Saturday, October 14, 2023

Halaman 465 Al-Zumar (39:57-67)

 

PERKATAAN HARI  INI


  حَبِطَ Terhapus, gugur. 

16 kali disebut di dalam al-Quran





SINOPSIS    


  1. Pendustaan dan kesombongan orang kafir dan penyesalan mereka (39:57-59)
  2. Nasib pendusta dan orang-orang beriman pada hari kiamat (39:60-61)
  3. Bukti keesaan Allah SWT dan tauhid (39:62-67)


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 465 Surah Al-Zumar. Semoga kita menjadi hamba yang bersyukur.

 

Pada ayat 56, kita diingatkan bahawa orang yang melalaikan kewajipan terhadap Allah SWT akan menyesal. Allah SWT masih memberi peluang kepada kita.

 

Ayat 39:57

 

أَوْ تَقُولَ لَوْ أَنَّ ٱللَّهَ هَدَىٰنِى لَكُنتُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ

 

"Atau berkata: ` Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa ! ' -

 

Pengajaran

 

  1. Jangan menyalahkan Allah SWT di dunia ini kerana semuanya  akan diulang balik di akhirat kelak. Allah SWT utuskan rasul dan guru-guru untuk membantu kita mencari hidayah.
  2. Kalau kita boleh cari rezeki di dunia, kita juga mesti cari rezeki untuk sampai ke akhirat. Kita tahu kekuatan dan kelemahan diri kita  maka kita kena bertanggungjawab untuk susun jadual kehidupan agar dapat menjadi orang yang bertakwa.

 

Ayat 39:58

 

أَوْ تَقُولَ حِينَ تَرَى ٱلْعَذَابَ لَوْ أَنَّ لِى كَرَّةً فَأَكُونَ مِنَ ٱلْمُحْسِنِينَ

 

"Atau berkata semasa ia melihat azab: Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!"

 

Pengajaran

 

  1. Bila sudah nampak azab, mereka mahu patah balik ke dunia untuk menjadi orang yang cemerlang (ٱلْمُحْسِنِينَ).
  2. Bila kita mendengar al-Quran, kita cuba buat yang terbaik. Kita jangan menjadi orang yang suka memberi alasan. Kita kejar tawaran bulan Ramadan ini yang  ganjarannya lebih dari 1000 bulan.
  3. Di dunia, kalau tidak berpuasa, Allah SWT tidak balas. Tunggu di akhirat nanti, pasti dibalas.

 

Ayat 39:59

 

بَلَىٰ قَدْ جَآءَتْكَ ءَايَٰتِى فَكَذَّبْتَ بِهَا وَٱسْتَكْبَرْتَ وَكُنتَ مِنَ ٱلْكَٰفِرِينَ

 

(Kata-kata yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firmanNya): "Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!"

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan kita bahawa Allah SWT telah datangkan ayat-ayat petunjukNya, tetapi orang-orang kufur telah mendustakannya.
  2. Mereka sombong dan menjadi orang yang tidak bersyukur.

 

Ayat 39:60

 

وَيَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ تَرَى ٱلَّذِينَ كَذَبُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ وُجُوهُهُم مُّسْوَدَّةٌ أَلَيْسَ فِى جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْمُتَكَبِّرِينَ

 

Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) - muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur?

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang yang sombong ini, di akhirat kelak wajah mereka akan menjadi hitam yang hina. Allah SWT akan memasukkan mereka ke neraka jahanam.
  2. Muka putih di dunia bukanlah lambang kemuliaan.
  3. Semoga kita tidak menjadi orang yang sombong takbur.

 

Ayat 39:61

 

وَيُنَجِّى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ بِمَفَازَتِهِمْ لَا يَمَسُّهُمُ ٱلسُّوٓءُ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

 

Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT selamatkan orang yang bertakwa. Mereka berusaha ikut syariat: ikut yang halal dan jauhkan yang haram.
  2. بِمَفَازَتِهِمْ mereka seolah-olah sedang lemas tetapi Allah SWT selamatkan mereka dan terus dimasukkan ke syurga. Mereka dihindarkan daripada melihat azab, tidak disentuh oleh satu keburukan pun dan tidak ada lagi rasa sedih.
  3. Semoga Allah SWT masukkan kita dalam golongan orang-orang yang bertakwa.

