Saturday, October 14, 2023

Halaman 458 Sad (38:84-88) Al-Zumar (39:1-5)

 

PERKATAAN HARI INI 

  

زَلَفَ  Mendekati, makin dekat. 

10 kali disebut di dalam al-Quran






SINOPSIS  

  

  1. Sambungan kisah Nabi Adam AS (38:84-85)
  2. Sikap Da'i, dakwah dan mukjizat al-Quran (38:86-88)
  3. Sumber al-Quran dan perintah memurnikan ibadah hanya untuk Allah SWT (39:1-4)
  4. Antara bukti tauhid, kesempurnaan kuasa dan kekayaan Allah SWT (39:5)

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 458 untuk meneruskan halaman akhir Surah Sad dan permulaan Surah Al-Zumar.

 

Pada halaman lepas kita telah belajar bagaimana Allah SWT ceritakan sifat iblis yang takbur. Perkataan iblis menyebabkan dia terputus daripada rahmat Allah SWT.


 

Ayat 38:84

 

قَالَ فَٱلْحَقُّ وَٱلْحَقَّ أَقُولُ

 

Allah berfirman: " Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan -

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menegaskan Dia lah Tuhan yang sebenar-benarnya.
  2. Allah SWT mengingatkan kita semua yang Allah SWT hanya berfirman tentang kebenaran.

 

Ayat 38:85

 

لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكَ وَمِمَّن تَبِعَكَ مِنْهُمْ أَجْمَعِينَ

 

" Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya ".

 

Pengajaran

 

  1. Iblis akan dicampakkan ke neraka jahanam dan begitu juga dengan pengikut-pengikutnya.
  2. Imam Ibnu Kathir mengingatkan bahawa kisah Nabi Adam AS dan iblis diulang beberapa kali dalam al-Quran iaitu dalam Surah al-Baqarah, Surah al-A'raf, Surah al-Hijr, Surah al-Kahfi dan Surah Sad kerana sikap manusia yang selalu terlupa.
  3. Sheikh Syed Qutub pula mengatakan yang  tidak ada pengulangan di dalam al-Quran kerana Allah SWT mendatangkan sesuatu yang baru dalam cerita yang sama. Walaupun nampak seperti cerita yang berulang tetapi ia adalah satu maklumat penting yang ingin disampaikan. Manusia itu pelupa dan perlu selalu diingatkan. Setiap ayat ada mesej baru yang Allah SWT hendak sampaikan kepada kita.

 

Ayat 38:86

 

قُلْ مَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُتَكَلِّفِينَ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan Rasulullah SAW untuk memberitahu orang kafir bahawa baginda SAW tidak meminta upah atas apa yang disampaikan oleh baginda.
  2. Rasulullah SAW tidak mahu memberatkan umatnya.  
  3. Takalluf bermakna memberatkan dan Islam tidak memberatkan umatnya. 

 

Ayat 38:87

 

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَٰلَمِينَ

 

Al-Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam.


 

Ayat 38:88

 

وَلَتَعْلَمُنَّ نَبَأَهُۥ بَعْدَ حِينٍۭ

 

Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kabenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi.

 

Pengajaran

 

  1. Pada ayat pertama Surah Sad, Allah SWT ingatkan bahawa al-Quran adalah peringatan. Penutup surah ini memberi penegasan sekali bahawa al-Quran adalah peringatan buat seluruh alam.
  2. Bila sudah mati atau ketika datang hari kiamat baru mereka yang kufur itu mahu percaya.

 

Surah Ke-39: Al-Zumar (Rombongan-Rombongan)

 

Menurut Ibnu Asyur, surah ini telah dikenali sebagai Surah al-Zumar sejak zaman para sahabat lagi. Surah ini juga dikenali sebagai Surah Ghuraf.

 

Menurut Saidatina Aisyah dalam hadis riwayat dari Imam Tirmizi, Rasulullah SAW tidak akan tidur sebelum membaca Surah al-Zumar dan Surah Bani Israil (Surah al-Isra'). Rasulullah SAW membaca surah-surah sebelum tidur yang di dalamnya ada peringatan tentang ketauhidan.


