Saturday, October 14, 2023

Halaman 459 Al-Zumar (39:6-10)

 

PERKATAAN HARI INI


 خَالَ / خَوَلَ  Menjaga, menganugerahkan. 

8 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS 






   


  1.  Memperingatkan orang kafir dengan nasib umat yang terdahulu (39:6-10)

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 459 untuk meneruskan Surah Al-Zumar. Syukur kita diberi peluang untuk menghayati kalamullah.

 

 

Ayat 39:6

 

خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَٰحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ ٱلْأَنْعَـٰمِ ثَمَـٰنِيَةَ أَزْوَٰجٍ ۚ يَخْلُقُكُمْ فِى بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمْ خَلْقًا مِّنۢ بَعْدِ خَلْقٍ فِى ظُلُمَـٰتٍ ثَلَـٰثٍ ۚ ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ ٱلْمُلْكُ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ

 

Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); dan Ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak delapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina). Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan (dari mematuhi perintahNya)?

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menceritakan kejadian Nabi Adam AS menggunakan perkataan خَلَقَ. Menurut Sheikh Tantawi, perkataan ini memberi pengertian bahawa Allah SWT jadikan Nabi Adam AS daripada tidak ada.
  2. Kemudian Allah SWT menjadikan daripada Nabi Adam AS - isterinya Hawa. Ayat ini pula menggunakan perkataan  جَعَلَ. Perkataan ini bermaksud dijadikan daripada pasangannya.
  3. Bila Nabi Adam AS diturunkan ke bumi, Allah SWT turunkan (أَنزَلَ) bersamanya binatang-binatang ternak lapan ekor: empat pasangan jantan dan betina. Ini adalah nikmat yang Allah SWT turunkan untuk Nabi Adam AS dan manusia keturunannya. Dengan nikmat ini hendaklah kita menghambakan diri kepada Allah SWT.
  4. Allah SWT menciptakan kita dalam kandungan ibu berperingkat-peringkat dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita.
  5. Semua kejadian ini adalah bukti kekuasaan Allah SWT. Allah SWT mempunyai kekuasaan yang mutlak. Tiada Tuhan melainkan Allah SWT. Oleh itu hendaklah kita mematuhi perintah Allah SWT.
  6. Allah SWT ingatkan kita supaya perhatikan kejadian diri kita. Banyak nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita, maka tidak wajar untuk kita kufur kepada Allah SWT.

Ayat 39:7

 

إِن تَكْفُرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنكُمْ ۖ وَلَا يَرْضَىٰ لِعِبَادِهِ ٱلْكُفْرَ ۖ وَإِن تَشْكُرُوا۟ يَرْضَهُ لَكُمْ ۗ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۗ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

 

Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNya); dan Ia tidak redakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur; dan jika kamu bersyukur, Ia meredainya menjadi sifat dan amalan kamu. Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT hendak terapkan sifat syukur kepada kita. Kalaulah kita kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmat Allah itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak memerlukan kita.
  2. Allah SWT tidak redakan hamba-hambaNya yang kufur. Jika kita bersyukur, Allah SWT akan redha kepada kita.
  3. Syukur bukan dengan lafaz sahaja. Syukur perlu diimplemetasi dengan tindakan. Contoh daripada hadis Nabi SAW: Seorang wanita pelacur memberi minum kepada anjing yang kehausan. Nabi SAW beritahu bahawa Allah SWT redha kepada perbuatan wanita itu, lalu Allah SWT ampunkan dosanya.
  4. Kaedah bersyukur ditunjukkan oleh para nabi seperti yang diceritakan dalam al-Quran. Ini menggambarkan sangat perlu kita menjadi orang yang bersyukur bagi mencapai redha Allah SWT. Sifat syukur akan menjauhkan kita daripada azab Allah SWT. Kalau kita bersyukur Alah SWT akan tambah rezeki kita.
  5. Allah SWT ingatkan bahawa seseorang itu tidak memikul dosa perbuatan orang lain. Kita masing-masing memikul dosa sendiri.
  6. Allah SWT ingatkan bahawa kita akan dikembalikan kepada Allah SWT. Kemudian Allah akan memberitahu kepada kita tentang apa yang kita telah kerjakan.
  7. Allah SWT Maha Mengetahui segala isi hati kita. 