 

Ayat 39:62

 

ٱللَّهُ خَٰلِقُ كُلِّ شَىْءٍ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ وَكِيلٌ

 

Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menciptakan dan mentadbir setiap sesuatu. Tidak ada benda/makhluk yang terjadi dengan sendiri.
  2. Hendaklah kita ikut apa yang Allah SWT perintahkan kerana Allah SWT jaga kita 24 jam.
  3. Kalau kita tahu bahawa Allah SWT jaga kita 24 jam, maka tawakallah kepada Allah SWT.

 

Ayat 39:63

 

لَّهُۥ مَقَالِيدُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَٰسِرُونَ

 

Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT yang memegang kunci langit dan bumi.
  2. Sumber rezeki kita daripada Allah SWT. Kalau kita hendak selamat dalam hidup ini hendaklah kita kembali kepada sumbernya iaitu daripada Allah SWT yang memegang kunci rezeki.
  3. Allah SWT boleh menarik kesihatan, kekayaan kita bila-bila masa.
  4. Orang yang kufur ini rugi kerana mereka beramal tanpa ilmu.

 

Ayat 39:64

 

قُلْ أَفَغَيْرَ ٱللَّهِ تَأْمُرُوٓنِّىٓ أَعْبُدُ أَيُّهَا ٱلْجَٰهِلُونَ

 

Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: "Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?"

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan bahawa Dia sudah memberikan dalil-dalil yang jelas tentang keesanNya.
  2. Orang yang menyembah yang lain daripada Allah SWT adalah orang yang jahil.
  3. Janganlah kita minta daripada sumber yang tidak betul hingga menjadi syirik atau takbur kepada Alah SWT.

 

Ayat 39:65

 

وَلَقَدْ أُوحِىَ إِلَيْكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ

 

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memberi amaran kepada Nabi SAW dan kepada kita: jika syirik, akan terhapus segala kebaikan yang ada. Pasti akan menjadi orang yang rugi. 
  2. Semoga kita dijauhkan daripada perbuatan syirik dan semoga Allah SWT terima amal kita.

 

Ayat 39:66

 

بَلِ ٱللَّهَ فَٱعْبُدْ وَكُن مِّنَ ٱلشَّٰكِرِينَ

 

"(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur".

 

Pengajaran

 

  1. Janganlah menyembah yang lain daripada Allah SWT. Hendaklah kita sembah Allah SWT semata-mata.
  2. Hendaklah kita jadi orang yang bersyukur dalam semua perkara.

 

Ayat 39:67

 

وَمَا قَدَرُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِۦ وَٱلْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ وَٱلسَّمَٰوَٰتُ مَطْوِيَّٰتٌۢ بِيَمِينِهِۦ سُبْحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

 

Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya - pada hari kiamat - dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini memujuk kita agar terus berada dalam jalan tauhid.
  2. Orang-orang musyrik tidak menghormati Allah SWT dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada Allah SWT.
  3. Pada hari kiamat, bumi seluruhnya dalam genggaman kuasa Allah SWT dan langit akan digulung dengan kekuasaan Allah SWT.
  4. Maha Suci dan Tertinggi keadaan Allah SWT dari apa yang mereka sekutukan.
  5. Janganlah kita mensyirikkan Allah SWT dan bersifat takabur dengan kejayaan kita.

 

Sawah bendang terang kekuningan

Anak kecil berlarian dengan ria

Ramadhan tiba penuh kesyukuran

Moga Allah terima amal kita

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Jangan sombong dengan kebenaran dan kebaikan yang ada ( 39:60)
  2. Kejar kemenangan yang hakiki dengan menjadi orang bertakwa ( 39:61)
  3. Jauhi amalan syirik kerana beri kesan terhapusnya amal dan menjadi orang yang rugi (39:65)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan kurniakan kemenangan yang hakiki dengan menjadi orang bertakwa.

 

Saya jelas saya mesti jangan sombong dengan kebenaran dan kebaikan yang ada. Saya jelas saya mesti kejar kemenangan yang hakiki dengan menjadi orang bertakwa. Saya jelas saya mesti jauhi amalan syirik kerana kesannya terhapus amal dan menjadi orang yang rugi.

 

Ya Allah, pelihara kami daripada sombong dengan kebenaran dan kebaikan yang ada. Ya Allah, bimbing kami kejar kemenangan yang hakiki dengan menjadi orang bertakwa. Ya Allah, jauhi kami daripada amalan syirik, terimalah amalan kami dan hindarkan kami daripada menjadi orang yang rugi.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


 







 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...