 

Ayat 39:1

 

تَنزِيلُ ٱلْكِتَٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ

 

Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT tegaskan bahawa al-Quran adalah daripada Allah SWT Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana
  2. Perkataan tanzil di dalam al-Quran diulang-ulang dan dikaitkan dengan nama Asmaulhusna. Menurut Sheikh Tantawi, bila Allah SWT menyebutkan perkataan tanzil, ia disertai dengan sifat Allah SWT. Surah lain yang seumpama ini ialah Surah Ghaffir, Surah al-Ahqaf, Surah al-Jassiyah, Surah Fussilat, Surah Yasin.
  3. Itu menunjukkan al-Quran bukan direka oleh Nabi Muhammad SAW. Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT.

 

Ayat 39:2

 

إِنَّآ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ بِٱلْحَقِّ فَٱعْبُدِ ٱللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ ٱلدِّينَ

 

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT lah yang menurunkan al-Quran dengan membawa kebenaran maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas.
  2. Di penghujung Surah Sad Allah SWT memberitahu bahawa iblis tidak boleh mengganggu orang-orang yang ikhlas. Pada awal Surah al-Zumar, Allah SWT mengingatkan kita agar mengikhlaskan diri dalam beribadah kepada Allah SWT.
  3. Sifat ikhlas akan membuka jalan yang kita tidak sangka. Sifat ikhlas akan memberi kita motivasi dan kekuatan seperti para sahabat yang buat segalanya kerana Allah SWT.

 

Ayat 39:3

 

أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلْخَالِصُ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِى مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى مَنْ هُوَ كَٰذِبٌ كَفَّارٌ

 

Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).

 

Pengajaran

 

  1. Ini adalah peringatan tentang sifat-sifat orang kafir. Mereka memberi alasan yang mereka buat berhala kerana mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mereka ada perantara.
  2. Mereka mencipta perkara baru kononnya sebagai ibadat. Menurut Imam Ibnu Kathir kaum musyrik bila menunaikan haji waktu itu, ada talbiah yang mereka reka sendiri. Mereka menambah, "tidak syirik melainkan ada sekutu yang Engkau setuju". Nampak macam baik tetapi ada elemen menyengutukan Allah SWT.
  3. Kadang-kadang ada orang di sekeliling kita yang mencipta sesuatu yang kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ikutlah panduan daripada Rasulullah SAW. Itu yang lebih mudah. Baginda SAW lah yang paling bertakwa dan paling takut kepada Allah SWT. Rasulullah SAW telah memberi panduan yang jelas.

 

Ayat 39:4

 

لَّوْ أَرَادَ ٱللَّهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّٱصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ سُبْحَٰنَهُۥ هُوَ ٱللَّهُ ٱلْوَٰحِدُ ٱلْقَهَّارُ

 

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Ia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Ia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Perkasa.

 

Ayat 39:5

 

خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ يُكَوِّرُ ٱلَّيْلَ عَلَى ٱلنَّهَارِ وَيُكَوِّرُ ٱلنَّهَارَ عَلَى ٱلَّيْلِ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِى لِأَجَلٍ مُّسَمًّى أَلَا هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفَّٰرُ

 

Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, - tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menegaskan kebesaranNya dan bukti-bukti tauhid dari segala penciptaanNya.
  2. Maha Sucilah Allah dari mempunyai anak. Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Perkasa.
  3. Allah SWT menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar.
  4. Allah SWT memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam.
  5. Allah SWT menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya. Tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan.
  6. Allah SWT ingatkan bahawa Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Sampaikan dakwah dan kebenaran, ikhlas kerana Allah SWT (38: 86)

2.     Bina diri, keluarga dan masyarakat ikut acuan al-Quran, kamu selamat (39:2)

3.     Perhatikan ayatul kauniyah beri keinsafan seorang hamba (39:5)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan selamatkan saya sekiranya saya bina diri, keluarga dan masyarakat ikut acuan al-Quran.

 

Saya jelas saya mesti sampaikan dakwah dan kebenaran, ikhlas kerana Allah SWT. Saya jelas saya mesti bina diri, keluarga dan masyarakat ikut acuan al-Quran agar selamat. Saya jelas untuk perhatikan ayatul kauniyah agar beri keinsafan sebagai seorang hamba.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk sampaikan dakwah dan kebenaran, ikhlas kerana Allah SWT. Ya Allah, bantu kami untuk bina diri, keluarga dan masyarakat ikut acuan al-Quran agar selamat. Ya Allah, bimbing kami perhatikan ayatul kauniyah agar beri keinsafan sebagai seorang hamba.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

    












 





















































































































































































































    

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...