 

وَءَاتَيْنَٰهُمَا ٱلْكِتَٰبَ ٱلْمُسْتَبِينَ

 

Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya;

 

Ayat: 118

 

وَهَدَيْنَٰهُمَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ

 

Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus.

 

Ayat: 119

 

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِمَا فِى ٱلْءَاخِرِينَ

 

Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

 

Ayat: 120



 سَلَٰمٌ عَلَىٰ مُوسَىٰ وَهَٰرُونَ

 

"Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!"

 

Ayat: 121

 

إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

 

Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

 

Ayat: 122

 

إِنَّهُمَا مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ

 

Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman.

 

Pengajaran Ayat 114-122

 

  1. Keturunan Nabi Ibrahim yang muhsin termasuk Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS.
  2. Nabi Musa AS diberikan nikmat yang besar iaitu selamat daripada dibunuh oleh Firaun, nikmat berada di istana Firaun dengan selamat selama berpuluh tahun, dan boleh bertemu dengan ibu dan abangnya.
  3. Allah SWT selamatkan kedua-duanya dan kaumnya daripada bencana yang besar.
  4. Dengan izin Allah SWT, tongkat Nabi Musa AS membelah laut, mereka selamat dan Firaun dihancurkan.
  5. Allah SWT tolong mereka sehingga menjadi orang yang menang.
  6. Allah SWT berikan kepada mereka kitab yang sangat jelas iaitu Taurat. Dengan kemenangan itu mereka mestilah merujuk kepada panduan daripada Allah SWT.
  7. Allah SWT memberi petunjuk kepada Nabi Musa dan Nabi Harun ke jalan yang lurus. Mereka komited beramal dan menyampaikan panduan daripada Allah SWT.
  8. Allah SWT abadikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun pujian di kalangan orang-orang yang datang kemudian.
  9. Allah SWT ucapkan selamat sejahtera untuk Nabi Musa dan Nabi Harun. Allah berikan kemuliaan kepada mereka. Semoga kita juga menjadi sebutan yang baik semasa kita hidup dan selepas kita mati.
  10. Demikianlah Allah SWT memberi balasan kepada orang-orang muhsinin.
  11. Sesungguhnya mereka adalah dalam kalangan orang-orang yang beriman. Hamba yang beriman ialah hamba yang sentiasa mengikut peraturan dan sentiasa melakukan kebaikan berdasarkan ilmu yang Allah SWT wahyukan kepada kita walaupun tidak nampak.

 

Ayat 37:123-126 KIsah Nabi Ilyas AS

 

Ayat: 123

 

وَإِنَّ إِلْيَاسَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

 

Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.

 

Ayat: 124

 

إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَلَا تَتَّقُونَ

 

(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.

 

Ayat: 125

 

أَتَدْعُونَ بَعْلًا وَتَذَرُونَ أَحْسَنَ ٱلْخَٰلِقِينَ

 

"Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?

 

Ayat: 126

 

ٱللَّهَ رَبَّكُمْ وَرَبَّ ءَابَآئِكُمُ ٱلْأَوَّلِينَ

 

"Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!"

 

Pengajaran Ayat 123-126

 

  1. Sesungguhnya Nabi Ilyas AS adalah salah seorang daripada rasul-rasul
  2. Baginda bertanya kepada kaumnya kenapa mereka tidak bertakwa. Takwa bermaksud mengelakkan diri daripada masalah dengan menyerahkan diri kepada Allah SWT.
  3. Nabi Ilyas AS dihantar kepada kaum Ba'al di Jordan. Kaumnya menyembah berhala Ba'al dan mereka tinggalkan Allah SWT yang merupakan sebaik-baik pencipta.
  4. Jangan minta tolong daripada berhala yang tidak boleh buat apa-apa.
  5. Nabi Ilyas AS ingatkan bahawa Allah SWT adalah Tuhan mereka dan tuhan nenek moyang mereka.

 

Warna pelangi 7 sepadan

Muncul cantik ditepi kota

Nabi Ibrahim contoh teladan

Sentiasa cemerlang menuju yang Esa

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Berserah diri kepada perintah Allah SWT walau sukar (37:103)
  2. Yakin Allah SWT akan membantu hamba-Nya dalam kepayahan (37:105)
  3. Berusaha menjadi insan yang cemerlang dengan berjuang dan menjaga agama (37:109-110)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan bantu kalau saya dalam kepayahan sekiranya saya serah diri kepada Allah SWT.

 

Saya jelas saya mesti berserah diri kepada perintah Allah SWT walau sukar. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT akan membantu hamba-Nya dalam kepayahan. Saya jelas saya mesti berusaha menjadi insan yang cemerlang dengan berjuang dan menjaga agama.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk berserah diri kepada perintah Mu walau sukar. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau akan membantu hamba-Mu dalam kepayahan. Ya Allah, bantu kami berusaha menjadi insan yang cemerlang dengan berjuang dan menjaga agama.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...