Ayat 39:8 Sifat Manusia yang Melupakan Allah SWT

 

وَإِذَا مَسَّ ٱلْإِنسَـٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُۥ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُۥ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِىَ مَا كَانَ يَدْعُوٓا۟ إِلَيْهِ مِن قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَـٰبِ ٱلنَّارِ

 

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): "Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

 

Pengajaran

 

  1. Apabila manusia ditimpa bencana, ia segera berdoa sungguh-sungguh kepada Allah SWT.
  2. Apabila Allah SWT memberikan sesuatu nikmat sebagai kurnia daripadaNya, manusia lupa akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah SWT untuk menyesatkan dirinya dan orang lain dari jalan Allah.
  3. Akibat lupa kepada Allah SWT di dunia ini:
    • di akhirat nanti dia akan dilupakan oleh Allah SWT.
    • sebenarnya dia melupakan dirinya sendiri.
    • dia mendekatkan dirinya dengan azab Allah SWT.
    • dia adalah orang yang zalim.
  4. Semoga Allah SWT jauhkan kita daripada sifat-sifat orang kufur yang lupakan nikmat Allah SWT.
  5. Allah SWT sindir orang kafir: "Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka."

Ayat 39:9

 

أَمَّنْ هُوَ قَـٰنِتٌ ءَانَآءَ ٱلَّيْلِ سَاجِدًا وَقَآئِمًا يَحْذَرُ ٱلْـَٔاخِرَةَ وَيَرْجُوا۟ رَحْمَةَ رَبِّهِۦ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

 

"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT sebutkan dua sifat dalam ayat ini:
    • taat mengerjakan ibadat pada waktu malam
    • takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Allah SWT
  2. Dalam satu hadis daripada Saidina Anas: Rasulullah SAW pernah masuk kepada orang yang sedang nazak. Baginda tanya bagaimana keadaannya. Lelaki itu katakan yang dia sangat berharap pengampunan Allah SWT dan dia sangat takut. Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang lelaki yang berhimpun dua sifat ini, sifat takut dan harap kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan menjauhkan dia daripada apa yang dia takut dan Allah SWT akan berikan apa yang dia harap."
  3. Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang mendapat nikmat rasa takut dah harap kepada Allah SWT.
  4. Imam Ibnu Kathir ada menceritakan tentang ayat ini. Saidina Abdullah bin Umar adalah seorang yang rajin qiamullail. Rasulullah SAW puji beliau: "Sebaik-baik hamba ialah orang rajin mengerjakan solat malam".
  5. Salah satu tanda kita syukur ialah dengan mendirikan solat malam. Orang yang solat malam tandanya dia dekat dengan Allah SWT yang menyebabkan dia takut untuk buat perkara yang Allah SWT larang seperti rasuah dan pecah amanah.
  6. Dalam ayat ini, Allah SWT juga ingatkan tentang sifat orang-orang yang berilmu dan melakukan kebaikan. Orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

 

Ayat 39:10

 

قُلْ يَـٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

 

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT ingatkan kepada orang-orang yang beriman supaya:

a.     bertaqwalah kepada Allah SWT.

b.     berbuat baik di dunia agar beroleh kebaikan yang sebenar di akhirat.

c.     berhijrah sekiranya ditindas kerana bumi Allah ini luas.

2.     Allah SWT ingatkan juga bahawa orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka tanpa batas.


 

RESOLUSI


Ingat!

1.     Hayati asal usul kejadian manusia agar tunduk kepada kebenaran (39:6)

2.     Syukur dan tidak kufur, Allah SWT Maha Mengetahui (39:7)

3.     Mengharapkan rahmat Allah SWT dengan mendirikan ibadah solat (39:9)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan beri rahmat kalau saya mendirikan solat.

 

Saya jelas saya mesti hayati asal usul kejadian manusia agar tunduk kepada kebenaran. Saya jelas saya mesti syukur dan tidak kufur. Saya jelas saya mesti mengharapkan rahmat Allah SWT dengan mendirikan ibadah solat.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk hayati asal usul kejadian manusia agar kami tunduk kepada kebenaran. Ya Allah, jadikan kami orang yang syukur dan tidak kufur. Ya Allah, jadikan kami orang yang mendirikan ibadah solat, serta mempunyai sifat takut dan harap kepada Mu.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...